Bab 62. Suatu Ikatan

0 0 0
                                    

Angel terjaga apabila bilik tidurnya sudah terang dipenuhi oleh sinar sang suria yang memancar melalui balkoni bilik yang mengadap ke timur. Tuala basah yang hampir kering di sisinya memberi jawapan apa yang berlaku pada dirinya malam tadi. Indra tidak kelihatan dan mungkin suaminya sedang berada di tingkat bawah menyediakan sarapan pagi untuknya atau mungkin Indra sedang menikmati kesegaran udara pagi di luar rumah.
Tubuhnya terasa lebih kuat berbanding semalam dan Angel segera bangun berdiri walaupun sedar tiada apa-apa yang membaluti tubuh selepas menyelak selimut yang menutupi tubuhnya. Selepas mencapai tuala mandi Angel segera melangkah menuju ke bilik air. Kesegaran yang dirasakan selepas menyiram dan membersihkan tubuhnya membuatkan rasa begitu nyaman dan selesa untuk meneruskan harinya.
Waktu menunjukkan hampir pukul sepuluh pagi namun suasana rumah itu sunyi dan sepi. Meja di ruang dapur kelihatan kosong tanpa ada satupun makanan yang terhidang di atasnya membuatkan Angel tertanya-tanya pada dirinya. Kemanakah perginya Indra dan Isti Samira. Menggenangkan perutnya yang sudah berkeroncong minta di isi, Angel segera mencari sesuatu untuk mengalas perutnya. Sekotak susu segar dan bijiran sarapan yang ditemui segera menjadi juadahnya dan dengan berselera mungkin kerana terlalu lapar. Angel kecewa apabila ingin menambah semula bijirin sarapan apabila mendapati kotak di hadapannya sudah kosong.
Belum cukup kenyang selepas menikmati semangkuk bijirin Angel membuka peti sejuk kemudian mengeluarkan sebiji epal lalu mengigitnya. Manis! Bisiknya dalam hati apabila lidahnya mula merasa kemanisan buah epal tersebut. Sepanjang hari dan hampir menjelang petang bayangan Indra dan Isti Samira tidak jua kelihatan membuatkan Angel mula risau. Ke manakan perginya isi rumah yang didiaminya sekarang. Kenapa dia ditinggalkan sendirian tanpa sebarang nota. Telefon bimbit Indra juga gagal dihubunginya hanya rakaman suara lunak merdu mel peti suara yang kedengaran.
Angel mula bosan apabila malam mula menjenguk semula dan bayangan suaminya masih juga tidak kelihatan. Ke mana pergi Indra? Persoalan yang berkali-kali ditanyanya pada diri sendiri. Beranjak ke lewat malam di kala cuba memejamkan matanya Angel terdengar bunyi seperti pintu terbuka dan derap langkap seseorang melangkah masuk ke dalam rumah. Kegembiraan mula meresap masuk ke dalam hati apabila memikirkan Indra sudah pulang.
Kegembiraannya padam apabila melihat Isti Samira yang sedang memimpin tangan Daniel Hakimi melangkah masuk ke ruang tamu membalas padangannya. Wanita itu tersenyum kepadanya.
"Tadi ibu temankan Daniel keluar jalan-jalan. Angel tentu laparkan sebab seharian tidak menjamah nasi. Ini ibu ada bawakan makanan untuk Angel" beritahu wanita itu kemudian menghulurkan makanan di tangannya kepada Angel .
"Indra mana bu, ke mana dia pergi, sudah seharian Angel tidak nampak dia?" suaminya lebih penting dari rasa lapar yang ditanggungnya sejak siang tadi. Dia lebih perlukan Indra untuk balik malam itu menemani dan mengulit tidurnya.
"Angel makanlah dulu, nanti ibu beritahu ke mana Indra" Angel hampa mendengar jawapan ibu mertuanya. Tanpa selera Angel menikmati jua separuh nasi ayam yang dibawa oleh ibu mentuanya.
"Indra yang belikan makanan tu untuk Angel tadi" beritahu Isti Samira selepas melihat Angel seperti tidak menghabiskan makanan di hadapannya. Ayat wanita itu mengembirakan Angel dan Isti Samira tersenyum apabila melihat Angel berselera semula untuk menyambung suapannya.
Air matanya gugur apabila mendengar perkara yang disampaikan oleh Isti Samira berikutan punca ketiadaan Indra sejak pagi tadi. Mereka tidak mungkin dapat bersama lagi setelah Angel sudah berbadan dua. Indra tidak mampu menahan keinginannya untuk meratah janin yang sedang membesar dalam rahim isterinya. Kalau Angel berkeras inginkannya kembali, Angel harus menggugurkan kandungannya. Sanggupkah Angel melakukan pengorbanan itu untuknya?.
Hari demi hari Indra memang tidak mungkin akan menjengguknya lagi dan Isti Samira pula telah menyampaikan pesan Indra supaya Angel tidak perlu ke Loka Holding buat sementara waktu dan membenarkan isterinya bercuti selama mana yang diperlukan. Angel akur kalau itu untuk kebaikan mereka bersama namun setelah seminggu Angel menjalani hidup sendirian perasaannya begitu terseksa.
Dia saat menempuh pengalaman pertama bakal bergelar seorang ibu Angel amat memerlukan kehadiran dan perhatian suaminya tetapi Angel kecewa dan sedih apabila Indra pula terpaksa menjauhkan diri. Air mata yang setiap hari menemaninya sudah tidak terhitung berapa banyak mengalir membasahi pipinya.
Naluri keibuan yang semakin menebal hadir dalam dirinya membuatkan Angel tidak sanggup kehilangan apa yang sudah ada di dalam rahimnya sekarang. Angel sayangkan kedua-duanya, suami dan anak dan kerana itu Angel tidak mahu membuat pilihan dan Angel mahu mencari jalan penyelesaian.
Seluruh sudut dan penjuru bilik tersebut sudah habis ditakluki matanya dan akhirnya Angel nekad membuat satu keputusan dan mungkin itu permulaan jalan penyelesaiannya. Sebelum melakukannya Indra sepatutnya tahu dan telah memikirkan risiko, kesan dan akibatnya dan bukannya semata-mata untuk mendapat kenikmatan dan kebahagian sahaja. Kesudahannya mereka berdua harus sama-sama bertanggungjawab menjadi punca kewujudan apa yang telah ada di dalam rahim Angel sekarang. Indra harus kembali ke rumahnya sendiri dan harus berani menghadapi apa saja bersamanya. Angel mahu lelaki itu menunaikan segala janjinya untuk sentiasa bersamanya dalam apa jua keadaan.
Ketiadaan Isti Samira yang baru saja keluar beberapa minit yang lalu memberi peluang Angel untuk keluar menemui suaminya. Menurut Isti Samira sekarang Indra sedang menginap di sebuah kodominium mewah yang merupakan salah satu projek yang pernah dibuat oleh Loka Holding. Sambil memikir-mikir antara lokasi-lokasi yang mungkin suaminya berada matanya memerhati kunci-kunci kereta yang berderetan di tempat penyimpanannya. Angel lantas tersenyum apabila terpandang salah satu kunci kereta yang terpamer di situ lalu segera mencapainya kemudian keluar meninggalkan rumah tersebut.
"Ratna!" berkali-kali nama itu diserunya. Indra benar-benar merasa kehilangan dan tidak mampu lagi mengukur darjah kerinduan yang ditanggungnya sekarang. Seksa dan amat menyakitkan meninggalkan sesuatu yang teramat disayanginya. Tanpa Angel di sisinya segalanya kosong dan tidak bermakna. Mampukan dia bertahan untuk terus menjauhkan diri sedangkan jiwanya semakin terseksa tapi Indra akan lebih terseksa jika melukai dan menyakiti isterinya. Indra tahu isterinya tidak akan sanggup melakukannya tapi sekarang pasti isterinya dalam dilemma memilih antara suami dan anak mereka. Indra ingin menjerit dan menangis apabila memikirkan kepayahan dan kesedihan isterinya kerana terpaksa sendirian menghadapi pengalaman pertamanya bakal bergelar seorang ibu. Sepatutnya Indra berada di samping isterinya untuk menjaga kesihatan dan keselamatan isterinya dan sama-sama menghadapinya.
"Ratna sayang!" apa harus saya buat, saya sudah tidak mampu berjauhan dari awak, saya rindukan awak Ratna" Indra sudah benar-benar penasaran apabila terpaksa meluahkan perasaan pada foto Angel yang tergantung di setiap sudut kondominium mewah yang terpaksa didiaminya sekarang.
"Abang Indra!" Indra segera menoleh apabila namanya diseru oleh seorang wanita dan pintu kondonya tiba-tiba terbuka. Seorang gadis yang teramat dikenalinya tiba-tiba muncul di hadapan pintu kondonya sambil tersenyum. Walaupun Indra tidak hairan bagaimana gadis itu boleh tahu dia tinggal di situ namun beberapa perkara yang telah gadis itu lakukan untuk memisahkannya dengan isterinya, Ratih Hasna masih berani menemuinya lagi.
"Kau mahu apa?" soal Indra sambil merenung tajam memandang Ratih Hasna yang berdiri di hadapan pintu. Gadis itu cantik menyamar menggunakan pakaian manusia. Walaupun Indra menegurnya kasar namun senyuman tidak lekang di bibir gadis tersebut.
"Angel mana?, tentu abang sudah tinggalkan dia?" soalan Ratih Hasna membuatkan lidah Indra kelu hendak menjawabnya.
"Sekarang mungkin abang kesal kerana kesilapan memilih perempuan manusia tu sebagai pasangan sedangkan abang tahu perempuan manusia tidak sesuai untuk abang dan apabila sudah menjalani hidup bersamanya akhir abang terpaksa meninggalkan kerana abang baru sedarkan apa keperluan sebenar abang?" tambah Ratih Hasna lagi sambil merapati Indra. Lengan lelaki itu diraihnya mengajaknya masuk ke dalam. Dari awal kemunculannya tiada pertanda Indra ingin memperlawanya masuk ke dalam kediaman mewah manusia milik lelaki tersebut.
"Aku tak pernah silap, aku cintakan Ratnaku dan aku meninggalkannya sekarang kerana aku terlalu menyayanginya dan kau tidak akan faham kerana kau bukan manusia" balas Indra sambil menolak tangan Ratih Hasna yang menyentuh lengannya. Ratih Hasna mengangkat keningnya kemudian tersenyum. Misinya memang bukan untuk menggoda Indra tetapi untuk menjerat Indra agar kembali kepada isterinya.
"Tapi tanpa Angel di sisi abang sekarang mampukah abang untuk bertahan. Maksud Ratih, bertahan tanpa membelai dan menikmati tubuh seorang perempuan terutama lelaki yang pernah melalui dan merasainya seperti abang" soalan Ratih Hasna membuatkan Indra merengus memandang gadis itu dengan pandangan yang tajam. Ratih Hasna tergelak memandang wajah Indra yang begitu marah selepas mendengar kata-katanya. Tujuannya menyakiti hati lelaki tersebut akhirnya berjaya. Misinya hampir mencapai ke matlamatnya. Indra harus kembali kepada Angel agar lelaki tersebut sengsara melawan aroma janin yang berada dalam perut isterinya. Berapa lamakah lelaki tersebut mampu bertahan sebelum merobek perut isterinya untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat itu dan itulah yang Ratih Hasna inginkan berlaku kepada lelaki tersebut.
"Aku bukan seperti lelaki manusia biasa yang kau fikirkan. Selain Ratnaku aku tidak akan ada nafsu untuk bersama perempuan lain" jawapan Indra membuatkan Ratih tergelak lagi kemudian memandang lelaki itu sambil mengangkat keningnya.
"Betulke? tentu Angel ada keistimewaan dan kelebihan yang mampu melayan keinginan abang yang pasti hebat ketika melakukannya dan sekarang pasti abang terseksa jiwa dan raga kerana sangat-sangat merindui Angel tapi kenapa sekarang abang tinggalkan perempuan manusia tu sekirannya hanya perempuan manusia itu sahaja yang dapat memberi kepuasan kepada abang" Indra semakin bengang mendengar kata-kata Ratih Hasna. Leher gadis itu disentuhnya kerana ingin mencekiknya supaya menghentikan kata-katanya yang seperti tidak siuman di telinganya. Ratih Hasna melawan dan kemudian cuba melepaskan dirinya dengan tenaga dan kuasanya menggunakan selendangnya untuk membelit tubuh Indra membuatkan tubuh lelaki itu ditarik rapat kepadanya. Indra melepaskan tangannya dan berjaya menangkapkan tubuh Ratih Hasna menyebabkan mereka seperti pasangan yang sedang berpelukan.
Angel ingin menjerit menegur suaminya tapi lidahnya seakan kelu melihat apa yang sedang berlaku di hadapanya. Kunci kereta di tangannya jatuh ke lantai dan bunyinya membuatkan Indra dan Ratih Hasna serentak menoleh.
"Ratna!" seru Indra menegur isterinya yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu. Angel tunduk lalu segera mengutip kunci keretanya kemudian terus berlari meninggalkan kodominium tersebut.
Wajah Angel yang berubah ketika melarikan diri membuat Indra semakin berang kepada Ratih Hasna. Tanpa menghiraukan kecederaan Ratih Hasna, Indra terus merentap selendang yang membaluti tubuhnya kemudian menggunakan selendang tersebut untuk membelit leher Ratih Hasna. Ratih Hasna merayu minta dilepaskan tapi dengan separuh kekuatannya Indra mengheret gadis tersebut mendekati tingkap kemudian membuang Ratih Hasna keluar. Seekor angsa putih terbang tinggi ke awan dan beberapa helai bulunya berguguran jatuh semula ke bumi.
Indra mengeluh, pasti Angel tersalah anggap selepas melihat apa yang berlaku sebentar tadi. Hendak mengejar isterinya Indra risau sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Angel mungkin akan kehilangan anaknya dan Angel akan membencinya buat selama-lamanya. Menurut Isti Samira, Angel kelihatan terlalu menyayangi kandungan dan akan terus mempertahankannya sampai dilahirkan.
Ke mana langkahnya hendak dituju. Angel sudah tidak mampu memikirkannya. Air matanya dibiarkan sahaja mengalir sendiri tanpa henti. Dia kurang pasti apa yang sebenarnya berlaku namun api cemburu tiba-tiba menular masuk ke dalam hatinya. Mungkin Ratih Hasna sengaja menggunakan kesempatan daripada jarak yang dicipta oleh Indra antara mereka. Kalau Indra sengaja tega berbuat begitu kepadanya Angel perlu mengumpul ketenangan sebelum berdepan dengan suaminya.
Ketika terus memandu keretanya Angel mati akal untuk memikirkan ke mana haluannya. Untuk kembali ke rumah Zhafry sesuatu yang mustahil. Angel tidak mahu Zhafry tahu apa yang berlaku di antaranya dan Indra. Zhafry pasti akan bertanya itu dan ini kepadanya dan Angel tidak tahu apa yang harus diceritakan sebagai jawapannya kelak. Kisah hidupnya yang bagaikan cerita dongeng itu tidak mungkin akan diceritakan pada sesiapa.
Angel sendiri tidak terfikir perjalanannya sudah sejauh itu apabila terbaca papan tanda menunju ke Kota Samarahan. Melalui sebuah jambatan yang panjang kenderaan yang dipandunya sudah berasa di seberang sungai . Apa tujuan sebenar Angel untuk ke seberang sana Angel sendiri tidak pasti. Hanya menurut kata hatinya yang terluka, itu mungkin yang berlaku pada dirinya waktu itu.
Ketika melayan perasaan yang sedang gundah gulana Angel hanya menurut kata hati dan tidak mampu memikirkan ke manakah haluan perjalanan hari itu. Di sepanjang jalan raya yang dilaluinya semuanya pemandangan yang menghijau dengan pelbagai tumbuhan yang menjadi sumber pendapatan sebahagian daripada penduduk di situ.
Ketika melalui satu pekan, Angel terhidu pelbagai bau makanan seperti kuih muih yang dijual oleh penjaja kampung di situ. Keinginan untuk merasa kuih-muih tradisonal tiba-tiba muncul selepas terhibu bau-bauan tersebut. Sejak berbadan dua Angel kurang berselera hendak makan terutama sejak seminggu yang lalu selepas Indra menjauhkan diri darinya. Nasi dan lauk pauk yang di sediakan oleh ibu mertuanya hanya disentuhnya sesudu dua. Sepanjang hari Angel hanya mengalas perutnya dengan bijirin sarapan dan air susu.
Daripada jalan utama untuk masuk ke kawasan pekan, Angel tercari-cari papan tanda laluan masuk atau simpang jalan yang boleh digunakan untuk ke tempat di mana ada penjaja yang sedang menjual makanan. Pekan tersebut tidaklah sebesar mana tetapi kerana itu adalah kali pertama sampai di daerah tersebut Angel terpaksa menjadi seperti rusa masuk kampung. Tertoleh ke kiri dan kanan dan akhir Angel tersilap haluan.
Dengan pantas Angel memutarkan stearing keretanya secara mengejut selepas mengambil keputusan untuk berpatah balik. Pada ketika yang sama Angel tidak sempat melihat seorang wanita separuh umur yang sedang melintas jalan.
"Ya Allah" jeritnya lalu segera menekan break keretanya kemudian terus meluru keluar untuk mendekati wanita tersebut. Mujurkah wanita itu hanya jatuh akibat terkejut dan cuba menggelak keretanya. Barang yang dibawanya bertaburan di atas jalan termasuk beberapa biji telur yang kelihatannya sudah pecah. Terbit rasa kesal di hati Angel melihat kejadian yang berlaku ke atas wanita tersebut akibat kecuaiannya.
"Maafkan saya, makcik tak apa-apa?"soalnya ketika membantu wanita itu bangun berdiri. Wanita itu menggelengkan kepala tapi wajahnya nampak sedih mungkin melihat keadaan barangan yang dibelinya sudah tidak sempurna lagi dan ada yang langsung sudah tidak boleh digunakan lagi.
"Tak nak, makcik tak apa-apa. Makcik minta diri dulu nanti tak sempat pulak kalau kereta sewa sampai" beritahunya kemudian bergegas mahu beredar.
"Makcik, saya hantarkan" Angel segera mendekati wanita itu dan wanita tersebut berpaling semula apabila mendengar suara Angel memanggilnya. Renungan mereka bertaut seketika. Ternampak ada kesan menangis di wajah gadis itu membuat matanya terus merenung wajah Angel buat seketika. Seperti ada suatu ikatan yang payah dirungkaikan dan sukar untuk dileraikan.
"Nanti menyusahkan kamu sebab rumah makcik jauh jugak dari sini" Angel tersenyum apabila mendengar suara wanita itu.
"Tak apa makcik, naik kereta bukannya jalan kaki. Saya rasa bersalah pulak kalau biarkan makcik balik macam tu saja" Tanpa menunggu jawapan wanita itu lantas Angel meraih tangannya mengajaknya ke kereta. Mata wanita itu terpaku sekejap melihat kereta yang bakal dinaikinya. Angel nampak wanita tersebut seperti teragak-agak untuk melangkah mendekati kereta BMW 6 series yang Indra hadiahkan kepadanya semasa percutian bulan madu mereka di Eropah beberapa bulan yang lalu. Semasa memasuki pusat pekan tadi Angel perasaan ramai mata yang memandangnya tapi Angel sendiri kurang pasti apa yang menarik minat orang ramai waktu itu sehinggalah Angel sedar dirinya sedang memandu sebuah kereta mewah.
Setelah menemui sebuah kedai runcit Angel memakir keretanya di hadapan kedai tersebut kemudian mengajak wanita tersebut membeli semula barangan.
"Jom makcik kita singgah kedai tu dulu" perlawa Angel mengajak wanita yang duduk di sebelahnya. Wanita tersebut turun dari kereta Angel tanpa membantah. Angel kemudian mengambil beberapa jenis barang yang ada dalam ingatan lalu meletakkan di atas kaunter bayaran.
"Saya ikhlas dan saya nak makcik terima sebab saya nak ganti barang makcik yang rosak tadi" wanita itu terpingga-pingga menerima barang yang Angel berikan kepadanya.
"Kenapa banyak sangat ni, barang makcik sikit saje tadi" beritahu wanita itu apabila Angel membeli dua kali ganda dari jumlah yang asal.
"Saya ikhlas makcik dan saya rasa bersalah dan sedih sangat bila lihat barang makcik habis rosak kerana saya" wanita itu tersenyum mendengar jawapan Angel.
"Bukan salah kamu makcik sebenarnya tak berhati-hati semasa hendak melintas tadi" ujarnya kerana turut terharu melihat kebaikan gadis itu. Hidupnya yang sepi tanpa kelahiran cahaya mata diterimanya dengan redha. Tiga kali mengandung tapi dua kali keguguran dan anak ketiganya meninggal selepas beberapa jam dilahirkan. Selepas kandungan ketiga itu juga doktor mengesahkan Janah tidak boleh mengandung lagi selepas itu kerana rahimnya sudah rosak dan terpaksa dibuang. Kalau anak yang ketiga masih hidup mungkin sebaya gadis yang sedang memandu di sebelahnya sekarang.
"Berapa umur kamu nak?" soalnya ketika Angel meneruskan pemanduan menuju ke alamat kampung yang diberitahunya kepada gadis tersebut.
"Dua puluh satu, kenapa makcik?" soal Angel sambil tersenyum memandang sekilas wanita yang duduk di sebelahnya. Kali ini dia akan memandu lebih berhati-hati kerana tidak mahu perkara yang sama berulang lagi.
"Makcik tak ada anak. Makcik pernah mengandung sebanyak tiga kali tapi semuanya meninggal dunia. Rasanya kalau Nur Syifa anak makcik yang ketiga masih hidup mungkin sudah sebaya kamu. Nur Syifa meninggal selepas beberapa jam dilahirkan" Angel rasa terharu apabila mendengar jawapan wanita tersebut. Mesti wanita itu kesepian sepanjang hidupnya kerana tiada anak yang menemaninya. Selepas mendengar cerita makcik tersebut Angel mula terfikir sesuatu. Angel dan suaminya adalah di antara pasangan-pasangan suami isteri yang bertuah kerana telah dikurniakan zuriat. Oleh kerana itu Angel akan terus nekad untuk melakukan pengorbanan yang besar. Angel mesti berjuang dengan semangat yang kuat dan untuk terus mempertahankan zuriatnya walaupun terpaksa berjauhan daripada suami dan bersendirian menempuh kesukaran sepanjang tempoh kehamilannya. Indra hanya tidak boleh bersama Angel ketika kandungan masih berasa di dalam rahimnya tetapi setelah zuriatnya selamat dilahirkan Indra pasti akan kembali kepangkuan Angel dan anak mereka. Cuma perasaan Angel masih terganggu dan sedih apabila mengenangkan sesuatu yang telah membuat Angel membawa diri ke destinasi yang Angel sendiri tidak pernah terfikir untuk sampai ke tempat tersebut.
Wanita itu menujukkan simpang arah masuk ke rumahnya. Sebuah rumah kampung yang sederhana besar dibina di atas tanah lot masing-masing. Ada pagar sendiri dan di tepi rumahnya terdapat batas sayur, cili, serai dan beberapa tanaman lain yang Angel tidak pasti namanya. Pasti semua tanaman tersebut untuk keperluan masakan harian pemilik rumah tersebut.
Wanita itu mengeluarkan segugus kunci dari beg bahunya kemudian membuka pintu pagar dan menyuruh Angel membawa masuk keretanya ke dalam pagar rumah tersebut. Kemunculan Angel juga menjadi tumpuan beberapa pasang mata jiran-jiran berdekatan yang menjenguk untuk melihat tetamu yang datang mengunjungi rumah tersebut. Rumah tersebut memang jarang dikunjungi sesiapa kerana pasangan suami isteri tersebut tidak ramai saudara mara. Ustaz Zaini berasal dari Kampung Lintang, Kuching dan apabila bertugas mengajar di Samarahan beliau berkahwin dengan wanita tempatan dan terus menetap di kampung tersebut. Isterinya pula anak tunggal kepada arwah Ustaz Fuad satu-satu tokoh agama yang menjadi rujukan penduduk kampung suatu masa dulu. Ustaz Fuad pernah merantau untuk menuntut agama sehingga ke Mesir dan sebab itu penduduk-penduduk di situ sangat menghormatinya.
Walaupun serba serbi sederhana namun Angel berasa tenang dan selesa ketika berada di dalam rumah tersebut. Bersebelahan ruang tamu terdapat satu ruangan seperti sebuah kelas tapi tiada kerusi, cuma terdapat beberapa buah meja rendah dan menurut wanita tersebut tempat tersebut di gunakan oleh suaminya untuk mengajar budak-budak kampung mengaji Iqra' dan Alquran.
"Nama makcik siapa" soalan yang sepatut ditanyanya sewaktu di tempat kejadian tadi. Wanita itu tergelak kecil mendengar soalan Angel.
"Makcik pun lupa nak bagi tahu nama makcik. Nama makcik Janah tapi panggil makcik saja" Angel mengangguk selepas mendengar jawapan wanita itu.
"Saya Angelya Rydiana Ratna tapi panggil Angel saje" giliran Angel pun memperkenalkan dirinya.
"Suami makcik mana, tak nampak pun sejak tadi?" soal Angel sambil matanya meliar memerhati sekeliling rumah tersebut.
"Petang Sabtu macam ni dia akan ke masjid sebab ada kelas fardu ain untuk orang-orang kampung" nampak jelas di mata Angel suami wanita itu seorang yang aktif dalam aktiviti keagamaan.
"Oh, suami makcik ustaz rupanya" wanita itu tersenyum selepas mendengar ayat yang keluar dari mulut gadis cantik di hadapanya.
"Ya ustaz sekolah rendah. Kalau hujung minggu atau cuti sekolah dia akan buatlah kelas-kelas untuk orang-orang kampung yang ingin mendalami agama" cerita Janah lagi tentang suaminya.
"Eloklah tu makcik, kerja yang mulia. Saya pun, kalau ada anak nanti mahu juga saya hantar ke sini untuk belajar mengaji" Janah sedikit terpana apabila mendengar jawapan Angel. "Kamu sudah berkahwin ke?" soal Janah sambil memandang Angel. Angel menganggukkan kepalanya.
"Baru je makcik belum sampai empat bulan" melihat inai yang masih berbekas di jari Angel Janah akhirnya yakin kemudian tersenyum kerana gadis cantik itu tidak berbohong kepadanya. Dari pemerhatian sejak pertemuannya dengan Angel, Janah tahu gadis itu pasti anak orang kaya dan sekarang mungkin isteri kepada seorang lelaki yang kaya.
"Kamu tinggal di mana?" soal Janah selepas mempersilakan Angel menikmati air teh dan sepiring biskut yang di hidangnya di atas meja.
"Kuching, Loka Valley, tapi rumah dady saya dekat Matang Garden" kerana tidak biasa pergi ke tempat yang disebut oleh Angel Janah tidak mampu membayangkan keadaan dan suasana kediaman di tempat tersebut. Mungkin taman perumahan untuk golongan kaya, fikir Janah dalam hatinya. Suara seorang lelaki yang kedengaran memberi salam mematikan perbualan mereka. Janah bergerak meninggalkan Angel sendirian di ruang tamu untuk membuka pintu untuk suaminya.
"Kita ada tetamu ke? Mewah benar keretanya tu" tegur Ustaz Zaini sebaik sahaja terpandang wajah isterinya. Kereta mewah yang parkir di luar rumah membuatkan hatinya tertanya-tanya siapakah tetamu yang mengunjungi rumahnya.
"Ya, kami tak sengaja bertemu. Tu sedang duduk di ruang tamu. Muda lagi orangnya tapi sudah bersuami. Angel namanya" sahut Janah memberitahu tentang tetamu mereka. Ustaz Zaini membuntuti isterinya menuju ke ruang tamu. Seorang gadis muda cantik sedang duduk sendirian sambil menikmati minuman yang dihidang oleh isterinya. Angel tersenyum memandang pasangan yang sedang berjalan memasuki ruang tamu.
Ustaz Zaini membatalkan niatnya untuk memberi salam apabila teringat sesuatu dan membuatkan Ustaz Zaini keliru tentang gadis tersebut. Rupa gadis cantik itu juga membuatkan Ustaz Zaini tidak pasti bangsa dan agamanya. Berhidung mancung dan berkulit putih serta warna matanya yang coklat memang jauh dari ciri gadis melayu kecualilah kalau gadis itu saudara baru.
"Dari mana?" soal Ustaz Zaini sambil memandang gadis tersebut. Angel diam ketika terpana melihat lelaki yang muncul menegurnya. Angel mengamati wajahnya yang seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi Angel tidak pasti atau mungkin Angel pernah berjumpa manusia lain yang serupa wajahnya dengan lelaki tersebut. Dalam dunia ni ada tujuh orang yang hampir serupa, fikir Angel dalam hatinya.
"Kuching, sebenarnya saya terlanggar Makcik Janah tadi" balas Angel ringkas. Ustaz Zaini segera memandang isterinya apabila mendengar jawapan Angel. Tiada apa-apa kesan kemalangan pada isterinya.
"Kamu tidak apa-apa ke" Janah tergelak kecil mendengar soalan suaminya yang bernada benar-benar risau. Janah menggelengkan kepalanya.
"Angel tak langgar saya pun. Saya jatuh sebab terkejut, abang janganlah risau" Ustaz Zaini lega mendengar jawapan isterinya. Dia tiada sesiapa selain isterinya yang amat dikasihaninya. Walaupun cuma hidup berdua namun dia cukup bahagia hidup bersama Janah. Sakit pening, susah senang mereka sentiasa bersama.
Entah kenapa Angel berasa begitu selesa apabila mengenali pasangan suami isteri tersebut. Ada sesuatu yang tiba-tiba timbul setelah bertahun-tahun terbenam jauh di dasar hatinya. Semasa berada di dalam rumah itu Angel merasa sungguh tenang, selamat dan rasa disayangi.
"Makcik, Ustaz! Boleh tak kalau saya tumpang bermalam di sini untuk semalam dua" Janah dan suaminya saling berpandangan selepas mendengar pemintaan gadis di hadapan. Kedua-dua kembali menatap wajah Angel.
"Kalau tak boleh tak apalah, jangan risau sebab saya sekadar bertanya je" mungkin pasangan suami isteri itu terlalu terkejut mendengar pemintaannya sekejap tadi.
"Eh, kenapa pulak macam tu. Kami gembira sangat kalau Angel sudi bermalam dan tinggal di rumah kami. Rumah kami sentiasa terbuka untuk sesiapa saja. Kami lagi gembira kalau Angel sudi anggap kami berdua macam ibu ayah sendiri"
"Ya, betul tu Angel. Kami amat berbesar hati kalau Angel sudi anggap kami macam orang tua. Nak panggil abah dan ummi pun boleh" tambah Ustaz Zaini sambil tersenyum memandang isterinya kemudian pasangan tersebut sama-sama memandang Angel. Angel rasa sungguh terharu mendengar jawapan pasangan suami isteri itu kepadanya. Satu masalah sudah dapat diselesaikan kerana Angel ingin mencari ketenangan di satu tempat yang tiada siapa mengenalinya.
"Eh, macam mana dengan suami Angel. Dia tahu ke atau kalau dia mencari Angel nanti macam mana? Berdosa keluar rumah tanpa izin suami" Angel tersenyum mendengar pertanyaan Ustaz Zaini.
"Suami saya tiada dekat sini, dia keluar negara. Nanti saya hantar masej beritahu dia saya bermalam di rumah ummi dan abah" dua perkataan yang pertama kali digunanya untuk pasangan suami isteri tersebut. Angel harap pasangan suami isteri tersebut berpuas hati selepas mendengar jawapannya. Janah dan suaminya tersenyum kemudian mengangguk selepas mendengar jawapan Angel.
Janah menunjukkan bilik tamu yang akan digunakan oleh Angel sepanjang menginap di rumah mereka. Beberapa helai baju kurung dan kain batik diletaknya di atas katil untuk kegunaan Angel. Mujurlah Nur Janah bertubuh kecil dan bajunya boleh muat ke tubuh Angel.
"Eh, budak Angel tu Islam ke?" soal Ustaz Zaini apabila melihat isterinya membawa sehelai kain telekung menuju ke bilik tamu.
"Islamlah bang cuma dia mungkin bukan melayu. Saya belum sempat lagi tanya pasal tu dekat dia" sahut isterinya sebelum meneruskan langkahnya menuju ke bilik tamu untuk menyerahkan telekung yang dibawanya kepada Angel. Ustaz Zaini terus mendiamkan diri selepas mendengar jawapan isterinya
Sewaktu menyediakan makan malam, Angel membantu Janah menyediakan lauk pauk sebagai hidangan mereka bertiga pada malam tersebut. Lama Angel tidak merasa sebahagian lauk pauk makanan kampung sejak arwah Puan Sharifah Aina meninggal dunia. Di rumah Zhafry memang makanan seperti itu tidak pernah ditemuinya begitu juga di rumah mentuanya kerana Indra dan ibu mertuanya hanya membeli makanan untuknya atau membawa Angel makan di luar.
"Lauk kampung, Angel pernah makan semua ni" Angel menggelengkan kepalanya apabila melihat beberapa jenis lauk yang terhidang. Sayur pucuk ubi masak lemak dan gulai ikan parang dan ulam pucuk paku memang makanan itu jarang ditemuinya.
"Kalau masa arwah nenek masih ada, ada juga jumpa makanan kampung tapi lauknya taklah sama macam ni. Sekarang tak pernah lagi sebab sebelum ni saya cuma tinggal dengan dady. Dia doktor jadi kami tak pernah masak macam ni dekat rumah" Angel membuka ceritanya. Memang begitulah kehidupan orang berada, fikir Janah dalam hatinya.
"Rumah mentua Angel?" soalan itu membuatkan Angel tersenyum kemudian menggelengkan kepala.
"Tak ada langsung, kami beli je makanan atau makan dekat luar. Suami saya tak makan semua ni" Angel terlepas cakap di akhir ayatnya dan Angel harap pasangan suami isteri itu tidak memahami maksudnya.
"Orang kaya biasanya memang suka western food tak pandai makan macam ni" Ustaz Zaini mencelah kemudian tersenyum.
"Taklah, bukan tak pandai makan tapi tak tahu nak masak" bidas Angel kemudian tersenyum.
"Ya ke, senang aje masaknya. Nanti minta tunjuk ajar ummi kamu" Angel menganggukkan kepalanya mendengar cadangan Ustaz Zaini yang tersenyum memandang isterinya.
"Angel, kami sekadar nak tahu saje sebab nama dan rupa Angel ni tak macam melayu kecuali cakap kamu aje yang tak pelat. Kamu bangsa apa sebenarnya" Angel tersenyum apabila mendengar Ustaz Zaini menyoalkannya tentang perkara tersebut.
"Dady saya Eurasian dan emak saya Arab melayu" pasangan suami isteri tersebut akhirnya faham setelah mendengar jawapan Angel.
Janganlah pula mereka berdua ni bertanya tentang bangsa suaminya sebab Angel tidak tahu apa nak beri jawapan apa, desis Angel dalamnya hati di kala penghuni meja makan kembali menumpukan perhatian pada pinggan masing-masing. Kerana faktor kandungan yang terlalu muda Angel tidak mampu membangkitkan selera makannya. Sebahagian saja daripada makanan yang berada di dalam pinggannya mampu ditelannya dan akhirnya Angel cuma menikmati beberapa ulas buah limau mandarin yang dibelinya ketika mereka singgah di kedai runcit siang tadi.

DirgantaraWhere stories live. Discover now