Special Chapter (Pendek)

5.7K 455 25
                                        

OST - Andaikan Kau Datang oleh Andmesh

-

Dua tahun selepas kepergian Zihni.

Pulang dari Universiti, Akalil menyempurnakan kewajibannya sebagai hamba Allah terlebih dahulu. Usai solat Asar, dia turun ke ruang tamu. Telefon bimbit dihidupkan dan mesej daripada Zayn yang dihantar 1 jam yang lalu dibuka. Video kelakar apa pula dia hantar ni? Video tersebut ditonton tanpa reaksi. Kelakar tapi tak boleh nak ketawa.

Sudah dua tahun dia begini... Semenjak dia hilang yang namanya isteri. Hidup ini terlihat hitam putih saja. Tak ada lagi yang namanya warna. Hidup terasa sepi dan suram. Yang menjadi penyeri sudah berehat di syurga. Di sini tinggallah dia berseorangan dan merindui Zihni, belahan jiwa Khairan Akalil.

Cinta hati yang tak sempat dia bahagiakan. Cinta hati yang gagal dilindungi. Jika dia tak menyatakan sebaris ayat tersebut kepada Zihni, sudah pasti hidup tak sesepi ini. Jika malam itu dia mahu berbincang secara baik dengan Zihni, pasti dia tak terpaut dengan rasa bersalah yang diikat mati.

Peristiwa malam itu masih hidup di minda. Bunyi letupan itu masih terngiang-ngiang di telinga. Wajah suci arwah Zihni masih segar di ingatan. Senyuman kecil yang terpateri di wajah Zihni... iaitu senyuman terakhir yang Zihni hidang buatnya. Tidur buat selama-lamanya tapi dia masih tersenyum.

Ya Allah, aku rindu...

Tujuh tahun selepas kepergian Zihni.

"Kitaorang balik dulu," Zayn yang mendukung Miasara ungkap kata pamit.

"Ya. Medina dengan Sara jangan lupa mandi tau bila dah sampai rumah. Ingat kata babah, kalau tak nak mimpi kena kejar dengan ponti-baby rambut panjang, mandi." Sempat Akalil berseloroh dengan menakut-nakutkan anak buahnya.

Medina terus saja peluk betis Zayn. "Tak mauuu..."

"Sebab tu kena mandi." Aufa menyampuk. Kepala si anak diusap. Biasalah tu, memang kena mandi lepas menziarahi tanah perkuburan.

"Okey, umi. Balik nanti Medina mandi. Tak mau dapat nightmare." Cukuplah sekali hari itu, mimpi kena kejar dengan hantu gula-gula. Menyesal tak dengar cakap umi dan papa suruh mandi lepas balik dari kubur. Kan dah mimpi pelik-pelik!

Zayn dan keluarga kecilnya pun beredar. Manakala Akalil masih setia duduk bersila di sebelah kubur si isteri beralaskan tikar rotan. Batu Nisan diusap perlahan. Tanpa dia sedari, air mata mengalir dengan sendirinya.

Bukannya dia tak terima hakikat tetapi kesedihannya masih belum sembuh. Tujuh tahun berlalu dengan sekelip mata dan dia masih rasa kehilangan. Jiwanya masih terasa kosong. Perasaan rindu terhadap arwah Zihni masih basah, masih berdarah, masih besar...

"Dah tujuh tahun, sayang." Jari-jemari mengesat air mata yang masih degil mengalir.

Nafas berat dihela. Matanya melekat pada batu nisan yang tertulis nama Zihni. Rindu. Rindu... rindu sangat-sangat. Jiwa menjerit mahukan Zihni kembali untuk dia hargai. Jika saja peluang kedua itu wujud untuk kisah cinta mereka... pasti rasanya tak sesakit ini.

"Abang minta maaf tau..."

"Demi Allah, abang sayangkan Zihni. Abang cintakan Zihni seorang sahaja. Abang nakkan Zihni seorang aje... tak nak orang lain."

"Tunggu abang."

Sisa kelopak bunga mawar di dalam bakul ditabur di atas kubur Zihni. Perlahan-lahan Akalil bangun dari duduknya. Batu nisan dipandang lagi. Kolam matanya yang sedari tadi bergenang, tumpah jua.

Akalil ikhlas, Akalil cuma rindu...

Akalil redha. Zihni adalah pinjaman. Isteri adalah pinjaman. Ibu, ayah, adik-beradik, sahabat dan semua insan yang bernyawa adalah pinjaman sementara dari Allah SWT. Sampai masanya, pasti kembali pada pemilikNYA.

"Happy 9th anniversary my precious Zihni."

TAMAT (15032024)

Salam Ramadhan Kareem 🤍 Nak khabar, nanti MAHFUZ akan diterbitkan. Doakan semoga urusan Bell lancar ya. Rindu pembaca Zihni🫶🏻

ZIHNI √Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang