Bab 63. Dia Mampu Buat

0 0 0
                                    

Indra mula risau dan resah apabila Isti Samira memaklumkan kepadanya bahawa Angel tidak balik ke rumah sejak semalam. Khabar yang disampai oleh Isha Wristi bahawa Angel tidak juga pulang ke rumah Zhafry membuatkan Indra semakin bertambah risau memikirkan keadaan isterinya. Ke manakah Angel pergi selepas datang ke kondonya semalam. Kalau sudah tersebar di seluruh alam ghaib Angel menggandung zuriatnya bererti musuh Angel ada di mana-mana saja. Kalau Angel keluar dari Loka Valley dan jauh daripada Isti Samira dan Isha Wristi maka tiada siapa yang mampu melindungi isterinya.
Telefon Angel juga gagal dihubungi dan Indra tahu dan faham benar dengan sikap Angel. Setiap kali Angel membawa diri dengan apa jua alasan Angel pasti tidak mahu dihubungi oleh sesiapa. Sekarang Angel tidak sihat kerana sedang berbadan dua dan di saat itulah isterinya amat memerlukan perhatian orang di sekelilingi terutama suami dan keluarganya dan apabila mengingatkan perkara itu Indra mula dicengkam rasa kesal dan bersalah.
Keretanya terus dipandu laju untuk kembali ke Loka Valley. Angel tidak membawa apa-apa semasa keluar rumah kerana semua beg dan pakaian masih ada tersimpan di tempatnya. Ke mana dia hendak mengesan isterinya sedangkan Angel tidak meninggalkan sebarang jejak untuknya. Zhafry tidak mungkin dimaklumkan tentang kehilangan Angel kerana pelbagai persoalan akan ditanya oleh bapa mentuanya nanti jika lelaki itu menyoal siasat punca dan sebab Angel menghilangkan diri.
Melalui tenungannya Isti Samira juga gagal mengesan kedudukan Angel. Berita pembunuhan ngeri yang berlaku lagi bulan lepas menunjukkan Braja dan mereka-mereka yang sudah seperti Braja sedang berada di luar sana dan sedang giat memburu untuk mendapatkan makanannya. Bauan darah Angel yang berbeza dan lebih-lebih lagi kesegaran bauan janin yang terbentuk daripada benihnya yang sedang membesar dalan rahim isterinya lebih memudahkan Braja dan sesiapa saja menghidu bau dan mengesan kedudukannya. Indra sudah silap dalam percaturannya. Indra cuba menggelak diri menjadi pemangsa tapi memberi peluang isterinya menjadi mangsa makhluk lain. Ini membuatkan Indra benar-benar menyesal dan berasa begitu takut akan kehilangan isterinya.
Hampir seminggu menumpang di rumah pasangan suami isteri tersebut Angel memenuhi masanya dengan belajar membetulkan bacaan ayat alqurannya daripada Janah. Pasangan suami isteri tersebut turut gembira apabila mengetahui Angel berbadan dua cuma timbul tanda tanya kepada pasangan tersebut apabila memerhatikan keadaan Angel yang menumpang di rumah mereka seolah-olah ingin menyembunyikan diri. Mungkin gadis tersebut ada masalah dengan keluarga atau suaminya. Hanya perkara itu yang terfikirkan oleh pasangan suami isteri tersebut.
"Angel sebenarnya ada masalah ke?, kami tanya je sebab sudah hampir seminggu di sini Angel langsung tidak keluar rumah" Angel memang sudah meramalkan pasangan suami tersebut akan bertanyakan kepadanya tentang perkara tersebut cuma Angel tidak akan bersuara selagi mereka tidak memulakannya.
"Saya tak tahu nak cerita macam mana. Kami tak pernah bergaduh cuma Angel nak uji suami Angel ummi. Kalau dia sayangkan Angel dan anak kami dia akan cari Angel sampai dapat" Angel rasa jawapannya itu boleh membantu menjawab persoalan yang ada di fikiran Janah dan suaminya.
"Boleh ke dia jumpa kamu kalau kamu asyik berkurung dan bersembunyi je dalam rumah. Kalau kamu keluar jalan-jalan makan angin mungkin jugak" pelik memerhatikan Angel yang asyik berkurung 24 jam di dalam rumah sehingga 30 juzuk alquran yang dibacanya mampukan dikhatamkannya dalam tempoh tersebut.
"Saya tahu dia mampu buat kalau dia nak" Janah berasa pelik apabila memikirkan jawapan Angel. Walaupun begitu kemunculan Angel dalam rumah mereka seolah seperti penyeri kepada pasangan suami isteri tersebut. Angel yang sudah dianggap sebagai anak sendiri sudah begitu mesra dengan kedua orang tua angkatnya itu. Angel juga tidak berbohong kepada mereka setelah gadis itu menunjukkan sijil perkahwinan dan gambar perkahwinannya sebagai bukti bahawa gadis itu benar-benar mengandung anak yang halal. Pasangan suami isteri itu risau kalau ada jiran tetangga yang mencemuh mereka kerana menuduh mereka menyembunyikan perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah seperti yang banyak terjadi sekarang.
"Anak angkat kami, Dia tunggu suaminya datang jemput barulah dia nak balik. Merajuklah tu konon" beritahu Janah sambil tergelak apabila ada jiran tertangganya bertanya tentang Angel.
"Cantik budaknya, putih melepak macam orang putih. Anak orang kaya ke dia tu?" soal jiran yang bernama Rosnah.
"Dia memang bukan melayu, anak doktor. Suaminya yang kaya agaknya" sahut Janah apabila tetangganya yang bernama Rosnah bertanya perkara tersebut. Janah cuma tahu perkara yang pernah Angel ceritakan sendiri kepadanya.
"Anak doktor, boleh tahanlah tu berduit jugak" sambung Rosnah lagi. Janah yang tidak mahu memanjangkan perbualan mereka tentang Angel kerana bercakap sesuatu yang menyentuh tentang orang lain sama ertinya dengan mengumpat dan umpat-mengumpat adalah perkara yang paling tidak disukai oleh suaminya. Apabila teringatkan pesanan suaminya Janah kemudian segera mengalihkan tajuk perbualan mereka kepada tajuk yang lain yang tidak menyentuh tentang sesiapa.
Bohong kalau dia tidak rasa rindu pada suaminya. Kalau terus memikirkan tentang Indra, Angel mungkin akan terus menangis sepanjang hari. Kesepian dan kerinduan semakin menghempitnya apabila malam menjelma. Ketiadaan Indra yang sering mengulit tidurnya memang amat terasa tetapi mungkin kerana benih suaminya yang berada di dalam tubuhnya membuatkan Angel merasakan Indra sentiasa dekat dengannya.
Mengingatkan perkara itu Angel segera meraba perutnya dan terasa ada sesuatu yang sedang membuku keras di dalamnya. Itulah zuriat suaminya hasil hubungan suci yang terjalin selama ini. Setiap kali Indra mengauli dan membawanya ke syurga loka yang indah Angel berasa sungguh bahagia dan bunga kebahagiaan itulah yang terhasil sekarang.
Tempoh kandungan yang belum mencapai dua bulan Angel mula merasakan suatu perubahan pada dirinya. Ada sejenis tenaga yang mula terasa mengalir dari dalam tubuhnya. Semalam ketika tangannya menyentuh bunga-bunga hidup yang sudah layu di luar rumah tersebut, bunga-bunga tersebut kelihatan seperti segar kembali. Tangannya juga tidak berasa panas apabila menyentuh periuk dan cerek yang sedang mendidih airnya.
"Angel, tolong tengok ikan goreng dalam kuali tu sekejap, ummi nak ke rumah Makcik Rosnah kamu sekejap hantar lauk sedekah ni" Angel mengangguk melihat Janah berlalu melalui pintu dapur. Ikan yang sedang menunggu masa untuk masak di dalam kuali diperhatikannya sambil tersenyum. Mungkin itu peluang untuk menguji sesuatu. Tanpa sudip Angel menggunakan tangannya untuk mengangkat satu demi satu ikan tersebut dan meletakkannya ke dalam pinggan. Angel berpuas hati apabila jari dan tangan tidak sedikitpun berasa panas dan tiada kesan melecur.
Nyaman dan menyegarkan dan itulah yang Angel rasa dan alami sejak lebih seminggu tinggal di kampung tersebut. Angel seperti tidak percaya akan wujud dalam kamus hidupnya akan menetap di sebuah kampung yang penduduknya begitu ramah dan hidup dalam suasana yang rukun dan damai. Angel mahu peluang hidup di kampung yang dinikmatinya sekarang digunakan dengan sepenuh kerna Angel tidak pasti ada peluang kedua untuknya selepas ini.
"Kak Angel! Jerit Amni anak gadis Makcik Rosnah yang baru berusia dua belas tahun memanggilnya.
"Ada apa Amni?" tanya Angel apabila gadis itu tersenyum memandangnya.
"Kat sini ada banyak" beritahunya sambil jarinya menunjuk ke bawah. Amni mengajaknya ke pantai untuk mengambil ambal, makanan laut yang terkenal di Sarawak. Amni mengajarnya cara-cara untuk mendapatkannya. Dengan mencucuk kayu yang mengandungi kapur di hujung ke dalam pasir. Tunggu beberapa minit binatang tersebut akan timbul di pemukaan pasir dan memudahkan kerja manusia untuk mengutipnya.
Sudah beberapa kali Janah menghidangkan binatang tersebut sebagai lauk Angel mula menyukainya. Mungkin ambal lebih mudah dimakan berbanding udang yang perlu dikupas terlebih dahulu. Isinya lebih manis kalau yang masih segar selepas dipunggut dari pantai.
"Tak naklah panas" beritahu Angel yang enggan mendekati Amni.
"Ala orang bandar takut panas. Hitam pun akak tetap cantik" jawab Amni sambil tersengih. Angel turut tersenyum mendengar jawapan Amni.
Dalam beberapa minit mereka sudah mengumpul lebih sekilo dan Angel mula mengajak Amni balik.
"Banyak dapat?" tegur Janah apabila melihat kemunculan Angel dan Amni. Angel melepaskan plastik yang mengandungi ambal ke dalam singki.
"Rasanya lebih sekilo. Pandai Amni cari mana tempat yang banyak benda tu" Janah tergelak kecil mendengar jawapan Angel. Wajah Angel sudah kemerahkan kerana panahan cahaya matahari.
"Dari kecil memang itulah kerja dia" jawapan Janah membuatkan Angel tersenyum memandang Amni yang tersengih membalas senyumannya. Mungkin sebab itu kulit Amni gelap kerana selalu sangat ke pantai.
"Kerana nak ekspertlah kenapa badan kita gelap gelita macam ni" Angel tidak dapat menahan gelaknya apabila mendengar pengakuan Amni. Sepertinya Amni dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.
"Kak, malam nanti kita pergi rumah Budi nak. Ada keroke sebab esok kakak dia kahwin" Angel mengangkat keningnya mendengar cadangan Amni. Angel tidak kenal siapa Budi yang Amni maksudkan dan selain pasangan suami isteri tempatnya menumpang sekarang dan keluarga Makcik Rosnah jiran terdekat rumah pasangan suami isteri tersebut tiada orang lain yang dikenalinya di kampung tersebut.
"Tak payahlah kamu ajak kak Angel kamu tu. Tak baik perempuan mengandung dengar karaoke, keluar malam pulak tu. Kamu pun tak payah pergi duduk rumah mengaji dapat jugak pahala" Amni mencebik bibirnya selepas mendengar kata-kata Janah. Mengaji-mengaji! Itu saja isteri Ustaz Zaini tu tahu. Bapak ustaz, suami ustaz patut jugak macam tu, rungut Amni dalam hatinya.
"Dengar tu, ummi akak tak suruh!" bisik Angel pada Amni membuatkan Amni mengorek-ngorekkan telinganya buat-buat tak dengar.
"Tak apalah kak Angel, apa nak buatkan tapi malam lusa bolehkan sebab sebelah rumah je" Angel tersenyum mendengar jawapan Amni. Lusa rumah Makcik Rosnah pula akan meriah sebab Julia anak ketiganya akan melangsungkan perkahwinan. Peralatan untuk memasang kanopi sudah tersedia sejak dua hari lepas dan kerana itu Janah dan suaminya bersyukur kalau Angel tidak balik dulu meninggalkan rumah mereka.
Janah masuk ke dapur sambil tersenyum. Angel yang sudah seperti anaknya sendiri dan sudah menjadi tanggungjawabnya menegur demi kebaikan anak angkatnya itu.
"Ibu meninggal selepas melahirkan saya dan selepas itu nenek yang membesar dan mendidik saya sampai dewasa. Saya tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu kandung tapi saya bersyukur sebab tuhan kurniakan saya wanita-wanita yang baik untuk menggantikan tempat ibu saya yang telah tiada. Saya ada seorang mama tiri yang baik, ibu mentua yang penyayang dan sekarang saya dapat ibu angkat yang sentiasa mengambil berat pada diri saya" cerita Angel ketika dia duduk bersembang dengan Janah selepas solat Zohor.
"Kamu tidak ada saudara mara yang lain ke?" soal Janah yang agak terharu mendengar cerita Angel. Angel menggelengkan kepala selepas mendengar soalan Janah.
"Tak, Dady pun baru kahwin tahun ini jugak. Dia kahwin dengan ibu saudara suami Angel dan sekarang mama tiri Angel sedang mengandung adik saya yang pertama" Janah mengerutkan dahi ketika mendengar cerita Angel.
"Bererti lamalah dady kamu menduda" soal Janah lagi.
"Ya, Dady memang lelaki yang setia. Arwah nenek berkali-kali suruh dady kahwin tapi tak tahu kenapa dady boleh bertahan begitu lama. Mungkin kerjanya yang terlalu sibuk buatkan dady boleh lupakan perempuan. Tapi bila jumpa mama Isha tak sampai tiga bulan je mereka terus kahwin. Mungkin kerana mama Isha cantik dan lain daripada yang lain" Janah terus menjadi pendengar setia Angel bercerita tentang keluarganya dan hanya bertanya apa yang ingin diketahuinya sahaja.
"Jadi mereka semua tidak tahu kamu ada di sini sekarang. Tentu mereka tercari-carikan kamu?" Janah rasa khuathir apabila memikirkan sekiranya ada ahli keluarga Angel yang membuat laporan polis tentang kehilangan Angel. Apalah yang Angel rajukan pada suaminya sehingga berminggu-minggu menyembunyikan dirinya. Mungkin pembawaan budak salah satu sebab rajuk Angel berpanjangan kepada suaminya.
"Bila sampai masanya saya akan hubungi mereka" sahut Angel perlahan.
"Kamu tak rindukan suami kamu ke?" soal Janah lagi sambil memandang wajah Angel. Janah tersenyum memandang wajah Angel yang nampak begitu redup dan berseri-seri.
"Rindu sangat-sangat dan saya rasa anak kami pun rindukan papa dia tapi nak buat macam mana. Kalau dia sayang kami dia akan datang cari' saya" jawapan sama yang pernah Angel ucapkan sebelum itu. Bagaimana suaminya hendak mencari Angel? Itu persoalan yang sering muncul dalam fikiran Janah.
Bunyi seseorang memberi salam membuat Janah dan Angel saling berpandangan. Sambil melangkah menuju ke pintu utama rumahnya mulutnya menyahut salam kedua yang diberikan oleh tetamu yang belum dikenal pasti siapa orangnya. Sebaik sahaja membuka daun pintu mata Janah terpaku melihat seorang wanita sedang berdiri di hadapan pintu sambil membimbit sebuah beg pakaian di tangannya.
"Sari! Kenapa tak cakap nak datang" tegur Janah apabila mengenali tetamu yang tiba-tiba muncul di rumahnya.
"Assalammualaikum kak, maaf sebab tak sempat nak telefon Abang Zai cakap nak datang. Abang Zai mana kak?"sahut Sarimah sambil memandang Janah yang sedang berdiri di hadapannya.
"Masuklah dulu Sari. Abang Zai ke masjid, sekejap nanti baliklah tu" balas Janah sambil mengambil beg pakaian di tangan kakak iparnya. Sudah lama Sarimah tidak menjenguk rumah abangnya dan kalau tidak silap hampir setahun sejak raya puasa tahun lepas bersama suami dan anaknya.
Sarimah menoleh memandang kereta yang parkir di hadapan rumah abangnya. Mungkin Abang Zai sudah membeli kereta tapi reka bentuk kereta itu tidak sesuai untuk lelaki berumur seperti Abang Zai dan jenis kereta tersebut mustahil mampu dibeli oleh abangnya kerana Sarimah bukannnya buta mata untuk mengenali jenama-jenama kereta mewah yang berada di pasaran sekarang.
"Suami dan anak kamu tak ikut sekali ke?" tanya Janah apabila melihat Sarimah datang sendirian.
"Mereka berdua kerja" hanya tiga perkataan yang kedengaran dan wajah Sarimah seperti tidak ceria sewaktu Janah bertanyakan suami dan anaknya.
"Ummi! Siapa datang?" Kemunculan Angel di ruang tamu membuatkan Sarimah berpaling. Sarimah tidak menyangka ada penghuni lain dalam rumah tersebut. Kebiasaannya Janah akan tinggal sendirian apabila suaminya tiada di rumah memandangkan pasangan tersebut tiada anak.
"Makcik Sari, adik abah. Mari duduk sini Angel, berbual dengan dengan Makcik Sari" sahut Janah sambil mengajak Angel untuk menyertai mereka di ruang tamu.
"Siapa ni kak?" soal Sarimah sambil matanya melekat memandang gadis yang mengambil tempat duduk di sebelah Janah. Orangnya sungguh cantik dan manis. Warna kulitnya yang putih melepak begitu menyerlah apabila menggunakan sepasang baju kurung berwarna merah.
"Angel, anak angkat kami. Sudah lebih dua minggu Angel tinggal dengan kami" Sarimah tersenyum mendengar jawapan Janah. Matanya masih lagi melekat melihat keayunan gadis yang tiada kemelayuan pada raut wajahnya. Mungkin bukan anak orang melayu, nama pun pelik, bisik Sarimah dalam hatinya.
"Untung benar abang dan kakak dapat anak angkat dah besar panjang macam ni. Cantik pulak tu" Janah tersenyum mendengar kata-kata Sarimah.
"Memang untung kak sebab tak payah susah-susah nak beli susu untuk besarkan dia" Angel tergelak mendengar jawapan Janah.
Indra sudah seperti orang yang sasau apabila memikirkan tentang kehilangan isterinya. Isti Samira dan Isha Wristi juga risau apabila melihat keadaan Indra sekarang. Kemarahan lelaki tersebut pada Ratih Hasna sudah tidak dapat dibendung lagi dan dari kata-katanya Indra seperti ingin membunuh sepupunya itu kerana telah menyebabkan kehilangan Angel yang sudah masuk minggu ketiga.
"Sabar Indra, Angel pasti masih selamat sebab naluri biyung masih kuat merasakannya. Kalau kita tidak dapat mengesannya bererti Braja juga tidak akan dapat mengesannya. Ada satu kuasa hebat yang melindunginya tapi biyung harap ia tidak menyakiti Angel" Indra mengeluh mendengar kata-kata Isti Samira kepadanya. Rasa menyesal bertubi-tubi datang menghentam dirinya. Rindunya pada Angel sudah tidak tertanggung. Kalau apa-apa yang berlaku pada Angel Indra tidak akan mampu meneruskan lagi hidupnya. Dia akan menemui Yaman untuk minta dihapuskan dari muka bumi ini.
"Indra, kamu lupa ke kereta Angel ada GPS. Kenapa kamu tidak mengesannya di mana kereta itu sekarang" Indra terpana mendengar kata-kata Isha Wristi. Kerana terlalu risau Indra terlupa tentang perkara tersebut dan tanpa membuang masa Indra terus bergerak untuk berbuat sesuatu.

DirgantaraWhere stories live. Discover now