Bab 78

1 0 0
                                    

      Untuk memperolehi jawapannya dan membantu Dato’ Haikal meletakkan Loka Holding sebagai presiden PBB, Indra akhir bersetuju untuk menghadiri perjumpaan tahunan PBB kali ini. Dua perkara tersebut amat penting dan kali ini Indra akan menunjukkan mukanya mewakili syarikat yang sememang sudah ternama dan dikenali di seantero. Sebelum ini Indra tidak pernah berminat akan menghadiri apa-apa sahaja majlis seumpamanya dan Dato’ Haikal sudah faham akan  tugasnya untuk  mewakili Loka Holding walaupun lelaki tersebut terpaksa berdepan dengan pelbagai soalan yang bertanyakan tentang ketidakhadiran CEO Loka Holding tersebut.
Bergerak dengan dua buah kereta, Indra memerlukan Isqan untuk menemaninya pada malam tersebut. Sebagai langkah berjaya-jaga membantunya mengawasi Angel. Tempoh kelahiran zuriat mereka yang tidak dapat dipastikan Angel tidak dapat ditinggalkan sendirian. Sedikit kesilapan yang berlaku mungkin akan mengundang malapetaka yang besar. Musuh mereka berada di mana-mana sahaja dan sentiasa menunggu peluang untuk bertindak.
Persekitaran suasana yang agak tenang dan Indra tahu semua mata tertumpu melihat kemunculannya pada hari tersebut.  Iskandar dan isterinya yang juga turut hadir ke majlis tersebut dan kelihatan sedang berbual dengan Dato’ Haikal di sebuah meja.
“Hari yang amat bertuah” bisik Datuk Nasir kepada lelaki yang berdiri di sebelahnya. Lelaki tersebut menganggukkan kepala apabila faham apa yang dimaksudkan oleh Datuk Nasir kepadanya.
“Memang teramat bertuah dan tak rugi I temankan Datuk Nazmi untuk datang kali ni. Teramat kacak dan tak heranlah kalau boleh dapat isteri yang cantik macam tu. I dengar isterinya tu salah seorang pewaris rakan kongsi” soal Hakimi di hujung ayatnya.
“Ya, sebab tu mereka menjadi pasangan terkaya di negeri ni. Lelaki tu memang sudah sedia billionaire tapi apabila mereka bersatu menjadi pasangan suami isteri kekayaan mereka sudah tidak terukur” sahut Datuk Nasir sampil matanya terus tertumpu melihat pasangan yang kini sedang bergerak mendekati pasangan penaraju utama Kencana Holding yang sedang bersembang dengan Dato’ Haikal.
“Datuk, lama saya tidak nampak Sarah anak datuk. Selalunya Sarah akan ikut datuk ke majlis macam ni” soal Hakimi apabila mula menyedari ketiadaan Sarah. Lidah Datuk Nasir seakan kelu untuk memberi jawapan pada soalan Hakimi. Bagaimana Datuk Nasir hendak menerangkan keadaan Sarah yang kini terpaksa berkurung 24 jam di dalam biliknya. Sudah beberapa orang pakar kulit telah dihubungi untuk merawat Sarah namun keadaan kulit Sarah semakin teruk. 
Tiada sejenis ubat pun yang memberi kesan yang positif dan Sarah sudah seperti tidak siuman dan asyik menangis siang dan malam. Isterinya pula pergi entah ke mana dan sudah seminggu tidak balik ke rumah. Menurut pembantu rumahnya Datin Khatty telah pergi untuk mencari dukun-dukun yang boleh menyembuhkan penyakit Sarah dan menurut maklumat yang diberitahu oleh pemandu peribadi isterinya, sekarang Datin Khatty sedang berada di Indonesia.
“Sarah tidak berapa sihat” itu sahaja ayat yang mampu terluah dari mulut Datuk Nasir. Walaupun sebahagian disebabkan permintaan Sarah agar merahsiakan penyakitnya namun Datuk Nasir juga tidak sanggup kalau keadaan Sarah menjadi tontonan dan buah mulut orang.
“Jom kita ke sana, I belum pernah dapat peluang untuk jumpa dekat dengan lelaki tu” sambung Datuk Nasir sambil matanya memandang siapa yang dimaksudkan. Mungkin itu kesempatan yang ditunggu-tunggunya selama ini. Mana tahu kali ini ada rezeki untuk berbual dengan pemilik syarikat terkemuka itu.
Indra merenung lelaki yang khabarnya adalah wakil daripada BR Company. Tidak pasti lagi sama ada lelaki tersebut adalah pemiliknya ataupun cuma wakil sahaja. Seorang manusia biasa dan tiada apa yang peliknya tentang lelaki tersebut.
“You pemilik atau wakil syarikat” soal Indra sambil merenung lelaki yang berdiri tidak separas ketinggiannya itu. Ukuran yang normal lelaki biasa membuatkan lelaki tersebut mendongak memandang suara yang menegurnya.
“Bos saya akan datang tapi mungkin terlewat sedikit” balasnya namun ada getaran dalam suaranya ketika melihat figura yang berdiri di hadapannya.
“Siapa bos you, mungkin I kenal sebab syarikat you ada outstanding case dengan syarikat I” sambung Indra sambil mengangkat keningnya memandang lelaki tersebut. Lelaki tersebut kelihatan terpana mendengar ayat Indra. Sebagai pekerja dia hanya semata-mata pekerja tidak lebih dari itu dan dia tiada jawapan untuk soalan Indra.
“Tu bos saya mungkin encik kenal”  sambil matanya memandang seseorang yang mula memasuki ruangan majlis tersebut.
Indra tersenyum sinis.  Itulah jawapan kepada persoalan ingin diketahuinya. Penyemaran yang cukup hebat dan kalau manusia biasa memang tidak akan mengenali siapa pasangan yang baru melangkah masuk ketika itu. Indra segera menoleh memandang Isqan dan memberi isyarat kepadanya supaya berhati-hati.  Pada ketika itu juga Isti Samira muncul segera menghampiri Indra dan terus berdiri di samping anak menantunya.
“Kalau keadaan tidak terkawal mereka akan buat huru hara. Biyung akan awasi Angel” ujar Isti Samira ketika merapati Angel.
“Hai Tuan Indra Arjuna” Indra berpaling apabila suatu suara tiba-tiba menegurnya. Dengan senyuman lebar lelaki tersebut menghulurkan tangannya kepada Indra.
“Datuk Nasir” lelaki tersebut memperkenalkan dirinya kepada Indra.
“Indra Arjuna” balas Indra sambil menyambut salam Datuk Nasir. 
“Tidak sangka hari ini I dapat peluang bertemu CEO Loka Holding di sini, selalunya Dato’ Haikal datang sendirian” Datuk Nasir meneruskan perbualannya. Indra tahu siapa lelaki yang sedang berminat untuk mendekatinya waktu itu. Sarah tidak kelihatan dan Indra tahu kenapa gadis itu tidak akan muncul lagi di mana-mana selepas ini. Kalau Sarah tahu apa penawar pasti Sarah akan datang mencari mereka terutamanya Angel.
“Kali ini saya berminat hendak datang” sahut Indra dan ayatnya berakhir di situ saja apabila terdengar pengumuman pengacara majlis yang juga mengalih tumpuan semua tetamu lain yang sedang berbual dengan teman masing-masing. Braja dan Ratih Hasna tersenyum ketika bertikam pandang dengan Indra. Sebelum ucapan Pengerusi PPB, ketua-ketua syarikat dijemput untuk mengambil tempat duduk yang dikhaskan untuk pasangan dan pembantu masing-masing.
Pengumpulan dana untuk tapak dan pembinaan bangunan ibu pejabat PPB,  perlantikan presiden baru PPB dan penentuan nilai baru jumlah caruman tahunan ahli persatuan merupakan dua agenda penting perjumpaan kali ini. Bakal presiden baru adalah penyumbang dana terbesar untuk tapak dan pembinaan bangunan ibu pejabat PBB.
Sesi untuk agenda pertama dimulakan setelah selesaikan ucapan pengerusi lama dan perasmian mesyuarat oleh wakil kerajaan. Jumlah peratus dana adalah secara bertulis dan akan diumumkan secara rasmi oleh pengerusi majlis.
Pengumunan keputusan tentang dua penyumbang dana yang terbanyak mempunyai nilai yang sama iaitu sebanyak 70 peratus akhir menjadi lanjutan kepada pemilihan seterusnya. Dua pengerusi syarikat tersebut diminta tampil ke hadapan untuk berkempen sebelum sesi undian pemilihan terbuka daripada tetamu yang hadir pada hari tersebut.
“Aku akan pastikan jawatan presiden jatuh kepada syarikat kita. Peluang untuk kita hancurkan Loka Holding.  Aku akan lumatkan orang tua tu nanti” Ratih Hasna tersenyum mendengar bisikan  Braja  kepadanya. Dato’ Haikal sememangnya bukan tandingan yang sepatutnya tampil untuk menyaingi Braja. Manusia tersebut mudah saja untuk ditundukkan oleh Braja.
Dato’Haikal mewakili Loka Holding dan pengumuman sebuah syarikat baru sebagai pencabarnya amat memeranjatkan Indra. Indra merasakan sesuatu yang harus ditanganinya sendiri lantas menemui Dato’ Haikal untuk berbincang sesuatu.
“Dato’ duduklah, saya akan handle bahagian ini” Dato’ Haikal tersenyum mendengar kata-kata Indra dan seharusnya itu yang dimahukannya. Braja terus berang apabila melihat Pengerusi Loka Holding duduk semula dan Indra bangun mengambil alih tempat lelaki tersebut.
“Bangsat!” bisik Braja dalam hatinya.
“Lebih 40 tahun Loka Holding bertapak dalam dunia perniagaan dengan berpegang kepada visi, misi dan polisi kini kami telah berdiri kukuh sebagai sebuah syarikat yang kukuh dan mempunyai berpuluh anak syarikat di bawah kami. Bermula sejak era zaman terawal penubuhan di bawah teraju Aditya Wangsa, Dato’ Amar Zaid dan Syed Hatta mereka telah bersatu hati membina sebuah syarikat yang bersih segala pengurusan dan pertadbiran yang benar mengikut lunas-lunas perlembagaan dan perjalanan sebuah perniagaan yang betul. Kami yakin syarikat kami akan terus bertapak dan terus mampu bersaing dengan yang  lama atau yang baru dan kami sentiasa berpegang kepada ketulusan dan menjauhi segala laluan dan prinsip kotor dalam segala urusan. Kecil atau besar, kami akan menghormati semua syarikat yang berurusan dengan kami sebagai rakan kongsi yang harus dihormati dan dilindungi dengan nilai keadilan sejagat. Kematangan dan pengalaman yang banyak adalah modal yang amat diperlukan dalam sesuatu urusan pentadbiran dan tidak mungkin mampu dipikul oleh bayi kecil yang baru dilahirkan. Yang hanya tahu merasai sebotol susu dan akan tidur apabila didodoikan. Berjuang dan merampas sesuatu dengan wang ringgit tidak akan menjanjikan perlaburan yang akan kekal selamanya. Walaupun dalam dunia perniagaan kita mengejar wang ringgit tetapi kita harus ingat bahawa tidak semua benda di dalam dunia ini kita mampu beli dan dapatkan dengan wang ringgit. Hati dan maruah manusia adalah perkara yang perlu kita utamakan dan letakkan ia di darjat yang paling atas dan gunalah otak dan akal fikiran sewaktu melaksanakan segala urusan agar ia menjamin kebahagian kita dan orang lain” bunyi tepukkan manusia di sekelilingnya membuatkan Braja benar-benar marah. Kata-kata yang amat menyakitkan dan sebahagian adalah suatu sindiran kepadanya.
Angin yang tiba-tiba bertiup kuat dan menerbangkan helaian kertas membuatkan semua tetamu tergamam dan beberapa saat kemudian terasa seperti ada gegaran dan bunyi hentakan yang kuat. Pertanda kemunculan tetamu-tetamu dari alam ghaib dan Indra sudah  nampak sebahagian daripadanya sudah menunjukkan diri.  Kemunculan tiba-tiba suatu aura yang kuat membuatkan Indra agak terpegun seketika.
“Dewi Puteri Isti Samira, kau membohongiku” laungan suatu suara yang membuatkan suasana di dalam dewan tiba-tiba senyap. Ianya bukan suara Braja atau sesiapapun yang berada di dalam dewan tersebut. Indra semakin dapat mengesan sesuatu yang akan muncul dan ianya amat berkuasa dan bertenaga lantas segera bergerak meninggalkan pentas untuk segera mendapatkan isterinya. Namun Braja menggunakan kesempatan itu untuk menghalang tindakannya.
“Urusan kita belum selesai” ujar Braja ketika sudah berada di hadapan Indra.
“Sekarang bukan masa untuk urusan aku dan kamu, beri aku laluan sebelum aku membunuhmu” jawapan Indra disambut oleh derai ketawa Braja.
“Aku juga ingin membunuhmu dan aku tidak akan lepaskan peluang ini” sahut Braja yang masih terus menghalang perjalanan Indra. Kesabaran yang ada batasnya dan Indra sudah tidak mahu  membuang masanya untuk bersoal jawab dengan Braja.
“Kau memang menyakitkan hatiku” ujarnya sebelum satu terpikan kuat yang menerbangkan Braja berpuluh meter jauhnya membuatkan semua tetamu di dalam dewan tersebut menjerit. Braja bangkit dengan pantas lantas cuba membalas Indra  dengan satu lontaran berbola api dari tangannya namun Indra menyambut berbola api dan menggenggamnya sehingga padam.
“Baliklah dan jangan kau buat huru hara di dunia ini. Indra bukan milik kau. Indra bukan takdir kau” kemunculan mengejut seorang wanita cantik dengan sepersalinan pakaian kuning berkilau bagaikan emas  membuatkan membuat semua tetamu berpaling melihat wanita yang tiba-tiba muncul menghalang niat Ratih Hasna yang cuba membantu Braja menyerang Indra.
“Jahanam kau Isha Wristi!” jerit Ratih Hasna ketika cuba membuka salendang yang membalut tubuhnya.
“Kau yang jahanam, busuk hati. Aku tidak sanggup ada anak saudara seperti kau” balas Isha Wristi sebelum meninggalkan Ratih Hasna.
“Kak! dia sudah datang” seru Isha Wristi ketika mendekati Isti Samira.
“Yaman sudah tahu kewujudan Indra, semua penghuni alam ghaib menyebutnya. Apa yang kita akan lakukan sekarang kak. Yaman akan membunuh Indra seperti ia membunuh Aditya Wangsa” Isha Wristi terus menyampaikan khabar yang mengejutkan itu kepada Isti Samira.. Isha Wristi bergegas menemui Isti Samira apabila mengetahui Yaman sudah turun ke bumi.
Kedengaran suatu bunyi gema yang kuat membuatkan semua penghuni dewan saling berpandangan.  Kali ini sudah pasti semua manusia yang berada di dalam dewan tersebut akan menyaksikannya namun Isti Samira dan Isha Wristi tidak peduli semua itu. Perkara itu akan mereka selesaikan kemudian. Indra dan Angel harus diselamatkan daripada Yaman. Walaupun terpaksa mengorbankan diri Indra harus diselamatkan.
“Kenapa sayang? kenapa dengan Isha”  tegur Iskandar pelik melihat kemunculan Isha Wristi dengan penampilan yang pelik. Pakaiannya yang berkilauan menyukarkan wanita itu untuk dilihat kerana sinaran cahayanya menyilaukan mata yang memandangnya.
“Awak tidak akan faham, tunggu di sini!” balas Isti Samira dan dalam sekelip mata Isti Samira sudah berubah sama seperti Isha Wristi.
“Sayang! awak ke mana?” Isha Wristi berpaling apabila mendengar panggilan suaminya. Isti Samira tersenyum sebelum menghaibkan jasad suami.  Iskandar harus berada di tempat yang selamat dan tidak melihat apa yang berlaku pada hari itu.
“Isqan! keluar semua manusia dari sini. Mereka pasti akan mati kalau meihat Yaman” Isqan segera berrtindak menurut arahan Isti Samira.
“Indra! Bawa Angel tinggalkan tempat ini” laung Isha Wristi namun tiba-tiba muncul sesuatu yang membuatkan semua orang menjerit lari bertempiaran. Angel yang sedang berdiri kaku menanti Indra mendekatinya terkejut apabila tubuhnya dibaluti sehelai seledang emas dan diangkat ke atas. Seledang emas kemudian melindungi Angel seperti sebuah khemah.
“Angel, jangan keluar walau apapun yang Angel dengar. Banu tolong jaga Angel jangan biarkan Yaman nampak Angel” pesan Isha Wristi sebelum meninggalkan Angel bersama Banu di situ.
Indra cuma mengenalpasti suatu makhluk yang baru muncul. Sudah beberapa orang manusia yang sudah rebah dan pengsan dan  ada yang terjerit-jerit ketakutan. Isqan masih berusaha untuk mengeluarkan semua manusia yang ada di dalam dewan waktu itu.
“Indra, lumpuhkan seluruh tenaga dan kuasamu” seru Isti Samira sewaktu mendekati puteranya.
Rupanya memang amat menakut. Kepala besarnya dan percikan api daripada rambutya  adalah cahaya  yang menyakitkan mata dan wajahnya lebih buruk daripada manusia yang sudah reput ratusan tahun. Indra tidak pasti apakah itu wajah sebenar ataupun jelmaannya.
“Yaman..kau sepatutnya sudah puas dengan apa yang telah kau lakukan dulu. Biarkan kami terus hidup dengan tenang dan aman” Isti Samira muncul berdiri di sebelah Indra.
“Belum Isti, kau sembunyikan sesuatu daripada aku. Seharusnya dulu aku sudah membunuh keturunan manusia yang telah merampas bakal isteri aku. Kau pandai sembunyikan dia”  lidah menjelir bagaikan ular yang sedang kelaparan.
“Dia tiada di sini Yaman, kau sudah membunuhnya beratus tahun yang lalu. Tinggalkan kami Yaman. Berilah peluang aku dan adik aku untuk hidup” Isti Samira merayu dan berharap Yaman akan mempercayai kata-katanya. Yaman tidak akan mengenali Indra selagi Indra masih menyimpan seluruh kekuatan dan kuasa yang dimilikinya.
“Siapa ini?” soal Yaman ketika menatap lelaki manusia yang berdiri di samping Isti Samira.
“Dia sebahagian daripada manusia yang pernah kau laknati sejak ratusan tahun dahulu” sahut Isti Samira apabila Yaman mengalih perhatian kepada Indra.
“Tapi dia ada bauan yang harum, aku dapat menghidu seperti ada bauan bangsawan alam ghaib dari tubuhnya” Yaman mengeliligi Indra dan memerhati setiap pelusok tubuh Indra.
“Dia selalu bersama aku sebab itu bauan aku ada padanya” sahut Isti Samira cuba meraih kepercayaan Yaman. Kedengaran ketawa kuat Yaman yang menyakitkan telinga semua makhluk di sekelilingnya.
“Jadi masih ada manusia yang mampu menjadi pemuas nafsumu” Yaman terus ketawa. Isti Samira mendiamkan diri, hatinya memang sakit dan benci mendengar kata-kata Yaman namun Indra harus dilindungi.
“Kau jangan tertipu Yaman, dia putera Maharaja Aditya Wangsa, dia anak maharaja kami yang telah kau bunuh. Dia anak Ratu Gusti Dewi Isti  dan maharaja kami” laung satu suara yang membuatkan Yaman, Isti dan Indra berpaling melihat Braja yang tiba-tiba bersuara. Di kala itu mata Yaman segera mengeluarkan api ketika berpaling semula memandang Isti Samira. Isti samira sudah bergerak di hadapan Indra dan dalam detik yang sama Isti Samira segera memberi isyarat agar Indra memulihkan semula tenaga dan kuasanya.
Hembusan nafas yang kuat membuatkan Isti Samira terhumban jauh dan terus kaku justeru Yaman sudah mendekati Indra. Isha Wristi cuba membantu Isti Samira namun Yaman lebih pantas telah mengunci langkah Isha Wristi.
“Kau persis ibumu dan sedikit menyerupai manusia itu. Kalau aku ayahmu tentu rupamu tidak seburuk ini. Kau akan menjadi putera api yang paling panas dan tidak mampu dipandang oleh seluruh penghuni alam ghaib” seperti tadi Yaman sekali lagi mengeliligi Indra.
“Kaulah makhluk paling hodoh dan buruk yang pernah kulihat dan baru ku sedar sekarang kenapa biyungku tidak sanggup menerima kau sebagai suaminya” Indra tidak pernah gentar walaupun tahu makhluk di hadapannya sekarang adalah raja alam ghaib yang paling digeruni oleh seluruh penghuninya. Kekuatan dan kuasanya terlalu hebat dan tiada makhluk alam ghaib yang dapat menandinginya.
“Kau berani mengutukku!” Indra terus menjauhkan diri apabila kata-katanya sudah mula menaikan kemarahan Yaman. Jejari Yaman kelihatan mengeluarkan percikan api yang kemudian membentuk jasad-jasad askar api dan mula bergerak mengelilingi jasad Indra. Indra cuba menentang namun ternyata jasad-jasad askar api itu tidak ampuh oleh kehebatan kuasanya. Kedengaran ketawa Yaman ketika menyaksikan Indra cuba menentang askar api  jadiannya.
“Makhluk jadian apiku tidak memiliki jasad untuk kau musnahkan. Semakin banyak cuba kau musnahkan akan semakin banyak ia muncul semula untuk menentang kau dan kau tidak akan mempunyai ketahanan lagi untuk menentangnya dalam tempoh yang lama. Kekuatan dan kesaktian Isti Samira yang kau warisi tidak mungkin mampu menandingi kuasa aku”. Ketawa Yaman semakin kuat apabila melihat Indra semakin kepayahan dan mula hilang kekuatan untuk menentang lawannya. Kepanasan kian meningkat dan Indra semakin sukar apabila  bala tentera api Yaman semakin banyak mengelilinginya kemudiannya bercantum membentuk sebuah sangkar api lalu memerangkap Indra di dalamnya.















DirgantaraWhere stories live. Discover now