17.Happy Birthday Sayangku

72 3 0
                                    

Setelah syarat-syarat dibaca dan dinyatakan di hadapan kedua-dua belah pihak, ibu atau saudara terdekat ataupun wakil akan menyarungkan cincin ke jari perempuan. Begitu teruja dan bersemangat Puan Sharifah Ratnah ingin melihat bakal menantunya.
Aryani melangkah keluar dari bilik apabila dipanggil keluar oleh neneknya. Dengan diiringi nenek dan Shima sahabat baiknya, Aryani melangkah dengan sopan santun menuju ke pelamin yang bertema warna putih dan hijau lalu duduk bersimpuh di atas bantal bulat yang tersedia di hadapan pelamin.
Para tetamu terutama Puan Sharifah Ratnah terpegun melihat bakal menantunya.
"Whateverlah kalau Is dah tak boleh tunggu lama-lama lagi" ucapnya dalam hati sambil tersenyum memandang bakal menantunya yang cantik dan rupawan itu. 'Jauh lagi cantik dibanding Katrina', bisik Puan Sharifah Ratnah dalam hatinya. Aryani membalas senyuman bakal ibu mentuanya yang juga turut tersenyum membalas tatapan bakal anak menantunya. Pn Hajah Ratnah kemudian mengeluarkan sebentuk cincin permata berlian dari bekas yang ada di tangannya lalu menyarung ke jari manis menantunya.
Kerlipan lampu kamera dari jurufoto yang diupah khas oleh pihak lelaki bergemerlapan bersilih ganti merakam foto kenangan ketika upacara menyarungkan cincin oleh bakal mentua Aryani. Selesai acara menyarungkan cincin Aryani menyalami dan tunduk mencium tangan bakal ibu mentuanya dengan hormat. Puan Sharifah Ratnah membalasnya dengan mencium kedua belah pipi bakal menantunya.
"Mulai hari ini panggil mama ya" beritahu Puan Sharifah Ratnah lalu membawa Aryani untuk bertemu kaum kerabat sebelah pihak lelaki. Syed Ismeth tidak berkelip memandang tunangannya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
"Patutlah kamu dah tak sabar nak minta kahwin cepat" usik Tan Sri Dato' Syed Bahrin sambil mencuit lengan cucunya yang leka bermain pandang dengan tunangannya. Syed Ismeth tersengih malu mendengar usikan datuknya. Pihak lelaki minta tempoh bertunang selama tiga bulan sahaja dan pihak perempuan yang diwakili oleh Bakar tanpa banyak soal bersetuju dengan pemintaan tersebut. Sebuah gubahan hantaran menggunakan wang kertas bernilai RM19K diserahkan sebagai wang buka mulut untuk majlis pertunangan pada hari tersebut membulatkan semua mata tetamu. Angka 19 sebenarnya adalah simbolik usia Aryani yang melangkah masuk 19 tahun pada hari tersebut. Bukan tanpa sebab Syed Ismeth memilih hari pertunangan mereka berdua pada tarikh tersebut. Syed Ismeth telah mengetahui tarikh lahir Aryani lalu mengambil tarikh tersebut untuk dijadikan kenangan yang terindah pada Aryani.
Syed Ismeth berbincang dengan nenek seminggu sebelum majlis dan nenek kemudian menghubungi Shima untuk memberitahu tentang rancangan kejutan yang akan berlaku pada hari tersebut. Aryani yang tidak pernah menyambut hari lahir pastinya berasa begitu hiba dan terharu dengan kejutan itu. Aryani tergaman ketika Shima muncul membawa sebiji kek diikuti kemunculan beberapa orang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di ambang pintu sambil menyanyikan lagu happy birthday. Mereka adalah anak-anak yatim dari rumah yatim yayasan Al-Walid yang disiap khas oleh Syed Ismeth untuk kejutan pada hari itu.
'Happy birthday sayangku Rose Aryani" bisik Syed Ismeth lalu menarik tangan Aryani justeru mencium punggung tangan tunangannya. Kemudian Syed Ismeth menarik Aryani bergerak mendekati kek harijadi yang sudah diletakkan di tempat yang khaskan.
Dalam keterujaan setelah mengesatkan air matanya Aryani meniup lilin ulang tahunnya yang ke-19. Sambutan hari jadi yang julung-julung kali diraikannya.
Pihak rombongan sebelah lelaki dan tetamu yang hadir dijamukan dengan hidangan makan tengah hari dengan lauk pauk istimewa yang dimasak secara bergotong royong oleh orang-orang kampung.
"Awak cantik sangat, saya rasa tak nak balik" bisik Syed Ismeth ke telinga Aryani semasa sesi bergambar.
"Awak jangan nak mengada-gada, saya cubit kang" Syed Ismeth tergelak mendengar jawapan Aryani kepadanya.
"Awak, jom ikut saya balik KL" bisiknya lagi.
"Apa ni, saya belum isteri awak lagilah" balas Aryani sambil menjerling tajam kepada tunangnya. Tan Sri Dato' Syed Bahrin yang leka memerhati gelagat cucunya yang sepertinya sudah kemaruk dengan tunangannya kemudian bersuara.
"Apa yang bisik-bisik tu Is. Kalau dah tak boleh tunggu kenapa tak minta kahwin terus tadi. Betul tak Bakar?" Bakar cuma mengangguk kemudian turut tergelak bersama Tan Sri Dato' Syed Bahrin. Syed Ismeth dan Aryani tersipu malu mendengar teguran Tan Sri Dato' Syed Bahrin.
Sewaktu majlis pertunangan hari itu barulah Bakar tahu nama penuh tunang Aryani merangkap cucu angkatnya itu. Rupa-rupanya pemuda yang dianggapnya sebagai cucu angkat dan kini berstatus tunangan cucunya Aryani adalah cucu tunggal kepada Tan Sri Dato' Syed Bahrin seorang tokoh perniagaan terkenal yang begitu dikenali di seluruh negara. Bakar segan apabila mengetahui rombongan dari pihak lelaki yang terdiri daripada timbalan menteri, dato'-dato' dan pegawai tinggi dan orang-orang kenamaan. Mencuit rasa menyesal dan rendah diri terbit dalam hati Bakar kerana jurang perbezaan yang terlampau jauh antara Aryani dan Syed Ismeth. Kalau Bakar kenal siapa sebenarnya cucu angkatnya itu mungkin Bakar berfikir banyak kali untuk menerima pertolongan Syed Ismeth serta menjodohkannya dengan Aryani.
"Kenapa Is tak mahu cerita siapa sebenar Is pada atok. Kalau atok tahu siapa sebenarnya kamu mungkin semua ni tidak akan berlaku. Atok malu sangat bila tahu siapa sebenarnya kamu. Jauh sangat kami ni pipit hendak terbang bersama enggang" beritahu Bakar sewaktu Syed Ismeth bersalam dengannya sebelum balik. Lirih suaranya membuatkan Syed Ismeth berasa bersalah.
"Sebab itulah saya tak mahu atok, nenek dan Yani tahu siapa saya. Kalau tahu pasti atok dan Yani tak mahu terima saya kan? . Saya memang sukakan Yani tok dan ikhlas mahu mengambilnya sebagai teman hidup saya. Saya, datuk serta mama saya tidak pernah memandang harta, pangkat dan darjat dalam mencari jodoh. Saya berjanji akan bahagiakan hidup isteri saya dengan harta dan cinta yang saya ada" balasnya sambil memeluk erat tubuh Bakar.
"Satu lagi yang atok risau, Yani tu masih terlalu muda baru lapan belas tahun. Sepuluh tahun beza dengan kamu. Keputusan kamu nak berkahwin dalam tempoh tiga bulan lagi merisaukan atok. Terlalu singkat masa tu untuk kamu kenal perangai Yani. Atok takut kamu tak sabar melayan kerenahnya yang masih kebudak-budakkan. Terus terang atok beritahu sekarang perangai buruk cucu atok tu. Dia manja dan cepat merajuk. Kalau merajuk dan marah macam-macam perangai dia buat dan selalu buat kerja yang gila". Syed Ismeth faham maksud Bakar dan dia pernah nampak sendiri sebahagian daripada perangai Aryani yang berbagai kreteria semasa menyerangnya di hospital dulu.
"Saya faham maksud atok tu. Saya pun sudah fikirkan tentang perkara ini. Insyaallah tok, menerima Aryani sebagai isteri saya nanti bererti saya sudah bersedia menerima segala yang ada pada Aryani, baik dan buruknya. Saya akan melengkapkan segala kelemahan dan kekurangannya begitu juga sebaliknya. Saya akan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami yang akan membimbingnya menjadi isteri yang sempurna untuk saya" Bakar tersenyum mendengar jawapan Syed Ismeth dan dalam hatinya mendoakan agar lelaki itu adalah jodoh yang terbaik untuk cucunya.
"Pandai kamu cari calon isteri Is. Mama puas hati dan suka budaknya cantik, lemah lembut dan baik budi bahasanya" ucap Puan Sharifah Ratnah yang masih lagi teruja mengingati bakal menantunya. Walaupun dia akui dari segi usia pilihan anaknya memang terlalu muda tapi banyak keistimewaan gadis itu yang membuat Syed Ismeth sudah tidak boleh menunggu lama untuk melamarnya.
"Kan Is dah cakap, kalau mama dan datuk dah jumpa Yani tentu akan tahu sebab kenapa Is nak kahwin cepat dengan dia. Is tak kira berapa usianya yang penting dia ada apa yang Is cari selama ni" balas Syed Ismeth sambil tersenyum membayang wajah Aryani yang sedang tersenyum kepadanya. Sudah kemaruk benar perasaannya pada gadis itu. Kalau diturutkan hati mahu saja dia terus berkahwin, tak perlu bertunang-tunangan. Hatinya begitu gembira kerana mama dan datuknya menerima Aryani dengan begitu baik.
"Perempuan cantik macam tu siapa yang tak nak" celah Tan Sri Dato' Syed Bahrin pula.
"Dan kalau datuk nak tahu, dalam tempoh sebulan puratanya ada dua orang yang datang melamar Yani. Tu yang buat Is risau sangat. Is tak mahu Yani terlepas ke tangan orang lain" sahut Syed Ismeth menzahirkan kata-kata dengan wajahnya sekali.
Tan Sri Dato' Syed Bahrin dan Puan Sharifah Ratnah tidak dapat menahan gelak mereka melihat wajah Syed Ismeth yang begitu bersungguh menceritakannya.
"Sampai buat statistik pulak kamu Is" Syed Ismeth tersenyum sendiri mendengar komen datuknya.
"Katrina tahu kamu akan bertunang" Syed Ismeth menggelengkan kepalanya sebelum menjawab soalan datuknya.
"Belum pa, Is tak tahu nak cakap bagaimana dengan Kat. Kat tu bukan jenis yang boleh dibawa berunding. Kalau bertengkar langsung tak mahu mengalah. Kalau kita mengalah semakin menjadi-jadi pulak dia" rungut Syed Ismeth tentang perangai Katrina.
"Mama pun bukan berkenan sangat pada Kat tu. Kalau kamu pilih Kat sebagai isteri mama akan suruh kamu fikir beribu kali. Kat takkan mampu menjadi seorang isteri yang baik untuk kamu". Puan Sharifah Ratnah meluahkan apa yang dipendamnya tentang Katrina selama ini.
"Kalau kamu kahwin dengan Kat, datuk rasa kamu memang sengaja terjun ke lubang neraka. Datuk tahu apa orang tuanya harapkan dari perkahwinan kamu dan Kat. Datuk dah dapat cukup maklumat untuk semua rahsia orang tuanya cuma datuk tak mahu cakap pada kamu. Datuk takut kamu terluka sekiranya kamu benar-benar mencintai Kat. Datuk selalu berdoa agar hubungan kamu dan Kat tidak benar-benar serius" tambah Tan Sri Dato' Syed Bahrin pula.
Rupa-rupa dalam diam datuk dan mamanya memang tidak berkenan pada Katrina tetapi kenapa selama ini datuk dan mamanya tidak memberi sebarang komen sepanjang dia rapat dengan Katrina. Mungkin sebab itu tuhan telah menunjukkan dengan menutup pintu hati untuk mencintai Katrina dan memberatkan hatinya untuk menerima cadangan Katrina supaya mereka melangkah lebih jauh dalam perhubungan mereka. Apa respon Katrina nanti bila mendengar berita tentang pertunangannya dengan perempuan lain.
"Is risau respon Kat bila tahu Is bertunang dengan perempuan lain. Is tahu Kat tentu akan marah cuma Is takut dia buat benda yang tak baik pada Yani" tambah Syed Ismeth apabila dia terfikir tentang perkara itu.
"Buat masa ni datuk fikir baik Is berterus terang dan cerita dengan Aryani supaya dia faham dan minta dia berhati-hati. Kita tak tahu hati orang kalau sudah marah dan benci. Macam-macam mereka boleh buat" nasihat Tan Sri Dato' Syed Bahrin kepada cucunya.
"Is rasa betul juga cadangan datuk tu. Beringat sebelum terkena. Is nak rahsia semua tentang Yani supaya Katrina tak buat kerja bodoh. Is akan tunggu saat yang sesuai untuk beritahu Kat". Sikap manusia yang tidak boleh diramalkan membuatkan Syed Ismeth mula memikirkan cara untuk merahsiakan dulu pertunangannya dengan Aryani.

Maafkanlah AkuWhere stories live. Discover now