EPILOG I

8.4K 743 109
                                    

Lapan tahun kemudian...

"BABAH, bila Medina boleh jumpa mama Zihni?" Suara lembut Medina menjengah gegendang telinga. Akalil tersentak seketika. Soalan dari si kecil membuatkan Akalil terdiam memikirkan jawapan yang sesuai.

"Nanti, Inshaallah..." Lalu kepala Medina diusap sayang.

"Kita jumpa dia sama-sama?" soal anak itu lagi.

"Yes, sekali dengan papa and umi."

Puas hati dengan jawapan bapa saudaranya itu, Medina mengangguk faham. Patung ikan paus yang dicampak ke lantai tadi dikutip semula. Kotak merah jambu berisi set mainan masak-masak turut ditarik ke arah Akalil.

"Adik tengah tidur. Umi tengah rehat. Medina tak ada kawan nak teman main. Medina ajak babah main dengan Medina sekali boleh?" Medina tayang muka comel. Kot-kotlah dapat pancing bapa saudaranya itu bermain dengannya.

"Babah dia ajak. Papa dia tak nak ajak." Suara Zayn menyampuk menyentakkan Akalil dan Medina. Serentak mereka berdua menoleh ke arah pintu gelangsar.

"Medina ingat papa dengan umi. Medina tak nak kacau." Budak berusia 6 tahun itu petah berbicara.

"Papa dengan Umi? Hmmm, umi tu mana nak dekat papa petang-petang ni." Zayn membalas bersama riak muka cemberut.

"Masam aje muka. Kena palau Aufa?" Akalil tergelak.

"Usah kau tanya, kau pun masak dengan perangai bini aku." Zayn labuhkan punggungnya di atas karpet merah jambu. Tangan Medina disambar lalu tubuh si anak ditarik lembut hingga jatuh ke ribanya.

Akalil yang duduk di sofa bujang Medina sekadar memerhati layanan mesra Zayn terhadap anak perempuannya. Sekejap betul masa berlalu. Tak terasa lapan tahun pergi begitu saja. Lapan tahun tanpa Zihni dan tanpa anak yang tidak sempat lahir ke dunia ini. Kedua-dua buah hatinya sudah tenang di atas sana.

2920 hari tanpa isteri tercinta.
2920 hari tanpa anak yang dinanti.
2920 hari hidup tanpa seri.
2920 hari dia hidup bergari rindu yang tiada sudah.
2920 hari dia hidup dihantui rasa bersalah.
2920 hari dia hidup bersama rasa kesal yang tiada noktah.

Rindu itu berat. Rindu itu menyakitkan. Rindu itu membunuhnya.

"Dah lapan tahun menduda. Tak nak cari pengganti?" Zayn tahu ini soalan sensitif tapi sebagai sahabat, dia tak mahu membiarkan Akalil hidup kesepian. Dia pun bukannya selalu ada dengan Akalil.

Semenjak dia berkahwin dengan Aufa tujuh tahun yang lalu dan mempunyai anak, komitmennya semakin bertambah. Dia tak punya banyak masa lapang untuk berhura-horey di luar sana seperti waktu bujang dulu. Tambah-tambah lagi Aufa baru saja melahirkan anak ketiga mereka, wanita itu amat memerlukan perhatiannya.

"Sampai bila-bila, cuma Zihni yang ada di hati." Zihni tiada pengganti. Tidak kiralah sepuluh wanita cuba mendekatinya, dia tidak akan membuka hati buat mereka.

Cukuplah Zihni seorang yang membuka hatinya dan sebaris nama yang sama turut menutup seluruh pintu di hati seorang Khairan Akalil. Istana cinta yang masih utuh dan berdiri kukuh di dalam jiwanya yang hampir mati hanya bisa dihuni oleh Zihni seorang sahaja. Satu-satunya bidadari. Dialah pemilik tulang rusuk. Dialah cinta hati Akalil. Dialah yang pertama dan terakhir.

Akalil tak mahu yang lain. Dia cuma mahukan Zihni.

Andai kata dia punya kuasa untuk kembalikan masa, dia mahu menghargai wanita itu. Dia mahu berhenti mengungkit dosa yang sama sekali tidak dipertikaikan oleh Zihni. Dia mahu meneruskan hidup sebagai suami Zihni dan ayah kepada anak-anak Zihni. Alangkah indahnya jika mereka masih bersama...

Tapi inilah susunan takdir yang perlu dia terima.

Zihni, abang harap sangat abang sempat beritahu Zihni yang abang sayangkan Zihni. Abang cintakan Zihni. Abang ikhlas dengan Zihni.

Sayang sekali, Zihni pergi dulu. Zihni pergi dengan membawa bukti cinta mereka.

Akalil ingat lagi malam kejadian lapan tahun yang lalu. Kereta yang dinaiki Zihni dirempuh dan meletup. Kereta Zihni terbakar tapi jasadnya masih sempurna. Zihni meninggal dalam keadaan tersenyum. Wajah Zihni nampak tenang, bersih dan seperti sedang tidur saja.

"Tadi kau pergi ziarah rumah baru Zihni?"

Akalil mengangguk. 2920 hari, Akalil tak pernah miss melawat rumah baru bidadari dan anaknya. Hari-hari dia melawat dan hadiahkan doa Yasin buat dua orang yang dia cintai itu. Hari-hari dia bercerita tentang harinya yang kadang baik dan kadang tidak.

Sudah lapan tahun tapi entah kenapa dia belum terbiasa dengan kepergian isterinya. Kadang, duduk di ruang tamu. Dia seakan ternampak bayangan Zihni sedang duduk menonton TV. Di mana-mana dia berada, dia ternampak bayangan Zihni. Rindu... sangat-sangat rindu.

Rindu yang tiada obatnya.

"Minggu depan aku nak pergi airport. Ibu datang Malaysia. Kau nak ikut sekali?" Zayn bertanya.

"Boleh. Dah lama tak jumpa ibu. Rindu pulak." Puan Elma merangkap ibu mertuanya itu sering menghubunginya juga untuk bertanya khabar. Kadang wanita itu suka menghantar video-video lawak. Mungkin wanita itu cuba menghiburnya.

Tentang hubungan Zayn dan Puan Elma, syukur mereka sudah berbaik. Kalau Zihni masih hidup, pasti wanita itulah yang paling gembira dengan khabar baik ini.

Tentang tok ayah pulak, selepas setahun Zihni meninggal dunia, tok ayah pula menyusul. Sakit tua. 

"Okey. Ni anak papa dah mandi belum? Kenapa macam busyuk aje. Bau kepam." Zayn hidu ketiak si anak. Medina terus berdiri dan berlari ke arah Akalil. Bapa saudara merangkap bapa angkatnya.

"Babah! Medina bau kepam ke? Medina dah mandi tau tadi!" Adu Medina. Tangan disilang menutup ketiak.

"Alah, mengadu dekat babah dia pulak. Lemahlah!" Zayn memang begitu, suka menyakat anak sulungnya.

Terfikir juga, kalau anaknya sempat lahir dan membesar seperti Medina, pasti dia pun tak jauh beza dengan Zayn kan? Mengusik anak. Tapi itulah, anaknya sudah tenang di alam sana. Menunggunya di pintu syurga. Inshaallah...

"Meh sini babah bau." Lengan Medina didepakan. Belum sempat Akalil mahu menghidu, Medina dah larikan diri keluar dari bilik permainannya. Tinggallah Akalil bersama Zayn.

Mereka saling berpandangan.

"Kau okey?" Zayn bertanya. Akalil pun tak update apa-apa perkembangan pada dia. Suka sangat memendam.

"Okey aje."

"Faham kau tak nak kahwin. Jadi, kau nak buat apa aje?" Tak kah hidup sendiri membosankan?

"Fokus akhirat. Sampai masa, aku nak jumpa Zihni kat syurga. Aku rindu gila dekat cinta hati aku tu." Secara zahir dia tampak kuat tapi batinnya hancur berkeping-keping.

Abang kuat untuk Zihni. Zihni tunggu abang, ya?

ZIHNI √Where stories live. Discover now