Bab 74

1 0 0
                                    

         Berbelas tahun hutang lama yang mencipta dendam kasumat yang sentiasa menghuni lubuk hati Angel akhirnya terbalas jua. Siapa menduga Angel telah berjaya berjumpa dengan musuh lamanya. ‘Adli! Kau rupanya Joe’ bisik Angel dalam hatinya sambil tersenyum sinis.
Keramahan Makcik Sarimah bercerita tentang kisah silamnya kepada Angel sebaik saja wanita tersebut tahu Angel adalah cucu tunggal Syed Hatta bekas majikan suatu masa dulu telah membongkarkan segalanya. Menurut Makcik Sarimah beliau juga turut mengenali Pn. Sharifah Aina dan pernah beberapa kali berkunjung ke rumah Syed Hatta apabila ada majlis dianjurkan di rumah majikannya itu.
“Kali pertama  saya berkunjung ke rumah Tuan Syed ialah semasa beliau menjemput semua pekerja islam datang ke rumah beliau semasa  majlis tahlil untuk arwah anaknya yang sudah dua tahun meninggal dunia. Masa tu kalau tak silap baru lima bulan saya berkerja di Loka Holding. Masa tulah Tuan Syed memperkenalkan cucu perempuan yang baru berumur dua tahun. Comel sangat, Angellah tu rasanya sebab Tuan Syed kata budak perempuan tu cucu tunggalnya” Angel menganggukkan kepalanya dan tersenyum mendengar cerita Sarimah. Walaupun Angel tidak ingat kisah tersebut tapi Angel tidak menafikan kebenaran cerita wanita itu memandangkan Angel adalah satu-satunya cucu  Syed Hatta.
“Suami Angel mana, siapa tu?”tanya Ustaz Zaini apabila melihat lelaki yang menemani Angel masuk ke dalam restoran mengambil tempat duduk berasingan di meja yang berdekatan.
“Bodyguard Angel. Suami Angel ada temujanji dengan klien, sekejap lagi sampailah tu. Dady Angel pun katanya tadi sedang dalam perjalanan ke sini” beritahu Angel sambil tersenyum.
“Angel sihat?” tanya Janah pula sambil matanya tepat memandang ke wajah Angel. Kebahagiaan akhirnya muncul juga dalam hidup Janah dan suaminya. Walaupun Angel cuma bayi susuan namun kasihnya pada Angel tidak berbelah bagi. Tuhan telah mempertemukan semula jodohnya dengan bayi susuannya suatu masa dulu. Ketika Angel mencium tangan dan pipinya dan memanggilnya ummi itulah saat-saat paling indah dalam hidupnya.
“Sihat ummi, cucu ummi dalam ni pun sihat. Asyik menendang aje kerjanya” Janah tergelak kecil mendengar jawapan Angel.
“Tak sangka pulak yang Kak Janah dan Abang Zai lebih dahulu timbang cucu dari Sari. Joe tu belum ada tanda-tanda lagi nak kenalkan calonnya pada saya” Kata-kata Sarimah membuatkan Janah dan suaminya tersenyum.
“Sabarlah Sari, Joe pun masih muda lagi’sambung Ustaz Zaini pula.
“Ehh Joe mana, kamu kata dia nak jumpa kita dekat sini?” tambah Ustaz Zaini lagi bila teringatkan anak saudaranya itu.
“Kejap lagi datanglah tu. Hah tu pun dia, panjang umur budak tu” balas Sarimah kemudian tersenyum menegur Johan yang muncul bersama seorang lelaki. Angel turut menoleh dan melihat Johan muncul bersama Zhafry.
“Oh.. rupa-rupa Makcik Sari ni mak Joe” bisik Angel dalam hati apabila anak lelakinya yang dimaksud oleh wanita tersebut.
“Abah, ummi! Tulah dady saya Dr. Zhafry Daniesh” ketiga-tiga penghuni meja tersebut terpana apabila Angel memperkenalkan lelaki segak dan tampan yang muncul bersama Johan adalah ayah Angel.
“Muda lagi bapa kamu Angel, kacak pulak tu” tegur Janah membuatkan Angel tergelak kecil.
“Dady saya tu memang awet muda dan kacak tapi umurnya dah tua jugak tu” ujar Angel sambil berdiri menyambut kedatangan Zhafry.
Johan tidak pasti kenapa Angel turut berada bersama ibu dan bapa saudaranya. Semasa tiba di hadapan restoran tadi Johan terserempak dengan Dr. Zhafry yang datang untuk berjumpa Angel di tempat yang sama tetapi Johan tidak menyangka sama sekali orang yang ingin mereka temui berkumpul di satu meja yang sama.
Johan terpana memandang Angel, dan sejak berbadan dua Angel semakin berseri-seri dan sedang tersenyum menyambut kedatangan Zhafry.   
Angel memperkenalkan satu persatu penghuni meja tersebut kepada Zhafry kemudian memberi peluang kepada Zhafry untuk bersalaman dan bertegur sapa serta berkenalan dengan Ustaz Zaini dan isterinya.
“Kami terutama isteri saya tidak berhenti berdoa semoga suatu masa nanti kami boleh bertemu semula dengan bayi yang pernah menjadi anak susuan isteri saya. Alhamdullillah! Kerana tuhan mendengar doa kami dan menemukan semula kami dengan bayi tu dan sudah sudah besar panjang pun orangnya. Bakal menjadi ibu pula tu” beritahu Ustaz Zaini sambil tersenyum memandang Angel.
“Ayah mentua saya dulu pun pernah juga ceritakan tentang kisah ni cuma saya ni mungkin kerana terlalu sibuk dan Angel pun dibesarkan oleh datuk dan neneknya. Bila Angel berumur sepuluh tahun mereka  bawa Angel berpindah ke JB. Saya pun jarang balik jumpa mentua saya dan Angel di JB dan mungkin sebab tu kisah ni tidak diungkit lagi dan terus buat saya lupa, lebih-lebih lagi bila datuk dan nenek Angel sudah meninggal dunia” ujar Zhafry menyambung cerita Ustaz Zaini.
“Kami masih berjodoh” tambah Janah pula sambil tersenyum.
“Saya pun turut  gembira, tapi bagaimana pula Angel boleh jumpa isteri Ustaz, maksud dady ummi Angel ni” soal Zhafry sambil memandang Angel yang duduk di sebelahnya.
“Panjang ceritanya dady tapi dipendekkan, Angel sesat  dan tersalah jalan dan masa tulah Angel hampir terlanggar ummi yang hendak melintas jalan. Angel tolong ummi dan hantar ummi sampai balik ke rumah” cerita Angel sambil tersenyum sambil mengenyitkan matanya kepada Janah. Semoga Zhafry berpuashati selepas mendengar cerita tersebut walaupun ada perkara lain yang tidak Angel ceritakan pada Zhafry.
“Angel ni memang selalu buat dady risau. Nasib baik tak berlaku apa-apa pada Angel ataupun ummi Angel” ujar Zhafry menyuarakan kebimbangan selepas mendengar cerita Angel.
Johan dan ibunya cuma menjadi pendengar setia sepanjang situasi pertemuan Zhafry dan keluarga angkat Angel namun cerita itu juga turut memberi kejutan kepada Johan.
“Tapi kalau tak sebab tu Angel mungkin tak jumpa ummi dan abah lagi sampai sekarang” ujar Angel menambah lagi. Semua penghuni meja turut tersenyum mendengar jawapan Angel.
Meja yang sudah dipenuhi oleh pesanan makanan membuatkan semua penghuni meja tersebut bersedia untuk menikmatinnya.
“Eh Indra mana?” soal Zhafry apabila sedar Indra tiada bersama Angel. Angel tersenyum kemudian menunjukkan ke arah seseorang yang sedang melangkah menuju ke arah mereka. Wajah Johan segera berubah sebaik menyedari kemunculan lelaki tersebut.
“Saya jumpa klien tadi” ujar Indra kemudian menghulurkan tangannya kepada Zhafry dan Ustaz Zaini sebelum mengambil tempat duduk di sebelah isterinya.
“Angel belum pesan untuk dimaz” ujar Angel sambil berpaling dan tersenyum memandang suaminya.
“Tak apa, saya sudah kenyang sebab tadi saya sudah makan dengan klien” ujar Indra kemudian menarik rapat kerusi mendekati isterinya. “Saya suapkan sayang aje ya” dan tanpa segan terus mencium pipi isterinya. Angel tersenyum kemudian mengangguk. Mata-mata yang menyaksikan kemesraan pasangan tersebut turut tersenyum kecuali sepasang mata gagal untuk memujuk hatinya agar redha menerimanya.
“Dady, hari ini Angel pun dapat lagi satu lagi cerita baru. Kalau dady nak tahu, dulu  Makcik Sari ni dulu pernah kerja dengan datuk di Loka Holding dan kerap juga datang rumah kita kalau datuk ada buat majlis” beritahu Angel sambil tersenyum memandang Zhafry kemudian berpaling memandang Sarimah.
“Ya ke, memang perkara ni teramat baru pada saya. Jadi kakak kenallah dengan keluarga mentua saya?” ujar Zhafry sambil memandang wanita yang diperkenalkan oleh Angel kepadanya.
“Memang kenal sangatlah doktor sebab arwah Tuan Syed pernah kenalkan Angel pada kami dan masa saya mula kerja tu Angel baru berusia dua tahun” sahut Sarimah pula sambil tersenyum memandang Zhafry dan Angel.
“Oh rupanya kakak sempatlah tengok Si Comel saya ni masa kecil” balas Zhafry sambil tangannya mengusap belakang  Angel yang duduk di antaranya dan Indra.
“Sempat,  menang comel sangat.  Joe pun rasanya pernah jumpa dan tengok Angel dulu sebab saya selalu bawa Joe ke majlis rumah Tuan Syed” Johan mendiamkan diri dan kadang-kadang mengerutkan dahi seperti sedang mengingati sesuatu apabila mendengar ibunya bercerita.
“Joe tak ingat ke budak perempuan comel yang Joe suka sangat usik tu” suara Sarimah menegurnya membuatkan Johan segera berpaling memandang wajah ibunya. Kelihatan Johan mengangkat keningnya kemudian tersenyum.
“Angellah tu!”  ujar Sarimah sambil mulut muncul menunjukkan Angel.
“Angel yang masih mendiamkan diri berpaling  memandang suaminya yang sedang tenang bersandar pada kerusi di sebelahnya.
“Maknanya sudah lamalah saya kenal Angel” ujar Joe sambil mengangkat keningnya memandang Angel sambil tersenyum.
“Jangan nak senyum-senyum, Tunggu pembalasan ku lepas ni” bicara hati Angel walaupun wajah Angel kelihatan tenang dan bersahaja. Tidak mengia mahupun menidakkannya namun di dalamnya di hatinya ada sesuatu yang sedang menuntut untuk diselesaikan. Tiada respon daripada Angel membuatkan Indra tersenyum memandang isterinya. 
“Dimaz, Angel rasa teringin nak makan ayam goreng” ujar Angel perlahan sambil matanya memandang  suaminya. Wajah Angel begitu berharap akan mendapat apa yang diingini membuatkan Indra kemudian memberi isyarat kepada salah seorang pelayan hotel untuk mendapatkan keinginan isterinya.
Dalam tempoh beberapa minit, Angel hampir nak tergelak tapi terpaksa dibendungnya dengan sebuah senyuman lebar apabila sepinggan ayam goreng ala KFC tiba di meja mereka.
“Abah, ummi, makcik Sari, Joe, dady,  jemputlah. Tolong Angel habiskan ayam tu” ujar Angel ketika mempersilakan nama-nama yang disebutnya.
“Sejak kecil lagi Angel memang suka sangat ayam goreng tapi kalau sudah banyak sangat macam ni memang Angel tak dapat nak habiskan” ujar Angel kemudian mencapai seketul paha ayam lalu mencecahnya dengan sos.
“Sayang, banyak sangat tu, pedas nanti” tegur Indra apabila melihat Angel mencecah terlalu banyak pada ayam.
“Tak, bukan untuk Angel” termasuk suaminya  semua yang mendengarnya turut memandang Angel.
“Saya buat khas untuk awak Joe, silalah” ujar Angel bersahaja meletakkan ayam yang sudah penuh diulinya dengan sos cili ke dalam pinggan di hadapan Johan. Johan mengerutkan dahi dan terdiam ketika mendengar setiap butir ayat yang diucapkan oleh Angel sambil matanya memerhati ayam yang diletakkan Angel ke dalam pinggannya.
“Tapi?” Johan bersuara dengan niat untuk bertanya sesuatu tetapi ada suara yang memintas ayatnya.
“Makan ajelah Joe” sambung Sarimah yang seakan tahu apa yang ingin diperkatakan oleh Johan. Johan tidak suka makan ayam dan Johan pernah termuntah selepas memakannya. Johan tidak lagi bersuara tapi cuba untuk menikmati ayam yang disediakan oleh Angel. Angel tersenyum kemudian berpaling memandang suaminya yang  asyik merenungnya sejak tadi, mungkin sedang menunggu suatu penjelasan daripada Angel.
Sebab musabab yang agak sukar untuk difikirkan namun Johan dapat merasakan ada sesuatu yang menyebabkan Angel melakukannya perkara yang agak luar biasa kepadanya. Renungannya banyak tertumpu kepada Angel yang nampak bersahaja dan nampak begitu tenang duduk di sebelah suaminya.  Tangan Indra yang tidak pernah lekang memeluk bahu Angel seolah-olah tidak mahu berenggang langsung dari isterinya membuatkan Johan begitu menyampah.
   Suasana  dalam perjumpaan keluarga yang berlangsung hampir dua jam itu lebih dipenuhi dengan aktiviti menjamu selera cuma sesekali diselangi oleh serba sedikit perbualan di kalangan mereka. Hanya Indra dan Johan yang tidak pernah memulakan apa juga sesi perbualan malah tidak pernah berlaku pertembungan bicara di antara mereka. Mungkin Johan tidak mengakui kewujudan Indra di situ dan mungkin begitu juga sebaliknya. Bagi Johan, Indra adalah bayangan hitam yang sentiasa mengekori di mana sahaja Angel berada.
“Abah lama lagi ke dekat sini, maksud Angel dekat Kuching ni?” soal Angel sambil memandang wajah Ustaz Zaini yang sedang menikmati makanannya.
“Mungkin dalam seminggu lagi” balas Ustaz Zaini sambil memandang Angel.
“Kalau macam tu sempat lagilah kami jumpa abah. Ada perkara yang kami nak minta tolong abah” balas Angel sambil tersenyum memandang suaminya. Kelihatan Indra juga membalas senyuman isterinya.
“Tolong, tolong yang  macam mana tu?” soal Ustaz Zaini pula.
“Nanti Angel beritahu, kalau boleh kami nak bawa abah ke rumah kami” kelihatan Ustaz Zaini menganggukkan kepalanya sambil tersenyum selepas mendengar jawapan Angel.
“Makin berseri-seri aje makcik lihat Angel sekarang. Bila duenya Angel” suara Sarimah kedengaran menegur dan menyoal Angel.
“Baru enam bulan lebih, ada tiga bulan lagi kot” balas Angel sambil tersenyum.
“Sudah tahu jantinanya”  soal Sarimah lagi. Angel menggelengkan kepalanya walaupun Indra sudah memberitahu Angel jantina anak mereka.
“Kami nak ada surprise waktu Angel bersalin nanti” balas Angel pula selepas itu.
“Hah Joe, diam je dari tadi, bila lagi pak wa dan mak wa nak rasa nasi minyak Joe” soal Ustaz Zaini ketika menegur Johan yang mendiamkan diri sepanjang pertemuan tersebut. Johan yang tersentak mendengar teguran Ustaz Zaini kemudian tersenyum memandang lelaki tersebut.
“Tak ada orang yang nakkan saya pak wa” jawapan Johan hampir membuatkan seluruh penghuni meja tergelak mendengarnya kecuali Angel dan suaminya.
“Rupa kacak, doktor pulak tu. Takkanlah tak ada  yang nak, entah-entah Joe yang jual mahal sangat tak?” soal Janah sambil tersenyum memandang Johan.
“Betul mak wa, tak da perempuan yan nakkan saya. Perempuan sekarang bukannya fikir sangat pasal rupa atau kerjaya macam saya yang penting kalau hati sudah suka dan cinta hantu macam mana pun dia orang nak” balas Johan sambil tersenyum. Sekilas pandangannya terarah memandang Angel dan suaminya dan pasangan tersebut kelihatan tenang dan bersahaja. Johan yakin kedua-duanya cuba melakon situasi yang mereka tunjukkan waktu itu.
“Tak  dalah perempuan  baik yang nak pilih yang macam hantu lainlah yang sama-sama hantu. Tengok Angel dan suaminya, macam pinang dibelah dua. Kalau nak cari jodoh carilah pasangan yang  boleh terima kita seadanya, pasangan yang sentiasa melindungi aib pasangan masing-masing. Sanggup susah dan senang bersama-sama” sambung Janah pula selepas mendengar kata-kata Johan.
“Ya Joe, betul tu. Perempuan baik adalah untuk lelaki yang baik begitu juga sebaliknya. Jodoh dan maut itu semua rahsia Allah. Bukan mestinya semua yang kita mahu kita akan dapat. Tapi kalau kita dapat bukan seperti yang kita mahukan atau jodoh yang tidak baik, mungkin ada sebab mengapa tuhan mengaturnya begitu pada kita. Kita kena redha, mungkin tuhan mahu supaya kita memperbetulkannya. Mengubah seorang manusia daripada yang jahat menjadi baik adalah satu dakwah yang memberi kita pahala yang besar di sisi tuhan” semua penghuni meja tersebut memberi tumpuan dan menganggukkan kepala apabila mendengar tasqirah tentang jodoh yang disampaikan secara tidak langsung oleh Ustaz Zaini.
“Betul tu Ustaz, saya akui kebenarannya sebab Angel contoh yang paling dekat yang berkaitan. Saya tidak pasti dan yakin Angel akan bertemu jodohnya di sini dalam masa yang terlalu singkat sebab Angel tidak pernah rapat atau berkawan dengan sesiapa. Kenal dan berkawan dengan Indra tidak sampai tiga bulan dan lepas tu Indra buat keputusan untuk melamar Angel. Apabila saya nampak Indra dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan baik, malah Indra mampu buat lebih baik daripada saya sebab itu saya tidak keberatan melepas Angel pada Indra. Walaupun jika dilihat pada usianya Angel masih terlalu muda untuk berumah tangga dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isterinya” sambung Zhafry pula menceritakan pandangan dan pendapatkan selepas mendengar kata-kata Ustaz Zaini.
Angel tersenyum memandang suaminya dan Indra memeluk dan menarik rapat bahu isterinya. Satu ciuman kasihnya hinggap di kepala isterinya. Johan lantas bangun dari tempat duduknya selepas mendiamkan diri sambil melemparkan renungan kosongnya ke suatu sudut bagi menggelakkan terpandang panorama yang menyakitkan hati.  Hatinya belum dapat menerima nasihat Ustaz Zaini apabila memikirkan situasi yang dilaluinya berbeza. Johan mungkin redha kalau Angel jatuh di tangan lelaki biasa tapi bukan lelaki syaitan yang telah memukau Angel dengan ilmu yang dimilikinya. Angel harus diselamatkan dan dia adalah jodoh yang terbaik untuk Angel.
“Mana Joe?” tegur Janah apabila melihat  tempat duduk anak saudaranya kosong.
“Ke tandas” balas Sarimah. Sebentar tadi Johan telah meminta izin daripada ibunya dan kerana itu Sarimah pantas menjawab soalan Janah.
“Oh, akak ingat budak Joe tu sudah balik” sambung Janah lagi.
“Belum, tu baju dia masih ada lagi” sambil menunjukkan dengan mulutnya baju jaket yang ditinggalkan Johan di atas kerusi.  
“Kakak pun rasanya nak ke tandas jugak, mari Sari temankan kakak cari tandas” ujar Janah sewaktu bangun dari tempat duduknya. Angel turut bangun untuk menunjukkan arah tandas kepada kedua-dua wanita tersebut. Johan muncul tetapi lelaki tersebut tidak segera kembali ke meja selepas bertembung dengan Sarimah dan Janah. Panggilan yang diterimanya membuatkan Johan mengalih langkahnya menuju ke satu tempat lain untuk menjawab panggilan tersebut.
Tidak mungkin Angel tersilap dan sengaja duduk sementara di situ sebelum Janah dan Sarimah kembali semula. Indra hanya memerhati Angel menarik pinggan yang masih ada seketul ayam goreng kemudian mencecahnya dengan sos yang agak banyak.  Tumpuan Indra terganggu apabila Zhafry menegurnya untuk meminta diri.
“Nampaknya saya pun nak minta diri jugak, tapi terpaksalah kena tunggu orang perempuannya dulu. Lama jugak mereka berdua ni ke tandas”  ujar Ustaz Zaini selepas bersalaman dengan Zhafry. Indra berpaling memandang Angel yang kembali duduk di tempat asalnya. Mungkin kemunculan semula penghuni asal kerusi tersebut membuatkan Angel segera berpindah semula di sebelah suaminya. Ayam goreng yang tiada lagi di dalam pinggan membuatkan Indra mengangkat kening memandang wajah isterinya namun Angel hanya membalasnya dengan senyuman.
Sebelum meninggalkan Angel dan suaminya Ustaz Zaini dan isterinya serta Janah saling bersalaman dan berpelukan. Selepas Angel sempat merialisasikan dendamnya tadi hatinya benar-benar puas.  Puas kerana dendamnya sudah berbalas. Kau  rasalah  seperti apa yang pernah aku dirasai dan dilaluinya lapan belas tahun yang lalu.
           “Eh Joe, kenapa baju tu kotor. Eh apa bendanya tu” tegur Sarimah apabila melihat sesuatu yang tergolek jatuh daripada baju jaket yang berada di tangan Johan.  Johan diam dan wajahnya benar-benar terkejut dan pelik melihat benda yang berada di atas lantai.
“Eh budak ni, kau nak bawa benda balik untuk siapa?” soal Sarimah sambil matanya memandang Johan. Angel hampir nak tergelak tapi untuk kejayaan misinya Angel harus pandai mengawal perasaan.
“Mungkin untuk kekasihnya berangkali” suara Indra mencelah. Wajah Johan segera merona merah dan matanya terus merenung lelaki yang berdiri di sisi Angel. Bagai dirasuk suatu kuasa Johan bergerak pantas mendekati Indra dan satu tumpukan kuat dilepaskan kepada lelaki tersebut. Indra tidak mengelak tapi seperti dulu sekali lagi, hanya dengan sebelah tangan cukup untuk menangkap penumbuk Johan..
“Aku tak tahulah pulak harimau suka makan ayam goreng, kalau kau benar-benar suka benda tu ada banyak lagi dekat dapur, ambil saja semua aku belanja” ayat yang dibisikan oleh Indra ke telinganya membuatkan Johan semakin panas membara.
“Jahanam kau syaitan” Johan menarik tangan dan cuba melepaskan sekali lagi tumbukan namun dengan mudah Indra mengelaknya kemudian menangkap lagi lalu membelit tangan Johan ke belakang.
“Jangan buang tenaga kau sebab kau bukan tandingan aku” bisik Indra ke telinganya.
Suasana yang nampak tegang terutama wajah Johan, kedua-dua lelaki tersebut mula menjadi tontonan manusia di sekelilingnya.
“Eh kenapa ni, Joe kenapa dengan kamu berdua ni. Tak malu ke orang tengok tu” tegur Sarimah apabila melihat situasi semakin tidak menyenangkan. Walaupun kurang jelas perbualan yang berlaku di antara Johan dan Indra tetapi Sarimah, Janah dan Ustaz Zaini tahu Johan dan Indra sedang bergaduh.
“Kenapa ni Joe, takkan hal gurau macam tu kamu nak marah-marah macam ni” tambah Ustaz Zaini pula.
“Yalah Adli, saya pun pelik kenapa ayam tu  boleh ada dalam baju awak. Mungkin terjatuh masa awak makan tadi” tambah Angel sambil mengangkat kening memandang Johan kemudian memandang suaminya. Johan agak terpana apabila Angel menyebut nama Adli, sudah lama tiada siapa yang memanggilnya dengan nama itu. Indra melepas Johan kemudian menolaknya dengan jari telunjuknya membuatkan Johan terdorong di hadapan Sarimah. Johan ingin kembali menyerang Indra tapi Sarimah cepat-cepat menahan anaknya.
“Johan, kau ni kenapa macam budak-budak. Mari kita balik” tegur Sarimah sambil tangannya menarik Johan keluar dari restoran tersebut. Ustaz Zaini menarik nafas leganya apabila Johan berjaya dibawa keluar oleh Sarimah. Tidak tahu kenapa Johan boleh bertindak agresif  tetapi memang memalukan kalau Johan tidak boleh dikawal oleh ibunya. Perasaan Ustaz Zaini mulai pelik apabila memikirkan situasi yang berlalu sebentar tadi. Seperti ada sesuatu yang pelik antara Johan dan suami Angel. Johan dan Indra bagaikan musuh lama yang baru berjumpa semula. Adakah Johan dan Indra saling mengenali sebelum mereka bertemu pada hari itu.
“Maaf abah, ummi! tak sangka pulak gurauan suami Angel buat Joe marah” ujar Angel apabila Ustaz Zaini tidak berkelip memandang Angel dan suaminya.
“Kamu bertiga sudah lama kenal ke?” soal Ustaz Zaini pula.
“Dulu Jeo bertugas satu dengan hospital dengan dady, kami pernahlah bertemu sekali dua bila jumpa dady di situ tapi tak tahu lah pulak orangnya panas baran" ujar Angel lagi.
“Abah benar-benar tak faham tapi abah harap mungkin abah akan cepat dapat jawapannya” tambah Ustaz Zaini pula sebelum lelaki tersebut dan isterinya meminta diri untuk pergi.
Indra merenung Angel sambil mengangkat keningnya, ada perkara yang perlu Angel jelaskan kepadanya. Indra ingin tahu kenapa Angel melakukannya dan peluang itu digunakan pula oleh Indra untuk menyakiti hati Johan. Sikap Johan yang asyik merenung isterinya sepanjang pertemuan tadi benar-benar menyakitkan hatinya. Indra tidak suka hak miliknya menjadi perhatian orang lain dan Johan sepatutnya sedar Angel adalah isteri orang.
“Saya tahu apa dimaz fikirkan, jom kita keluar” ujar Angel sambil menarik tangan suaminya mengajaknya keluar dari restoran tersebut. Angel yang tahu maksud renungan suaminya. Apa reaksi Indra apabila mengetahui sebab kenapa Angel lakukannya. Sekarang perasaan  Angel begitu tenang dan semua dendam yang tersimpan  jauh di sudut hati selama ini telah berjaya dilunaskan. Angel harap Johan akan memikirkan semula tentang kejadian tadi, mencari sebab dan puncanya.
‘Adli, awak return back apa yang pernah awak buat 18 tahun yang lalu,  tiada siapa yang dengar bisikan hatinya. Awak lukai hatinya dan kesakitan itu tak pernah padam sehingga terbalas sekejap tadi. Apa yang awak rasa telah lama dia lalui dalam tempoh yang teramat panjang. Bukan benci tapi marah yang menjadi dendam’.
Indra ketawa terbahak-bahak. Tidak pernah dalam sejarah hidupnya Indra pernah ketawa sekuat itu. Cerita Angel membuatnya tidak mampu menahan gelak. Angel bersandar pada badan kereta manakala kedua-dua tangan Indra telah memagari tubuhnya.
“Saya ingat sayang sudah makan habis ayam tu tadi tapi peliknya tulangnya pun tak da” beritahu Indra sambil tangan membetulkan rambut Angel yang jatuh sehelai dua di pipinya kerana tiupan angin.
“Saya tidak suka cara dia renung sayang tu sedangkan dia sudah tahu sayang isteri orang” ujar Indra sambil merenung wajah isterinya. Sejak berbadan dua wajah Angel memang semakin cantik dan berseri-seri. Angel tidak mengalami alahan yang agak teruk cuma sejak kebelakangan ini Angel mudah sangat tertidur. Mungkin agak letih kerana kandungan sudah membesar. Angel merangkul leher suami kemudian tangan kanan membelai rambut suaminya. Lebat dan hitam berkilat. Mungkin kerana kulit Indra yang putih cerah memberi kombinasi wajah yang menarik dan jelas.  Genetik yang mengalir dalam tubuhnya menyebabkan warna matanya juga berbeza daripada manusia lain di dunia ini. Pakej  menarik di samping wajahnya yang berseri-seri membuatkan mata tidak jemu memandangnya. Setiap kali Indra muncul di khalayak ramai pasti mata manusia akan terpukau memandangnya. Angel sememangnya cemburu ketika melalui situasi itu namun apabila memikirkan jiwa dan raga Indra adalah miliknya dan bertapa hebat dan gagahnya Indra melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki dan suami Angel akhirnya kembali tersenyum.
“Angel harap anak kita akan ikut macam rambut dimaz, handsem macam papanya”. Ujar Angel sambil tersenyum.
“Dan kalau kita anak perempuan nanti dia akan cantik macam mamanya, wanita yang buat papanya sentiasa ingin bersamanya” Angel terpana apabila tanpa menghiraukan manusia sekeliling yang kebetulan berada di situ Indra dengan selamba mencium bibirnya.
“Dimaz!, orang nampaklah” Indra tergelak kecil mendengar ucapan Angel di telinganya.
“Biarlah,  saya tak kisah sebab yang saya cium adalah isteri sendiri” ujar Indra sambil tangannya membuka pintu kereta untuk Angel. Angin yang tiba-tiba bertiup membuat Indra terpaku sejenak dan memandang wajah isterinya. Perubahan wajah suainya membuatkan Angel terus bertanya.
“Ada apa dimaz?”
“Kita kena cepat” balas Indra kemudian segera menutup pintu kereta untuk Angel sebelum bergerak pantas ke bahagian pemandu. Kereta yang dipandu oleh Isqan turut bergerak pantas membuntuti kereta pasangan tersebut. Indra dapat rasakan ada sesuatu akan muncul tidak lama lagi. Angin yang tiba-tiba muncul tadi adalah petanda apabila ada makhluk yang telah memintas dua dimensi alam.

DirgantaraWhere stories live. Discover now