Bab 40.Kedatangan Keluarga Adam

0 0 0
                                    

Angel bertegas dengan keputusannya untuk balik ke rumah sebaik mendapat panggilan dari Hashim. Adam sekeluarga akan datang melawat ke Kuching esok dan Angel bermurah hati mempelawa keluarga itu menumpang di rumahnya sepanjang percutian tiga hari keluarga tersebut ke Kuching. Permintaan Adam pada ayahnya sebelum memulakan musim persekolahannya tahun hadapan.
"Mereka sekeluarga sudah bersetuju untuk menumpang di rumah saya dan saya sudah berjanji untuk menjadi pemandu pelancong mereka" jelas Angel memujuk Indra agar mengizinkannya untuk melayani kunjungan Keluarga Adam ke Sarawak.
"Bila mereka sampai?" soal Indra selepas itu.
"Petang esok, pagi esok awak hantar saya balik rumah dan selepas tu saya bawa kereta dady sebab saya akan jemput mereka dari pejabat" Indra terpaksa akur dengan rancangan yang telah diatur oleh Angel .
"Malam esok saya dah tak boleh tengok awak lagi" beritahu Indra dengan nada yang lirih.
"Please Indra, first time mereka datang sini. Mereka baik dengan saya dan Adam adik angkat saya. Nanti saya perkenalkan awak pada Adam" Indra akhirnya mengangguk perlahan walaupun hati cukup berat hendak menuruti kehendak Angel.
"Awak pasti lupakan saya bila jumpa Adam" ujar Indra kemudian mencalit hidung Angel dengan jarinya. Angel tergelak mendengar nada rajuk Indra semasa menuturkannya.
"Awak adalah segalanya buat saya. Saya tak mampu berjauhan dari lebih dari tiga hari. Saya akan sakit kalau tak nampak muka awak dalam tempoh tu" balas Angel kemudian merebahkan kepala di atas paha Indra. Dari dataran tanah tinggi itu tidaklah segelap tempat-tempat lain di dalam Loka Valley. Keharuman bunga-bunga di taman itu menyucuk hidungnya. Setiap malam itulah lokasi untuk pasangan tersebut bersantai dan memadu kasih asmara sehingga kadang-kadang Angel tertidur di riba Indra dan lelaki itu akan mencempung tubuhnya balik ke rumah.
"Indra ke mana bibi Isti?" Ratih Hasna tidak melihat kelibat Indra selepas lelaki itu menemani Angel di dapur. Pasangan tersebut naik ke tingkat atas tapi tidak lagi menunjukkan muka selepas itu. Seperti biasa balkoni biliknya adalah laluan Indra untuk membawa Angel keluar dari rumahnya secara senyap.
"Mungkin mereka ke luar ke tempat biasa" sahut Isti Samira.
"Ke tempat biasa, ke mana tu?" Isti Samira tidak menjawab soalan Ratih Hasna kerana privasi Indra dan Angel perlu dijaga. Indra pasti akan marah kalau urusan terlalu dicampuri oleh orang lain. Isti Samira tahu pasangan tersebut tidak akan melakukan sesuatu yang di luar batasan. Indra terlalu sayangkan Angel dan sentiasa melindungi gadis itu dari segala keburukan.
Seawal pukul tujuh pagi Indra sudah kelihatan berada di dapur seperti sedang menyediakan sesuatu. Isti Samira yang sudah faham rutin puteranya semenjak Angel tinggal bersama mereka lebih seminggu yang lalu tidak bertanya apa yang Indra sedang lalukan. Ratih Hasna menghampiri Indra dan memerhati pemuda itu mencampurkan dua jenis bijirin sarapan di dalam sebiji mangkuk.
"Abang Indra buat apa?" Indra mengangkat wajahnya memandang Ratih Hasna sebelum menjawab.
"Untuk Angel " balas Indra kemudian mempersilakan Ratih Samira duduk.
"Kenapa abang Indra susahkan diri lakukan semua ni. Ini keperluan manusia jadi biarlah dia uruskan sendiri" Indra memandang wajah Ratih Hasna, ternyata Ratih Husna tidak mengenali siapa dirinya walaupun mereka sepupu.
"Saya pun manusia" hanya tiga perkataan yang terbit dari bibir Indra.
"Tapi abang Indra tak perlukan makanan ini. Abang Indra tidak sama dengan dia" balas Ratih Hasna pula.
"Cukup! Ratih tidak perlu persoalkan apa yang saya buat dan...." balas Indra tapi ayatnya putus apabila Angel muncul. Gadis itu sudah lengkap dengan sut pakaian untuk ke pejabat. Sepasang blazer berwarna unggu dan blouse merah jambu di dalamnya.
"Morning!" tegur Angel kemudian matanya memandang Ratih Hasna yang sedang duduk dan gadis itu juga memandangnya dari atas ke bawah. Mungkin sedang membuat penilaian tentang penampilan dirinya pagi itu, fikir Angel dalam hatinya.
"Sayang! sini, saya sudah sediakan sarapan awak" tegur Indra sambil menarik sebuah kerusi untuk Angel .
"Saya dah beritahu awak tak perlu sediakan semua ni untuk saya. Saya boleh buat sendiri kalau saya nak" bisik Angel kemudian duduk di kerusi yang ditarik oleh Indra.
"No sayang, kesihatan awak penting bagi saya. Saya tak mahu Angel abaikan sarapan pagi" ujar Indra kemudian mencium kepala Angel yang sedang duduk di hadapannya. Pemandangan yang menyakitkan mata Ratih Hasna.
"Saya dah pilih pakaian awak. Awak bersiaplah dulu sementara saya sarapan" beritahu Angel ketika menuang susu segar ke dalam mangkuk sarapannya. Indra mengangguk kemudian tangannya mengelus perlahan pipi Angel sebelum berlalu meninggalkan gadis tersebut.
"Indra sanggup bersusah untuk awak" tegur Ratih Hasna sewaktu Indra sudah tiada lagi di situ.
"Dan saya sanggup berkorban apa saja untuk dia" sambung Angel sambil tersenyum pada Ratih Hasna. Apakah tujuan Ratih Hasna berkata begitu Angel kurang memahami tapi baginya gadis itu memang kurang senang melihat hubungannya dan Indra.
"Awak seperti tidak senang dengan saya" soal Angel kemudian.
"Kerana awak tidak sesuai untuk Indra. Awak manusia biasa yang serba kekurangan pasti tidak sesuai untuk lelaki sehebat Indra" Ratih Hasna tidak mahu berselindung menyatakannya pada Angel. Cemburu dan sakit hati lebih mendorongnya untuk mengungkapkan ayat itu sedangkan Ratih Hasna harus memikirkan kepentingan gadis itu kepada Indra dan misi masa depannya.
"Memang saya akuinya kerana kesempurnaan itu bukan milik manusia tapi Indra terima saya seadanya" balas Angel kemudian terus menikmati sarapannya beberapa sudu sebelum meninggalkan Ratih Hasna sendirian.
Sepanjang perjalanan sebelum sampai di rumahnya Angel hanya mendiamkan diri. Kepalanya terus memikirkan tentang Ratih Hasna. Gadis itu mungkin akan menjadi racun antaranya dan Indra kerana dari kata-kata Ratih Hasna jelas menunjukkan gadis itu tidak menyukainya.
"Saya dengar semua yang Ratih beritahu awak tadi dan jangan awak perdulikan kata-katanya. Awak beritahu dia perkara yang betul cuma ada sedikit kesilapan fakta" Angel menoleh melihat Indra yang sedang memandu di sebelahnya.
"Kesilapan fakta, maksud awak?" soal Angel sambil mengerutkan dahinya.
"Kita saling menerima seadanya. Saya juga tidak sempurna kerana yang sempurna cuma tuhan" Angel tersenyum mendengar jawapan Indra.
Memikirkan tentang kedatangan Adam dan keluarganya Angel merasakan ada kebaikan di sebaliknya kerana Angel dapat mengelakkan diri dari berjumpa Ratih Hasna setiap hari di rumah Indra. Bagaimana pula dengan Indra, apa akan berlaku ketika ketiadaannya nanti. bagaimana Indra menghadapi Ratih Hasna dan apa niat Ratih Hasna yang sebenarnya.
"Petang nanti saya singgah di rumah awak. Saya nak berkenalan dengan Adam dan keluarganya" kata-kata Indra menggembirakan Angel kerana suatu idea tiba-tiba muncul di mindanya.
"Indra, kalau saya tak nak awak balik lepas tu macam mana?" Indra tersenyum lantas mencuit hidung Angel.
"Good idea sayang, saya tahu apa dalam fikiran awak dan itu yang saya sedag tunggu awak tanya saya. Orang tak akan prasangka buruk sebab dalam rumah tu ada lain orang selain kita" Angel tersenyum mendengar jawapan Indra. Dua masalah sudah selesai dan lelaki itu memang cukup memahami hatinya.
Hashim sekeluarga yang terdiri daripada isteri dan dua anaknya tiba KIA pada pukul 4.10 minit petang dan Angel sedah berada di situ menunggu ketibaan keluarga tersebut. Adam terus berlari mendapatkan Angel sebaik terlihat Angel melambaikan tangan kepadanya.
"Adam!" laung Angel kemudian dengan gembira memeluk tubuh kecil Adam.
"Sudah besarlah Adam sekarang makin hancem" tegur Angel kemudian mencubit pipi Adam.
"Akak pun makin cantik" balas Adam membuatkan Angel tergelak.
"Maaflah sebab abang dan kakak menyusahkan Angel " tegur Hashim apabila muncul bersama isteri dan anak perempuannya Shasa yang sedang tidur dalam kereta sorongnya mendekati Angel dan Adam.
"Mana ada menyusahkan. Angel sebenarnya gembira sangat bila dengar berita abang sekeluarga akan datang ke sini" balas Angel kemudian mengajak keluarga tersebut menuju ke keretanya sedang menunggu di tempat parkir. Kebetulan kenderaan Zhafry sebuah mpv maka sesuai untuk membawa Hashim sekeluarga.
"Kereta datuk Angel masih lagi dekat rumah abang, apa sebenarnya berlaku pada Angel hari tu?" soal Hashim ketika Angel membawa mereka singgah di sebuah restoran untuk minum sebelum balik ke rumahnya.
"Angel kemalangan kecil hari tu cuma kereta yang teruk sedikit. Abang simpanlah dulu nanti bila balik sana nanti saya ambil" balas Angel apabila Hashim membongkar cerita tentang kereta arwah Syed Hatta yang rosak kerana kejadian malam itu. Angel sendiri yang menghubungi pihak Hashim supaya mengambil keretanya yang sudah siap dibaiki dibangkel dan melalui lelaki itu Angel mengirimkan wang menyelesaikan urusan pembayarannya dengan pihak bengkel. Angel tidak dapat menggunakan khidmat insuran kereta tersebut kerana riada laporan polis tentang kemalangan tersebut malah Hashim sendiri tidak mengetahui berita kemalangan yang telah menimpa Angel.
Angel juga tidak perlu memohon cuti kerana Hashim sekeluarga tiba pada hujung minggu, cuma Angel memohon cuti separuh hari pada hari Isnin untuk menghantar Hashim sekeluarga yang akan menaiki penerbangn balik pada pukul satu petang.
Angel memberitahu perkara sebenar kepada Hashim dan isterinya tentang Zhafry yang sedang pergi bercuti dengan isterinya dan dirinya menumpang di rumah keluarga ibu tirinya memandangnya Zhafry tidak mahu Angel tinggal sendirian di rumah itu. Angel juga memberitahu tentang Indra, anak saudara ibu tirinya supaya Hashim dan isterinya tidak tertanya-tanya tentang Indra sekiranya lelaki itu muncul malam nanti. Indra akan menemaninya di rumah itu sementara keluarga Hashim tinggal di situ bersama mereka.
Angel seronok bermain dengan Shasha yang sudah berusia lebih enam bulan. Badan bayi itu begitu tembam dan sudah tumbuh dua batang gigi bawahnya dan Shasha tergelak kuat apabila digurau oleh Angel.
"Shasha ni kalau Angel nak tahu, ketawa dan tangisnya sama kuat" beritahu Hana yang turut tergelak kecil mendengar ketawa Shasha yang begitu lemak kedengarannya.
"Nampak seronok je kalau ada budak kecil macam ni" celah Angel yang masih seronok melayan Shasha.
"Nampak memang seronok Angel tapi masalahnya Shasha ni suka menangis waktu malam. Tu sebab akak mulanya rasa berat hati nak bawa Shasha pergi bercuti apabila memikirkan nanti satu hotel tak boleh tidur bila dengar suara Shasha meledak di tengah malam. Bila abang Hashim kamu kata dia cuba nak dapatkan sebuah homestay akak setuju jugak ikut. Alhamdulillah kamu ada dan ajak pulak kami sekeluarga menumpang di sini" cerita Hana sebelum mengambil Shasha yang mula merengek minta didukung.
"Mari kak saya dukung dia" beritahu Angel sambil menghulurkan tangannya untuk mengambil Shasha. Angel merasakan tubuh Shasha agak berat semasa mengendongnya. Adam yang sedang duduk di sofa asyik bermain dengan game boy di tangannya seperti tidak peduli perkara yang berlaku di sekelilingi. Hashim pula sedang berehat dan berbaring di sofa panjang. Sejak tiba di KIA petang tadi Angel dapati Hashim nampak tidak begitu sihat dan tubuh lelaki itu nampak kurus berbeza dari yang pernah Angel nampak beberapa bulan sebelum Angel balik semula ke Kuching. Selepas Maghrib Angel bercadang untuk membawa Adam sekeluarga untuk makan malam di luar.
Angel membawa Shasha untuk menyambut kedatangan Indra apabila terdengar bunyi enjin kereta di luar rumah. Indra tersenyum sebaik sahaja keluar dan matanya tertumpu memandang bayi yang sedang digendong oleh Angel.
"Shasha kenalkan abang Indra" Indra tersenyum kemudian memegang tangan Shasha yang montok. Shasha melonjak-lonjak seperti gembira melihat lelaki di hadapannya.
"Adik Adam?" soal Indra kemudian diiringi anggukan Angel.
"Mari saya kenalkan awak dengan keluarga Shasha" Indra segera membuntuti langkah Angel masuk ke dalam rumah.
Hashim dan Hana tersenyum dan terpana melihat kemunculan Indra. Pasangan tersebut memikirkan lelaki yang diceritakan oleh Angel sebagai anak saudara ibu tiri Angel adalah lelaki biasa-biasa sahaja namun setelah melihat Indra pasangan tersebut mula terasa segan. Rupa dan penampilan Indra jelas menunjukkan Indra bukan lelaki sebarangan.
Selepas bersalam dengan Hashim, Indra melihat Adam yang sedang mendekatinya dan budak lelaki itu menghulurkan tangan lalu mencium tangan Indra. Indra tersenyum kemudian menggosok-gosok kepala Adam. Beberapa bulan yang lepas Indra pernah cemburukan budak lelaki yang belum faham apa-apa itu dan apabila kini bertemu Adam yang comel itu Indra tergelak sendiri di dalam hatinya.
"Angel, kak Hana tak sangka pula Indra orangnya macam tu. Malu pula abang Hashim dan kak Hana bila nampak dia tadi. Cara dia layan kamu, kamu berdua mesti ada sesuatukan?" Angel tersenyum mendengar soalan Hana di akhir ayatnya.
"Kami dah tak boleh berpisah kak, insyaallah selepas dady balik bercuti nanti kami minta tolong dady aturkan kami" jawapan Angel membuahkan senyuman di bibir Hana. Angel dan Indra adalah pasangan yang begitu sepadan dan kalau ada undangan dari Angel nanti pasti mereka sekeluarga akan datang di hari bahagia pasangan tersebut.
Menggunakan kereta Toyota Alphard milik Indra yang sudah dihantar lebih awal ke rumah Zhafry untuk membawa keluarga Adam sepanjang lawatan mereka di Sarawak. Indra senditi yang menjadi pemandunya malam itu. Tempat yang mula-mula dicadangkan oleh Angel terlalu ramai pengunjung dan Indra tidak selesa berada di situ dan akhirnya Angel mencadangkan mereka ke sebuah restoran di Water front kerana tempat itu menurut Sue dan Zaleha juga sesuai untuk membawa pelancong yang datang melawat negeri ini.
"Esok dan lusa akak akan bawa Adam melawat tempat-tempat yang menarik dekat sini" beritahu Angel sewaktu mereka menunggu pesanan makanan. Dalam tempoh tidak sampai lima belas minit lauk pauk yang dipesan oleh Indra dan Angel sudah memenuhi meja.
"Banyaknya!" tegur Adam membuatkan Indra dan Angel tersenyum.
"Yalah Angel, Indra! Kenapa pesan banyak sangat" tanya Hashim yang turut terkejut melihat lauk-pauk yang dihantar ke meja mereka.
"Bukannya selalu, silalah kak Hana, abang Hashim, Adam jangan malu-malu. Buat macam restoran sendiri" Hisyam dan Hana tergelak kecil mendengar kata-kata Angel.
"Eh! Encik Indra tak makan ke?" tegur Hashim apabila melihat Indra tidak menjamah pun makanan yang ada di atas meja.
"Indra terpaksa berpuasa makan semua makanan macam ni sebab ada masalah dalam perutnya" jelas Angel mewakili Indra yang hanya tersenyum mendengar soalan Hashim.
"Oh.., jadi rugilah pesan banyak-banyak macam ni sebab sendiri tak boleh makan" tambah Hana pula.
"Tak apa saya gembira bila lihat orang lain boleh makan" balas Indra selepas lama membisu. Indra kemudian mengupas beberapa ekor udang kemudian diletaknya di dalam pinggan Angel. Mata Indra sesekali menjerling melihat Shasha yang sedang duduk di dalam kereta sorongnya. Si Comel itu asyik memandang ayahnya dan mulutnya seperti ingin menyatakan sesuatu dengan wajah yang cuak seperti takutkan sesuatu.
Suara tangisan Shasha yang tiba-tiba kedengaran membuatkan semua menoleh melihat Si comel tersebut. Hana yang sedang makan segera berhenti menyuapkan makanan ke mulutnya untuk memberi perhatian kepada si kecilnya itu.
"Nanti saya tolong jagakan dia" beritahu Indra menawarkan dirinya dan tanpa menunggu jawapan Hana Indra segera bergerak mendekati kereta sorong Shasha. Kereta sorong si kecil itu ditolaknya keluar restoran dan Indra mencari tempat yang sesuai untuk duduk berdua-duaan dengan Shasha. Indra tahu ada sesuatu yang dilihatnya dan mengganggu perhatian bayi yang berumur enam bulan itu.
"Kenapa, dia takutkan Shasha ke?" soal Indra sambil merenung wajah bayi di dalam kereta sorong di hadapannya. Shasha memandang Indra dan bayi itu tersenyum kemudian kedengaran suara gelaknya. Indra ikut tersenyum mendengar gelak Shasha kemudian terus bertanya itu dan ini kepada Shasha dan anehnya Shasha pula seolah-olah memahami kata-kata Indra dan kedengaran suara Shasha seperti sedang menjawab soalan Indra.
"Nanti abang halau dia supaya tidak kacau dan takut Shasha lagi" Shasha yang seperti mengerti mengeluarkan suara seperti sedang membalas kata-kata Indra walaupun butir perkataan yang keluar dari mulutnya adalah bahasa bayi yang tiada siapa yang boleh memahaminya.
"Abang! Mama suruh bagi susu ni kalau adik Chaca nangis lagi" Adam muncul bersama sebotol susu di tangannya berlari mendapatkan Indra. Indra mengambil botol susu di tangan Adam kemudian memberikannya pada Shasha. Pantas tangan Shasha yang sudah tahu memegang botol susu menyambutnya..
"Adam sudah habis makan?" soal Indra sambil tersenyum kepada Adam.
"Dah, abang kenapa tak makan?" soal Adam pula.
"Nantilah abang makan sebab sekarang perut abang tak berapa sihat" balas Indra.
"Adik Chacha selalu je nangis-nangis" beritahu Adam sambil memandang Shasha yang sedang leka memerhati wajah Indra sejak tadi. Shasha seperti menanti Indra untuk melayaninya seperti tadi kerana Indra kini memberi tumpuannya pada Adam.
"Adam sayangkan adik Shasha tak?" Adam mengangguk mendengar soalan Indra.
"Adam sayang adik Chacha dan Kak Angel. Abang sayang kak Angel?" soal Adam sambil mendongak memandang Indra dan lelaki itu tersenyum mendengarnya.
"Sayang sangat-sangat, kenapa?" soal Indra lagi.
"Tapi Kak Angel tu girlfriend Adam" Indra tergelak sambil memandang wajah Adam.
"Kita kongsilah ya" balas Indra sambil tersenyum.
"Tak nak kongsi, abang ambillah Chacha ni jadi girlfriend abang" kepetahan Adam membuatkan Indra tergelak, kedengaran suara Shasha seperti ingin menyahut perbualan mereka berdua.
"Kan Chacha kan!" Adam mengangkat kening memandang Shasha manakala Indra terus tersenyum sebelum menyatakan sesuatu pada Adam. Adam mencebikkan bibirnya mendengar cadangan Indra lantas menggelengkan kepalanya. Indra tergelak kecil kemudian tangannya menggosok-gosok kepala Adam.
"Tak sangka pulak lelaki hebat macam tu boleh tolong jaga baby" beritahu Hana kepada suaminya. Angel yang mendengar tergelak kecil.
"Indra tu kerja apa Angel?. Rasanya bukan sebarangan orang kalau boleh beli sebuah Lamborghini" itulah yang mengejutkan Hashim semasa mereka keluar dari rumah Angel tadi. Berkali-kali ia menilik-nilik sebuah Lamborghini-Murcielago yang parkir di sebelah kereta Vios milik Angel. Kereta itu pasti milik lelaki itu kereta semasa mereka sampai petang tadi kereta itu tidak kelihatan.
"CEO Loka Holding. Ayah Indra, Dato' Seri Amar dan datuk saya adalah tiga sahabat yang menjadi rakan kongsi sewaktu penubuhan Loka Holding dulu " Angel bercerita sedikit tentang Indra pada Hashim dan Hana.
"CEO, patutlah orangnya serius bagai dan tidak pandai nak bergaul sangat. Mungkin tak ada benda yang dia nak bualkan dengan orang-orang macam kita ni kot" tambah Hana mencelah selepas mendengar jawapan Angel .
"Saya kenal dia kak. Memanglah orang akan gerun apabila melihat rupa, watak dan kehidupan yang macam putera raja tapi sebenar dia lelaki yang sangat baik dan spesial. Indra memang tidak pandai sangat bergaul dengan sesiapa tapi bukan kerana dia sombong tapi memang sudah sikapnya begitu. Semua pekerja Loka Holding takut hendak menegurnya. Kalau kak Hana dan abang Hisham nak tahu, hari pertama mula-mula saya kenal dia masa saya mula melapor diri untuk bekerja di Loka Holding lagi teruk, sebab terlampau takut, sedih dan berkecil hati dengan sikap dan layanan buruknya pada saya depan Dato' Haikal saya terus demam dan MC sampai seminggu" Hana tergelak mendengar cerita Angel.
"Bagaimana pulak kamu boleh rapat dengan dia?" soal Hana kemudian. Angel tersenyum sebelum menjawab soalan Hana.
"Indra sendiri yang datang dekat saya dan minta maaf selepas saya cuti sakit seminggu tu" cerita Angel lagi sambil tersenyum.
"Mungkin sebenar dia jatuh hati dekat kamu tapi cuba melawan perasaannya sebab tu dia buat macam bencikan kamu" sambung Hana lagi manakala Hashim akhirnya cuma menjadi pendengar perbualan isterinya dan Angel.
"Mungkin jugak" balas Angel sambil tersenyum.
"Jomlah nanti mengamuk pulak Shasha dekat luar tu. Adam pun tak muncul-muncul lagi entah apa yang dibuat mereka bertiga dekat luar tu" beritahu Hisham kemudian angkat dari kerusi yang didudukinya. Angel dan Hana turut berbuat perkara yang sama lalu membuntuti langkah Hisham keluar dari restoran tersebut. Semua makanan mereka tadi sudah dijelaskan oleh Indra sewaktu sampai di meja mereka. Di luar restoran Indra kelihatan sedang melayan Adam bersembang dan Shasha pula sudah nyenyak tidur di dalam kereta sorongnya. Situasi itu membuatkan Hana dan Angel tersenyum.
"Sayang, Adam tu lebih teruk daripada Johan. Dahlah tak nak berkongsi awak dengan saya dia boleh pulak suruh Shasha jadi girlfriend saya" Angel tergelak mendengar bisikan Indra di telinganya. Indra memeluk kedua belah bahunya sewaktu mereka sedang berjalan menyusuri Water Front untuk melihat panorama indah sungai Sarawak waktu malam. Hisham sekeluarga berada beberapa meter di hadapan pasangan tersebut. Kelihatan juga beberapa orang pengunjung yang lain turut menikmati panorama yang sama.
"Awak jawab apa lepas tu" soal Angel kemudian.
"Siapa cepat dia dapat" balas Indra kemudian tersenyum dan Angel pula terus tergelak sambil menggelengkan kepalanya.
Indra dan Angel berpandangan apabila melihat Hisham sedang tunduk menghadap sebuah tong sampah manakala Hana mengurut-urut belakang suaminya. Angel dan Indra terus mendekati pasangan suami isteri tersebut.
"Kenapa Kak Hana?" soal Angel .
"Sejak kami balik dari Singapura beberapa bulan yang lepas macam ni keadaan Abang Hisham kamu. Lepas makan je muntah sebab tu sekarang badan dia kurus" beritahu Hana sambil tangannya masih lagi menggosok belakang suaminya.
"Kalau macam tu kita balik jelah kak, Adam pun macam dah mengantuk tu" mendengar kata-kata Angel Hana kemudian mencapai tangan suaminya mengajak Hisham beredar dari tempat tersebut. Angel pula terus mencapai kereta sorong Shasha lalu membantu Hana menolak kereta tersebut menuju ke kereta manakala di sebelahnya Indra membantu memimpin tangan Adam.

Sudah lewat malam namun kelibat Indra tidak juga muncul-muncul. Pagi tadi Ratih Hasna perasaan begitu gembira apabila mendengar berita Angel akan balik bermalam di rumahnya sendiri kerana ada keluarga angkatnya akan sampai. Indra pasti akan balik ke rumahnya tanpa Angel tapi Ratih hampa kerana bayangan Indra masih juga tidak kelihatan sampai ke saat itu.
"Kenapa Ratih?" soal Isti Samira apabila melihat gadis itu seperti tidak senang duduk.
"Sunyi, Indra tak balik lagikah bibi?" beritahu dan soal Ratih Hasna sebelum melabuhkan punggungnya di atas sofa.
"Petang tadi Indra sudah telefon bibi katanya dia akan bermalam di rumah Angel. Dia nak berkenalan dengan keluarga angkat Angel" Ratih kecewa mendengar jawapan Isti Samira. Rasa sakit hatinya semakin meluap memikirkan tentang Angel. Kenapa Angel menjadi begitu penting kepada Indra sedangkan Indra sepatutnya melayaninya sebagai saudara barunya yang baru pernah berjumpa. Apakah istimewanya gadis manusia itu sehinggakan Indra seperti tidak pernah terpesona memandang kecantikannya.

DirgantaraWhere stories live. Discover now