"Kalau awak tak boleh ubah, saya akan teman awak pergi malam nanti. Saya akan jemput awak selepas maghrib"
"Saya tak nak awak menyusahkan diri. Maksud saya, buang masa awak sebab saya ni bukan sesiapa pun pada awak"
"Saya tak tahu kenapa tapi saya tak mahu biarkan awak pergi sendirian"
"Tapi ingat, awak jangan menyalahkan saya pulak. Bukan saya yang ajak tapi awak sendiri yang tawarkan nak temankan saya pergi, terpulanglah. Kalau awak ubah fikiran selepas ini saya tak kisah dan kalau awak tidak datang selepas pukul tujuh setengah maknanya saya perlu pandu sendiri kerana awak tak jadi pergi"
"Saya bukan orang yang suka mungkir janji. Apa awak tak sukakan saya?"
"Ya, saya pernah bencikan awak dulu. Awak pun tahu sendiri kenapa? Tapi tak lagi selepas awak minta maaf hari tu. Sekarang saya cuma terkilan dekat awak sebab awak tidak mahu bercakap benar pada saya walaupun perkara itu benar dan saya sudah soal awak berulangkali. Awak terlalu berahsia atau mungkin sebab awak tidak percaya bahawa saya boleh menyimpan rahsia awak"
"Ratna, seandainya benar mungkin awak akan elakkan diri daripada saya"
"Kenapa pulak saya perlu elakkan diri dari awak?"
"Kalau misalnya di sebalik rupa sekarang saya boleh bertukar pula menjadi rupa yang hodoh dan menakutkan awak"
"Awak akan bertukar jadi beast atau raksasa? Kenapa awak meramalkan saya macam tu"
"Apa yang saya rasa dan mungkin itulah hakikatnya"
"Awak terlalu yakin sebelum mencuba"
"Bagaimana pula kalau saya ni jahat dan boleh membunuh"
"Dari mata awak saya tahu awak bukan begitu. Awak tidak jahat dan awak bukan pembunuh. Kalau awak bukan orang yang baik tentu awak biarkan saya mati saja hari tu"
"Kenapa awak fikir macam tu"
"Sebab mata adalah jendela hati"
"Awak memang pandai memerangkap saya Ratna"
"Terpulanglah apa yang awak fikirkan tapi saya memang mencari jawapannya daripada awak"
Angel tersenyum sendiri apabila mengingatkan semula perbualannya dengan Indra siang tadi. Apakah Indra rasakan sehingga lelaki itu tidak mahu membiarkannya pergi sendirian pada malam itu. Siapa Indra yang sebenarnya dan apakah hakikat sebenar yang dimaksudkan oleh Indra.
Bagaimana kalau benar Indra boleh bertukar menjadi makhluk yang hodoh dan mengerunkan atau jahat dan pembunuh seperti yang dikatakannya. Namun tidak mungkin lelaki kacak dan kaya seperti Indra akan menjadi begitu. Apakah motif dan sebab Indra boleh bertukar menjadi hodoh dan jahat itu. Mungkinkah Indra memang ada menyembunyikan sesuatu atau sekadar hendak menakutkannya.
Puas memikirkan perkara yang tidak logik pada akalnya itu tapi hakikatnya sekarang lain pula yang Angel rasa. Angel semakin senang pada Indra dan Angel tidak menafikan dia juga seperti wanita lain yang memang pada dasarnya tertarik pada rupa fizikal Indra yang terlalu sempurna. Kacak dan apa saja yang Indra miliki semuanya akan membuat setiap gadis akan terpikat padanya. Indra tidak perlu tersenyum dan menoleh kerana sekali terpadang orang akan berulang-ulang kali ingin memandangnya semula.
Tapi apabila mengikut naluri hatinya atau deria keenam yang hanya pada masa-masa tertentu berfungsi, ketampanan lelaki itu perkara kedua. Lelaki pelik dan misteri itu telah meletakkan satu titik tanda pada permulaan pertemuan mereka. Lelaki itu telah membuatnya rasa sedih dan akhirnya jatuh sakit beberapa hari. Pengalaman dan perkara yang tidak pernah berlaku pada dirinya sebelum ini. Penghinaan yang membawa kebencian yang berapi-rapi dalam hati Angel tapi dengan sekelip mata lenyap apabila lelaki itu datang memadamkan dengan memohon kemaafan dan kini menyatakan keinginan untuk melindunginya walaupun alasannya cuma demi keselamatan seorang pemegang syer syarikat.
Siapa Indra padanya sekarang, teman yang tiba-tiba muncul dan memberi episod baru dalam perjalanan hidupnya. Kenapa hatinya tidak pernah meragui kejujuran lelaki itu ketika berada di sampingnya meskipun ketika berdua-duaan di tengah-tengah malam begitu. Hatinya seperti sudah seratus peratus menerima kehadiran Indra meskipun Angel tidak tahu apakah maksud suara hatinya sekarang.
Lamunan terputus apabila terpandang sebuah kereta berada di tengah jalan pada jarak dua puluh meter di hadapannya. Laluan jalan raya dua hala itu pasti tertutup oleh keberadaan kereta tersebut di situ. Beberapa detik kemudian muncul pula secara tiba-tiba figura seseorang sedang berdiri di tengah jalan raya di hadapan keretanya membuatkan Angel yang sedang memperlahankan pemanduan terus menekan brek secara mengejut. Figura yang jelas menunjukkan seorang wanita dan berbola matanya bersinar apabila dipacari cahaya lampu kereta yang dipandu oleh Angel. Angel merasakan seakan pernah melalui detik dan saat seperti itu tapi lupa bila dan di mana. Angel mengharapkan agar wanita itu bergerak ke bahu jalan untuk memberi laluan kepadanya untuk meneruskan perjalanan namun sangkaannya meleset apabila wanita bergerak mendekati pintu keretanya dan mengetuk cerminnya dengan kuat meminta agar Angel membukanya.
Buka atau tidak? kecurigaan yang bersarang dalam hatinya membuatkan Angel berfikir untuk bertindak sesuatu. Tolakan kuat daun pintu kereta sebelum lari untuk menyelamatkan diri membuatkan wanita itu berundur ke tepi. Namun bukan mudah seperti yang Angel fikirkan kerana wanita itu bergerak pantas lalu mengejarnya. Pergerakan yang amat pantas dan jelas bukan seperti spesies manusia yang boleh melakukannya kerana dalam sekelip mata wanita itu sudah berada di hadapan Angel.
"Kau nak lari ya. Larilah kalau boleh" Angel terpana dalam ketakutan. Mati akal untuk bertindak meyelamatkan diri dan di kala wanita itu cuba bertindak untuk menyerangnya tiba-tiba muncul suatu jasad yang terus menghalang dengan menolak wanita itu hingga terpelanting hampir sepuluh meter jauhnya di atas jalan.
"Indra!" bisik Angel apabila mengenali jasad yang baru muncul itu. Wanita itu bangun dan mendekati Indra, berlaku dialog percakapan di antara Indra dan wanita itu tapi Angel tidak memahaminya. Wanita itu kelihatan marah dan terus menyerang Indra. Berlaku pertemburan dan yang jelas menunjukkan corak pertarungan yang berlaku bukan di antara dua manusia. Kekuatan dan ketangkasan yang sukar diterima akal. Angel hanya terpaku di tempatnya berdiri dengan matanya merakam setiap detik perlawanan dan anehnya situasi itu seperti rakaman cerita yang sudah berulang kali sudah disaksikannya sebelum ini.
Angel menjerit terkejut apabila wanita itu kini berada di depannya telah bertukar rupa menjadi mahkluk yang mirip gorila besar, hitam dan mengerunkan dan cuba hendak menangkapnya. Niat sekali lagi gagal apabila Indra terus menjadi penghalangnya dan Indra kemudian terpelanting jauh apabila makhluk tersebut membalas serangan. Angel ketakutan apabila Indra tidak kelihatan tapi belum sempat makhluk wanita itu cuba menangkapnya sekali lagi tiba-tiba muncul pula seekor makhluk yang hampir sama tapi warnanya agak berbeza menghalang makhluk wanita itu mendekatinya. Berlaku pertarungan yang sengit dan akhirnya salah satu daripada makhluk tersebut berjaya mengalahkan lawannya.
Angel nampak dengan jelas ketika kepala makhluk wanita itu direntapnya hingga putus dan akhirnya tubuh makhluk wanita tersebut berubah kembali ke rupa yang asal sebelum rebah ke Bumi. Muncul cahaya terang seperti kilat yang datang dari atas menyambar tubuh dan kepala wanita hingga hangus terbakar.
"Jangan!" kata-kata itu terkunci dalam hatinya dan kakinya turut terpaku di tempatnya berdiri apabila makhluk yang menang tersebut berpaling memandang kepadanya. Tubuh Angel menggigil ketakutan ketika makhluk tersebut mendekatinya. Kakinya Angel semakin berat dan terus terpaku membuatkan Angel pasrah di situ menanti makhluk itu mendekatinya. Semakin dekat semakin jelas Angel melihat renungan tajam mata seseorang. Mempersona dan merah bersinar keemasan sama dan tiada bezanya seperti di dalam mimpinya. Renungan yang meminta untuk dibelai dan dikasihani.
"Ratna!" nama itu masih terbit di bibirnya walaupun wujudnya dalam bentuk yang berbeza. Tubuh kecil di hadapannya diraih erat ke dalam dakapan. Angel yang awalnya kaku kerana ketakutan akhir didatangi oleh satu rasa yang mengaktifkan semula jasadnya. Dakapan itu akhirnya dibalas dengan pelukan yang erat tanpa rasa takut dan risau keselamatannya dirinya. Sambil memejamkan matanya Angel merebahkan wajahnya ke dada bidang yang ditumbuhi bulu-bulu tebal yang lembut.
"Indra, awak beast, makhluk raksasa yang hodoh" ujar Angel perlahan.
Angel tahu apa yang sedang dilaluinya bukan bermimpi ngeri lagi dan semuanya berlaku di alam nyata. Ketika merasa perubahan pada tubuh yang sedang mendakapnya, Angel mendongak untuk melihatnya dan wajah yang ditatapnya kini adalah Indra yang turut membalas merenungnya. Ketika terus terpaku Angel membiarkan Indra memutar tubuhnya sehingga membelakangi lelaki tersebut.
"Jangan berpaling sehingga saya benarkan" Angel akur selepas mendengar arahan Indra kepadanya.
Selepas pintu kereta kedengaran tertutup dan suara Indra memanggilnya supaya menoleh semula, Angel mendapati Indra sudah lengkap berpakaian baju t dan seluar slek, yang pasti bukan pakaian yang Indra gunakan ke majlis Trisya petang tadi.
"Jangan katakan Ratna berkesempatan melihatnya" ujarnya kemudian membuka pintu kereta untuk gadis itu. Angel hanya menggelengkan kepala tanpa sepatahpun suara keluar dari bibirnya. Indra memandu keretanya ke hadapan mendekati kereta yang sedang melintang di tengah jalan raya. Kedudukan kereta itu memang akan menghalang pengguna jalan raya. Indra memberhentikan kereta kemudian keluar mendekati kereta tersebut dan dengan mudah menyingkirkan kereta itu dengan satu tolakan sehingga kereta itu terhumban beberapa meter jauhnya ke dalam semak berdekatan. Dari dalam kereta, Angel hanya menjadi pemerhati tanpa sebarang kata.
"Ratna, setelah apa yang sudah awak sudah lihat sebentar tadi, saya terpaksa ceritakan pada awak semuanya, apa saja yang awak ingin tahu" beritahu Indra sebaik dia kembali semula di tempat duduk pemandu sebelum meneruskan semula perjalanan mereka. Tanpa suara Angel hanya menganggukkan kepalanya.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasíaSiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...