TEPAT jam 4.30 pagi, telefon bimbit akan berbunyi menandakan dia harus bangun dan berpindah semula ke bilik isterinya. Mata dibuka lalu memandang siling untuk beberapa saat sebelum nafas berat dilepaskan. Penat. Masih mengantuk tapi tak mahu terkantoi dengan Zihni.
Malas-malas dia bangun dari baringan. Telefon bimbit di atas meja sisi dicapai. Selimut empuk itu disebak sebelum Akalil turun dari katil tersebut. Lelaki itu berdiri membelakangi katil dan menggeliat untuk membetulkan urat-urat badan yang lenguh. Akalil menguap lagi.
Lena betul tidurnya malam tadi. Mimpi indah...
Tatkala tubuh dibalikkan semula menghadap katil, dengan tidak semena-mena jantung Akalil berdegup kencang. Rasa mengantuk hilang mendadak. Kaget. Terkejut melihat susuk tubuh isterinya yang sudah berada di depan mata. Sejak bila isterinya masuk ke bilik ini? Dan bagaimana bisa gadis itu tidur di sebelahnya?
Perlahan-lahan Akalil memanjat katil dan menghampiri jasad isterinya. Lelaki itu kembali berbaring dalam posisi mengiring menghadap Zihni. Dalam suasana bilik tidur yang dingin dan hanya diterangi lampu tidur, sepasang mata Akalil tunak mengamati wajah lembut milik isterinya.
Tangannya naik mengusap pipi mulus Zihni dengan perlahan dan lembut. Diusap dan ditatap dengan rasa sayang. Kemudian matanya beralih ke bibir nipis si isteri. Lama matanya mendarat di sana. Dan jarinya turun mengusap bibir itu.
Jujur, Zihni memang cantik. Isterinya sangat cantik... Akalil tak pernah jemu memuji keindahan si isteri. Memandangnya dari jauh atau dekat, Zihni tetap kelihatan menawan saja di matanya. Manis dan comel seperti ini pun masih ada yang tolak?
Akalil mengengsot sedikit badannya mendekati Zihni. Tangan diletakkan di atas paha Zihni yang berlapik dengan selimut tebal itu. Kemudian perlahan-lahan paha itu ditepuk-tepuk. Mendodoikan sambil menatap bidadarinya.
Mata dipejamkan semula. Tangannya masih ligat menepuk-nepuk paha Zihni. Beberapa minit kemudian, gerakan tangannya berhenti menepuk. Tanpa sedar, dia tertidur semula. Tertidur di samping isterinya. Lena yang begitu menyamankan.
Jam 6.55 pagi, Zihni tersedar dari tidur. Wajah Akalil di hadapannya menjadi tatapan. Gadis itu masih mamai. Tubuh dibaringkan menghadap siling. Wajah diraup dan rambut disebak ke belakang.
"Pukul berapa ni?"
Lengan Akalil digoyang-goyangkan oleh Zihni. Akalil tak liat nak bangun malah lelaki itu terus bangun terduduk. Terkejut. Pasangan itu saling berpandangan seketika. Masing-masing dalam keadaan diam membisu. Blur. Akal fikiran belum dapat berfungsi dengan baik.
"Pukul berapa?" Zihni bertanya.
"Ha?"
Zihni tergelak. Paha Akalil dipukul lembut. Mamai lagilah tu.
"Zihni tanya, sekarang dah pukul berapa?"
"Oh..." Lalu Akalil panjangkan tangan mencapai telefon bimbitnya yang terletak di meja sisi. Sebaik saja telefon dihidupkan, mata tertancap pada skrin telefon.
"7 pagi."
"Tu-tujuh?" Bola mata Zihni membulat besar. Gadis itu segera bangun dan turun dari katil. Tujuh. Dia tak salah dengarkan tadi? Memang suaminya sebut angka 7 kan? Allah, macam mana dia boleh terlewat ni?
Solat subuh pun belum. Mandi pun belum. Sediakan sarapan juga belum. Aduh!
"Nak ke mana tu?" Akalil menyoal. Masih bingung. Kenapa isterinya kelihatan begitu tergesa-gesa?
"Nak mandi. Solat. Buat sarapan. Nak pergi kerja. Dah lewat." Zihni sempat membalas sebelum bayangannya hilang dari pandangan mata Akalil.
"Hurm, lewat..."
YOU ARE READING
ZIHNI √
RomanceCerita pendek dan kurang comel. Cerita ni baru saja selesai ditulis tapi belum di-edit. Kalau jumpa typo bertimbun, maaf...