Bab 17. Birthday Dady

2 0 0
                                    

      Angel berdiri kaku di tingkap bilik tidurnya. Fikirannya ligat cuba membuat rumusan dan kesimpulan tentang perasaan terbaharu yang muncul dalam hatinya. Kemunculan yang menggetar hati dan perasaannya. Kali pertama hatinya terbuka untuk menerima kehadiran seseorang dalam hidupnya. Angel dapat merasakan ada sesuatu yang melekat dan membahagiakannya. Itukah cinta? lantas Angel tersenyum sendiri disaat terus memikirkannya.
Betulkah Indra cinta pertamanya dan akan menjadi cinta abadinya sepanjang hayat. Dari sudut manakah Angel tidak pasti tapi yang jelas, Indra telah berjaya menawan hatinya. Sekarang yang pastinya hanya Angel yang mengenali siapa Indra. Walau siapapun Indra lelaki itu telah menjadi pilihan hatinya. Dia akan mempertaruhkan apa saja demi membantu Indra untuk meraih semula kehidupan manusianya dan mereka akan hidup bahagia bersama. Itulalah janji yang sudah termetrai dalam hatinya dan sampai ke hujung nyawa Angel tidak akan memungkirinya.
Angel mengintai sesuatu yang membuat daun pokok jambu air di tepi bilik tidurnya bergerak-gerak. Seekor haiwan yang berselindung di sebalik daun-daun jambu keluar meniti dahan kemudian melompat di hujung dahan yang berjuntai ke arah tingkap bilik tidur Angel. Angel mengerutkan dahinya sambil matanya terus memerhati haiwan tersebut. Mana mungkin ia berada di atas pokok jambu tersebut sedangkan jarak antara rumahnya dan Matang Valley begitu jauh. Untuk mengenalpasti perkara yang sebenar Angel mencuba nasib memanggil haiwan tersebut.
"Cak!" haiwan kecil tersebut terus melompat ke tingkap lalu memanjat bahunya. Angel tergelak dan mula teringat kata-kata Indra sewaktu menghantarnya balik ke rumah petang semalam. Indra memberitaunya ada sesuatu yang sedang bersembunyi dan mengekori mereka berdua secara senyap tapi Indra tidak menunjukkan riak wajah risaunya selepas memberitahu perkara tersebut malah lelaki itu hanya tersenyum. Mungkin Cak yang dimasukkan oleh Indra waktu itu.
Angel membelai-belai bulu Cak kemudian membiarkan Cak berlari ke sana ke mari di dalam bilik tidurnya. Sekarang bilik tidur Angel dunia yang baru untuk Cak. Bunyi hon dari halaman rumahnya membuatkan Angel bergerak semula ke tingkap. Kereta Indra muncul di halaman rumah. Lelaki itu mendongak memandang Angel yang sedang berdiri di hadapan tingkap bilik yang menghadap ke halaman rumah. Indra kelihatan bersandar pada badan keretanya sambil tersenyum kemudian melambaikan tangannya. Semalam selepas menghantarnya balik Indra berjanji untuk menjemput ke tempat kerja pagi itu.
"Awak ada room mate barukan?" soal Indra sambil tersenyum. Angel tahu siapa room mate yang Indra maksudkan.
"Mungkin Cak dah keluar ikut tingkap masa saya keluar tadi. Cak tumpang kereta awakkan semalam?" Angel ingin tahu bagaimana Cak boleh berada di atas pokok jambu berdekatan bilik tidurnya. Mungkin sudah semalaman Cak berada di situ.
"Semalam Cak masuk dan bersembunyi dalam kereta saya dan ikut saya hantar awak pulang. Sampai rumah awak, Cak terus melompat keluar dan panjat pokok jambu tepi bilik awak tu. Cak sukakan awak dan nak jadi kawan Ratna" Angel terkekek mendengar cerita Indra sebab haiwan pun mahu berkawan dengan manusia. Angel bukan saja tidak pernah mempunyai kawan malah Angel juga tidak pernah mempunyai haiwan peliharaan walaupun seekor kucing. Sehari sejak bertemu Indra lelaki itu telah mengubah segalanya. Sekarang Angel bukan sahaja sudah mempunyai teman seorang manusia malah kini ada pula seekor haiwan yang sudi menjadi kawannya.
"Tapi saya tak ada pengalaman bagaimana nak jaga haiwan. Nanti saya nak beri Cak makan apa?" Angel tidak mahu Cak mati kelaparan waktu tinggal bersamanya. Kalau kucing Angel tahu apa makanan binatang itu.
"Awak tak perlu risau pasal makanan Cak. Cak pandai cari sendiri. Banyak tumbuhan yang boleh bagi Cak makanan cuma awak jangan tutup rapat tingkap tu, buka sedikit supaya Cak boleh keluar masuk. Cak akan berguna suatu hari nanti, seperti yang saya pernah beritahu awak semalam. Semua haiwan dalam Loka Valley adalah mata dan telinga saya" Angel akhir lega mendengar jawapan dan penjelasan Indra. Cak akan menjadi kawan baiknya setidak-tidak Cak akan menjadi penemannya semasa ketiadaan Indra walaupun Angel mengharapkan Indra sentiasa di sampingnya.
Angel mula merasakan dirinya sudah tidak mampu untuk berjauhan dari Indra. Dia perlu Indra selalu hadir di sisinya menemaninya setiap masa. Setiap malam berteman baju jaket Indra sebagai pembalut tubuhnya dan setiap hembusan nafasnya kini adalah nama Indra. Nama Indra sudah tertulis merata-rata di dalam hatinya. Di mana ada Indra di situ akan ada Angel. Perkara itu akan berlaku mulai hari itu. Angel tersenyum sendiri apabila memikirkannya.
Kenangan di Loka Valley semalam terus segar dalam ingatannya. Di situ dunia yang benar-benar indah. Dunia yang menerbitkan kenangan terindahnya bersama Indra. Ketika Indra memeluk dan melayannya dengan penuh kasih sayang itulah saat-saat yang paling indah dalam hidupnya kini dan segala kemanisan dan keseronokan yang dikecapi waktu itu terbawa ke alam mimpi.
"Ratna! Kita sudah sampai" suara Indra mematikan lamunan dan lelaki itu memandangnya sambil tersenyum. Senyuman yang meruntun jiwa sesiapa saja yang berpeluang memandangnya.
"Wow! Zal, Zack, Sham. Cuba tengok siapa yang datang tu!" suara Sue menegur pasangan yang baru saja melangkah keluar dari kereta mewah yang baru saja parkir di tempat letak khas pegawai-pegawai tertinggi Loka Holding. Lapan pasang mata termasuk semua yang berada di lobi bangunan pejabat Loka Holding yang kebetulan sedang menikmati sarapan pagi yang disediakan khas oleh Restoran Selera Melayu atas arahan Dato' Haikal untuk sedekah bagi pihak arwah ibunya Datin Seri Khadijah segera menoleh melihat kemunculan pasangan yang sedang melangkah masuk.
Pertama kali pekerja-pekerja Loka Holding melihat senyuman terukir di bibir CEO yang menjadi pujaan semua pekerja wanita selama ini. Walaupun setegas atau seserius mana lelaki tersebut melayani pekerjanya namun masih ada yang terus meminati dan memujanya dalam diam tapi kini semua harapan pemujanya hancur berkecai apabila melihat lelaki itu sudah berjaya ditawan oleh seorang bidadari. Indra sendiri telah sedar bahawa dirinya telah melanggar semua peraturan yang telah diciptanya selama ini. Kalau dulu dirinya begitu miskin dengan senyuman apalagi mahu menegur dan bercakap dengan seorang gadis namun kini segalanya sudah musnah. Angel merobohkan kekebalan peraturan yang dibinanya sebelum ini malah kalau boleh Angel tidak boleh hilang dari pandangan matanya meskipun untuk sesaat.
Walaupun matanya tidak memandang sesiapa kecuali fokus kepada gadis yang sedang menyaingi langkahnya tapi Indra tahu semua mata sedang memandang ke arah mereka berdua kerana ketika itu sesuatu yang pelik sedang berlaku.
"Saya akan cuba hadapinya sebab saya telah buat kesalahan kerana melanggar peraturan yang saya ciptakan sendiri" bisik Indra sambil meraih lengan Angel dan merapatkan tubuhnya. Angel juga dapat merasakan ketidakselesaan Indra kerana menjadi tumpuan semua pekerja Loka Holding yang berada di lobi bangunan waktu itu.
"Awak masuklah dulu kalau tidak selesa, saya boleh jumpa Zal dan bersembang dengan mereka sekejap" cadang Angel berniat membantu Indra.
"Tak, saya takkan tinggalkan awak" Angel akur dengan kehendak Indra dan mereka melangkah bersama mendekati pekerja-pekerja Loka Holding yang sedang menikmati makanan masing-masing.
"Hai Angel, Tuan Indra. Nak sarapan ke? silakan" Tegur Sue apabila pasangan tersebut sudah mendekati mereka. Angel mengangguk dan Indra tersenyum tapi pandangannya dilemparkan ke wajah Angel. Angel mengambil sebiji pinggan lalu bergerak bersama Indra mendekati makanan yang dihidangkan secara buffet di atas meja. Satu persatu Indra membantunya memasukkan dua biji nugget, sebiji sosej, dan beberapa kentang goreng ke dalam pinggan di tangan Angel. Angel tersenyum melihat makanan yang dipilih oleh Indra untuknya. Lelaki itu memang berkebolehan meneka kehendak seleranya setiap kali menemaninya memilih makanan.
"Awak duduklah dulu, saya ambilkan minuman untuk awak" mendengar arahan Indra, Angel menoleh mencari tempat yang membolehkan Indra duduk di sampingnya. Segera Angel mendekati kerusi yang ditinggalkan oleh dua pekerja Loka Holding yang sudah usai makan. Belum sempat duduk Indra sudah muncul bersama secawan milo panas di tangannya.
"Milo" beritahu Indra kemudian melabuhkan punggung di sebelah Angel. Ada banyak mata yang memandang ke arah mereka tapi Angel cuba tidak ambil peduli. Indra nampak tenang sahaja dan cuma membuang pandangan pada Angel yang sedang menikmati makanannya.
"Petang nanti kita melawat Dato' Seri Amar, semalam dia dimasukkan ke hospital" beritahu Indra ketika mereka mula meninggalkan lobi dan melangkah masuk ke dalam lif.
"Elok jugak tu, semalam pun dady ada beritahu saya tentang tu. Tapi sebelum ke hospital saya nak singgah ke suatu tempat dulu" Angel teringat kejutan yang ingin dibuatnya untuk Zhafry petang nanti. Pada mulanya kejutan untuk Zhafry ingin dibuat sewaktu Zhafry balik ke rumah malam nanti tetapi memandangkan Indra mengajaknya melawat Dato' Seri Amar di hospital petang nanti Angel akhirnya terfikir untuk menukar rancangannya. Mungkin lebih mengejutkan dan malam nanti tidak perlulah Angel tidur lewat menunggu kepulangan Zhafry.
"Awak nak singgah mana?" tanya Indra sambil memandang Angel yang seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Beli jambangan bunga untuk Dato' Seri Amar dan yang satu lagi tu petang nantilah saya beritahu awak" balasnya Angel ketika mereka melangkah keluar dari lif. Mereka berpisah apabila Indra masuk ke dalam bilik dan Angel meminta izin untuk berjumpa Zaleha dan Sue.
"Hai!" tegur Angel sambil tersenyum sebaik sahaja mendekati keduanya. Zaleha dan Sue membalas senyuman Angel.
"Angel, macam mana kau boleh jinakkan makhluk tu, nampak pelik sangat-sangat bila dia layan kau baik sangat macam tadi tu. Dengan kita orangni jangan kata nak rapat, senyum pun payah. Kau dengan Tuan Indra tu dah ada apa-apa ke?" Zaleha terus bertanya selepas mendapat peluang tanpa Indra di sisi gadis tersebut.
"Tak dalah, datuk saya dan ayah dia dulu kan kawan baik. Kami sambunglah perhubungan tu. Mungkin juga ada keserasian sebab tu kita boleh menerima satu sama lain. Tapi yang boleh aku rasa sekarang ialah aku bahagia dan seronok bila kami bersama" balas Angel sambil tersenyum.
"Angel, kau tak takut ke sebab Tuan Indra pelik semacam je ku tengok. Dia pandang kau macamlah kau tu makanan yang paling lazat yang di hidang depan dia.. Kau tak rasa janggal ke bila dia asyik pandang kau macam tu" soal Zack yang kebetulan turut mendengar perbualan di antara kedua-dua gadis tersebut. Angel menggelengkan kepalanya. Siapa Indra dan apa saja perkara pelik yang orang lain nampak pada lelaki itu bukan sesuatu yang pelik pada Angel sebab hanya dia yang mengenali siapa sebenarnya Indra dan kini lelaki tersebut cukup istimewa di hatinya.
"Awak tak kenal dia seperti saya kenal dia, Indra seorang lelaki yang baik dan menarik" balas Angel sebelum meminta diri untuk masuk ke bilik. Semakin lama bersembang dengan rakan sepejabatnya mungkin semakin banyak persoalan yang perlu dijawabnya. Kalau difikirkan hubungan yang terjalin di antara dia dan Indra memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dalam tempoh yang begitu singkat perasaannya begitu cepat menerima kehadiran lelaki tersebut dan tidak sedikitpun terbit kecurigaan dan kerisauan dalam hatinya malah perasaan yang wujud kini terlalu sukar untuk digambar atau diukur dengan kata-kata. Kini Angel hanya mahu Indra dan seluruh hidupnya hanya untuk bersama Indra dan apa saja akan Angel lakukan selepas ini adalah demi kebahagiaannya bersama lelaki tersebut.

DirgantaraWhere stories live. Discover now