Puan Sharifah Ratnah begitu gembira menyambut kedatangan bakal menantunya. Puan Sharifah Ratnah merasakan dialah ibu mentua yang paling bahagia apabila bakal menantunya memeluk dan mencium kedua-dua belah pipinya. Kasih sayang yang tiba-tiba meresap di dalam dirinya membuatkan seluruh jiwa dan raganya begitu bahagia dan terharu.
"Kebetulan Yani sudah ada di KL ni nanti mama panggil wedding planner datang sini. Kita bincang sama-sama. Majlis dekat kampung mama suruh mereka buat sekali tapi dengan tema dan konsep yang berlainan. Mama pilih warna merah dan putih untuk majlis di kampung dan dekat KL nanti kita guna tema pink dan purple. Yani suka tak?" sambil menarik Aryani duduk di sebelahnya di sofa ruang tamu. Keadaan dan persekitaran rumah bakal mertuanya yang tersergam indah seperti istana itu membuatkan hati Aryani segan dan kecut ketika melangkah masuk. Rasa terlalu jauh perbezaan kehidupannya berbanding kehidupan keluarga bakal suaminya.
"Yani ikut aje apa yang mama suka. Pasal warna tu pun Yani tak kisah sebab semua warna yang mama pilih tu memang warna kegemaran Yani" balasnya sambil tersenyum.
"Alhamdulillah, bersyukur mama sebab dapat menantu yang tak banyak kerenah dan tak cerewet macam ni" tambah Puan Sharifah Ratnah sambil membalas senyuman bakal menantunya.
"Mama, Is nak tunjukkan bilik untuk Yani, mari sayang" Syed Ismeth mencelah perbualan mamanya dan Aryani sebaik muncul di ruang tamu sambil membimbit beg pakaian Aryani di tangannya.
"Lepas ini turun bawah semula ya sebab Mak Kiah dah sediakan minum petang untuk kita" laung Puan Sharifah Ratnah sambil matanya menghantar Syed Ismeth dan Aryani melangkah menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Senyuman masih lagi tidak lekang di bibirnya. Esok dia akan membawa Aryani membeli belah pakaian-pakaian baru dan segala keperluan untuk bakal menantunya. Kecantikan Aryani haruslah diserlahkan dengan penampilan yang lebih bergaya dengan pakaian-pakaian yang berjenama. Sepanjang tinggal bersamanya dia ingin merapikan lagi kecantikan semulajadi milik Aryani di Spa kecantikan miliknya. Biar di hari perkahwinannya nanti Aryani akan tampil seperti seorang bidadari untuk anak teruna kesayangannya.
Syed Ismeth membutangkan matanya mendengar rancangan mamanya sewaktu mereka menikmati makan malam buat pertama kali kemunculan Aryani di rumah tersebut.
"Kalau macam tu Is nak ikutlah mama" Puan Sharifah Ratnah menjengilkan matanya mendengar jawapan Syed Ismeth ketika dia memberitahu niatnya untuk menghabiskan satu harinya esok untuk membawa Aryani keluar membeli belah dan mengunjungi spa kecantikan.
"Is tak boleh ikut sebab mama nak spend time dengan Yani sahaja esok. Kerja orang perempuan Is tak boleh masuk campur". Sahut Puan Sharifah Ratnah dengan suara yang tegas.
"Tapi mama, mana aci macam tu"
"Aci tak aci mama tak nak kompromi pasal ni. Jangan kacau mama nak make over sikit bakal menantu mama yang cantik ni biar tampak lebih berseri masa kahwin nanti" Syed Ismeth menggelengkan kepalanya mendengar bisikan Puan Sharifah Ratnah di telinganya.
"Jangan mama buat over sangat sampai Is tak kenal tunang kesayangan Is nanti. Is suka yang neutral yang sudah ada pada tunang Is sekarang, harap mama faham tu" pesannya sambil mengangkat keningnya memandang Puan Sharifah Ratnah.
"Kerana neutral beauty tulah salah satu sebab mama sayang sangat pada bakal menantu mama ni. Jangan risau mama cuma ingin memeliharanya agar menjadi segar dan bertenaga, Is pun akan dapat manfaatnya nanti" balas Puan Sharifah Ratnah mengenyit keningnya sambil tersenyum memandang anaknya.
"Sayang, kalau mama buat lebih-lebih jangan ikut tau. Saya suka apa yang neutral sekarang. Sudah terlalu indah dan memukau untuk saya teringatkan awak siang dan malam" wajah Aryani terus merona merah mendengar bisikan Syed Ismeth ke telinganya.
Dalam keasyikan mereka berbual di ruang tamu selepas selesai makan malam, entah apa tuahnya ketibaan Aryani di rumah bakal mertuanya malam itu disambut oleh curahan hujan yang diselangi bunyi guruh dan kilat yang terang benderang memancar di luar rumah. Seperti biasa pekej lengkap cuaca yang mengerun dan menakutkan Aryani dan Syed Ismeth sememangnya menyedarinya apabila melihat wajah Aryani sudah berubah cuak dan mula bergerak tempat duduk mendekati Puan Sharifah Ratnah.
"Mama..malam ni nampaknya ada orang yang akan tumpang tidur bilik mama" Syed Ismeth yang yang sedang tersenyum lantas bersuara memandang wajah mamanya.
"Tumpang tidur bilik mama, siapa?" tidak faham maksud kata-kata anak terunanya.
"Ada seorang budak tu kalau cuaca macam ni mesti dia lari bilik nenek dia tumpang tidur. Budak tu penakut sangat mama kalau cuaca buruk macam" Syed Ismeth sudah tersenyum memandang Aryani yang wajahnya sudah merona merah memandang ke arahnya. Matanya turut membutang kerana lelaki itu membocorkan rahsianya.
"Yani? Jadi budak tu Yani" Puan Sharifah Ratnah tergelak kecil bila budak yang dimaksudkan oleh Syed Ismeth adalah Aryani bakal menantunya.
"Tak apa sayang, tidur dengan mama malam ni. Katil mama pun cukup besar jadi mama tak kisah kalau setiap malam Yani nak temankan mama. Mama lagi suka sebenarnya" Puan Sharifah Ratnah membelai dan menggosok lembut belakang bakal menantunya. Kasih sayang seorang ibu yang Aryani dahagakan selama ini meresap jauh ke lubuk hatinya.
"Katil Is pun besar dan luas mama. Is pun takut kalau cuaca buruk macam sekarang" celah sambil memandang wajah mamanya seperti menunggu lampu hijau.
"Jangan nak mengada-gada, menggatal tak bertempat" sahut mamanya lalu menarik tangan Aryani mengajaknya masuk ke bilik Tan Sri Dato' Syed Bahrin untuk melihat keadaan ayahnya. Syed Ismeth tergelak mendengar jawapan mamanya yang dapat menangkap maksud gurauannya tadi. Petang tadi sewaktu tiba di rumah itu Aryani sudah menjenguk ke bilik lelaki itu untuk melihat keadaannya tetapi waktu itu Tan Sri Dato' Syed Bahrin sedang tidur dan Aryani tidak mahu mengganggunya.
Aryani mencerita bahawa sejak lahir Aryani cuma menumpang kasih pada atok dan nenek. Menurut neneknya ibunya meninggal sebelum melahirkannya dan Aryani terpaksa dikeluarkan melalui pembedahan kerana doktor mendapati bayi di dalam perut ibunya masih boleh diselamatkan kerana sudah cukup bulan dan sihat serta masih bernafas walaupun ibunya sudah meninggal dunia. Kecanggihan teknologi dalam bidang kesihatan membantu Aryani hidup sampai sekarang. Ayah dan ibunya dikebumikan dalam kubur yang berdekatan. Kubur yang menjadi tempat yang paling kerap kunjungi Aryani sejak dia kenal status dirinya anak yatim piatu dan tahu di mana jasad arwah ayah dan ibunya disemadikan. Puan Sharifah Ratnah begitu terharu mendengar kisah hidup bakal menantunya. Dalam masa yang sama bersyukur kerana Aryani mempunyai sepasang atok dan nenek yang tempat Aryani mendapatkan kasih dan sayang dan membesarkan Aryani menjadi gadis yang sempurna.
Puan Sharifah Ratnah terpegun bila Aryani membuka tudung di kepalanya. Rambut Aryani yang panjang lebat dan sihat hingga ke pinggang. Puan Sharifah Ratnah tidak menyangka Aryani menyimpan rambut sepanjang itu di dalam tudung kepalanya.
"Berapa lama Yani simpan rambut ni" tanya Puan Sharifah Ratnah sambil membelai rambut Aryani. Harum dengan bauan syampu yang Aryani guna untuk membersih rambutnya hampir setiap hari. Sepanjang hidupnya tidak pernah Puan Sharifah Ratnah menyimpan rambut sepanjang itu.
"Sejak masuk sekolah menengah, pernah potong sedikit bahagian hujung. Nenek tak benarkan Yani potong rambut ni" ceritanya kepada bakal ibu mertuanya.
"Jangan potong sayang, susah nak dapat rambut yang panjang, sihat dan lebat macam ni" Aryani mengangguk dan tersenyum mendengar pendapat Puan Sharifah Ratnah.
"Yani tak nak simpan panjang sangat, cukup panjang ni je lambat sangat kering" sahutnya Aryani pula. Puan Sharifah Ratnah mengangguk dan tersenyum mendengarnya.
"Yani cintakan Is?" soalan yang tiba-tiba bertukar topik membuatkan Aryani serba salah. Tahukan wanita itu apa sebenarnya yang berlaku antara dia dan anak lelaki wanita itu. Apa maksud soalan sebenar wanita itu kepadanya.
"Mama bertanya sebab Is beritahu mama bahawa dia terlalu cintakan Yani dan mama percaya kepadanya sebab dari matanya mama nampak kebenarannya. Is anak mama, anak yang mama lahirkan dari rahim mama sendiri. Anak yang mama besarkan dari air susu mama jadi apa saja perubahan yang berlaku padanya mama tahu. Mama tidak pernah nampak Is gembira seperti sekarang. Sebelum ini Is tidak pernah serius dengan mana-mana perempuan yang rapat dengannya apa lagi untuk bercerita dengan mama pasal perempuan-perempuan yang mendampinginya. Is akan cepat-cepat menukar tajuk perbualan kami kalau mama mencetuskan perkara yang bersangkutan dengan perkahwinan. Sebab itu bila Is beritahu mama bahawa dia hendak bertunang dengan seorang perempuan mama begitu terkejut. Mulanya mama berdebar dan risau kerana mama fikir Is sudah membuat keputusan untuk memilih Katrina sebagai teman hidupnya namum mama bersyukur apabila sangkaan mama meleset. Mama akhir teruja untuk mengenali gadis hebat yang menjadi pilihan hati anak mama. Mama bersyukur sangat-sangat sebab anak mama sudah menemui bidadari yang dicipta tuhan untuknya. Yani adalah gambaran anak perempuan yang mama impikan selama ini" Aryani terharu mendengar luahan rasa Puan Sharifah Ratnah yang bagaikan mempromosi anak terunanya namun hati Aryani rasa mekar berkembang dengan bunga-bunga indah yang harum dan mewangi.
"Dia lelaki yang pertama dan dalam hidup Yani dan insyaallah dia juga yang terakhir. Yani tidak akan mengecewakan dan meninggalkannya selagi dia tidak mengecewa dan meninggalkan Yani. Yani akan tetap setia di sampingnya selagi dia memerlukan Yani berada di sisinya. Cintanya adalah kekuatan untuk Yani dan Yani juga harap cinta Yani adalah nadi untuk kehidupannya" Aryani mengharapkan skema jawapannya menepati apa yang bakal mertua harapkan. Sesuangguhnya Aryani memang mencinta Syed Ismeth Syaqimie cuma dia tidak pasti bila perasaan itu hadir dan berbunga indah dalam taman hatinya. Apa yang Aryani sedar bahawa dia akan rasa kehilangan sekiranya lelaki itu tiada di hadapannya dan dia rasa kerinduan yang amat menyeksakan jikalau tidak mendengar suaranya. Semakin dia cuba marah dan membencinya semakin perasaan sayang dan rindu itu bertambah menebal dalam hatinya. Renungan redup dan romantik dari panahan matanya yang tajam membuat jantungnya tidak pernah berhenti bergetar membawa irama yang pelbagai rentak.
YOU ARE READING
Maafkanlah Aku
RomanceRose Aryani begitu terluka dan kecewa setelah mendengar seorang wanita mengakui sebagai kekasih suaminya. Aryani yang merasa cintanya hanya bertepuk sebelah tangan akhirnya tidak lagi mampu untuk bertahan. Aryani akhirnya pergi membawa diri untuk me...