ZIHNI - 18

9.3K 1K 322
                                    

ZAYN cuit paha Akalil. Semedan Akalil menoleh, dagu dihayun ke hadapan sebagai isyarat kenapa. Dan-dan Zayn mendekatkan wajahnya ke telinga lalu membisik sesuatu.

"Seriouslah?" Air wajah Akalil lantas berubah. Tak semena-mena ada rasa tidak enak menerpa batinnya.

"Dekat mana?" soal Akalil.

"Meja paling hujung tu. Selang empat meja dari meja kita." Bibir dijuihkan ke arah orang yang dimaksudkan.

Akalil tolehkan kepala ke arah meja yang dikatakan oleh Zayn. Matanya melingas menjelajahi satu demi satu wajah para hadirin yang duduk di meja bulat tersebut. Tidak mengambil masa yang lama, akhirnya sepasang mata milik Akalil menemui wajah seseorang yang disebut Zayn sebentar tadi.

"Bila last kita jumpa dia?" Zayn ingat-ingat lupa. Mindanya cuba menoreh semula ingatannya tentang lelaki itu yang kini cuma samar-sama yang tinggal. Zayn boleh ingat rupa seseorang tapi bukan tempat dia bertemu dengan seseorang.

"2015."

"Dekat mana?"

"New York. Festival tu." kata Akalil. Lelaki itu masih ingat dengan jelas. Ingatannya masih segar.

"Jap... festival... yang mana eh?"

"Pride March."

Bibir Zayn membentuk O. Barulah dia ingat sekarang. Di festival itu jugalah mereka bertemu dengan lelaki itu buat kali pertama. Dan apa hubungan lelaki itu dengan rakan mereka yang bertunang malam ini?

"Yang dekat sebelah dia tu siapa agaknya?" Mata Zayn terpaku ke arah seorang wanita bergaun merah. Cantik orangnya. Bertudung.

"Entah. Isteri dia?"

"Agak-agaknya dia dah straight ke?" tanya Zayn bersama tawa di hujung ayat.

Akalil jungkit bahu, manalah dia tahu. Bukannya dia berteman dengan lelaki itu lagi. Mereka bertemu pada tahun 2015 di kota New York dan sama-sama menghadiri dan menyertai perarakan Pride festival. Mereka penyokong, mereka tergolong dalam kelompok itu, maka haruslah turun padang. Ya tak?

"Kalau kita tegur, kau rasa dia ingat kita lagi tak?" Zayn cuba menimbang-nimbang niat baiknya itu. Bukan apa, dia risau saja. Bila ditegur, orang itu sudah sepenuhnya melupakan. Bila tidak disapa, dikatakan sombong pula.

"Entah. Tak payahlah tegur. Tengok dari jauh je." Lagipun tak ada keperluan nak menegur orang tersebut. 6 tahun yang lalu, mereka sekadar berkenalan tidak lebih dari 24 jam. Mereka pernah berkongsi pendapat tentang hak mencintai dan Akalil takkan pernah lupa nikmat pertama bersama seorang lelaki.

Lelaki itu yang mulakan segala-galanya. Sentuhan ringan namun kesannya cukup dalam. Cukup untuk membuatkan Akalil ketagihan sehingga sekarang. Mungkin sehari dengan lelaki itu tapi bertahun-tahun dengan insan bergelar abang ipar.

Akalil tidak pernah bercinta. Lelaki itu cuma mahu berkasih sayang dengan belaian ringan sekadar untuk melepaskan rasa. Kemahuan batinnya cuma dapat dikenyangkan oleh jantina serupa dan bukannya jantina bertentangan dengannya.

Akalil sedar semua ini salah. Akalil tahu perbuatannya ini sangat berdosa tetapi pilihan apa lagi yang dia ada? Sesuatu dalam dirinya perlu dipuaskan. Sesuatu dalam dirinya yang tak pernah kenal erti kenyang, erti cukup. Hal dosa dan akhirat ditepis jauh. Hati dan mata dibutakan, kerana yang lebih utama, syahwatnya perlu dipuaskan sampai puncak.

Lelah. Hidup dalam rasa serba salah tapi Akalil tiada daya untuk melayan hasutan syaitan yang takkan ada sudahnya. Beginilah dia, beginilah nasibnya. Di antara banyak-banyak ujian, dia diuji dengan hawa nafsu. Dia akui dia telah pun sesat. Dia akui dia sudah jauh dari landasan agama.

ZIHNI √Where stories live. Discover now