43

21 2 0
                                    


Aku terkejut dari lena apabila terdengar suara kak Balqis diluar bilik. Rupanya aku tertidur dalam bilik umi usai sesi luahan malam tadi. Alhamdulillah. Pagi ini aku jadi semakin tenang. Tiada yang menyesakkan lagi.

"Tak ke restoran Jannah?" tegur abang Amar. Mungkin melihat pakaianku yang santai pagi ini membuatkan dia pelik. Selalunya, akulah yang paling kelam kabut ketika bersarapan kerana ingin segera keluar rumah untuk mengelak kesesakan.

"Malas." Jawabku bersahaja.

"Ha? Malas? Pelik ni? Once in the blue moon nak dengar Jannah cakap macam ni. Superwomen dan workaholic, kalau dah cakap macam ni mesti ada sesuatu. Selalunya Jannah yang paling laju keluar rumah. Apa yang dah jadi? Gaduh dengan pelanggan?" Abang Amar bercanda.

"Apalah abang ni. Ada ke cakap Jannah gaduh dengan pelanggan? Tak ada maknanya nak bergaduh. Nanti viral baru tahu. Masak tak sedappun dah jadi viral inikan pulak bergaduh. Tak baik tau abang tuduh Jannah macam tu. Hari ni Jannah saja ambil cuti."

"Hmmm... ye lah tu. Cuti sendirikan?" sahut kak Balqis yang datang dari arah dapur sambil membawa teko berisi air teh.

"Ala kak, Jannah kan bos!" jawabku sambil ketawa. Aku genyitkan mata pada abang Amar yang membuatkan dia ketawa besar.

"Bos kenalah tunjukkan tauladan yang baik. Ini tidak, dia pulak melebih-lebih. Cuti semedang." Terkeluar loghat utara kak Balqis.

"Apalah akak ni, membebel pagi-pagi ni, rezeki lari jauh-jauh. Nanti, jatuh pulak cuping telinga Jannah ni. Abang, tutupkan mulut kakak tu!" arahku pada abang Amar yang membuatkan dia tertawanya bertambah besar.

Tangan kak Balqis laju saja menghayunkan telapaknya ke belakangku. Nasib baik perlahan. Kalau kuat, mahu tercopot jantungku dibuatnya.

"Sampai bila nak mengelak, Jannah?" soalan kak Balqis membuatkan suapanku terhenti. Aku berpaling memandangnya.

"Umi beritahu pada akak ya?" Kak Balqis anggukkan kepalanya. Cepat saja umi mengkhabarkan gundah gulanaku pada kak Balqis. Bukan mahu menyalahkan umi cuma aku malu dengan kak Balqis. Dari dulu, aku pasti bergelumang dengan masalah yang melibatkan hati.

"Bukan mengelak, kak. Tapi, mengasingkan diri untuk memikirkan yang terbaik. Memikirkan perasaan sendiri. Memohon pada Allah. Jannah tak mahu terus didesak atau terus memandang wajah-wajah muram yang seakan-akan menangih simpati supaya Jannah memilih mereka. Apakah nanti jawapan Jannah berdasarkan rasa simpati dan terpaksa? Akan utuhkah kasih sayang yang akan terbina?"

"Apa maksud, Jannah?" soal abang Amar yang masih kelam dengan apa yang berlaku.

"Ethan masih memandang Jannah dengan harapan agar cinta yang terhulur bersambut. Dah lama dia membuka hijab. Cuma Jannah yang masih belum melangkah kedalamnya. Jannah masih lagi dibelenggu rasa pahit dan ngilu. Abang Uzair kembali dengan lamaran kedua. Jannah jadi serba salah. Belumpun Jannah memilih, abang Uzair sudah berat sebelah. Meninggalkan isteri yang masih lagi setia seakan-akan abang Uzair sedang meletakkan amanah Allah di tempat yang serendah-rendahnya. Saat itu, siapa yang harus dipersalahkan. Jannah atau dia?"

Abang Amar terangguk-angguk tanda mengerti.

"Jannah pulang dengan satu niat. Untuk bertemu keluarga dan Chempaka. Bukan untuk membina kasih dan cinta. Sungguh, semua ni tak ada dalam rancangan Jannahpun. Kalau boleh, Jannah dah tak mahu bermain dengan perasaan lagi. Letih. Serik. Cukuplah sekali."

"Jadi, apa yang Jannah akan buat?" Soal abang Amar.

"Entahlah. Buat masa ni, Jannah biarkan masa saja yang tentukan." Jawabku. "Semua orang ada harapan dan Jannah juga ada impian. Jannah mahu impian Jannah tercapai dulu, mungkin. Barulah Jannah fikirkan yang seterusnya. Jujurnya Jannah takut."

"Akak faham bukan ini yang Jannah harapkan. Cuma yang selalu datang tu kadang tak pernah terancang. Akak tahu Jannah takut untuk melangkah lagi kedalam satu ikatan. Tapi, selagi yang bernama kehidupan, ikatan ini akan selalu mengikat kita untuk terus bernafas, Jannah. Samada seperti yang kita impikan ataupun tak seperti yang kita harapkan. Kuasa Allah, Jannah." Pujuk kak Balqis

"Ya, kak. Jannah faham. Semua ini perancangan Allah. Pasti ada hikmahnya." Kupujuk hati sendiri. Terasa belakangku diusap perlahan. Aku tersenyum bila terpandang wajah umi. Sesungguhnya, tangan inilah yang selalu mendamaikan rusuh dihati.

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now