OST: Tak Ingin Usai by Keisya Levronka
BUAT kali kedua hubungan mereka diuji sepanjang tempoh satu tahun lebih berumahtangga. Dan seperti biasa, setiap kali badai melanda, pasti Akalil akan menghilang tanpa sebarang pesan. Meskipun sudah berkali-kali Zihni mencuba menghubungi lelaki itu, namun hampa, satu panggilan pun tidak disambut.
Lelah menahan rasa yang memberat di dada, akhirnya Zihni memilih untuk mengadu dan menangis pada pencipta. Dengan siapa lagi tempat manusia berharap jika tiada bahu untuk mereka bersandar kalau bukan Allah yang maha esa. Allah-lah sebaik-baik pendengar. Hanya Allah yang lebih memahami isi hati hamba-hambaNya.
"Zihni tak mahu menyalahkan takdir. Zihni tak mahu marah dengan perjalanan hidup Zihni. Zihni tahu semua ni berlaku atas kehendak Allah jugak. Allah sayang Zihni sebab tu Allah uji Zihni. Zihni tahu Zihni kuat tapi dalam masa yang sama, Zihni penat ya Allah... Zihni penat nak faham orang sedangkan diri Zihni tak pernah difahami."
"Zihni dah banyak mengalah..."
"Zihni dah belajar ikhlas dengan semua benda yang menghancurkan Zihni. Zihni redha... Zihni redha ya Allah..." Tapi di sebalik sabar dan redhanya seorang Zihni, jiwa wanita itu benar-benar merana.
Sabar itu hal indah dan bersabar itu bukan hal yang mudah. Sabar itu menenangkan dan sabar itu agak mencabar.
Zihni melangut memandang siling putih. Air mata mengalir deras. Bahunya terhinjut-hinjut menangis mengenang nasib diri. Sudahlah abang sendiri tega memperbodohkan dia, suaminya pula tergamak mengecewakan dia.
Zayn dan Akalil sama sahaja. Apa pun alasan mereka, hakikat bahawa mereka telah menyakiti Zihni tidak dapat dinafikan lagi. Walau begitu, hati Zihni tidak mampu membenci kerana kasihnya seorang adik dan seorang isteri lebih mengatasi amarahnya terhadap mereka berdua.
"KAU tak nak balik ke Akalil? Zihni dah call aku banyak kali. Dia tengah cari kau tu." beritahu Zayn. Pandangan ditalakan ke arah Akalil yang sedang berbaring di atas katil. Katil Zihni yang sudah lama tidak diusik."Akalil, kau dengar tak aku cakap apa ni?" soal Zayn sedikit bengang pabila sedikit pun Akalil tidak mengendahkan ujarannya.
"Kalau kau datang rumah aku sekadar nak tidur, baik kau balik rumah sendiri." ujarnya lagi seraya bersandar pada bingkai pintu. Kedua belah tangan dilipat ke dada.
"Ni haa, Zihni cari kau. Adik aku tengah risau. Katanya kau tak jawab call, mesej tak balas. Kau gaduh dengan Zihni eh, Akalil?" Tak ada niat nak menyibuk tapi kalau Zihni call dia dengan nada suara serak seolah baru habis menangis, Zayn tak mahu biarkan saja. Entah apa pula Akalil buat dekat Zihni kali ini.
"Akalil, kau dengar tak apa aku cakap ni?" Suaranya sedikit meninggi. Dia jadi berang melihat Akalil diam saja. Entah sejak bila pula jadi pekak dan bisu.
"Zihni mengandung." Soalan Zayn tidak berbalas. Akalil terus redah dengan satu kenyataan yang membuatkan Zayn hilang diksi.
"Baguslah. Aku dah nak jadi pak cik..." Kekok pula rasa. Zayn tak tahu respon seperti apa yang dia patut beri. Belakang kepala diusap perlahan.
"Aku... aku tak ready nak jadi ayah. Aku takut." Perlahan-lahan lelaki itu bangun dari baringan. Tubuh dihala menghadap pintu balkoni yang tertutup rapat.
"Kau jangan buat hal, Akalil. Pandai buat, pandai tanggungjawab. Kalau kau tak ready nak ada anak, asal kau sentuh... tak... maksud aku, kenapa kau tak berhati-hati?" Kenapa bila benih tu dah bercambah dalam rahim Zihni, baru nak kesal?
"Zihni degil, Zayn. Aku faham dia nak anak tapi dia kena faham aku jugak. Aku dah pesan, aku dah bagitahu dia balik-balik yang aku tak ready. Jangan sekarang. Bukan buat masa terdekat ni." katanya, suaranya bergetar.
"Dah setahun lebih kot. Normal lah untuk seorang isteri nakkan anak..."
Lantas Akalil palingkan wajah memandang Zayn yang sedang berdiri santai.
"Masalahnya aku tak ready! Aku takut! Kau tak faham!"
"Ye, aku faham! Aku tahu kau takut tapi aku nak ingatkan kau, adik aku tak sama macam mak kau. Apa pun keadaan kau, seburuk apa masa lalu kau, seteruk mana perangai kau, Zihni takkan bencikan kau. Kalau dia dah sudi tumpangkan anak kau dalam perut dia, tu dah terbukti yang dia sudi dengan kau! Kau jangan jadi bodoh!" Langkah dihayun mendekati Akalil.
Semedan Akalil berdiri menghadap Zayn. Empat mata saling berpandangan. Wajah tegang Zayn dipandang dengan senyuman kelat.
"Dia sudi sebab dia tak tahu apa-apa pasal aku. Buruk aku, aib aku, dia tak tahu lagi. What if kalau dia dah tahu? Kau rasa dia boleh terima yang suami dia ni kotor? Kau rasa dia nak terima imam pendosa macam aku? Kau rasa dia okey ke kalau dia tahu semua pasal aku? Entah-entah bila semuanya dah terbongkar nanti, dia pergi jugak. Dan macam mana dengan nasib anak aku nanti?" Akalil tak mahu terlihat lemah di hadapan Zayn tapi rasa sebak, rasa takut dan sedih kian bercampur menjadi satu.
Mata lelaki itu mulai merah dan berkaca.
"Aku tak nak disebabkan dosa-dosa aku... anak aku yang terima tempiasnya. Aku tak nak anak aku lalui apa yang aku dah lalui dulu. Sakit Zayn, sakit sangat..."
Zayn membisu seketika. Memberi peluang kepada Akalil menghabiskan ayatnya. Ya, Zayn faham. Zayn mengerti. Zayn dah lama tahu kisah kehidupan Akalil. Dia faham kenapa Akalil takut sangat untuk mempunyai anak. Semua itu ada kaitan dengan kisah ayah Akalil dulu.
"Percayalah, Zihni tak sama macam Datin Soraya. Adik aku baik. Adik aku sayang dengan kau, Akalil. Dia tak kisah pun siapa diri kau dulu, cuma satu dia minta, dia nak kau berubah. Dan aku yakin... kau dah berubah sekarang." Zayn tahan sebak. Mengenangkan dirinya yang masih jauh dengan Tuhan, dia pula malu dengan Akalil.
"Kau cakap macam dia dah tahu, Zayn."
"Zihni dah tahu Akalil." kata Zayn senafas. Tenang walau jiwanya berkocak. Zayn sudah penat berpura-pura dan Zayn rasa inilah masa paling sesuai untuk dia berterus terang.
"T-tahu apa? Apa maksud kau?" tanya Akalil tertahan-tahan. Akalil memusatkan perhatian pada Zayn. Entah kenapa sepotong ayat Zayn membuatkan jantung Akalil berdetak kencang. Tak sedap hati.
"Dia dah tahu semuanya. Rahsia kita. Rahsia kau. Dia dah lama tahu..."
"Dan Zihni pilih untuk setia."
TBCUpdate: 13062022.
Tak sedih tapi saya sebak pulak dengan bab ni. Haih, nak salahkan Akalil tapi Akalil tak salah jugak. Mungkin awak yang salah. Eh 😳
YOU ARE READING
ZIHNI √
RomanceCerita pendek dan kurang comel. Cerita ni baru saja selesai ditulis tapi belum di-edit. Kalau jumpa typo bertimbun, maaf...