46.Lelaki Baik Untuk Perempuan Baik

81 2 0
                                    

Senda gurau dan usik mengusik kedengaran di sana sini ketika pasangan mempelai sedang disandingkan di atas pelamin indah yang bertemakan warna merah dan putih. Semua ahli keluarga di kedua belah pihak lelaki dan perempuan menggunakan dua warna tersebut membuatkan majlis bertambah ceria dan bertenaga. Seminggu sebelum majlis perkahwinannya Aryani menaburkan sedikit wang untuk keluarga Pak Long dan Mak Ngahnya agar mendapatkan pakaian yang menjadi warna tema majlis perkahwinannya dan alhamdulillah Pak Long dan Mak Ngahnya memberi sokongan kepadanya.
"Is, aku macam tak percaya kau sudah berkahwin, entah bila pulak giliran aku" Syed Kazi yang turut hadir sebagai pengapit berbisik di telinga Syed Ismeth .
"Insyaallah coming soonlah tu, kalau kau nak salah seorang sepupu isteri aku pun boleh. Ramai tu ada tiga orang atau kalau kau nak yang di sebelah isteri aku tu apa salahnya" balas Syed Ismeth sambil tersenyum menjerling Shima yang berdiri di sebelah isterinya. Manis sungguh Shima hari ini dengan sepasang baju kurung fesyen kain sutera sutera berwarna merah berbunga putih, Aryani yang sponsor pakaian itu untuk pengapitnya.
"Yang sebelah isteri kau tu aku berkenan, manis orangnya harap-haraplah dia tak reject kalau aku cuba apply nanti" sahut Syed Kazi sambil tersenyum kemudian mengenyitkan matanya kepada Shima membuatkan gadis itu tertunduk malu.
"Tapi tu kawan baik isteri aku, jangan kau main-main pulak" sambung Syed Ismeth pula.
"Please bro, kalau nak main-main mana boleh cari yang pakai tudung. Dekat kelab tu melambak".
"Kalau nak serius tinggalkan perangai kaki kelab kau tu. Lelaki baik untuk perempuan baik dan sebaliknya. Fikirlah tentang tu" Syed Kazi mengangguk mendengar nasihat Syed Ismeth.
Majlis yang diuruskan oleh perancangan perkahwinan yang dilantik oleh Puan Sharifah berjalan dengan cukup terancang dan teratur dengan berakhir hampir pukul empat petang. Tetamu dan jemputan sudah semakin berkurangan. Hanya ahli keluarga terdekat dari kedua belah pihak yang masih berbual dan berkenalan sesama mereka. Tradisi bergotong royong yang masih kukuh diamalkan membuatkan jiran-jiran sekampung yang tinggal berdekatan masih juga menunggu di rumah Bakar untuk membantu keluarga pengantin berkemas.
Aryani merasakan seluruh badannya leguh selepas lebih dua jam duduk di atas pelamin dan selepas itu melayan jemputan yang hadir. Suaminya, Tan Sri Dato' Syed Bahrin dan Bakar serta Aman dan Razlan suami Suri masih lagi melayani dan berbual dengan beberapa orang tetamu lelaki yang masih berada di ruang tamu. Mesra benar Syed Ismeth dan Tan Sri Dato' Syed Bahrin bersembang dengan penduduk-penduduk kampung.
"Yani, tadi mama nampak kamu makan sedikit sahaja. Kalau masih lapar tu baik makan semula. Mama boleh temankan" Puan Sharifah Ratnah merenung wajah anak menantunya yang nampak kepenatan. Mungkin akibat separuh hari terpaksa menjaga penampilan diri dan tingkah laku supaya semuanya nampak sempurna dikala dirinya menjadi tontonan semua tetamu jemputan yang hadir ke majlis perkahwinan tersebut. Semasa acara makan beradab di hadapan semua orang tadi Aryani hanya mampu menelan sedikit makanan yang dihidangkan untuk mereka berdua. Tidak tertelan rasanya kerana malu menjadi perhatian dan usikan tetamu jemputan yang hadir.
"Mama nak makan sekali ke?" Puan Sharifah Ratnah senyum memandang menantunya.
"Mama pun tak makan banyak tadi, ada lauk yang mama tidak sentuh lagi, jom!" Puan Sharifah Ratnah menarik tangan menantu dan mereka menuju ke sebuah meja yang ada terhidang nasi dan lauk pauk sekiranya ada yang masih berminat untuk makan lagi.
"Sayang! makan lagi?, mama jugak" kemunculan suaminya di belakangnya ketika Aryani dan Puan Sharifah Ratnah sedang menikmati makanan mengejutkan Aryani. Tersenyum mendengar teguran suami.
"Mama lapar lagilah Is, tadi makan tak banyak, ada lauk yang mama tak sempat nak rasa tadi" Puan Sharifah Ratnah menjawab bagi pihak menantunya.
"Awak tak nak makan lagi?" soal Aryani sambil memandang wajah suaminya.
"Nak! Betul cakap mama tu, Is pun ada lauk yang tak sempat masuk ke perut tadi" Puan Sharifah Ratnah tergelak mendengar jawapan anaknya.
"Yalah tu!, cakap je tadi tu sebenarnya malu sebab semua orang perhatikan kita" sahut Aryani dan ibu mertuanya sambil tergelak.
"That's true, tak boleh dinafikan" balas Syed Ismeth lantas tersengih.
Aryani mencapai pinggan kosong lalu menceduk nasi dan lauk dan meletakkan pinggan tersebut di hadapan suaminya yang sudah mengambil tempat duduk di sebelahnya.
"Awak nak guna sudu atau nak pakai tangan?" tanya Aryani kepada suaminya.
"Sudu, malas nak cuci tangan" balasnya lalu mencapai sudu yang tersedia di atas meja tersebut. Aryani tersenyum melihat suaminya menikmati makanannya sehingga minta ditambahkan lagi nasi dan lauk.
"Awak makan kari je, tak nak lauk yang lain" tanya Aryani bila melihat suaminya hanya minta kari daging dan sayur campur sebagai lauknya. Suaminya menggelengkan kepala.
"Kalau Yani nak tahu, kari daginglah favorite Is lebih-lebih kalau daging fresh macam tu" beritahu Puan Sharifah Ratnah apabila mendengar soalan Aryani pada anaknya. Aryani faham sambil mengangguk lalu tersenyum.
"Tapi kari daging ni sedaplah, tak sama rasanya macam yang selalu mama tempah dari restoran" tambah Syed Ismeth memuji masakan kari daging yang sedang dinikmatinya.
"Kak Loma chef yang masak kari tu tapi rasanya dia belajar dari nenek sebab kalau ada kenduri nenek selalu jadi bos memasak di dapur dan Kak Loma pembantu dia" sahut Aryani pula.
"Jadi tahulah awak masak macam ni"
"Insyaallah boleh sebab saya ni kan cucu nenek mestilah semua ilmu dia perturunkan pada cucu kesayangannya" balas Aryani sambil tersenyum, suaminya pun ikut tersenyum.
"Nanti mama nak belajar masak dengan nenek Yani. Rugi tak dapat petua-petua memasak yang berguna dari nenek Yani tu. Kalau boleh mama nak terbit dan bukukan semua resepi nenek Yani tu" sambung Puan Sharifah Ratnah pula. Syed Ismeth menyokong cadangan mamanya begitu juga Aryani.
"Is dan Yani bila balik KL?" Puan Sharifah Ratnah pergi pada topik yang lain pula.
"Insyaallah kalau tak ada halangan may be Tuesday or Wednesday, kenapa ma?" tanya Syed Ismeth sambil memandang wajah Puan Sharifah Ratnah.
"Ada yang belum settle untuk majlis resepsi kamu berdua di KL. Pihak wedding planner nak jumpa kamu berdua dua hari sebelum majlis berlangsung supaya mereka sempat perbaiki apa yang perlu dan kurang" beritahu Puan Sharifah Ratnah. Syed Ismeth menganggukkan kepalanya.
"Sempat lagi tu, mama bila nak balik atau nak bermalam di sini?"
"Tak kot, terpaksa balik hari ni jugak sebab datuk Is tu perlu rehat dan pagi esok Doktor Fendi datang nak periksa kesihatannya" balas Puan Sharifah Ratnah.
Seperti yang diberitahu mamanya, Tan Sri Dato' Syed Bahrin dan Puan Sharifah Ratnah berangkat balik selepas waktu Maghrib. Pelbagai pesanan datuk dan mamanya tinggalkan untuk pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga itu.
"Is, kamu dah bergelar suami orang sekarang. Tanggungjawab kamu dan semakin bertambah. Rose Aryani pilihan kamu dan datuk dan mama kamu merestuinya dan percaya Rose Aryani adalah yang terbaik untuk kamu. Jagalah isteri kamu dengan baik dan jadilah seorang suami yang baik dan beriman. Kamu sudah memilihnya jadi kamu sudah bersedia untuk terima apa saja kebaikan dan keburukannya. Jangan cepat melatah bila berdepan dengan apa saja dugaan. Kepercayaan kamu kepadanya adalah paling penting kerana dia insan yang paling rapat dengan kamu dan mula detik ini kamu akan berkongsi segalanya dengan dia dan hargailah apa yang kamu miliki" Syed Ismeth mengangguk mendengar nasihat datuknya.
"Is, mama terlalu sayangkan kamu dan sekarang kamu bawa Aryani pada mama untuk mama kasihi dan sayangi seperti mama sayangkan kamu. Ada kamu adalah Aryani dan kamu akan melengkapi antara satu sama lain. Mama doakan semoga hubungan kamu berdua akan kekal sehingga ke jannah" Pesan Puan Sharifah Ratnah pula kemudian terus memeluk tubuh dan mencium pipi anak dan menantunya penuh rasa sayang dan kasih seorang ibu.
Selepas ahli keluarga sudah berangkat meninggalkan kampung Syed Ismeth membuntuti isteri masuk semula ke dalam rumah. Bakar, Razlan dan Aman kembali ke ruang tamu untuk berbual.
"Kalau awak nak minuman saya buatkan air" tanya Aryani sebelum suami meminta diri untuk menyertai Bakar, Aman dan Razlan di ruang tamu.
"Boleh jugak, Neslo kalau ada?"
"Okay" balas Aryani sambil tersenyum melepas tangan suaminya.
Aman dan Razlan tersenyum memandang Syed Ismeth sebaik melihat lelaki itu muncul di ruang tamu. Walaupun baru empat tahun mengambil alih sepenuh Al-Walid Mega daripada datuknya Tan Sri Dato' Syed Bahrin namun lelaki itu begitu cepat mencipta nama sebagai ahli peniagaan yang cukup dikagumi di kalangan pesaingnya terutama syarikat-syarikat gergasi pemegang lesen kelas G. Gaya, karisma dan penampilannya membuatkan sesiapa saja mudah mengenalinya diri bukan lelaki biasa atau sebarangan orang. Wajah tampan dan saiz tubuhnya yang tinggi serta sasa dengan pemakaian pakaian yang berjenama mewah di tubuhnya menyerlahkan lagi pesona dirinya dan menarik di mata sesiapa saja yang memandangnya. Aman dan Razlan mula tidak selesa dan kekok apabila melihat Syed Ismeth mula melangkah mendekati mereka.
Lelaki itu berhenti untuk bercakap sesuatu dengan salah seorang pengawal peribadinya sebelum meneruskan langkahnya mendekati tempat duduk di sebelah Aman. Pengawal peribadinya tadi kemudian bergerak untuk menyertai teman-temannya yang sedang duduk berbual di satu meja santai di luar rumah.
"Macam mana Pak Long, dah sihat?" tanya Syed Ismeth memulakan perbualan dengan bapa saudara isterinya itu.
"Alhamdulillah sihat" sahut Aman sambil tersenyum.
"Dengar dari Yani, Pak Long mengusaha kolam ikan, dekat mana tu, besar ke?" tanya Syed Ismeth sambil mengangkat kening memandang Aman.
"Kampung Nangka, tiga kilometer dari sini, taklah besar mana cuma ada empat buah kolam. Dulu milik ayah ayah mentua tapi selepas dia meninggal Pak Long ambil alih kolam ikan tu memandangnya Mak Long kamu anak tunggalnya" Syed Ismeth mengangguk mendengar jawapan Aman.
"Pak Ngah pulak kerja apa?" berpaling memandang Razlan suami Suri.
"Askar kerajaan di LHDN" jawab Razlan sambil tersenyum.
"Oh orang punggut cukai kita oranglah ni" balas Syed Ismeth pula sambil tersenyum. Aryani muncul menatang sedulang minuman dan dua piring kek buah dan kuih bahulu. Satu-satu cawan minuman diletaknya di atas meja dan satu mug minuman Neslo special diletak di hadapan suaminya.
"Neslo awak, minumlah"
"Yang sayang punya mana?" Aryani menggelengkan kepalanya.
"Duduk sini kita kongsi" sambil menarik tangan isterinya. Aryani tersenyum lalu duduk bersimpuh di atas lantai di sisi suaminya.
"Banyak ke Syed kena bayar cukai setiap tahun?" tanya Razlan selepas menghirup minuman nescafe susu yang dihidangkan oleh Aryani kepadanya. Syed Ismeth tergelak kecil mendengar soalan Razlan.
"Bolehlah tahan, dalam lingkunan puluhan juta jugak setahun" membutang mata semua yang ada di ruang tamu itu mendengar jawapan Syed Ismeth .
"Banyak tu, makna dalam setahun pendapatan lima atau enam kali ganda daripada cukai yang perlu dibayar" Syed Ismeth diam mendengar jawapan Razlan kerana memang itulah hakikatnya.
"Apa bisness utama syarikat Syed buat tu?" tanya Aman yang berminat untuk mengetahui perniagaan yang dijalankan oleh suami Aryani.
"Fokus utama hartanah, pembinaan dan perhotelan. Sekarang nak cuba kembangkan rezeki dalam perkilangan dan industri" balas Syed Ismeth sambil tersenyum memandang isterinya. Aryani akan membantu membuka pintu rezekinya dalam bidang perkilangan dan industri.
"Tentu seronok kalau dah berjaya macam Syed sekarang, tengok wang berjuta-juta masuk setiap bulan" tambah Aman menyambung perbualan mereka.
"Semua yang ada sekarang adalah usaha gigih datuk saya yang membangunkan. Datuk saya berasal dari Singapura dan masih ada lagi keluarga kami di sana. Syarikat kami wujud sebelum saya dilahirkan malah masa tu mama saya pun masih kecil. Arwah papa yang sepatutnya berada di tempat saya sekarang kerana arwah papa saya anak saudara datuk saya dan ayahnya adalah rakan kongsi datuk semasa menubuh Al-Walid Mega. Sekarang saya pewaris dari kedua-dua belah pihak. Saya menggabungkannya sebab tu Al-Walid Mega berada di bawah kuasa saya sepenuhnya" ketiga-tiga lelaki yang berada di ruang tamu itu khusyuk mendengar cerita Syed Ismeth yang menceritakan latar belakang dirinya sebagai pewaris dan pemilik Al-Walid Mega. Kini barulah Aman faham kenapa lelaki itu begitu dikenali dan dengan sekelip mata muncul sebagai peniaga melayu terkaya di Malaysia.

Maafkanlah AkuWhere stories live. Discover now