Indra agak kesal kerana William mengatur pertemuan mereka di sebuah pusat hiburan. Bukanlah suatu idea yang baik apabila dirinya terpaksa berdepan dengan manusia yang pelbagai ragam dan rupa di situ nanti. Meskipun kelab milik seorang ahli perniagaan yang ternama itu adalah sebuah kelab yang paling terkenal untuk golongan elit, ahli perniagaan dan orang kaya raya untuk berjumpa dengan rakan-rakan dan berhibur namun bagi Indra, kelab tersebut bukanlah lokasi yang patut dibanggakan dan dapat menyenangkan hatinya untuk dikunjungi. Itulah kunjungan pertamanya ke tempat seperti itu kerana William menghubunginya di saat-saat akhir dan mengatur pertemuan mereka di situ.
William seorang ahli perniagaan dari Australia yang berdarah kacukan Inggeris dan India. Indra mengenali William sewaktu menghadiri seminar perniagaan Asean dua bulan yang lalu di Singapura. Mungkin faktornya William seorang yang gemarkan hiburan atau sukakan suasana yang ramai manusia menyebabkan tempat itu menjadi pilihan lelaki tersebut.
Tidak seorang pun gadis di dalam kelab tersebut akan terlepas pandang ketika Indra melangkah masuk. Meskipun tanpa secalit senyuman malah renungan tajam matanya boleh melemahkan semangat sesiapa saja yang menerima panahannya namun wajah tampan dan kacak lelaki itu tetap menjadi tarikan dan tumpuan. Di sana sini ada saja mata gadis terpaku memandangnya dan situasi itu semestinya membuatkan Indra semakin rasa tidak selesa.
Bauan yang menyakitkan dan membuatkannya rasa loya walaupun di dalam kelab tersebut dipenuhi oleh pembekal utama keperluan hayatnya. Apa masalahnya dengan manusia di tempat itu. Mungkin setiap jiwa yang berada di situ tidak suci dan telah dipenuhi dengan kekotoran kerana nawaitu sewaktu mereka melangkah ke situ. Kekotoran jiwa mungkin turut mengalir masuk ke dalam saluran darah mereka menjadi bauan busuk yang menusuk masuk ke dalam deria baunya.
William yang diapit oleh dua orang bidadari kelab yang duduk rapat di sebelah menyebelahnya tersenyum ketika menyambut kedatangan Indra. Itulah pertemuan keduanya dengan Indra Arjuna. Walaupun sudah mengenali Indra Arjuna semasa di Singapura dua bulan yang lepas namun matanya terpaku seperti itulah pertemuan pertamanya dengan lelaki yang baru muncul itu. Kesempurnaan fizikal dan paras rupa lelaki Asia yang kini sudah berada di depannya begitu layak dan sesuai untuk menjadi seorang model bertaraf antarabangsa. Dan sekiranya ada pertandingan untuk memilih Sang Putera terkacak dunia seperti pemilihan ratu cantik maka Indra Arjunalah teramat layak dinobatkan. Saiz dan ketinggian Indra Arjuna juga berbeza dengan penduduk benua Asia yang pernah dilihat dan ditemuinya. Malah fizikal Indra Arjuna setanding fizikal lelaki bangsa Eropah yang layak untuk kerjaya sebagai seorang model.
Pembentangan kertas kerja yang hebat dengan penguasaan bahasa Inggeris yang begitu baik dengan gaya yang memukau ketika membuat pembentangan kertas kerja mewakili salah sebuah syarikat di Malaysia membuat William begitu kagum dan berminat untuk mengenali dan berurusan dengan tokoh perniaga muda Asia ini. Seorang CEO muda yang berjaya menerajui sebuah syarikat yang besar. Sebulan yang lepas nama Indra Arjuna juga turut tersenarai dalam majalah Asean Bisnes untuk beberapa kategori anugerah kejayaan perniagaan.
Teguran beberapa orang gadis ketika melihat lelaki itu sudah mengambil tempat duduk membuatkan William yang sedang tersenyum lantas tergelak. Suasana yang mengagumkan tetapi suatu perkara yang pernah didengarnya tentang Indra Arjuna menjadi suatu sebab mengapa tempat tersebut menjadi pilihan untuk temujanjinya dengan lelaki tersebut.
Indra dengan pantas bangun semula lantas menghalau semua gadis-gadis tersebut melalui satu renungan yang tajam dan wajah yang bengis dan menakutkan. Tindakannya yang seperti tidak bernafsu melihat kecantikan-kecantikan wanita di sekelilingnya membuatkan kesemua gadis-gadis tersebut segera berundur meninggalkan Indra Arjuna dengan wajah yang hampa dan kecewa.
"Why? You sepatut rasa seronok dan bangga sebab you belum petik jari lagi mereka sudah datang beramai-ramai dekat you" tegur William yang sememangnya boleh bertutur bahasa melayu dengan baik kerana ibunya adalah rakyat Malaysia tapi kini menetap di Australia bersama suaminya.
"Seperti semut yang terjumpa gula. Itu peribahasa yang I rasa paling sesuai kalau you nak buat perumpamaan" tambah Indra pula membuatkan William tergelak kecil mendengarnya dan menganggukkan kepalanya.
"Tepat! jadi kenapa you tak suka?" soal William lagi, lelaki tersebut mengangkat keningnya menanti jawapan Indra.
"I bukan sombong cuma yang tersedia dalam kelab macam ni bukan test I dan tidak ada yang bisa buat I tertarik!" ujar Indra sambil tersenyum sinis memandang kedua-dua wanita yang mengedik di sisi William. Mungkin selepas ini William akan mengheret salah seorang daripada wanita tersebut ke bilik hotel.
Dari kening yang terangkat kini William menautkan keningnya dan kedua-dua gadis yang berada di sisi William juga rasa kurang selesa ketika memasang telinga mendengar jawapan Indra kepada William. Kedua-dua gadis tersebut semakin terasa apabila Indra memberitahu dengan jelas kepada William bahawa dia mahu perbincangan mereka cuma dihadiri oleh empat mata dan empat telinga sahaja. Kehadiran makhluk lain terutamanya perempuan memang tidak disenangi oleh lelaki tersebut. Lantas tanpa menunggu isyarat William kedua-dua gadis tersebut bangun lantas meninggalkan meja tersebut.
"You nampaknya macam tak suka datang ke tempat macam ni?" soal William lagi selepas itu.
"Ya! Walaupun sebilangan orang tempat macam ni adalah syurga mereka but not for me. Tempat yang akan cuba I elakkan sepanjang hidup. First time datang ke sini I dah berjanji tidak akan datang lagi untuk kali kedua. Tempat macam ni buat I rasa loya dan nak muntah terutama perempuan-perempuan tadi tu. I harap lepas ni you buatlah di tempat lain" balas Indra dengan wajah tenang dan langsung tiada riak rasa bersalah.
William tidak memberi sebarang pandangannya selepas mendengar jawapan Indra. Dia baru mengenali Indra Arjuna dan cuma beberapa perkara yang menjadi kesimpulan yang dapat difikirnya tentang lelaki itu setakat ini. Mungkin kerana Indra Arjuna mahu menjaga reputasinya atau faktor agama atau prinsip hidupnya yang harus dipertahankannya. William juga mentafsirkan sikap pelik Indra mungkin juga kerana Indra tidak biasa dengan dunia yang bebas bercampur gaul dengan golongan yang bukan setaraf dengannya. Dari pengamatan William, Indra seperti bukan datang dari golongan kelas bawahan. Daripada namanya yang begitu klasik, cara percakapan, penampilan dan perwatakkan Indra Arjuna mungkin keturunan bangsawan atau golongan raja dan pemerintah. Indra Arjuna memang berbeza dengan semua manusia yang pernah dikenalinya. Perbualan mereka akhirnya menjurus kepada matlamat utama pertemuan mereka malam itu. Indra tidak menolak apabila terdengar William memesan dua gelas minuman keras untuk mereka tapi sepanjang perbincangan dan sehingga sampai ke saat hendak meminta diri untuk meninggalkan kelab tersebut Indra Arjuna tidak pernah menyentuh minuman yang ada di atas meja mereka.
"Minuman you?" soal William sambil memandang Indra Arjuna.
"Tolong habiskan untuk I" balas Indra Arjuna sambil tersenyum sebelum berlalu pergi.
Perbincangan yang berlangsung selama hampir dua jam bersama William malam tadi mungkin akan disusuli semula dalam masa terdekat kerana syarikat William adalah antara pembekal untuk beberapa jenis ubat-ubatan dan peralatan yang diperlukan oleh pihak hospital dan klinik di Malaysia dan di Sarawak amnya. Projek impiannya tidak lama lagi akan siap dan pembekal untuk beberapa keperluan yang berkaitan dengan projek tersebut amat diperlukan. Pertemuannya dengan William dua bulan yang lepas amat bermakna kerana William merupakan pembekal utama hampir ke semua hospital di seluruh Asia.
Tiba di dalam bilik Indra terus melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Kunci kereta terus dibalingnya di atas meja. Benci, marah dan putus asa dengan dirinya sendiri memang sudah menjadi mainan perasaannya. Entah bilakah semuanya akan berakhir. Sampai bila hidupnya akan terus seperti itu dan adakah suatu masa nanti dia akan ketemu dengan apa yang dicarinya. Dia ingin menjalani kehidupan manusia yang sebenar walaupun pada hakikatnya sebahagian yang mengalir dalam jasadnya bukan sepenuhnya dari genetik manusia. Naluri kemanusiaan yang terpaksa dipupuk dan naluri kebinatangan yang terpaksa dikawal membuatkan dirinya terpaksa mengasingkan diri dan bersikap pelik di mata manusia di sekelilinginya. Wujud atau munculkah sesuatu yang ditunggu-tunggu bertahun-tahun lama yang boleh merubah takdir hidupnya.
Khabar berita tentang kematian Aditya Wangsa akibat strok yang disampaikan oleh Waji, lelaki yang dilantik sebagai wakil untuk menjaga kepentingannya di Loka Holding mengejutkan semua rakan kongsinya. Dua puluh satu tahun Aditya Wangsa meninggalkan Loka Holding tanpa pernah lagi kembali untuk menjenguk wajahnya di syarikat tersebut dan akhirnya Indra Arjuna Aditya muncul sebagai pewaris tunggal lelaki tersebut. Selepas kemunculan Indra Arjuna Aditya untuk mengambil alih semuanya, Waji akhirnya kembali ke Indonesia.
Indra mengeluh bila memikirkan gadis-gadis yang begitu kemaruk ketika memandangnya namun dia tidak menyalahkan gadis-gadis tersebut kerana memang sudah menjadi fitrah manusia ke arah itu. Bukan kerana dirinya bukan lelaki tulen yang terpaksa menolak dan tidak ambil perduli pada perempuan yang menginginkannya sedangkan anugerah yang dimilikinya boleh menjadi senjata berguna untuk mendapatkan sebanyak mana perempuan yang diingininya.
Kalau tidak memikirkan resiko kepada pergorbanannya selama ini akan sia-sia, membebaskan diri dari hukuman yang membelenggunya bertahun-tahun lama, Indra tidak perlu bersusah payah mengejar mereka kalau ingin mendapatkan keperluan asas hidupnya. Ramai wanita cantik yang bila-bila masa sedia menyerahkan diri kepadanya dan peluang akan terbuka luas untuk dia melakukannya dengan mudah. Menjadi separuh manusia yang terpaksa menempuhi perjalanan hidup yang panjang dari satu dekad ke satu dekad dengan memiliki anugerah yang cukup sempurna memberikan ujian yang terlalu besar yang terpaksa dihadapinya ketika berdepan dengan godaan yang datang setiap masa. Tujuh puluh peratus dalam dirinya adalah naluri dan nafsu yang lebih mendesaknya untuk menjadi seorang pemangsa dan pemburu yang kejam dan hanya sebahagian kecil yang dikawal oleh akal yang membuat naluri kemanusiaan terus bertahan dalam dirinya untuk terus kekal menjadi manusia yang hidup sempurna. Sejauh nama naluri kemanusiaan dalam dirinya mampu bertahan ketika berlawan dengan naluri kebinatangan dalam satu jasad yang pada zahirnya nampak terlalu sempurna dan gagah namun di sebalik dalam hatinya sering merintih dan kecewa dengan hidupnya.
Jika tersilap langkah dalam percaturan hidupnya, segala-galanya akan berakhir dan Indra bukan lagi manusia yang mampu bergerak bebas seperti sekarang. Dia masih ingin terus bernafas di bumi tuhan walaupun teramat payah dan hidup dalam keterasingan. Mengakui kewujudan dan keesaan tuhan namun tidak nampu menjadi umat yang mentaati ajaran dan suruhannya
Walaupun perasaan yang menjadi fitrah dalam kehidupan manusia itu belum pernah muncul dalam kamus hidup setakatnya ini namun Indra sentiasa berharap dia berjaya menangkis segala godaan yang datang meskipun berkurun-kurun lamanya terpaksa hidup keseorangan dan kesunyian. Keinginannya untuk bercinta, berkahwin dan berkeluarga terpaksa diketepikan namun Indra tidak pasti selama mana dia mampu untuk terus menyisihkan pakej kesempurnaan seorang manusia itu dalam menempuh perjalanan hidup selepas ini dan Indra sedar tempoh yang bakal dilaluinya nanti bukan sesuatu tempoh yang singkat.
"Hello! biyung buat apa?" pantas nombor Isti Samira didailnya apabila teringatkan wanita itu.
"Biasalah Indra, biyung sedang memeriksa bekalan jus kegemaran Indra yang baru sampai malam tadi" Indra tergelak mendengar jawapan Isti. Faham jus yang dimaksudkan oleh Isti Samira dan sememangnya Indra perlukan jus tersebut terutama pada tanggal 15hb mengikut takwin Qamari nanti. Semalam Isha Wristi membawa balik beberapa paket untuk keperluan anak saudaranya. Pekerjaan Isha Wristi di Makmal Patologi Hospital Kuching memudahkan mereka mendapatkan bekalan jus itu setiap bulan.
"Oklah, Indra tak nak mengganggu kerja biyung, bye" jawapan Indra mengundang gelak Isti Samira dalam talian.
"Boringkan, kalau boring balik dan pergi kejar kawan-kawan Indra dalam taman kita tu" giliran Indra pula tergelak kecil mendengar jawapan Isti Samira.
"Kawan-kawan bodoh yang tak tahu membaca dan menulis tu" balas Indra pula ketika memikirkan kawan-kawan yang dimaksudkan oleh Isti Samira.
"Tapi mereka tahu bercinta dan ada pasangan masing-masing" sambung Isti Samira pula.
"Tapi mereka tak akan menyakitkan atau membunuh pasangannya" tambah Indra pula membidas pandangan Isti Samira.
"Please Indra, biyung tahu Indra dapat mengatasinya" Isti Samira menambah lagi.
"Kalau tidak?" soal Indra pula meyambung jawapan Isti Samira.
"Indra masih ada biyung dan bibi" sahut Isti Samira perlahan.
"Dan Indra bukan Indra yang dulu atau Indra yang sekarang" sahut Indra lagi membuatkan Isti Samira tidak mampu untuk membidas lagi.
"Indra tak nak kecewa dan merosakkan segala yang telah kita usahakan selama ini. Indra lebih sanggup hidup tidak sempurna seperti sekarang daripada sepanjang hayat menjadi makhluk yang setiap masa hanya memikirkan tentang santapan. Indra tak yakin ada yang mampu dan sesuai untuk Indra. Indra juga tidak pernah ada perasaan pada mereka" sambung Indra lagi apabila Isti Samira membisu.
"Apapun biyung doakan kebahagiaan akan muncul juga dalam hidup Indra" sambung Isti Samira sejurus itu untuk menyakinkan hati puteranya.
"Mungkin seratus tahun lagi" tambah Indra pula selepas itu.
"Sabarlah sayang, biyung yakin Indra akan jumpa sesuatu yang akan membantu membahagiakan Indra dan untuk itu Indra perlu tunggu sedikit masa lagi untuk bebaskan semua rasa kesepian yang membelenggu Indra selama ini. Indra akan hidup seperti manusia di sekeliling kita" giliran Indra pula membisu mendengar kata-kata Isti Samira.
"Oklah, biyung nak sambung kerja, lambat jus ni di simpan nanti tak fresh pulak, kalau tak fresh tak sedap kan?" Indra tergelak kecil mendengar kata-kata Isti Samira.
Matanya terpandang surat khabar Borneo Post di atas mejanya tamu di biliknya. Entah bila surat khabar itu berada di situ. Tarikh semalam, mungkin selepas dia balik budak pejabat meletakkannya di situ. Tajuk utama muka depan dibacanya,
'Pembunuhan kejam - mangsa kedua ditemui' sudah dua bulan kejadian pembunuhan itu berlaku dan setiap kali berita itu akan keluar sebagai tajuk utama muka depan akhbar. Matanya terpaku ketika memerhati gambar pembunuhan seorang mangsa yang disiarkan dalam akhbar tersebut. Mangsa adalah seorang wanita yang sedang mengandung lima bulan. Perut mangsa robek dan organ dalaman dikeluarkan. Setiap bulan berlaku satu pembunuhan dan berlaku di pertengahan bulan dan semuanya berlaku di kawasan yang berlainan.
Pihak polis tentu sedang bertungkus lumus untuk mencari pembunuhnya. Pasti sukar untuk mengesan siapa yang yang melakukannya. Kejadian itu pasti akan terus berulang lagi dan mereka perlu bergerak di tempat baru untuk mendapatkan mangsa seterusnya dan manusia tidak mungkin dapat menghalangnya. Indra terus terpaku cuba memikirkan sesuatu. Isti Samira dan Isha Wristi mungkin juga sudah tahu tentang berita tersebut.
"Tuan, Dato' Haikal mahu berjumpa tuan sekarang juga" lamunan Indra terhenti apabila pintu biliknya terkuak dan muncul wajah Zack yang menjenguk untuk memberitahunya sesuatu. Tanpa jawapan Indra hanya merenung lelaki itu dengan pandangan yang tajam. Wajah Zack berubah cuak dan rasa bersalah mungkin kerana dia membuka pintu tanpa keizinan penghuni di dalamnya.
"Maaf tuan, saya sudah ketuk pintu dua kali tapi tiada jawapan. Saya nak pastikan tuan ada dalam bilik atau tak kerana Dato' Haikal nak jumpa tuan sekarang juga" Indra merengus selepas mendengar alasan Zack.
"Saya tak cakap apa-apa pun, awak boleh pergi" jawapan lelaki itu membuatkan Zack terus menutup daun pintu kemudian segera pergi.
"Manusia pelik" rungut Zack dalam hatinya ketika kembali ke mejanya.
"Kenapa kau nampak macam marah je" tegur Zaleha melihat wajah cemerut yang ditayangkan oleh Zack sewaktu melihat perubahan wajah rakan sekerjanya itu.
"Lelaki pelik tiba-tiba je buat perangai pelik" sahut Zack tapi Zaleha tersenyum kerana tahu siapa yang dimaksudkan oleh Zack
"Dah dia pelik tentulah perangai dia pelik. Tapikan Zack, walaupun dia pelik aku tetap suka dekat dia tu sebab dialah lelaki terhensem yang pernah aku jumpa dalam dunia ni" tambah Zaleha pula sambil terus tersenyum.
"Pergi jalanlah dengan hensem dia tu, aku pun hensem jugak cuma kau tu yang tak nampak" balas Zack seperti merajuk pada Zaleha.
"Janganlah marah Zack. Kau tu memang hensem tapi dia tu extra hensem" Zaleha kemudian terus gelak apabila Zack mencebik bibir kepadanya.
"Hensem pun bukannya dia nakkan kau" Zack nampaknya masih belum mahu mengalah pada Zaleha.
"Aku ingat kau dah tak ada modal nak menjawab" tambah Zaleha pula dengan lirikan di bibirnya apabila mendengar Zack bersuara lagi.
"Dengan kau mana boleh aku kalah kalau dengan Sue lainlah" Zack menjerling memandang gadis yang menjadi pujaan hatinya.
"Tapikan sayangnya Sue tu nakkan orang lain, siapa namanya tu. Oh! Baru aku ingat Sham orangnya. Mana Sham pergi hah..dari tadi aku tak nampak?" sambung Zaleha sambil bergurau untuk cuba menyedarkan Zack tentang hakikat tersebut.
"Kau ni memang sengaja buat aku sakit hati" Zaleha tersenyum mendengar perubahan air muka Zack.
"Kau marah ke, aku ni jujur tanya kau mana Sham pergi ni?" Zaleha mengulang soalannya pada Zack.
"Sham pergi jumpa klien" sahut Zack bersahaja tanpa memandang Zaleha yang duduk di meja sebelahnya.
"Zack kau nak dengar satu cerita tak" Zaleha sengaja mencuri perhatian Zack.
"Nak mengumpatlah tu" walaupun kurang senang tapi Zack melayan juga Zaleha berbual dengannya.
"Bukan! tapi ini fakta" sahut Zaleha pula.
"Apa dia?" Tanya Zack sambil menekan keyboard komputer di atas mejanya.
"Dato' Haikal suruh cleaner kemaskan bilik kosong di sebelah bilik orang pelik tapi handsem tu. Nampaknya ada orang yang akan gunakan bilik tu nanti" Zack terus menoleh mendengar jawapan Rose.
"Ya ke, jadi sebab tu aku nampak tadi ada dua orang pekerja dalam tu" Tanya Zack mula tertarik mendengar cerita Zaleha.
"Kata Jelita ada pekerja baru yang akan masuk bekerja tak lama lagi. May be mungkin dia akan jadi pembantu orang pelik tapi handem giler tu. Lima bulan orang tu jadi bos kita bukannya dia ada setiausaha, PA atau pembantu pun. Dato' ada jugak tanya dia tentang perkara tu tapi bos kita tu yang tak nak. Tapi yang peliknya dia tak pernah merungut dan semua kerjanya tip top dan Dato'Haikal selalu puji hasil kerjanya dalam setiap kali mesyuarat"cerita Zaleha lagi.
"Harap-harap yang datang nanti perempuan muda yang cantik" tambah Zack sambil tersenyum nakal.
"Amboi..amboi kau ni?" Zaleha geram mendengar jawapan Zack.
"Kalau ramai perempuan cantik ada dalam syarikat ni barulah semakin bersemangat nak turun kerja?" sahut Zack lagi sambil tersenyum.
"Kau ni serius ke nakkan Sue tu?" tambah Zaleha pula.
"Sue tetap Sue tapi boleh jugak aku cuci mata nanti" sambung Zack sambil tersengih.
"Dasar lelaki!" marah mendengar jawapan Zack, Zaleha terus menyambung kerjanya tapi menghiraukan Zack yang tersenyum di sebelah.
"Tahupun kau marah. Aku baru cakap sikit kau dah buat kesimpulan" malas hendak bertekak Zaleha hanya membiarkan suara Zack terngiang di telinga.Melalui hadapan meja pekerjanya yang terpaku memandangnya, Indra menghayun langkahnya menuju ke bilik pengerusi esekutif. Selepas Jelita setiausaha Dato' Haikal mempersilakannya masuk Indra terpandang Dato' Haikal tersenyum kepadanya.
"Sila duduk Indra" sapa Dato' Haikal sambil tersenyum memandang pemuda tampan di hadapannya. Salah seorang keturunan pengasas Loka Holding yang masih muda belia.
"I gembira bila you kembali ke sini lima bulan yang lepas. I sudah resah untuk memikirkan siapa yang akan mengganti tempat I selaku CEO apabila Dato' Seri Amar sudah tidak mampu lagi untuk menjawat jawatan yang I pegang sekarang. Alhamdulillah doa I dikaburkan tuhan kerana pewaris Aditya akhirnya kembali. Cuma penampilan you agak berbeza mengikut perubahan zaman tapi apabila I perhatikan gambar ayah you ketika masih muda mirip benar wajah you. Mungkin kerana itu kamu juga mewarisi bakat perniagaan seperti beliau. Antara mereka bertiga dalam gambar itu ayah you yang paling kacak dan ayah I yang paling tidak handsem mungkin kerana itu I juga tidak menjadi lelaki yang kacak" Indra tersenyum ketika mendengar Dato' Haikal bercerita sambil memerhati bingkai gambar yang tergantung di tepi dinding dalam bilik tersebut. Gambar yang sudah berusia tiga puluh tahun dan setiap seorang daripada pengasas Loka Holding turut menyimpan gambar tersebut dan salah satu daripada tergantung dalam bilik pejabat Indra sekarang.
"Kacak atau handsem bukan bererti hati kita bahagia dato'. Kadang-kadang ketampanan dan kekayaan kita menyebabkan kita derita" kata-kata jawapan Indra membuatkan dahi Dato' Haikal berkerut.
"Maksud you, you tidak bahagia dengan ketampanan dan kekayaan you sekarang" soal Dato' Haikal yang agak pelik mendengar kata-kata Indra tadi. Dari permerhatian sejak lima bulan pemuda berusia mungkin lewat dua puluhan itu bertugas di Loka Holding jarang sekali dia melihat Indra tersenyum. Walaupun ada pakej yang lengkap dengan ketampanan yang memukau pandangan sesiapa saja tapi keseriusan wajahnya yang jarang tersenyum membuatkan tiada siapa berani menegurnya malah menakutkan gadis untuk mendekatinya. Kadang-kadang wajah pemuda itu nampak agak pucat seperti sedang mengidap penyakit tapi akan kembali sedia kala untuk tempoh tertentu.
"Oh..tidak, I cuma beri pendapat saja, bukan pasal I" tepisnya membuang prasangka Dato' Haikal.
Dato' Haikal lega mendengar jawapan Indra sebelum dia memberitahu sesuatu lagi kepada lelaki tersebut.
"Oh ya, I terfikir juga kalau you sudah bersedia untuk jawatan I sekarang. I tidak akan keberatan melepaskannya kepada you memandangkan you memang layak kerana you pemilik sebenar dan pemegang syer terbesar Loka Holding. Bagaimana?" ujar Dato' Haikal sambil merenung wajah Indra yang sedang duduk di hadapannya. Kelihatan Indra menggelengkan kepala.
"I minta dato' tarik balik idea tu sebab I tidak fikir itu idea yang baik sebab I lebih selesa di tempat sekarang" Dato' Haikal akur dengan pendirian Indra dan segera menukar topik perbualan mereka kepada pokok persoalannya memanggil Indra menemuinya.
"I sedang menunggu seorang pekerja baru dan kalau dia muncul nanti dia akan I letakkan di bilik sebelah you dan kalau you nak dia boleh jadi pembantu you. Dia masih muda dan pasti tiada pengalaman bekerja dan banyak yang perlu dia belajar. I harap you dapat membimbingnya" wajah Indra segera berubah. Nampak seperti bermasalah apabila mendengar penjelasan Dato' Haikal.
"You ada masalah ke?" soal Dato' Haikal apabila melihat keresahan di wajah Indra Arjuna selepas mendengar perkara yang disampaikannya.
"Sebenarnya I tidak suka bekerja dengan sesiapa. I rasa lebih baik serah kepada orang lain untuk membimbing dan mengajarnya sebab I juga tidak ada masa untuk semua tu" balas Indra menjelaskan pendiriannya dan kelihatan Dato' Haikal tersenyum selepas mendengar jawapan Indra.
"No Indra. I tetap hendakkan you membimbingnya Sebagai seorang yang I nampak begitu perfect dan begitu konsisten serta komitmen dengan segala kerja, I yakin you guru yang terbaik untuk dia" Indra seperti tidak puas hati mendengar jawapan Dato' Haikal. Siapa pekerja yang dimaksudkan dan kenapa mesti dia yang harus melatih pekerja baru untuk syarikat tersebut.
"I harap dato' boleh fikirkan semula dan I tetap mahu dato' cadangkan orang lain" beritahu Indra yang berkeras menolak cadangan Dato' Haikal.
"Indra! Satu perkara yang you harus tahu siapa pekerja baru kita" ujar Dato' Haikal ketika mengangkat keningnya memandang pemuda di hadapannya.
"Siapa dia?" soal Indra selepas mendengar kata-kata Dato' Haikal.
Indra terdiam sepanjang Dato' Haikal menceritakan siapa pekerja baru yang dimaksudkan.
"Bukan I tak suka tapi I memang tak boleh tunaikan permintaan dato' tu. Lebih-lebih lagi kalau dia seorang perempuan Biarlah dia belajar dengan orang lain dulu" ujar Indra sebelum meminta diri untuk meninggalkan bilik Dato' Haikal.
Pelik tapi benar, mungkin inilah manusia paling pelik yang pernah aku jumpa sepanjang hidupku" Dato'Haikal menggelengkan kepala kemudian tersenyum sendiri.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasySiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...