Bab 66. Ramalan Pandita Alam Ghaib

0 0 0
                                    

Bunuh! Itu saja yang ada di fikiran Ratih Hasna. Kegagalan segala misinya dan rancangannya tempoh hari menyakitkan hatinya. Cinta Indra pada Angel  amat dalam sehingga sukar digoyahkan dan mustahil berjaya untuk menggoda Indra sedangkan sepupunya itu sudah lengkap dengan perisai yang diwarisinya daripada Isti Samira untuk menghadapi apa jua golongan jin dan seorang lelaki yang terlampau hebat untuk kewujudan manusia yang berdarah bangsawan.
Tanpa Angel  Indra pasti akan menderita untuk selamanya namun setiap kali ada saja halangan dan Indra tidak pernah memberi kesempatan untuk Ratih Hasna merealisasikan rancangannya. Sekutunya harus dibentuk daripada golongan manusia berhati syaitan yang lembik  boleh dijadikan boneka dan golongan syaitan sebenar boleh menjadi bala tenteranya dan rakan sekutunya mestilah makhluk yang wujud sealiran dengan Indra. Ratih Hasna tahu wujudnya mangsa-mangsa sumpahan sihir Yaman yang tidak mampu mematuhi pantang larang dan sedang berkeliaran di muka bumi untuk mencari mangsanya sebagai santapan. Golongan separuh manusia ini masih mempunyai akal cuma nafsu kebinatangan harus ke depan kerana keperluan hayat mereka pasti diutamakan. Kehebatan dan kuasa golongan ini hampir setanding malah kuasa  mereka boleh dipertingkatkan melalui makanan yang berkhasiat itu. Apabila Angel  dan janinnya  sudah menjadi santapan  golongan ini maka dipenghujungnya apabila Indra sudah kehilangan separuh daripada kehidupan dan nyawanya maka Putera dua alam itu akan tewas dan rebah ke bumi. Biarlah putera bodoh yang menolak takdir hidupnya itu tewas dan musnah dan  misinya untuk menjadi ratu Indra tidak berhasil asalkan hatinya puas. Ungkapan itu sudah tersemat di hati Ratih Hasna.
Kehamilan permaisuri Putera Indra Arjuna Aditya sudah dicanangkan ke seluruh pelusok alam ghaib dan makhluk-makhluk dari alam itu pasti akan berlumba-lumba ingin mendapatkan makanan lazat yang paling berkhasiat yang selama ini mereka nanti-nantikan. Dari ramalan pendita alam ghaib, Indra akan ditakdirkan menjadi Maharaja Loka apabila segala kehebatan, kekuatan dan kesaktian yang berada di alam semesta ini menjadi milik lelaki itu. Perkara itu hanya berlaku selepas Indra Arjuna membunuh dan meratah janin zuriat sendiri yang terbentuk daripada hubungannya dengan perempuan manusia yang dikahwini.
Apabila Indra sendiri mengubah ramalan itu dan menolak takdirnya kerana terlalu mencintai permaisurinya dan menerima kehadiran zuriat yang dikandungkan oleh permaisurinya maka ramai yang berlumba-lumba untuk meletakkan takdir itu menjadi miliki mereka. Ratih Hasna tersenyum apabila melihat di sana sini penghuni alam ghaib sedang memburu Permaisuri Indra Arjuna. Mampukan Indra melindungi permaisuri dan zuriatnya sedangkan setiap saat musuh berada di sekelilinginya. Memikirkan perkara itu Ratih Hasna tergelak kuat sambil menari-nari di permukaan air.
Senyuman gadis cantik itu mempersonakan  Braja. Braja tahu gadis itu bukan manusia kerana bauan tidak sama. Ia makhluk keturunan yang sama dengan ratu dan adik ipar Maharaja Aditya Wangsa. Dua makhluk yang kini sentiasa melindungi Putera Indra Arjuna putera tunggal Aditya Wangsa dan membantunya Putera Indra Arjuna untuk kekal hidup di alam manusia. Braja sendiri tidak mampu memikirkan kenapa dua beradik itu sanggup berkorban demi kebahagian Putera Indra Arjuna sedangkan mereka boleh hidup bebas dan selesa di dunia sendiri tanpa bersusah payah untuk menyamar hidup di alam manusia yang jauh berbeza dengan kehidupan sebenar mereka.
“Apa jaminan kau sekira kita berjaya?” soal Braja ketika merenung wajah manis di hadapannya.
“Maharaja Loka dan segala kehebatan, kekuatan dan kesaktiannya milik kau dan aku akan menyembahmu dan..”
“Menjadi ratuku” celah Braja sambil mengangkat keningnya memandang gadis manis di hadapannya. Ratih Hasna tersenyum kemudian mengangggukkan kepalanya.
“Kita akan kumpul pengikut-pengikut kita mulai sekarang” arah Braja sambil matanya terus merenung Ratih Hasna yang begitu memukau pandangannya. Bakal ratunya di alam ghaib.

Angel  tersentak dari lenanya kemudian mengesat dahinya yang dibasahi peluh. Indra yang sedang membaca sesuatu di atas pokok di sebelah bilik tidur mereka terus terjun ke bawah melihat keadaan isterinya.
“Kenapa sayang, mimpi apa?” matanya tidak berkelip merenung isterinya.
“Maharaja Loka! Mereka semua hendak menjadi Maharaja Loka” Indra terpaku selepas mendengar perkataan yang disebut oleh Angel. Indra sendiri tidak pernah mendengarnya. Selepas Kerajaan Loka Wangsa musnah oleh Yaman dan beratus tahun sudah ditenggelamkan oleh Isti Samira dan Isha Wristi ke dalam bumi mustahil Kerajaan Loka Wangsa wujud lagi dan wujud pemerintah yang memakai gelaran Maharaja Loka. Mungkin ada cerita lain yang tidak diketahui selama ini tapi Indra tahu di mana dia boleh mendapat jawapannya.
“Nanti kita tanya pada biyung, saya rasa biyung mungkin tahu”  Ujar Indra sambil tangannya meraih Angel  ke dalam pelukannya.
Lama Isti Samira terdiam apabila Indra tiba-tiba bertanyakan tentang Maharaja Loka kepadanya. Kenapa cerita yang sudah beribu-ribu tahun itu boleh muncul kembali melalui mimpi Angel. Angel memang mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan Indra dan alam ghaib.
“Maharaja Loka pernah disebut beribu-ribu tahun lamanya. Maharaja Loka paling berkuasa dan hebat di antara semua raja yang ada di alam ghaib. Yaman sendiri pun gentar dan takut apabila mendengar cerita tentang Maharaja Loka. Biyung menolak lamaran Yaman dan lari membawa diri dan berharap akan boleh bertemu dan meminta bantuan Maharaja Loka yang menurutnya ceritanya istananya berada di Bumi. Kebetulan wujud pada masa itu sebuah kerajaan di Bumi bernama Loka Wangsa dan biyung telah berjumpa dengan maharajanya semasa maharajanya pergi berburu.
Biyung terus menerima lamarannya walaupun biyung tahu dia manusia biasa dan bukan Maharaja Loka kerana cinta sudah berputik di antara kami. Setelah Yaman berjaya menemui kami dan Yaman juga menyangkakan bahawa suami biyung adalah Maharaja Loka kerana anggapan yang salahnya itu yang menyebabkan Yaman telah memusnahkan kerajaan Loka Wangsa dan menyihir penghuni istana Loka Wangsa.
Tapi sebenarnya kerajaan Loka Wangsa memang ada kaitan dengan Maharaja Loka Wangsa tapi Maharaja Aditya Wangsa bukan maharaja Loka Wangsa tapi..” cerita Isti Samira berhenti kemudian matanya menatap wajah puteranya.
“Kamu Indra” Indra terpaku di kala Isti Samira mengaitkan namanya.
“Maksud biyung?” soal Indra seakan tidak sabar selepas mendengar sebahagian daripada cerita Isti Samira.
“Semasa kamu menerima sumpahan sihir selama dua ratus tahun menjadi batu, biyung dan bibi kamu telah ke sana ke mari untuk mencari Maharaja Loka Wangsa yang sebenar untuk meminta pertolongan bagi memusnahkan Yaman dan membebaskan kamu daripada sumpahan sihirnya. Biyung sanggup mengabadikan diri padanya jika Maharaja Loka boleh membantu membebaskan kamu. Dalam pencarian itulah biyung telah berjumpa Pendita Surya, salah seorang pandita di alam ghaib. Pendita Suryalah yang memberitahu tentang kewujudan Maharaja Loka.
Menurut ramalan Pendita Surya dan seluruh pendita di alam ghaib, Maharaja Loka lahir daripada penyatuan dua alam dan bonda yakin kamulah hasil daripada penyatuan dua alam itu. Sebelum kemunculan Maharaja Loka kamu akan bertemu penawar. Angellah adalah penawar dan sebenarnya Yaman tidak sedar bahawa sumpahan sihirnya sendiri yang akan mencipta Maharaja Loka.
Tapi untuk kamu menjadi Maharaja Loka yang mampu mengalahkan Yaman dan menghapuskan segala sihirnya, kamu perlu melalui ujian yang getir dan itu yang tidak berlaku sekarang kerana cinta kamu kepada Angel  terlalu dalam dan kamu sendiri yang mengubah takdir itu” Indra menggelengkan kepala selepas mendengar penghujung ayat Isti Samira.
“Indra tidak faham maksud biyung, apa sebenar ujian yang getir itu” soal Indra kemudian menatap wajah Isti Samira menunggu wanita itu memberitahunya.
“Biyung dan bibi menjaga dan mengawasi kamu selepas kamu terbangun dari tidur dua ratus tahun yang lalu supaya kamu boleh bertemu jodoh dengan gadis manusia yang berdarah penawar. Takdir itu telah menjadi kenyataan apabila kamu bertemu Angel  kerana dialah gadis berdarah penawar tapi selepas Angel  mengandung kamu harus melakukan sesuatu. Bukan bermakna biyung tidak mahukan cucu biyung malah biyung pun akan berasa bersalah kalau ia berlaku tapi itu saja jalan yang kita ada untuk menghapuskan Yaman. Angel  tidak akan apa-apa dan akan terus hidup bersama kamu kalau kamu melakukannya. Tapi semuanya tidak berlaku dan kamu sendiri tahu sebabnya” Indra terus diam selepas Isti Samira mengakhiri ceritanya. Indra tahu maksud Isti Samira di penghujung ayatnya. Anaknya, zuriat yang berada dalam rahim Angel  sekarang harus dikorbankan untuk jadi santapan. Itu yang tidak mampu dilakukan pada malam itu kerana cintanya pada Angel  terlalu agung dan itu tidak mungkin terjadi lagi kerana kasihnya pada Angel  dan anak mereka semakin menebal.
Angel  sudah tiada di sebelahnya dan mungkin Angel  tidak sanggup untuk mendengar  segala yang menyentuh tentang anak mereka. Naluri keibuan Angel  terlalu kuat menyayangi zuriat yang berada dalam rahimnya.
“Adakah dengan berakhirnya sumpahan sihir Yaman, Maharaja Loka akan menjadi manusia?” soal Indra kembali ingin mengetahui lebih lanjut cerita tersebut. Isti Samira menggelengkan kepalanya.
“Maharaja Loka adalah maharaja di alam ghaib dan kerana itu biyung tenggelamkan istana Loka Wangsa. Istana itulah akan menjadi keraton kamu yang kekal” sahut Isti Samira pula. Indra tersenyum mendengarnya dan Isti Samira menjadi pelik melihat reaksi Indra ketika itu.
“Dan sebenarnya segala pengorbanan yang saya lakukan hanya untuk menghapuskan  Yaman dan saya tidak akan menjadi manusia lagi selepas itu dan terpaksa tinggalkan Ratna kerana Ratnaku tidak mungkin boleh hidup di dunia yang lain. Maknanya saya perlu mencari jodoh di kalangan jin untuk terus memerintah di alam ghaib” Isti Samira mengangguk kerana itulah hakikat sebenarnya.
“Dan kerana itu kenapa Ratih Hasna muncul untuk bertemu kita terutama kamu.  Biyung percaya Ratih Hasna sudah tahu ceritanya dan cinta kamu yang terlalu dalam kepada Angel  telah menyakitkan hati Ratih Hasna juga mengagalkan rancangannya.  Ratih Hasna tahu  suatu masa kamu akan meninggalkan Angel  dan dia akan bersama kamu untuk memerintah di alam ghaib kerana dia adalah calon yang paling sesuai untuk menjadi Ratu Loka kerana dia adalah sepupu kamu dan  puteri seorang raja” Indra tersenyum sinis selepas mendengar jawapan Isti Samira kepadanya. Dan kenapa Ratih Hasna berani muncul di kondonya selepas dia meninggalkan Angel  di kala mengetahui Angel  sedang berbadan dua sudah terjawab. Ratih Hasna berharap dia kembali kepada Angel  supaya misinya mewujudkan Maharaja Loka dapat disempurnakan.
Sebelum bertemu Angel, Indra tidak pernah merasakan kesempurnaan hidup yang sebenar. Terpaksa meneruskan kehidupan yang bukan atas kehendak dan kerelaannya dengan pelbagai perkara yang sudah dilalui namun tiada yang seindah ketika bersama Angel. Matlamat terakhir hidupnya adalah kehidupan sebagai manusia sebenar yang beriman kepada pencipta yang esa. Kehidupan yang sempurna di sisi wanita yang dicintai dan membina sebuah keluarga yang bahagia. Loka Holding sudah cukup menjadi penganti  kerajaan Loka Wangsa yang sudah musnah beratus-ratus tahun dulu dan di situ juga Indra telah berjaya merealisasikan kemampuan sebagai seorang pemerintah walaupun dengan cara yang berbeza kerana dunia juga telah berubah. Di situ dia akan terus bersama Angel  wanita istimewa yang akan menemani sepanjang hayat, wanita yang membawa cinta terindah untuknya, cinta yang beratus-ratus tahun menunggunya, cinta yang membantunya menghapuskan segala kejahatan yang membelenggunya dan membantunya untuk menjadi manusia yang akan diperhitungan dosa dan pahalanya oleh maha penciptanya. Suatu masa Indra mahu jasadnya lebur dimamah bumi dan bangkit semula di alam baru yang mengalir sungai-sungai di dalamnya bukannya kehidupan abadi yang akhirnya menghuni dan terbaring kepanasan di atas bara api buat selamanya.
“Kenapa sayang?” soalnya ketika melihat Angel  sedang termenung berdiri di tingkap melihat pelangi indah yang terbentang di kaki langit.
“Dan seharus tanpa kedegilan saya dimaz sudah berada di tempat yang sepatutnya” balas Angel  sambil matanya masih lagi asyik merenung pelangi indah yang muncul di kaki langit setiap kali hujan selepas hujan berhenti. Entah kenapa sejak berbadan dua warna-warna indah pelangi begitu menarik perhatiannya.
“Dan apakah saya akan mencapai apa yang benar-benar saya impikan?” soal Indra pula lantas kedua belah tangannya memeluk pinggang isterinya dari belakang. Sentuhan hangat bibirnya hinggap di leher isterinya. Bauan menggoda yang membuatnya leka  seketika ketika menghayatinya.
“Apa yang dimaz impikan?” soal Angel  ketika memutar tubuhnya untuk  berhadapan dengan suaminya.
“Menjadi lelaki manusia sebenar, menjadi suami manusia untuk wanita manusia. Menjalani kehidupan manusia sebenar manusia, merasai kesakitan, merasai kehidupan dan  kematian dengan cara yang alami. Ada yang disembah, diperhitungkan pahala dan dosa dan terus menjadi suamimu dan ayah kepada anak-anak kita” beberapa helai rambut yang menutupi dahi Angel  ditolaknya ke atas. Wajah yang putih bersih itu dipandangnya tanpa jemu. Satu kucupan kasih hinggap di dahi isterinya. Angel  tersenyum membiarkan saja perlakuan suaminya. 
“Adakah dimaz benar-benar pasti itu pilihan yang tepat” soal Angel  lagi.
“Ratnaku, saya sudah lama hidup  dan pelbagai ilmu dan kitab sudah saya baca dan kaji. Selagi kita dicipta kita tidak akan sempurna. Walaupun kita kuat, berkuasa dan berharta kita akan tetap ada kelemahan. Akan ada lagi yang lebih kuat, berkuasa dan berharta daripada kita dan kita akan jatuh juga suatu masa nanti.  Saya mahu menjadi makhluk yang ada tujuan hidupnya.. Manusia adalah makhluk tuhan yang paling sempurna. Boleh makan, minum, sihat, sakit, gembira, sedih, tidur, bangun, muda, tua, hidup dan mati. Sejak menjadi makhluk campuran seperti sekarang banyak tidak dapat saya laku dan rasakan. Saya ingin berkongsi makanan dengan awak dan merasa apa yang awak makan dan minum. Saya juga ingin tidur lena di sisi awak dan bermimpi seperti awak. Saya ingin tua bersama awak dan saya ingin kematian saya berkubur dan bernisan seperti manusia lain” Angel  jadi kelu mendengar setiap bait ayat yang dilafazkan oleh Indra kepadanya. Di sebalik kehebatan dan keistimewaan Indra di mata setiap yang memandangnya, banyak kekurangan yang tidak mampu dinikmatinya. Kalau sumpahan sihir itu tidak berakhir bererti Indra akan hidup beratus-ratus tahun lagi dan Angel  mula rasa sedih apabila memikirkannya dirinya tidak akan mampu untuk terus hidup menemani Indra di atas dunia ini selama tempoh itu. Apabila masa sudah tiba di kala ajal sudah datang menjemputnya Indra pasti akan ditinggalkannya.
Angel  tidak mahu terus hanyut untuk memikirkan tentang cerita masa depannya yang belum berlaku. Apa yang Angel harus tahu sekarang adalah Indra sendiri telah menetapkan pilihannya dan memilih arah tuju hidupnya dan lelaki itu tidak pernah menyesali kerana memusnahkan takdir hidupnya sendiri. Indra sudah terlebih dewasa dan cukup pengalaman dan berilmu untuk memilih jalan yang betul dalam hidupnya. Angel  tidak juga menyalahkan Isti Samira kerana wanita tidak pernah mendesak Indra untuk berbuat apa-apa kerana hanya menyerah pada takdir yang menentu segala-galanya. Selepas Isti Samira sah bergelar isteri kepada Dr Iskandar, mereka bertiga sudah mempunyai kehidupan masing-masing.

DirgantaraWhere stories live. Discover now