"TAK apa kan kalau aku tengok sikit je?" Zihni bermonolog sendirian. Kotak merah jampu yang pernah ditemuinya beberapa bulan yang lalu kini sudah berada di genggaman.
Disebabkan rasa ingin tahu semakin membuak-buak, Zihni abaikan rasa serba salah di dalam dada kerana menyelongkar barang suaminya tanpa izin. Bukan apa, tempoh hari peluang tidak menyebelahinya. Dan Zihni jarang pula singgah ke rumah mertuanya.
Apabila peluang terbentang luas, masakan dia nak sia-siakan peluang itu? Zihni janji Zihni tak usik barang-barang lelaki itu. Zihni cuma nak tahu saja. Nak tengok apa yang disimpan oleh Akalil di dalam kotak itu sehinggakan kewujudan kotak itu disembunyikan di dalam almari.
Sepotong ayat yang pernah dibaca sebelum ini dipandang bersahaja. NYC Pride March, 2015. Apa yang dimaksudkan dengan ayat itu? Ah, lupakan saja. Yang penting Zihni tahu isi di dalam kotak tersebut.
Perlahan-lahan penutup kotak itu dibuka. Di dalamnya ada baju t-shirt putih yang dilipat dan sepertinya ada benda lain pula yang disimpan di dalam kotak itu namun ditindih oleh baju tersebut. Teragak-agak jari-jemarinya hendak mengalihkan lipatan baju itu dari kotak.
"Abang, sekali ni Zihni usik. Lepas ni Zihni tak usik dah." Janji! Tiba-tiba wajah Akalil muncul di minda. Dalam hati, dia memohon sejuta kemaafan pada suaminya kerana telah mengusik harta benda peribadi milik Akalil.
Baju t-shirt dialihkan dari kotak ke tilam. Kini sepasang mata milik Zihni melekat pada sebuah album, pendrive dan kain warna warni yang dilipat. Dahi Zihni berkerut sedikit. Ketika ini, rasa tidak enak mula menerpa hatinya. Dengan segera album dikeluarkan dan diletakkan di sisinya.
Kemudian kain warna warni itu dikeluarkan dan lipatan 'kain' warna warni itu dibuka. Pada saat itu juga Zihni terpempan. Hilang butir bicara. Hilang nafas seketika. Air liur ditelan, kesat. Zihni tak faham. Dia tak mengerti. Atas tujuan apa Akalil menyimpan bendera ini? Itukan bendera LGBT. Degupan jantung Zihni semakin laju.
Album. Bendera dicampak ke sisi. Kini perhatiannya berpindah pada sebuah album. Tanpa berlengah, satu per satu helaian album diselak. Matanya membutang besar seakan tidak mempercayai apa yang sudah sepasang matanya lihat. Dan tanpa Zihni sedari, air mata mula bertakung di tubir mata.
Tangan berhenti membelek. Matanya merenung 4 keping gambar di mana abangnya, Zayn berkucupan dengan seorang lelaki Afrika berkulit gelap dan disebelahnya pula suaminya. Akalil dipeluk beramai-ramai oleh tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan.
Gambar kedua pula menunjukkan suasana festival pride yang meriah. Terselit sekali foto lelaki berkucupan dengan kaum sejenis. Tiada beza dengan kaumnya, perempuan berkucupan ghairah dengan perempuan. Memalukan. Menjijikkan. Memualkan.
"Astaghfirullahalazim..."
"Astaghfirullahalazim..." Lafaz istigfar dialunkan. Air matanya tumpah melihat orang-orang di sana bersenang-senang dengan kemaksiatan dan kesesatan.
'Love is Love'
'World Gay Pride'
"Abang..." Senyap. Album terlepas dari pegangan. Mata merenung kosong pada cermin di hadapannya. Dia melihat pantulan dirinya.
Fikiran Zihni kosong tika ini. Terkejut dengan apa yang ia lihat. Zihni tidak tahu bagaimana caranya dia patut menilai memandangkan foto itu adalah foto lama. 2015. Sekarang mereka hidup pada tahun 2022. Berkemungkinan kedua-dua lelaki itu sudah berubah dan sudah berhijrah dari zaman 'jahiliah' mereka tapi kenapa?
Kenapa kesesatan yang menjadi pilihan? Sedangkan syurga jauh lebih indah. Islam itu agama suci dan kenapa orang sanggup mengkhianati agama dan Tuhan mereka sendiri?
YOU ARE READING
ZIHNI √
RomanceCerita pendek dan kurang comel. Cerita ni baru saja selesai ditulis tapi belum di-edit. Kalau jumpa typo bertimbun, maaf...