"Kamu akan kembali semula ke London?"
"Ya. Tapi, aku kena berbincang dulu dengan ahli keluargaku. Aku harap mereka mengerti. Aku masih ada urusan disana. Aku tidak akan selamanya terus membebankan kamu, Ethan." Jawabku bercanda.
Dia diam. Matanya masih legat memandang padaku. "Mengapa kamu bertanya?" soalku pula. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang ingin dia sampaikan.
"Katakan saja, Ethan. Apa yang sedang kamu fikirkan? Kamu lain sekali hari ni."
"Hanya kamu dan Chempaka? Juga umi?"
Aku dapat merasakan ada kurang senang dalam soalannya.
"Apa yang kamu ingin tahu sebenarnya, Ethan? Adakah kamu ingin tahu yang abang Uzair akan pergi bersamaku nanti? Kalau itu maksudmu, maka jawapan aku sudah tentu tidak. Kamu mengerti bukan? Antara kami sudah jauh terpisah. Dia masih ada tanggungjawab yang memerlukan dia disini. Lagipun, aku tidak nampak mengapa dia harus pergi bersama kami. Seandainya, dia masih mahu pergi bersama, itu atas kehendaknya senditi, bukan pelawaanku." Semerta rona wajahnya bertukar cerah.
"Kamu cemburu, ya?" usikku sambil tertawa kecil.
Dia menjawab dengan senyumannya. Tidak perlu menelah lagi.
"Maaf mengganggu, kak Jannah. Ada 'someone' cari akak." Suara Intan mencelah perbualan aku dan Ethan. Terus kepalaku mendongak pada dia yang tegak berdiri disebelahku. Kening aku angkat sedikit, siapa?
"Alaaa... lelaki yang datang hari tu."
Dadaku berdebar. Abang Uzair? Takkanlah. Awal pagi begini? Biar betul? Tak pergi kerja ke?
Aku terus berdiri dan bergegas meninggalkan Ethan yang terkulat-kulat memandang kami berdua sejak tadi. Mungkin dia juga tertanya-tanya.
Aku berjalan mendekati kaunter juruwang. Hmm... Memang benar telahanku. Abang Uzair! Melihat susuk tubuhnya dari belakangpun, aku sudah dapat meneka. Walau kami sudah terpisah lama, dia masih sama seperti dulu. Tidak banyak yang berubah.
"Assalamualaikum...." ucapku bila aku sudah mendekat. Dia menoleh dan menjawab salamku perlahan. Antara dengar dan tidak saja.
"Ada hal ke abang nak jumpa dengan Jannah ni? Pagi-pagi pulak tu? Mustahak sangat ke?" Bimbang juga andainya ada sesuatu yang sudah terjadi. Riak keruh diwajah abang Uzair seakan menjelaskan sesuatu.
"Entahlah, Jannah...." Namun, yang terkeluar dari bibirnya hanyalah keluhan.
Entahlah? Aku pelik dengan sikap abang Uzair pagi ini. Sejak pulang dari kampung seminggu yang lepas, tiada kunjungan khabar menerusi panggilan telefon ataupun kiriman pesanan. Dia terus menyepi begitu sahaja.
Aku juga tidak menghubunginya. Tiada keperluan untukku. Biarpun aku teramat rindu pada Chempaka kerana sudah lama tidak bertemu, aku pendamkan sahaja. Sejak dari peristiwa di Songket, aku hanya sesekali menghantar pesanan ringkas bertanyakan khabar. Kadang dia membalas, kadang dibiarkannya aku resah menanti balasan. Mungkin kerana dia tidak tahu kedudukan aku dalam kehidupannya.
Dan, dengan apa yang terjadi baru-baru ini, aku tidak mahu terusan mengganggu abang Uzair. Aku tahu dia masih dalam keadaan terkejut. Begitu juga aku. Lagipun, antara kami sudah terpisah jauh. Tiada sebab untuk aku menghubunginya selalu.
Cuma, kedatangannya pagi ini, mengundang pertanyaan dibenakku.
"Abang dah sarapan?" soalku apabila dia masih terus membisu dan menundukkan wajahnya. Dia menggeleng. Tiba-tiba dia mengangkat muka dan memandang tepat padaku. Merona hangat aku rasakan tiba-tiba. Panas!
"Duduklah dulu. Nanti Jannah bawakan sarapan untuk abang." Aku terus bangun dan bergerak menuju kedapur. Dia pula menapak ke tempat yang selalu kami duduk apabila dia kemari. Dibahagian luar, meja yang berada ditepi sekali. Walaupun akan terkena simbahan sang mentari, aku tahu abang Uzair amat menyukai tempat itu.
Dipertengahan jalan menuju kedapur, aku bertembung dengan Ethan. Riak wajahnya mencuka. Tidak ada sepatahpun perkataan dari dia. Dia aku biarkan saja. Aku terus berlalu ke dapur.
Ethan masih lagi tegak mematung di situ. Mengekori langkahku dengan lirikan matanya. Terasa seperti diperhatikan, aku menoleh dan mengangkat keningku? Dia membalas dengan gelengan. Dahiku berkerut.
Pagi-pagi lagi aku sudah dihidangkan dengan dua orang yang berperangai pelik. Sakit kepalaku dibuatnya. Kalau bukan mereka yang gila, lama-lama aku yang boleh jadi sewel kalau keadaan ini berterusan.
Aku letakkan kopi panas bersama sandwich tuna dihadapan abang Uzair. Dia masih lagi menekur sambil menundukkan kepalanya. Entah apalah yang dia fikirkan. Entah, apa lagi yang tak kena. Lain benar lagaknya pagi ini. Aku kehairanan.
"Abang ni ada masalah ke? Dari tadi diam saja? Apa yang terjadi? Abang tak kerja?" soalku dan duduk dihadapannya.
"Jannah...." panggilnya perlahan. Wajahnya diangkat dan memandang tepat ke wajahku. Pandangan kami bertaut. Riak yang terlukis diwajahnya bagai titis hujan yang tidak sabar untuk turun dibalik mendung hitam.
"Ya..."
"Kita rujuk."