Sahir dan Razis bukan terkenal sebagai hero kampung yang baik tapi satu kampung sudah kenal dengan kelebihan dua sekawan tersebut. Berlagak maco di hadapan perempuan tapi kutu ranyau yang cuma tahu menghabiskan harta orang tuanya. Sahir menumpang senang apabila berkawan dengan Razis yang mana bapanya mempunyai sebuah kedai runcit dan tiga buah rumah sewa yang menyumbang pendapatan yang agak lumayan kepada keluarga Razis.
"Kau fikir Yani tu nak tak kat aku" Razis memang sudah lama tergila-gilakan Aryani. Pernah beberapa kali mengirim salam kepada Aryani namun tiada respon dari gadis tersebut.
"Kau tanyalah Tok Bakar, aku jamin orang tua tu seratus peratus bencikan kau" Sahir ketawa terbahak-bahak apabila berjaya mengenakan Razis. Razis sudah geram apabila diketawakan oleh sahabat baiknya.
"Sampai hati kau Hir, sanggup kau cakap Tok Bakar bencikan aku. Aku nilah lelaki yang paling sempurna dekat kampung kita ni kalau kau nak tahu. Dahlah rupa aku lawa, maco, anak orang kaya pulak tu" Razis sudah mula masuk bakul angkat sendiri.
"Tapi aku rasa Mat Kenit tu lagi handsem dan gentleman dari kau" tambah Sahir sengaja menyakiti hati Razis. Kemudian dia ketawa.
"Kau ni kawan aku atau Mat Kenit. Kau banding aku dengan Mat Kenit ni apa bendanya. Aku tahulah Mat Kenit tu canang satu kampung ni yang kononnya Aryani tu tunang dia, dah tu tak serik-serik lagi kena bantai oleh si Aryani tu. Aku tak nak lah buat kerja bodoh macam Mat Kenit tu. Tak padan tubuh kecik macam ayam serama ada hati nak pikat burung merak" sakit hatinya bila mengenangkan Mat Kenit yang tergila-gilakan Aryani walaupun Razis tahu Mat Kenit bukannya lelaki sempurna mental dan fizikal.
"Kau marahkan Mat Kenit ni apa hal. Bukan kau tak kenal Mat Kenit tu macam mana. Nanti tak pasal-pasal kau pun jadi sama label dengan Mat Kenit yang memang serba serbi tak cukup tu" Sahir menggelengkan kepala mendengar rungutan Razis yang tidak puas hati pada Mat Kenit.
"Hir, tengok tu Yanilah" mata Razis terus terpaku pada satu susuk tubuh yang sedang melangkah masuk ke dalam kedai ayahnya. Gadis pujaan jejaka satu kampung itu sedang menilik barang-barang ada di kedai ayahnya. Tanpa malu dan segan Razis terus mendekati Aryani.
"Yani ambil apa je abang Zis bagi percuma je" Aryani tersentak bila Razis tiba-tiba muncul di sebelah. "Ada pulak lelaki yang terlebih lemak ni kat sini" detik Aryani dalam hatinya. Aryani memaniskan wajah memandang Razis yang sudah tersengih seperti kerang busuk.
"Oh ya Abang Zis cakap apa tadi, Yani tak dengarlah?" tanyanya kepada Razis yang belum memadamkan lagi senyumannya. Sengaja Aryani membahasa Razis abang untuk melihat reaksi lelaki itu seterusnya. Razis memang sudah termakan pancingnya.
"Oh..! Abang cakap, Yani boleh ambil apa je abang bagi percuma" tutur Razis sambil tersenyum dan mengangkat-angkatkan kening. "Gatal sungguh! Nak menggorat akulah tu" bisik Aryani dalam hatinya.
"Betul ke? Abang tak takut rugi ke?" tanya Aryani sambil membalas senyuman Razis.
"Betul, pasal Yani apa saja abang tak kisah. Kalau setakat belanja Yani sorang manalah abang nak rugi" lelaki itu semakin giat hendak menggoda Aryani.
"Oklah kalau macam tu tapi Yani nak pinjam telefon kejap boleh?" mendengar pemintaan Aryani, Razis dengan penuh gaya mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya lalu dihulurnya pada Aryani. Aryani menerimanya sambil tersenyum manis. Pantas jari Aryani mendail nombor telefon yang ingin dihubunginya.
Aryani: Hello! Abang Zek ya, Yani kat kedai Pak Zali ni.Abang Zek boleh tak bawa lori datang kedai Pak Zali sekarang.
Zek: Yani nak angkat apa?
Aryani: Yani dapat barangan pecuma ni banyak tau nanti kita bagi sama-sama.
Zek: Ok, Yani tunggu dalam masa lima minit abang sampai.
Aryani: Ok Abang Zek, Bye.
Ucap Aryani selesai bercakap dengan Abang Zek jiran sebelah rumahnya yang kebetulan mempunyai sebuah lori.
Razis sudah terduduk dengan mata yang membutang mendengar butir perbualan Aryani di telefon bimbitnya sebentar tadi. 'Habislah aku kali ni kena sembelih ayah' omel Razis dalam hatinya.
"Nah, thanks. Nanti Abang Zek sampai tolong Yani angkat barang" ucapnya sambil menyerahkan kembali telefon bimbit kepada Razis.
Walaupun tersengih tapi nyata sengihan yang tawar ketika melihat Aryani dan Abang Zek memunggah barang-barang kedai ayahnya ke dalam lori. Semua yang dirasakan Aryani sebagai keperluannya selesai diambilnya Aryani kemudian tersenyum menghampiri Razis.
"Terimakasih abang Razis sebab bagi barang percuma hari ni. Yani tak lupa jasa baik Abang Razis dan kalau abang Razis bertanding untuk pilihan raya tahun depan nanti Yani sedia berkempen dan mengundi untuk abang Razis. Assalammualaikum!" Aryani tersenyum sebelum melangkah pergi.
"Waalaikummussalam Aryani sayangku. Kerana Aryani aku bangkrap pun tak apa" keluhnya sambil matanya kuyu melihat Aryani melangkah masuk ke dalam lori Abang Zek.
"Padan muka" ucapnya sebaik sahaja duduk di dalam lori Abang Zek.
"Muka siapa Yani?" tanya Abang Zek sambil menggerakkan lori meninggalkan kedai Pak Zali. Aryani tergelak sebelum menjawab soalan Abang Zek.
"Razis tu, siapa suruh gatal sangat nak mengorat Yani. Sanggup bagi percuma barang kat kedai bapak dia pada Yani. Yani peduli apa kalau kedai bapak dia tu bangkrap" Abang Zek sudah tergelak sambil menggelengkan kepala.
"Lain kali kalau dia bagi percuma lagi telefon je Abang Zek. Boleh abang Zek tumpang sekaki" Aryani turut tergelak mendengar jawapan Abang Zek. Abang Zek dan keluarganya berjiran dengan rumah Bakar sejak sepuluh tahun yang lalu. Abang Zek bersama anak isterinya tinggal di rumah pusaka arwah Haji Samad itu ayah kepada isterinya.
"Kita bagi sama banyak barang-barang ni abang Zek" lelaki itu mengangguk sambil menurunkan semua barang yang ada di belakang lori.
"Selamatlah duit belanja dapur Kak Ramlah kau sebulan ni" Aryani tergelak mendengar jawapan Abang Zek yang baru selesai memunggah barang-barang dan menghantarnya ke pintu rumah Atok.
"Ni rahsia kita berdua, jangan cakap pada siapa-siapa" Aryani meletakkan jari ke bibirnya. Abang Zek mengangguk sebelum melangkah meninggalkan Aryani.
"Apa semua ni Yani, dari mana datangnya barang-barang ni?" Siti yang baru usai menunai solat Zohor muncul di muka pintu. Terkejut melihat barang-barang berlonggok di hadapan pintu rumah. Aryani tersengih memandang wajah Siti.
"Yani baru je kena lucky draw dan barangan ni semuanya percuma nek" jawabnya sambil sibuk memunggah barang-barang tersebut membawanya masuk ke dapur.
"Lucky draw apa bendanya tu?, cuba kamu cerita pada nenek betul-betul. Nenek bukannya faham cakap orang putih ni" Siti keliru sambil mengerutkan dahinya melihat Aryani yang masih sibuk dengan kerjanya.
"Ala.. lucky draw, orang malay cakap cabutan nombor bertuah. Alah nenek usah risau ni bukan barang curilah, halal punya tengok ni ada cop halal lagi" sambil menunjukkan tanda halal pada botol sos yang dipegangnya.
"Abang Zek pun dapat sekali tadi. Kalau tak caya nenek boleh tanya abang Zek rumah sebelah tu" dengan wajah bersahaja tanpa menunjukkan bersalah apa-apa Aryani terus menyimpan semua barang-barang tersebut di dapur rumah mereka.
YOU ARE READING
Maafkanlah Aku
RomanceRose Aryani begitu terluka dan kecewa setelah mendengar seorang wanita mengakui sebagai kekasih suaminya. Aryani yang merasa cintanya hanya bertepuk sebelah tangan akhirnya tidak lagi mampu untuk bertahan. Aryani akhirnya pergi membawa diri untuk me...