ZIHNI - 25

11.9K 1.2K 113
                                        

SEJAK tercetusnya pertengkaran antara mereka berdua, malam itu mereka tidur berasingan. Zihni tidur di kamar mereka dan Akalil tidur di bilik tetamu. Paginya pula, keadaan masih sama. Dingin. Keadaan mereka boleh diumpamakan seperti orang asing yang duduk sebumbung dan tidak saling bertegur.

Walaupun hubungan mereka tidak baik tika ini, Zihni tetap menyediakan sarapan untuk Akalil. Dek tidak mahu suaminya berlapar sebelum berangkat ke tempat kerja, Zihni turunkan jua egonya.

Begitu juga dengan Akalil. Tangki minyak kereta si isteri tak pernah tak diisi. Seperti biasa, dia akan pastikan minyak kereta Zihni penuh dan isterinya tidak perlu susah payah ke Petronas untuk mengisi minyak.

Zihni melabuhkan punggung di atas kerusi. Matanya tertunak ke arah pinggan berisi nasi goreng ikan bilis dan telur mata sapi di atasnya. Belum berusik. Akalil tak turun lagi. Automatik matanya mengerling ke arah jam tangan. 6.59 pagi. Lelaki itu belum siap atau sengaja berlengah kerana Akalil tidak mahu bertembung dengannya?

Keluhan panjanb terhela di bibir merah itu. Mangkuk yang sudah kosong dibawa ke sinki untuk dibasuh. Kemudian, cawan kertas di atas meja disua ke mulut dan sisa air teh yang masih hangat diteguk hingga habis, lalu cawan kertas itu dibuang saja ke bakul sampah.

Sebelum Zihni berangkat pergi, makanan Akalil di atas pinggan tadi dipindahkan ke dalam bekas Tupperware. Tak sempat makan sarapan di rumah tak apa, mungkin di ofis nanti suaminya boleh kenyangkan perut. Jika dia tidak silap, hari ini kelas suaminya bermula jam 9 pagi nanti. Sempatlah nak merasa air tangannya, kan?

Dan Zihni tidak lupa menyediakan sebotol air mineral di sebelah bekas Tupperware tersebut. Akalil ni hantu air, tak dapat hidup tanpa air. Tak ada air, risau menggelupur kehausan pula lelaki itu nanti.

Telefon dikeluarkan dari tas tangan dan aplikasi Whatsapp dibuka. Nama yang di-pin-kan di atas sekali ditekan. Jari jemari mula menari-nari di atas papan kekunci itu.

Zihni: Zihni pergi kerja dulu

Tidak ada balasan dan Zihni tak mengharapkan sebarang balasan dari suaminya. Cukuplah dia sudah memaklumkan kepada lelaki itu bahawa dia akan berangkat sekarang. Hatinya takkan merasa tenang kalau dia pergi begitu saja tanpa memberitahu kepada Akalil terlebih dahulu.

Beberapa minit setelah Zihni beredar, barulah Akalil berani turun ke bawah. Beg komputer riba diletakkan di atas meja. Matanya terhala ke arah bekas Tupperware dan sebotol air mineral. Tak usah tanya, dia sudah tahu bekal itu disediakan untuk siapa. Tengok warna bekas Tupperware itu pun dia dah boleh agak.

Secalit senyuman nipis terukir menghiasi wajah tampannya. Penutup bekas dibuka, aroma nasi goreng ikan bilis itu menyentuh deria baunya. Sedapnya! Nak makan sekarang, takut dia terlewat pula. Mengenangkan dia yang hidup di bandar yang sibuk dan jalan selalu jem, Akalil tutup semula bekas tersebut.

Beg kertas di dalam almari diambil lalu bekas tersebut dimuatkan ke dalamnya berserta botol air mineral.

"Zihni, abang pergi ker..." Oh, lupa. Isterinya sudah pun pergi kerja sebelum dia. Tepi kepala yang tidak gatal digaru. Payah bila dah terbiasa dengan tabiat sejak berkahwin ni.

Setahun bernikah dengan Zihni, memang setiap pagi Zihni atau Akalil akan memaklumkan sesama sendiri sebelum bertolak ke tempat kerja. Zihni yang gedik, nak salam, nak cium pipi, nak peluk dan ada-ada saja ulahnya untuk menarik perhatian Akalil. Baru dua hari hubungan mereka tidak semesra dulu, Akalil dah mula rindukan semua itu.

Sangat rindu. Rindu yang bukan biasa-biasa. Rindu yang begitu besar dan sejujurnya, rindu yang memberat di dalam dada lelaki itu amat menyesakkan dan menyeksakan.

Dan secara tidak langsung, rindu itu telah mewujudkan sebuah perasaan baru di dalam hatinya. Perasaan takut kehilangan. Tapi kenapa baru sekarang? Kenapa rasa itu perlu hadir di saat dia mahu Zihni membencikan dirinya? Kenapa baru sekarang hati membelot? Akalil tidak mengerti...




TBC

Update: 22022022

Short update. Jarang saya update awal minggu, heheheh, esok cuti sehari🤭 Vote and comment! Thank you! Selamat malam!

ZIHNI √Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang