“Angel, Saya tunggu di tepi pantai“
Sekeping nota tulisan tangan seseorang yang dihantar oleh seorang pekerja resort menjadi tanda tanya kepada Angel. Seseorang yang Angel tidak tahu mengajaknya berjumpa di tepi pantai dengan tujuan yang Angel juga tidak tahu. Kalau Indra, lelaki itu mungkin akan menemuinya sendiri di biliknya dan menjemputnya keluar. Fikirannya mula kusut memikirkan tentang nota yang cuma memberinya tempoh setengah jam untuk berfikir.
“Siapa yang bagi nota ni” tanya Angel kepada pekerja resort yang sempat ditemuinya semula untuk bertanyakan tentang nota tersebut.
“Seorang lelaki” sahut pekerja resort itu kepadanya.
“Lelaki ini” Angel menunjukkan gambar Indra yang ada di telefon bimbitnya yang baru diaktifkan sejam yang lalu. Pekerja resort tersebut menggelengkan kepalanya. Sudah tentu juga bukan Zhafry kerana Zhafry juga pasti akan terus ke biliknya. Angel kemudian menghayunkan langkahnya menuju ke pantai. Siapa pun yang ingin bertemu dengannya hanya akan diketahui ketika sudah bertemu dengan orang tersebut.
Debaran dada Angel kembali tenang apabila melihat seorang lelaki tersenyum kepadanya. Angel tidak pasti apakah tujuan lelaki itu berada di situ tapi memandangkan lelaki bukan ancaman kepadanya Angel tidak risau untuk mendekatinya.
“Nota awak tu buat saya terkejut dan risau betul. Macam mana awak tahu saya berada dekat sini dan awak buat apa di sini?” Angel terus menubi lelaki di hadapannya dengan dua soalan berturut-turut.
“Saya ikut rombongan kawan releast otak dekat sini, saya nampak kereta Angel dan tengah hari tadi saya nampak Angel dari jauh tapi tak sempat nak kejar untuk menegur Angel. Saya lihat nombor bilik Angel dekat reception lobi kemudian saya minta bantuan budak hotel tu hantar nota tadi tu pada awak” penjelasan Johan membuatkan Angel menganggukkan kepalanya.
“Saya sedang bercuti untuk tenangkan fikiran” balas Angel kemudian.
“Seorang?” soal Johan kemudian. Angel menganggukkan kepalanya. Khabar yang membuatkan perasaan Johan lega apabila mengetahuinya tiada teman lelaki Angel bersamanya. Selepas sembuh dari kemalangan yang menimpa gadis itu hampir sebulan yang lalu entah kenapa Johan nampak Angel semakin cantik dan berseri-seri. Nama dan wajah gadis itu semakin melekat di hatinya dan apabila mengingatkan gadis itu mencintai lelaki lain hati Johan semakin sakit memikirkannya.
“Selalunya dia ada bersama Angel?” soalan yang cuba untuk mencungkil rahsia kenapa gadis tu bercuti sendirian.
“Awak ni kenapa? Kami bukannya suami isteri yang kena selalu bersama. Kami cuma ada perasaan cinta dan sayang yang membuatkan kami kerap bersama. Sekarang pun saya cuba uji sekuat dan sehebat mana cinta yang wujud antara kami.” Walaupun terguris dan sakit hati mendengar jawapan gadis yang terang-terang mengakui cinta pada lelaki tersebut namun Johan cuba tersenyum kepada gadis itu.
“Kenapa harus diuji sedangkan kalau seseorang itu benar-benar mencintai pasangannya, dia tidak akan meninggalkan pasangannya walaupun untuk sesaat. Sedangkan Angel sudah beberapa hari berasa di sini” hanya DIA yang tahu apa yang Angel rasa dan tanggung semenjak beberapa hari dia berada di resort itu. Siang malam tidurnya bertemankan baju jaket kepunyaan Indra yang sentiasa basah dengan airmatanya. Ke mana-mana dan setiap masa jaket kulit itu sentiasa tersarung di tubuhnya. Bauan tubuh Indra yang melekat pada baju jaket itulah yang mengulit tidurnya. Angel tidak mungkin membuat pengakuan itu di hadapan orang lain melainkan jika di depannya sekarang adalah Indra. Tubuh lelaki itu akan terus didakapnya dan bibirnya pasti akan membisikkan kalimah cinta dan kerinduannya yang sudah tidak tertanggung sejak beberapa hari mereka terpisah.
Johan seakan menanti Angel memberi jawapannya tetapi kelihatan gadis itu hanya membisu sebalik Angel cuba menukar topik perbualan mereka.
“Mana kawan-kawan awak yang lain?”
“Mereka berehat dalam bilik masing-masing mungkin kepenatan sebab kami baru balik dari Rain Forest” Angel mengangguk mendengar jawapan Johan.
“Nampaknya cuma awak saje yang tak kepenatan sebab masih sanggup nak jumpa saya dekat sini” jawapan Angel membuatkan Johan tergelak.
“Sebab penting bagi saya hendak tahu kenapa Angel berada di sini” balas Johan di hujung gelaknya.
“Saya dah ceritakan pada awak tadi dan bila saya perlu dan bersedia untuk balik saya akan balik” jawab gadis itu dengan nada selamba.
“Bila tu, awak nampak macam tak rindukan dia je” Angel tersenyum nipis mendengar kata-kata Johan. ‘Kau tak tahu Johan bahawa aku ni seorang pelakon yang hebat’ rintih Angel dalam hatinya. Sedangkan saat itu kaki ingin saja berlari untuk mendapatkan kekasihnya namun demi tekadnya untuk yang satu itu Angel kuatkan semangatnya.
“Tengoklah nanti!” jawapan bersahaja Angel membuatkan Johan tersenyum. Mungkin masih ada harapan untuknya mencuba kerana cinta gadis itu nampaknya tidak sekuat mana pada teman lelakinya sekarang.
“Kalau Angel belum makan jom saya belanja” Angel hanya mengangguk mendengar perlawaan Johan dan sememangnya perutnya perlu diisi dengan sedikit makanan sebelum tidur malam nanti. Angel membuntuti langkah Johan mendekati sebuah restoran yang berada tidak jauh dari tempat mereka berbual tadi. Kedua-dua mereka sama sama-sama memerhati menu yang disenaraikan oleh restoran tersebut. Sebentar kemudian Angel mendengar Johan membuat pesanan dan kemudian menyuruh pelayan restoran itu mengambil pesanan untuk Angel.
Di kala itu Angel tiba-tiba terkenangkan Indra. Walaupun lelaki itu tidak pernah menikmati makanan manusia tetapi dalam perkara itu Indra akan bertindak memilih dan memesan makanan untuknya dan setiap kali pilihan Indra memang menepati seleranya.
“Itu aje?” soal Johan apabila Angel cuma meminta Kuetiau Kung Fu dan segelas sirap sebagai menunya malam itu sedangkan Johan telah memesan makanan nasi yang lengkap dengan hidangan tiga jenis lauk.
“Sebenar bab-bab makan Indra yang akan buat pilihan dan pesanan untuk saya dan Indra pandai membuat pilihan menu yang sedap” balas Angel sambil tersenyum. Johan hanya menganggukkan kepala terasa sedikit sakit dalam hatinya Angel seperti ingin mempamerkan kelebihan kekasihnya itu kepadanya.
“Mungkin dia mahukan Angel ikut seleranya ” soal Johan cuba meluahkan sedikit pandangannya tentang penjelasan Angel. Angel menggelengkan kepalanya.
“Tak, Indra bukan macam tu. Saya berani backing dia sebab saya kenal siapa Indra” senyuman melirik di bibir Johan mendengar jawapannya dan Angel tidak pasti makna di sebalik senyuman lelaki tersebut.
“Mungkin kalau awak beritahu awal tadi saya boleh membuat pesanan yang lagi spesial untuk Angel ” kata-kata Johan kemudiannya ada bayangan seperti ingin bersaing dalam perkara itu.
“Tak! awak doktor tentu awak tahu. Indra membantu menjaga pemakanan dan kesihatan saya. Indra tak galakkan saya ambil makanan berat sebelum tidur” Johan tergelak lagi selepas mendengar jawapan Angel.
“Saya pun macam tu tapi kerana aktiviti siang tadi memerlukan banyak tenaga jadi saya perlukan makanan macam ni untuk kembalikan semula tenaga yang hilang” giliran Angel pula tersenyum kerana giliran pesanannya sudah tiba di meja. Nampak menyelerakan dan Indra pernah membuat pesanan makanan itu untuknya sebelum ini. Angel menikmati makanan dengan berselera tanpa menghiraukan kewujudan Johan yang sedang duduk semeja dengannya..
“Angel nampak berselera je malam ni” tegur Johan sambil tersenyum memandang Angel. Pinggan di hadapan Johan juga sudah kosong.
“Sebenarnya tak sesedap yang pernah saya makan bersama Indra dulu sebab udangnya kurang sikit” beritahu Angel selepas menghirup separuh gelas sirapnya.
Walaupun pada mulanya pertemuannya dengan Angel malam itu menerbitkan kebahagiaan dan kegembiraan dalam hatinya namun Johan agak terkilan kerana setiap butir perbualan mereka sentiasa menyentuh tentang Indra. Segala pandangan Angel tentang lelaki itu semuanya positif sehingga membuatkan Johan semakin ditekan rasa cemburu dan sakit hati. Johan sebenar ingin mencari kecacatan dalam perhubungan pasangan tersebut agar dia boleh mencelah di situ.
“Jaket awak cantik” tegur Johan yang dari awal pertemuannya dengan Angel tadi mata sudah melekat dan memuji jaket kulit yang tersarung di tubuh gadis tersebut. Dari pengamatannya, Johan tahu jaket berjenama antarabangsa itu berharga ribuan ringgit.
“Oh! ini jaket Indra. Saya pakai bila tidak bersamanya” jawapan Angel menyebabkan Johan mengeluh dan merungut lagi di dalam hatinya. Kenapa dia tidak terfikir baju jaket itu adalah jaket lelaki dan sudah pasti ia kepunyaan lelaki itu.
Walaupun Johan mencadangkan selepas itu mereka keluar bersiar-siar di tepi pantai tapi Angel menolaknya dengan alasan untuk segera kembali ke biliknya. Mereka berpisah selepas melangkah keluar dari restoran dan membawa haluan masing-masing.
Waktu sudah menunjukkan pukul sepuluh malam tetapi langit kelihatan begitu indah dengan kerlipan bintang yang bertaburan di angkasa. Di langit kelihatan bulan purnama yang sedang dipagari oleh bintang-bintang yang berkerlipan menambahkan keindahan angkasa raya di kala itu. Angel berhenti dan mendongak ke atas untuk melihat keindahan ciptaan tuhan yang sedang menghiasi langit malam ketika itu. Cahaya purnama yang penuh di langit menyebabkan malam tersebut menjadi terang dan indah. ‘Bulan purnama’ bisik Angel dalam hatinya. Angel terpaku ketika teringat sesuatu lalu segera mengatur langkah dengan pantas menuju ke biliknya. Tanggal 14,15 dan 16 haribulan mengikut takwin Qamari atau kalendar Islam memang fasa bulan di langit waktu itu akan kelihatan bulan purnama. Indra akan mengawal ketat keselamatannya pada tiga malam tersebut tapi sekarang Angel bersendirian tanpa Indra.
“Angel" belum sempat sampai ke pintu utama bangunan yang menempatkan biliknya satu suara menegurnya. Seorang lelaki berdiri di tepi sebatang jalan yang dilaluinya. Wajah lelaki itu membuatkan Angel ketakutan. Angel terus terpaku di tempatnya berdiri menanti tindakan lelaki itu seterusnya namun lelaki itu hanya tersenyum dan tidak menyerangnya. Satu perubahan yang membuatkan Angel semakin cuak.
“Angel! Awak jangan takut sebab saya tidak akan apa-apakan awak” suara Osborn mula kedengaran.
“Tidak! A..Awak jangan nak ti….tipu saya” jawab Angel sedang nada suara jelas bergetaran kerana ketakutan. Osborn kemudian tergelak.
“Angel sayang! Saya memang mahukan awak tapi bukan sekarang” beritahu Osborn di hujung gelaknya.
“Ma..maksud awak?” soal Angel kemudian.
“Esok, awak akan datang menyerahkan diri kepada saya” beritahu Osborn sambil tergelak menayangkan gigi tajamnya yang putih dan bersinar.
“Tidak, saya tak akan datang menyerah pada awak” balas Angel dengan suara yang tegas dan bergetar.
“Awak akan datang Angel sebab kalau awak tidak datang nyawa awak akan digantikan oleh orang yang awak sayang. Saya tunggu awak pukul sebelas di tepi pantai malam esok. Jangan lupa ya sayang!” sebelum sempat Angel membalasnya Osborn sudah menghilangkan diri. Dalam ketakutan Angel terus berlari meninggalkan tempat tersebut dan terus masuk dan mengunci pintu biliknya.
“Ratnaku sayang, tanpa awak di sisi saya, saya akan mengalah dan menamatkan riwayat saya di tangan Osborn dan Braja kerana saya tidak mampu hidup tanpa awak Angel”
Salah satu mesej daripada Indra dibukanya dani Angel kelu selepas membacanya. Mungkin Indra yang dimaksudkan oleh Osborn. Mungkin Indra kecewa dan membiarkan dirinya kalah kepada Osborn dan Braja.
“Indra” semalaman Angel cuba melelapkan matanya. Bayangan kekalahan Indra kepada Osborn dan Braja terus mengganggu tidurnya. Angel tidak akan membiarkan Indra mati di tangan Osborn dan Braja. Indra harus hidup dan malam esok demi cintanya dia akan selamatkan nyawa lelaki tersebut. Indra miliknya dan bukan milik dua lelaki keparat itu. Kutuk Angel dalam hatinya.
Sudah separuh hari Angel sudah menghabiskan masa duduk termenung di balkoni biliknya. Pagi menanti ke senja adalah tempoh yang cukup panjang bagi Angel. Tidak ada apa yang akan dilakukan sepanjang hari untuk sampai ke detik sebelas malam. Untuk membaca buku novel yang dibawanya sudah hilang minatnya sejak semalam begitu juga hendak mengisi perutnya yang sudah beberapa kali mendendangkan lagu keroncong.
“Angel …!” awak baru keluar ke? Dari pagi tadi saya tak nampak awak” Johan datang mendekati gadis itu apabila ternampak Angel keluar dari restoran sambil membimbit bungkusan plastik di tangannya. Gadis itu hanya menganggukkan kepalanya dan wajahnya seperti kesedihan dan kepenatan.
“Angel, awak nampak macam tak sihat” tegur Johan lagi. Angel kemudian menggelengkan kepalanya.
“Saya sihat cuma kurang tidur semalam” balas Angel lalu kembali mengatur langkahnya. Niat Johan untuk makan di restoran tersebut dibatalkan kemudian terus menyaingi langkah Angel .
“Boleh saya tahu kenapa?” Johan menyambung lagi perbualannya. Angel kemudian mengatur langkahnya mendekati sebuah pondok santai kecil di tepi pantai lalu melabuhkan punggungnya di atas bangku dalam pondok tersebut.
“Saya fikirkan tentang Indra” Johan mengangkat keningnya mendengar jawapan Angel. Lagi-lagi tentang lelaki itu, hati Johan semakin dengki mendengarnya.
“Kenapa, Angel tak yakin pada dia?” soal Johan selepas itu.
“Bukan, saya mungkin buat dia kecewa dan sedih kerana saya tinggalkan dia” Johan membutangkan matanya mendengar jawapan Angel. Benarkah apa yang didengarnya sekarang bahawa Angel telah meninggalkan lelaki itu dan kerana itu Angel datang bercuti sendirian di situ.
“Kalau Angel fikir itu yang terbaik kenapa Angel perlu fikirkan tentang dia lagi” mungkin Johan dapat mencungkil perkara yang sebenar berlaku pada Angel.
“Saya rasa bersalah sebab yang buat dia kecewa, saya tak mahu dia fikirkan saya sengaja tinggalkannya” Johan terus mendengar Angel bercerita tapi jauh di sudut hatinya bersyukur dan perkara itu seharus sudah lama berlaku. Dia lelaki yang layak untuk Angel dan bukannya lelaki pelik dan manusia syaitan seperti gelaran yang diberikan oleh Kadri.
“Awak tak perlu rasa bersalah Angel sebab keputusan tu seharusnya sudah lama awak lakukan” Angel mengerutkan dahinya sambil merenung wajah Johan. Apa yang Johan maksudkan dari kata-katanya itu.
“Kenapa, apa maksud awak Joe?” soal Angel pula.
“Dia bukan lelaki yang sesuai untuk awak Angel ” Wajah Angel terus ditatapnya tanpa berkelip namun Angel memaliskan pandangan enggan berbalas pandangannya dengan Johan.
“Jadi siapa lelaki yang sesuai untuk saya? Soal Angel selepas itu.
“Ada, cuma Angel yang tidak sedar atau tidak memberinya peluang” jawapan Johan membuatkan Angel kembali berpaling melihat wajah lelaki itu semula.
“Boleh saya tahu siapa orang yang saya tak pernah bagi peluang tu?” Johan terdiam seketika selepas mendengar soalan Angel. Mungkin sedang berfikir jawapan yang sesuai untuk diberikan pada Angel.
“Saya Angel, awak cinta padang pertama saya dan terus melekat sampai sekarang. Saya benar-benar kecewa bila awak kata awak sudah ada teman lelaki semasa kita di Matang Wild Life dulu” Angel jadi kelu untuk menyambung bicaranya. Memang patut pun Indra cemburukan Johan kerana Johan sudah mendedahkan kebenarannya sekarang.
“Maafkan saya Johan sebab saya telah buat awak kecewa. Tapi buat pengetahuan awak, saya tidak akan mampu mencintai lelaki lain seperti saya mencintai Indra” Angel bangun berdiri kemudian ingin melangkah meninggalkan tempat itu.
“Angel, dengarlah cakap saya. Saya akan bantu awak melupakan dia” Johan cuba meraih tangan Angel namun gadis itu cepat-cepat menarik tangannya.
“Saya terpaksa pergi sekarang” Angel terus berlalu meninggalkan Johan sendirian meskipun lelaki itu tidak berpuas hati mendengar jawapannya. Meskipun lelaki itu ada rupa dan kerjaya yang bagus namun lelaki itu bukan pilihan hatinya. Indra mempunyai aura cinta yang luar biasa yang membuatnya ingin berada dalam dakapan lelaki itu sepanjang hidupnya.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasySiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...