OST Because Of Tears by Ailee.
LETAK tangan ke dahi sebelum dilurutkan ke seluruh wajah. Akalil mendengus sebal. Sekali lagi. Sekali lagi dia gagal mengawal emosi. Bertikam lidah dengan Zihni dan melarikan diri. Mengenangkan si isteri yang ditinggal terkial-kial di rumah membuatkan Akalil dihurung rasa bersalah.
Telefon yang dari tadi berdering dibiar begitu saja. Hanya dipandang tanpa ada keinginan untuk mengangkat panggilan tersebut. Entah kenapa, perasaan malu yang begitu besar di dalam diri membuatkan dia tidak mahu bercakap dengan sesiapapun. Terutama, isterinya.
Bukan cuma panggilan, berpuluh mesej yang ditinggalkan Zihni juga langsung tidak dibuka. Akalil mengiring ke kanan, menghadap pintu balkoni yang ditutupi langsir berwarna kelabu cair. Lelaki itu termenung sejenak. Wajah mendung Zihni bermain di minda.
Pada saat yang sama, dosa-dosa lalu turut menumpang ruang di kepalanya dan membuatkan Akalil rasa mahu mati saja. Dia mahu akhiri semuanya tanpa perlu menunjukkan wajahnya pada Zihni lagi.
Telefon berdering lagi. Akalil menghela nafas berat dan perlahan-lahan bangun dari baringan untuk mengambil telefon bimbitnya. Mata melekat pada skrin telefon yang memaparkan nama Zayn di sana. Sah, mesti Zihni mengadu pada Zayn.
Jika dia tidak mengangkat panggilan tersebut, sudah pasti Zayn tidak akan mengalah. Sekalipun telefon dimatikan, Zayn tetap tahu bagaimana dan di mana mahu mencarinya.
"Apa pulak masalah kau kali ni?" Intonasi suaranya kedengaran lelah.
Akalil tidak membalas.
"Benda boleh bincang. Kenapa nak kena lari. Sampai bila nak jadi pengecut?" ujar Zayn lagi.
"Akalil..."
Masih diam tak berkutik. Lelaki itu duduk kaku di birai katil. Dicop pengecut. Benar. Akalil seorang pengecut.
"Khairan Akalil, cakaplah!" Tidak betah dengan kebisuan Akalil, amarahnya meledak.
"Aku... aku tak bolehlah, Zayn..." Bibir bawah digigit. Matanya dipejam erat.
"Apa yang tak boleh? Kau jangan buat kerja gila boleh tak? Jangan jadi bodoh. Sampai bila nak jadi pengecut? Weh Akalil, Zihni tak kisah dengan masa lalu kau, jadi kenapa kau perlu pertikaikan benda yang dia sendiri tak kisah?" Amuknya belum habis. Geramnya masih belum puas dihamburkan.
"Kau tak faham perasaan aku, Zayn. Kau takkan faham selagi kau tak berada di posisi aku." Lemah Akalil membalas.
"Drop the subject. Ini bukan pasal aku tak faham kau atau aku tak berada di posisi kau. Ini soal Zihni. Kau rasa dengan larikan diri akan selesaikan masalah? Kau rasa dengan jadi pengecut akan buat kau happy? Buat Zihni happy? Tak! Wake up, Akalil. Grow up." Rasanya dah banyak kali Zayn nasihatkan tentang perkara ini pada Akalil. Entah kenapa Akalil ni bengap sangat.
"Aku malu. Aku takut. Kau tak rasa malu ke Zayn? Zihni tengok tau video tu. Zihni tahu siapa aku sebelum ni. Zihni tahu alasan aku nak kahwin dengan dia. Zihni tahu aib dan dosa aku. Dia masih nakkan aku tapi aku malu dengan dia. Aku tak rasa aku mampu bersemuka dengan dia." Mahu saja Akalil tanya pada Zayn, bolehkah kalau dia lari saja?
Mendengar balasan Akalil, tak semena-semena Zayn hilang diksi. Sekejap.
"At least fikirlah pasal anak korang. Kalau kau lari, lesap entah kemana, apa Zihni nak cakap nanti? Apa Zihni nak jawab dekat anak korang? Akalil, kau tergamak ke biarkan Zihni besarkan anak korang seorang diri? Kau nak anak kau lalui apa yang kau lalui masa kau kecil?" Tidak berniat mahu mengungkit kisah lalu Akalil namun jika itu sahaja caranya untuk menyedarkan Akalil... dia harus lakukan.
YOU ARE READING
ZIHNI √
RomanceCerita pendek dan kurang comel. Cerita ni baru saja selesai ditulis tapi belum di-edit. Kalau jumpa typo bertimbun, maaf...