Pagi itu apa yang Angel takuti terjadi akhirnya menjadi kenyataan. Mungkin memang sudah takdir hidupnya, satu demi satu insan tersayang pergi meninggalkannya. Panggilan telefon dari pihak hospital awal pagi tadi sewaktu Angel sedang bersiap hendak ke hospital adalah khabar yang benar-benar membuat jiwanya begitu lemah, kecewa dan sedih. Angel terus diam dan terpaku dengan linangan air mata yang terus mengalir tanpa henti. Puan Sharifah Aina pergi buat selama-lamanya tanpa sempat mengucapkan sepatah pun perkataan sebelum meninggalkannya.
Angel tidak tahu ke mana harus diluahkan segala rasa yang ditanggungnya ketika itu. Ketika itulah baru Angel nampak keburukan dari kelemahan serta kekurangan yang dimilikinya selama ini. Tanpa saudara mara, teman mahupun sahabat atau kawan Angel hanya mampu menanggungnya sendirian..
Selepas terkejut dengan khabar yang baru diterimanya sebentar tadi Angel sudah tidak mampu untuk memandu keretanya.. Angel terus melayan perasaannya terduduk kaku di hadapan pintu utama rumah pusaka yang kini bakal dihuninya sendirian. Ketika matanya memerhati objek-objek kaku yang memenuhi rumah pusaka tersebut, Angel rasa jiwanya juga turut menjadi kaku. Mujurnya ketika itu Zhafry muncul setelah dihantar oleh sebuah teksi kerana tidak mahu menyusahkan Angel menjemputnya di lapangan terbang.
"Angel! Kenapa ni?, bagaimana keadaan nenek?" terpa Zhafry ketika mendekati Angel yang sedang duduk mematung di hadapan pintu.
"Dady! Nenek dah tak ada, nenek tinggalkan Angel" Angel terus menerpa memeluk tubuh Zhafry. Raungan Angel membuatkan Zhafry tidak dapat menahan kesedihan. Dia amat faham keadaan dan perasaan Angel di kala itu. Puan Sharifah Aina satu-satu insan yang paling rapat dan tempat Angel menumpang kasih sayang selama ini.
"Sabar ya sayang, tuhan sayangkan nenek Angel sebab tu dia ambil nenek Angel dari kita. Dady masih ada untuk jaga dan temankan Angel" pujuk Zhafry sambil memeluk erat tubuh Angel. Zhafry tidak menduga sama sekali ibu mertuanya akan pergi meninggalkan mereka dalam tempoh yang secepat itu. Selepas menerima whatsapp dari Angel petang semalam segera Zhafry mengambil cuti dan terus menempah penerbangan balik ke JB awal pagi tadi.
Dalam esak tangis walaupun seperti tidak percaya namun Angel cuba menerima hakikat Puan Sharifah Aina yang sudah tiada. Wanita itu sudah pergi meninggalnya buat selama-lamanya. Walaupun kehilangan yang baru berlaku itu terlalu perit rasanya untuk ditelan namun Angel kuatkan juga semangat untuk membantu Zhafry menguruskan jenazah Puan Sharifah Aina sehingga ke tanah perkuburan. Selama tujuh hari berturut-turut Zhafry menjemput imam serta jemaah masjid serta jiran-jiran berdekatan untuk majlis tahlil dan yassin di rumah arwah mentuanya.
"Dady faham perasaan Angel kerana sebelum ini dady pernah lalui apa yang Angel lalui sekarang" beritahu Zhafry sewaktu menemani Angel duduk di ruang tamu selepas semua tetamu sudah balik ke rumah masing-masing.
"Tapi dady, Angel tak percaya nenek tinggalkan Angel cepat sangat macam ni. Kalau Angel tak keluar rumah hari tu tentu perkara tu takkan berlaku" kesal mengenangkan kejadian yang menimpa Puan Sharifah Aina berlaku sewaktu ketiadaannya di rumah.
"Angel, semuanya takdir, tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Seperti Angel dady pun pernah merasakan perkara yang sama. Orang yang teramat dady sayang, baru setahun kami bersama dia telah pergi tinggalkan dady buat selama-lamanya. Dady pun tiada ketika saat-saat terakhirnya. Kehilangannya masih dady rasa sampai sekarang. Angel sempat hidup bersama nenek dan merasa kasih sayang dia selama dua puluh tahun dan kini sudah sampai masa Angel kena mulai hidup baru dan menerima hakikat apa yang ada di dunia ini semuanya sementara" Angel mendiamkan dirinya ketika Zhafry memujuknya supaya Angel boleh menerima hakikat dengan hatinya terbuka dan tidak terus bermurung dalam kesedihan selepas itu.
"Angel kena ikut dady balik sekali nanti walaupun sepatutnya dady jemput Angel dua minggu lagi" tambah Zhafry lagi.
"Angel ikut saje apa yang dady fikir elok tapi sebelum pergi Angel nak jumpa seseorang dulu" teringatkan seseorang yang pernah dijanjinya.
"Siapa?" Tanya Zhafry berminat ingin tahu orang yang Angel maksudkan. Sejak bilakah anak gadisnya itu sudah mempunyai kawan?.
"Adam, kawan Angel " sahut Angel pantas.
"Oh rupanya anak dady ni dah ada teman spesiallah ya" Angel melakarkan sebaris senyuman nipis di bibirnya walaupun agak payah untuk mengukirnya ketika hatinya masih lagi dirundung kesedihan.
"Lebih kurang macam tulah dady. Angel sayang sangat dekat Adam" tambah Angel lagi.
"Tentu orangnya lawa dan sepadan dengan anak dady ni" Zhafry bersyukur mendengar perkembangan terbaharu Angel dan sekurang-kurangnya tajuk perbualan itu boleh membantu Angel melupakan seketika kesedihan kerana mengingati arwah Puan Sharifah Aina.
"Tak, tapi dia cute. Angel nak peluk dan cium Adam sebelum tinggalkannya" Zhafry mengerutkan dahinya mendengar jawapan Angel .
"Kamu dah serius benar dengan budak tu" Tanya Zhafry lagi.
"Hari arwah nenek ditimpa malang tulah kali pertama Angel keluar dengan Adam. Kami pergi tengok wayang dan makan" Zhafry terdiam mendengar penjelasan Angel. Mungkin sebab itu Angel rasa begitu bersalah dan sedih di atas kehilangan Puan Sharifah Aina.
"Dady pun berminat nak jumpa Adam nanti. Dady nak tengok lelaki bertuah yang berjaya memikat hati anak dara dady ni. Mungkin dia sesuai jadi calon menantu dady" balas Zhafry sambil memandang Angel. Lelaki itu pasti hebat kerana berjaya menambat hati anak gadisnya yang sedari kecil tidak pernah berminat untuk berkawan dengan sesiapa pun.
"Dady mesti suka dekat Adam" Zhafry hanya menganggukkan kepala tidak kedengaran sebarang komen lagi dari mulut lelaki itu.
"Dady ..sampai sana nanti Angel nak rehat dan tenangkan fikiran dulu. Angel tak nak fikir pasal apa-apa yang lain dulu" beritahunya menukar topik perbualan mereka apabila Zhafry tidak menyentuh lagi tentang Adam.
"Dady tak memaksa, terpulang pada Angel. Ambillah masa sehingga Angel benar-benar bersedia untuk memulakan sesuatu. Bagi dady yang penting Angel sudah ada bersama dady " Angel lega mendengar jawapan Zhafry.
"Dady! Rumah ni macam mana?, Angel tak nak rumah ni dijual atau disewa sebab Angel yakin sekali sekala Angel akan balik sini untuk ziarahi kubur datuk dan nenek dan Angel nak singgah dan tidur di rumah ni" terang Angel selepas teringat perbualan dengan Puan Sharifah Aina dahulu.
"Nanti dady fikirkan. Esok dady cuba cari orang yang boleh tolong jaga dan bersihkan rumah ni setiap minggu supaya tidak berdebu dan berhabuk. Mungkin tempoh yang Angel maksudkan tadi berlaku setahun sekali jadi sebelum kita pergi nanti kita kemas dan bersihkan apa yang patut" Angel setuju dengan cadangan Zhafry dan memang perkara itu yang turut difikirkannya juga.
Tiga hari selepas perbincangan bersama Zhafry malam itu, akhirnya tiba waktu untuk Angel bertolak bersama Zhafry balik ke Sarawak. Perjalanan menaiki pesawat lebih kurang satu jam empat puluh minit itu tidak membuatkan Angel teruja untuk melaluinya.
Sebelum meninggalkannya, Angel merenung lama bangunan banglo pusaka dua tingkat peninggalan arwah datuknya sebelum melangkah masuk ke dalam teksi. Entah bila dia akan kembali lagi ke situ. Kalau kembali pun tidak akan ada sesiapa yang menunggu dan menyambut kepulangannya.
"Sudahlah Angel, Suatu masa nanti kita akan kembali lagi ke sini" tegur Zhafry sambil memandang wajah Angel.
"Entah balik atau tidak sebab tak ada sesiapa dalam rumah tu yang tunggu kita balik". Zhafry tidak menjawab lagi selepas mendengar jawapan Angel. Memang tiada sesiapa yang menunggu kepulangan mereka di situ dan Zhafry sendiri tidak pernah berjanji pada dirinya akan kembali lagi ke situ namun sekiranya perlu atas kehendak Angel terutama untuk menziarahi kubur arwah kedua mentuanya Zhafry tidak akan keberatan untuk menemaninya.
"Dady, kita singgah depan kedai tu dulu. Angel nak jumpa Adam kejap" tangannya menunding ke arah kedai Hashim. Malam tadi Angel sudah menghubungi Adam untuk memaklumkan keberangkatannya pada hari itu. Mungkin Adam sudah bersedia menunggu kedatangannya.
Zhafry memerhati setiap langkah ketika Angel memasuki kedai yang dimaksudkan dan selang beberapa minit selepas itu Angel keluar bersama seorang kanak-kanak lelaki dan mereka berdua berjalan mendekati Zhafry yang ketika itu sedang bersandar di badan teksi yang akan membawa mereka ke KLIA.
"Dady, kenalkan ini Adam. Adam! Kenalkan ini dady akak" jelas pada wajahnya Zhafry mengerutkan dahi memandang Adam kerana mungkin tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya dari mulut Angel.
"Ini Adam?" Tanya Zhafry sambil memandang wajah Angel. Angel menganggukkan kepalanya.
"Ya dady, ini Adam yang Angel cerita pada dady malam tu" Zhafry hanya mampu tersenyum sambil menyambut tangan yang dihulurkan oleh Adam. Kepala Adam kemudian disentuh dan digosoknya perlahan-lahan.
"Memang pandai Angel cari bakal menantu untuk dady" sebaris senyuman nipis terukir di bibir Angel apabila mendengar pujian Zhafry tentang Adam.
"Betulkan dady pasti suka dekat Adam?" tanya Angel selepas itu dan Zhafry kemudian kelihatan menganggukkan kepalanya.Sepanjang perjalanan Angel tidak banyak bercakap. Sepuluh ayat Zhafry kadang-kadang cuma berbalas satu perkataan sahaja dari mulut Angel. Hatinya Angel memang tidak ceria untuk kembali ke bumi kelahirannya itu. Walaupun Angel melalui zaman bayi dan kanak-kanak di situ dan di situ juga selalu menjadi destinasi bersama datuk dan neneknya menghabiskan cuti zaman sekolah rendahnya tapi kedatangan kali ini mungkin untuk tempoh yang agak lama. Kini Angel akan menjadi teman serumah Zhafry dan setiap hari akan berhadapan dengan seorang lelaki yang hanya ditemuinya setahun sekali sebelum ini. Perubahan yang agak drastik dalam tempoh dua puluh tahun. Wujudkah keserasian di antara mereka berdua nanti.
Apakah rutin harian ayahnya? Angel tidak tahu. Banyak yang perlu Angel pelajari tentang Zhafry. Angel tidak pernah tahu apa yang lelaki itu suka dan tak suka. Bosan memikirkannya akhir Angel memejamkan mata sehingga dia terdengar suara merdu paramugari mengumumkan supaya penumpang memasang tali pinggang keselamatan kerana pesawat yang mereka naiki akan mendarat. Hari pertama kembali sebagai penduduk tetap negeri Sarawak.
'Kembali semula ke tanah tumpah darahku' bisik Angel dan hatinnya sebelum Angel menyanyikan dengan lantang serangkap lagu kebesaran negeri Sarawak yang membuat Zafri tergelak sambil mengggelengkan kepalanya melihat gelagat mencuit hati anak gadisnya itu.
Sarawak Tanah airku, Negeriku Tanah airku Sarawak
Engkaulah tanah pusakaku Tanah tumpah darahku ibu pertiwikuAngel ingat lagu negeri kerana Angel pernah bersekolah rendah sampai darjah enam di sebuah sekolah rendah di Sarawak. Angel juga mempunyai bukti yang kukuh sebagai anak jati negeri tersebut. Selain Zhafry rakyat negeri Sarawak, sijil kelahirannya juga membuktikan dirinya dilahirkan di sebuah hospital di negeri tersebut.
Negeri terbesar dalam Malaysia yang cukup aman, damai dan unik. Mempunyai penduduk peribumi yang pelbagai kaum dan pelbagai bahasa. Kembali semula ke bumi ini Angel perlu mempelajari sesuatu yang baru, bahasa dan budayanya. Angel mengeluh apabila memikirkan beberapa perubahan baru yang bakal berlaku dalam hidupnya selepas ini.
"Kenapa Angel diam? Tak seronok ke ikut dady balik sini" hanya sebaris senyuman nipis terukir di bibirnya menjawab pertanyaan Zhafry.
"Dady akan cuba buat apa yang terbaik untuk Angel dan dady harap Angel boleh menyesuaikan diri dengan keadaan di sini dan kehidupan dady " tambah Zhafry lagi.
"Angel akan cuba sebab ini saja pilihan yang Angel ada sekarang" sahut Angel sambil matanya memandang keadaan sekeliling sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari teksi online yang akan membawa mereka balik ke rumah ayahnya.Hanya melalui setengah jam perjalanan mereka akhirnya tiba di sebuah rumah banglo dua tingkat yang didiami oleh Zhafry sendirian sejak bertahun-tahun lamanya dan sudah pasti banglo tersebut kelihatan begitu sunyi. Banglo tersebut terasing dari rumah-rumah yang lain kerana Syed Hatta telah membeli kawasan tanah seluas hampir dua ekar untuk dijadikan tapak banglo tersebut. Sekitar kawasan rumah ditanami dengan pelbagai spesies pokok perhiasan dan pokok buah-buahan.
"Dady dah tukar semua perabot dalam bilik Angel dengan yang baru. Dady harap Angel suka apa yang dady sediakan" beritahu Zhafry sambil menarik beg pakaian Angel masuk ke dalam rumah. Tiada sepatah pun perkataan yang diucapkannya cuma matanya liar memerhati sekeliling rumah yang mana suatu masa dahulu pernah menjadi tempatnya bermain dan berlari-lari. Langkahnya terus dibawa menuju ke bilik tidur yang sememangnya bilik yang pernah dihuninya sejak dulu. Satu pemandangan yang memukau matanya dan semuanya mungkin bertujuan untuk menggembirakan Angel apabila kembali ke rumah tersebut. Katil solo yang pernah digunakannya dahulu telah diganti katil berpasangan bersaiz queen adalah faktor utama mengubah panorama bilik tersebut.
"Suka?, dady yakin itu warna kesukaaan Angel" Angel hanya menganggukkan kepalanya mendengar suara Zhafry yang tiba-tiba muncul di pintu bilik tersebut.
"Dady pergilah rehat sebab Angel pun nak rehat sekejap sebelum kemaskan barang" sahut Angel sebelum melabuhkan tubuh di atas tilam. Menyedari pendingin udara yang belum terpasang Angel bangun semula untuk menghidupkannya. Tirai tingkap yang menghadap ke jalan raya diselaknya bagi membenarkan cahaya masuk ke bilik tersebut. Zhafry tersenyum kemudian berlalu meninggalkan Angel keseorangan di dalam biliknya.
Antara buah kegemaran Angel, jambu air berwarna merah maka kerana itu Zhafry telah menanam sepohon pokok jambu air berhampiran bilik tidur Angel sewaktu Angel berumur lapan tahun dan sekarang pokok itu hidup subur serta menjulang tinggi melepasi paras tingkap bilik tidur Angel. Mungkin sudah berkali-kali pokok jambu itu mengeluarkan buah tapi sekarang mungkin bukan musimnya.
"Kan best kalau nenek ada bersama Angel sekarang" ingatan itu muncul lagi, Angel segera melabuhkan tubuhnya di atas tilam. Bebola matanya terasa hangat dan tanpa berniat untuk membendungnya. Angel membiarkan saja cecair jernih mengalir laju keluar dari kelopak matanya. Pandangannya semakin kabur dan Angel terus hanyut ketika melayan kesedihan yang masih belum surut dalam jiwanya.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasíaSiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...