Bab 18. Bukan Untuk Kau

2 0 0
                                    

Indra merenung jasad yang terbaring lemah di atas katil wad VIP ketika tiba bersama Angel di wad khas kelas pertama khas untuk pesakit VIP. Dato' Haikal turut berada di situ menemani ayahnya. Dato' Seri Amar Zaid tersenyum melihat pasangan yang sedang berdiri di sebelah katilnya. Pasangan yang bagaikan pinang di belah dua dan yang paling memberi makna, kedua-dua adalah pewaris rakan kongsi Loka Holding.
"Indra, melihat kamu bagaikan melihat ayah kamu tiga puluh lima tahun yang lalu. Tampan dan berkarisme. Apa ilmu yang keluarga kamu guna membuatkan mata tak jemu menatap ketampanan kamu" Indra tersenyum mendengar kata-kata pujian Dato' Seri Amar Zaid kepadanya. Senyuman turut dilemparnya pada Angel di sebelahnya dan kelihatan gadis itu membalas senyumannya. Indra sempat berfikir, apakah akan terjadi seandainya lelaki itu tahu dirinya adalah orang yang sama dikenalinya tiga puluh tahun yang lalu. Pengsan atau terus meninggalkah lelaki itu nanti.
"Tiada apa-apa amalanlah dato' seri, segalanya semulajadi. Mungkin permakanan dan kesihatan sahaja yang perlu dijaga dan sememangnya saya memang hampir seratus peratus mewarisi segala yang ayah saya miliki" balas Indra sambil merenung wajah Dato' Seri Amar Zaid, sahabat baik yang dikenali semasa berada di Australia sewaktu menjalani sebahagian daripada pengembaraan hidupnya.
"Tak sangka Syed Hatta juga rupa-rupanya meninggalkan waris yang begitu cantik dan manis. Kalau ibu kamu masih hidup mungkin dia juga sebahagian daripada kekuatan Loka Holding tapi tuhan lebih mengasihinya, namun apa yang sempat dititipkan pada Loka Holding cukup bertenaga dan semoga akan menjadi gandingan yang mantap. Saya akan menjadi penyokong dan merestuinya sekiranya ada terjalinnya hubungan mesra antara kamu berdua" ayat terakhir Dato' Seri Amar membuatkan Indra dan Angel tersenyum kemudian saling berpandangan.
"Firasat dan pengalaman orang tua dan lama biasanya tepat" tiba-tiba Dato' Haikal mencelah. Kedengaran pula suara gelak Dato' Seri Amar.
"Indra, bagaimana sekarang, ok atau tak ok lagi. Tapi saya tengok you dah lebih dari ok sekarang. Mungkin kerana penangan Cik Angel kita yang cantik ni. Terus terang saya kata kalau saya masih muda dan ganteng memang saya akan bersaing habis-habisan untuk dapatkan orangnya tapi apakan daya sekarang saya lebih layak sebagai ayah kepada kamu berdua" Indra dan Angel tergelak mendengar ayat yang dituturkan oleh Dato'Haikal. Cukup pandai lelaki itu meriuhkan suasana. Terbit juga rasa kesal di hati Indra apabila mengingatkan sikap dan penerima awalnya terhadap gadis itu dulu. Dato' Haikal menjadi saksinya bagaimana kerasnya dia menolak kehadiran Angel tapi akhirnya dia menjadi panasaran kerana gadis tersebut.
Kemunculan seorang jururawat masuk ke bilik untuk memeriksa keadaan Dato' Seri Amar digunakan oleh Indra untuk bersembang dengan Dato' Haikal tentang hal-hal semasa termasuk hal-hal berkaitan Loka Holding. Dato' Haikal akan mengambil cuti seminggu dan menyerah segala urusan Loka Holding kepada Indra. Angel hanya mencelah sekali dua sekiranya ditanya tentang perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Angel sedar masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya dan kebanyakan kerjanya memerlukan bimbingan Indra. Dato' Seri Amar Zaid sudah mula menyambung tidurnya selepas menelan beberapa biji ubat yang diberikan oleh jururawat yang memeriksanya sebentar tadi.
"Indra, Angel ! Tahniah and I hope you stay together and happy at the end" Indra dan Angel sama-sama terpegun kemudian tersenyum mendengar ucapan Dato' Haikal sebelum pasangan meminta diri untuk beredar.
Keluar dari bilik VIP yang menempatkan Dato' Seri Amar Zaid tujuan pasangan tersebut seterusnya adalah untuk menemui Zhafry. Angel sengaja tidak mahu mengkhabarkan kepada Zhafry tentang kedatangan mereka di hospital petang itu. Sengaja Angel ingin mengejutkan lelaki tersebut yang sekarang pasti sedang berada di wad Ortopedik. Zhafry mungkin sedang memberi taklimat dan bimbingan kepada doktor-doktor pelatih atau mungkin sedang menjenguk pesakit di wad tersebut.
"Selain hari ini pernah tak awak datang melawat sesiapa dekat sini?" soal Angel semasa mereka melangkah melalui wad menuju ke Wad Ortopedik. Indra menggelengkan kepalanya.
"Saya cuma pernah pecah masuk beberapa buah hospital sebelum ini untuk mendapatkan stok jus saya" jawapan Indra membuatkan Angel tergelak. Geram apabila mendengar Angel mentertawakannya, Indra segera merangkul pinggang Angel lalu memeluk erat sebelum membisikan sesuatu ke telinga gadis itu.
"Sekali awak pernah rasa jus tu ia akan buat awak ketagih. Seperti penagih tegar yang perlukan dadah untuk terus hidup" Angel terus ketawa terkekak sambil tangan memeluk erat lengan Indra.
"Mungkin benar tu dan saya ingin cuba merasanya" Indra menggelengkan kepala apabila mendengar jawapan Angel sebelum turut mengukirkan senyuman.
Setiap tempat yang mereka lalui pasti ada mata yang terpaku memandang dan menoleh berkali-kali ke arah pasangan tersebut. Sewaktu bersama Indra kini perkara seperti itu bukan sesuatu yang baru dan pelik lagi pada Angel. Walaupun lelaki itu tidak pernah melemparkan senyuman atau membalas pandangan sesiapa namun segala aset yang dimiliki cukup memukau dan mencairkan pandangan sesiapa saja.
"Itu dady saya" beritahu Angel ketika melihat Zhafry sedang berbual dengan Ziana dan dua orang doktor pelatih. Angel menarik tangan Indra dan terus mendekati Zhafry tanpa lelaki itu menyedari kemunculannya. Beberapa orang jururawat yang turut berada di kawasan tersebut menoleh dan terpukau sambil tersenyum-senyum melihat kemunculan pasangan tersebut. Mereka mengenali Angel kerana pernah dua kali berkunjung ke situ tetapi kehadiran lelaki kacak yang lengkap dengan sepersalinan sut pejabat di sebelah Angel lebih menjadi tumpuan mereka.
"Dady!" tegur Angel lalu memeluk tubuh lelaki tersebut dari belakang. Zhafry yang agak terperanjat namun begitu mengenali suara yang melakukan lantas tersenyum dan segera menoleh. Angel segera melepaskan pelukan lantas berdiri di samping Indra yang sedang tersenyum memerhatikan olah kekasihnya.
"Angel, bila sampai? Kenapa tak telefon dady dulu?" sapa Zhafry kemudian memandang Indra yang sedang berdiri di sebelah Angel. Indra turut melemparkan senyuman ketika berbalas pandangan dengan Zhafry.
"Indra pun ada sekali?" tegur Zhafry lagi.
"Kami melawat dato' seri dan kebetulan ke sini Angel ajak Indra jumpa dady sekejap" beritahu Angel dan Indra yang sedar dirinya menjadi tumpuan beberapa pasang mata yang ada di sekeliling mereka cuma memberi perhatian pada perbualan dua beranak di sebelahnya.
"Ya uncle, saya yang ajak Ratna ke sini untuk melawat dato' seri di samping ada urusan kerja sikit dengan Dato'Haikal" Indra turut mencelah menjelas kedudukan yang sebenar. Zhafry tersenyum mendengar jawapan Indra dan apa yang dijelaskan oleh Indra sememang patut berlaku kerana kedua-dua mereka adalah pekerja Loka Holding.
"Oh dady lupa tentang tu. Jadi kamu berdua sudah menjengguknya" kedua-duanya mengangguk sambil tersenyum. Ziana, Johan dan Azani hanya menjadi permerhati dan pendengar setia ketika mata mereka tertumpu memandang lelaki kacak yang berdiri di sebelah anak gadis Zhafry. Siapa gerangan lelaki yang bukan sahaja memukau pandangan kaum Hawa malah kaum Adam juga turut terpegun melihat pakej sempurna yang dimilikinya. Berkulit cerah dengan bibirnya yang kemerahan, bertubuh sasa dan ketinggian bak model antarabangsa sukar untuk dikenal pasti identiti kaum dan keturunannya. Kalau dilihat hidungnya yang mancung serta warna kulitnya dan warna matanya yang coklat keemasan lelaki itu mungkin berdarah campuran mana-mana kaum keturunan Eropah dengan salah satu bangsa yang ada di Asia kerana warna rambutnya yang hitam pekat dan berkilat.
"Boleh Angel ambil masa dady sekejap dan kalau boleh dalam bilik dady " pinta Angel sambil tersenyum manja kepada Zhafry. Zhafry mengangkat kening sebelum mengangguk setuju dengan pemintaan Angel. Angel menarik lengan Indra dan mereka segera membuntuti Zhafry menuju ke bilik Zhafry.
"Dady, happy birthday. Angel doakan dad sihat, sukses selalu dan dilanjutkan usia" Angel terus memeluk tubuh Zhafry dan mencium kedua belah pipi lelaki itu. Walaupun begitu terharu menerima ucapan Angel Zhafry masih lagi terpingga-pingga sambil mengerutkan dahi dan cuba memikirkan sesuatu. Angel tersenyum ketika melihat keadaan Zhafry dan Indra cukup sekadar sebagai seorang pemerhati addngani yang berlaku di antara Angel dan ayahnya.
"Dady tak perlu nak buat muka macam tu sebab sudah memang tugas Angel setiap tahun tolong dady ingatkan. Dan walaupun dady tak pernah minta tapi setiap tahun Angel poskan hadiah untuk dady tapi tahun ini Angel akan beri dengan tangan Angel sendiri. Nah! Harap dady suka" Angel menghulurkan beg kertas yang dibawanya kepada Zhafry dan lelaki itu menyambut kemudian melihat isi di dalamnya.
"Mahal tu sebab Angel dah kerja dan sudah mampu belikannya untuk dady " Zhafry tergelak dan wajahnya begitu ceria melihat barang yang Angel hadiahkan kepadanya. Walaupun tidak berkerja Angel tetap akan mampu untuk membelinya.
"Dady memang tak pernah ingat birthday sendiri sebab dulu ibu Angel yang tolong ingatkan dan sekarang dady ada Angel untuk tolong dady ingatkan tapi yang dady tak pernah lupa cuma birthday Angel" Angel akuinya memang setiap tahun Zhafry tidak pernah lupakan perkara tersebut cuma Zhafry tidak pernah ada di sisinya ketika Angel menyambutnya namun hadiah daipada Zhafry akan sampai tepat pada tarikhnya sebagai penggantinya.
"Sepasang, maknanya satu ni untuk Angel kan" sambil membelek-belek dua bentuk jam tangan yang sudah dikeluarkan dari kotaknya.
"Tak, bukan untuk Angel. Sebenarnya Angel lupa satu perkara lagi. Angel doakan dady cepat bertemu jodoh. Jadi yang satu tu dady hadiahkanlah pada bakal ibu baru Angel nanti" beritahu Angel sebelum tersenyum penuh makna kepada Zhafry.
"Jadi Angel bagi dady green lightlah ni" tambah Zhafry sambil tersenyum.
"Dari dulu lagi Angel dah izinkan tapi dady tu yang suka menyeksa diri" bukan niat Angel hendak melukai hati Zhafry tapi itulah kebenarannya. Zhafry tetap juga menduda hingga ke hari itu.
"Sebab dady belum jumpa wanita yang boleh buat jantung dady bergetar dan tidur dady tak lena seperti yang pernah berlaku sekali dalam hidup dady dulu" Angel diam mendengar jawapan Zhafry dan Angel akui kebenarannya kerana perkara itu bukan sesuatu yang boleh diatur dan ia akan datang apabila sampai masanya.
"Maafkan Angel dady, Angel sayangkan dady dan mahu hidup dady bahagia seperti orang lain" tubuh Zhafry dipeluk sekali lagi dan Zhafry membalasnya kemudian mencium dahi Angel agak lama.
"Dady pun tersangat sayangkan Angel dan sentiasa doakan kebahagian anak dady" Indra tersenyum melihat kemesraan dua beranak di hadapannya. Indra pernah merasai kasih sayang seorang ayah selepas beberapa tahun dilahirkan tapi Angel tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu sejak dilahirkan. Kekangan waktu kerana tugasnya membuatkan lelaki tersebut kurang mendapat waktu untuk memberi perhatian dan kasih sayang daripada seorang anak. Lamunan Indra terganggu apabila Zhafry menegurnya
"Maafkan uncle Indra, terlupa pula yang Indra ada bersama kami" sapa Zhafry selepas Angel merungkaikan pelukannya. Indra hanya tersenyum kepada Zhafry dan Angel. "Kita ke kantin, dady belanja" Angel memandang Indra kemudian kembali memandang Zhafry kemudian menggelengkan kepalanya.
"Bukan tak sudi tapi Indra ada mesyuarat dalam masa satu jam lagi" ujar Angel menolak ajakan Zhafry kerana memikirkan keadaan Indra yang terpaksa mencipta alasan menolak untuk tidak makan dan minum bersama mereka.
Zhafry memang agak kecewa namum terpaksa menerima alasan Angel. Matanya kemudian beralih memandang Indra sebelum menyatakan sesuatu kepala lelaki tersebut.
"Indra, uncle beri kepercayaan pada Indra untuk berteman dengan Angel jadi tolong jaga anak uncle dengan baik dan jangan musnahkan kepercayaan uncle" Indra mengangguk bersama sebaris senyuman di bibirnya.
"Saya janji tidak akan kecewakan dan tinggalkan Ratna selagi Ratna masih perlukan saya dan tidak meninggalkan saya untuk orang lain" Zhafry kagum mendengar jawapan Indra dan mengangguk kepalanya.
"Uncle tak fikir Angel begitu sebab dia banyak menyamai sikap ibunya setia pada yang satu dan Indra adalah orang pertama yang dapat menarik minat dan menjadi kawannya" balas Zhafry sambil menepuk bahu Indra dan Indra tersenyum mendengar jawapan Zhafry. Mereka bertiga kemudian melangkah beriringan keluar dari bilik dan Zhafry menemani Angel dan Indra di tempat mereka mula-mula berjumpa.
"Hai Angel! dah nak balik ke?" tegur Ziana sambil matanya mencuri pandang melihat lelaki di sebelah Angel dengan lebih dekat. Indra nampak tenang dan berpaling memandang Ziana.
"Ya, Kami cuma nak jumpa dady kejap aje, kami minta diri dululah ya Untie Zie" sahut Angel kemudian menyalami tangan Ziana dan mencium kedua belah pipi doktor wanita tersebut kemudian mendekati semula Zhafry untuk meminta diri meninggalkan temoat tersebut. Keduanya berdiri terpaku di tempat masing-masing melihat pasangan tersebut berlalu pergi sehingga hilang dari pandangan.
Kalau Johan sudah cukup syarat sebagai lelaki yang sangat kacak di matanya namun apa yang dilihatnya kali ini berkali-kali lebih kacak dan tidak hairan kenapa setiap mata yang memandang lelaki tersebut akan terus melekat dan merenungnya sehingga bayang lelaki itu hilang dari pandangannya. Auranya begitu memukau walaupun tanpa senyuman yang dilemparkan kepada setiap mata yang memandangnya namun lelaki tersebut tetap mengheret semua mata untuk mengekorinya. Bagaikan magnet yang mempunyai kuasa yang teramat kuat yang menarik semua besi-besi melekat kepadanya.
"Very handsem man. I ingat Joe tu dah terlebih handsem but yang Angel bawa hari ini lebih extra terlebih handsem dan memukau. I tua ni pun boleh melekat dan tak jemu-jemu lihat wajah tu. Kalau lelaki tu boyfriend Angel, jujur I bagi komen. Angel memang bertuah sebab semua mata dalam hospital ini I rasa tak ada yang tak mencuci mata hari ni. Wajah berseri-seri, very full pakej. Kalau benar dewa tu ada, rasa-rasanya lelaki tulah anak dewa yang turun kayangan, siapa dia?" tanpa menunggu lama Ziana terus mendekati Zhafry dan soalan terus diajunya kepada lelaki itu.
"Indra Arjuna Aditya, First time dia datang rumah untuk jemput Angel keluar I pun terpegun. Wajahnya dan kulitnya begitu bersih dan putih dan orangnya memang sangat kacak. I tak berani nak beri komen setakat ini sebab mereka baru saja berkawan dan belum tahu serius mana hubungan mereka. I sudah slow talk dekat Indra dan jawapannya agak positif dan I harap dia jujur dengan pengakuannya pada I" balas Zhafry menjawab soalan Ziana.
"Satu ofis?" soal Ziana lagi yang ingin tahu lebih lanjut tentang teman lelaki Angel. Dari gaya dan penampilannya Indra pasti mempunyai pekerjaan yang bagus atau seorang yang berjawatan tinggi.
"Ya, dia CEO Loka Holding" jawapan Zhafry membuatkan Ziana membutangkan matanya.
"What! Wowww... great! No wonderlah kalau orangnya nampak segak dan bergaya. Bertuah badannya anak you" tambah Ziana selepas itu sambil tersenyum.
"Mereka boleh dikatakan rakan kongi dan mungkin itu faktor tu yang membuat mereka berdua rapat. Tapi I nampak Angel nampak bahagia dan gembira sejak mereka rapat. Mereka nampak macam ada chemistry dan ditakdirkan untuk bersama" sahut Zhafry mengulas lanjut tentang hubungan Angel dan Indra.
Ziana tidak bertanya lagi setelah mendengar jawapan Zhafry. Dari pemerhatian dan tanggapannya sejak kebelakangan tentang seseorang yang turut berminat kepada Angel dan mungkin akan kecewa melihat perkembangan hari itu.

Johan sudah tidak kelihatan semenjak Angel melangkah masuk bersama Indra ke bilik Zhafry. Air wajah Johan berubah apabila melihat lelaki yang muncul bersama Angel hari itu. Kesempurna pakej lelaki itu memang sesuatu yang tidak mampu Johan pertikaikan. Johan sendiri kagum melihatnya dari atas ke bawah dan tidak mustahil faktor itu adalah salah satu daya tarikan yang menambat hati Angel untuk menerima lelaki itu.
"Sudahlah Joe, Dia memang bukan untuk kau. Apa yang aku nampak dan semua orang lain pun nampak, apa yang lelaki tu ada ternyata bukan saingan kau dan aku percaya Angel memang tidak pernah tertarik pun pada kau" tegur Azani yang sudah tidak boleh bertahan lagi untuk menegur sahabat sepengajiannya itu. Sejak tadi Azani perasan dengan perubahan Johan apabila terpandang lelaki yang muncul bersama anak gadis Doktor Zhafry.
"Kau tak payah nak menyibuk. Walau sehebat mana pun lelaki tu aku akan cuba jugak mana tahu ada kelebihan aku yang lelaki tu tidak ada" Azani sudah tergelak mendengar kata-kata Johan. Nampaknya Johan tidak mahu menyerah kalah satu semangat yang patut di contohi. Bahu Johan ditepuk bagi memberi samangat dan sokongan. Menghampiri kawasan parkir kereta, Johan dan Azani terlihat sekumpulan manusia seperti sedang mengerumi sesuatu seolah-olah ada sesuatu yang menarik di situ.
"Mereka lihat apa dekat situ, jom kita tengok sekejap" tegur Azani lantas mengajak Johan untuk memastikan perkara yang menarik perhatian beberapa orang berkumpul di situ.
Angel dan Indra saling berpandangan apabila melihat sekumpulan manusia sedang berdiri sambil memerhati sesuatu dan kumpulan manusia seperti terperanjat apabila benda yang sedang mereka perhatikan mengeluarkan bunyi. Melihat pemiliknya mendekati kereta tersebut mereka beredar untuk menjauhkan diri.
"Kereta encik ke?" sapa seorang kaki tangan hospital yang turut berada di situ. Indra cuma menganggukkan kepalanya. Angel terpandang seseorang mendekati mereka.
"Angel, awak sudah nak balik ke?" tegur Johan sambil tersenyum memandang Angel. "Oh Joe! Ya, kami dah nak baliklah ni. Sekejap je jumpa dady. Joe, kenalkan Indra" sahut Angel sambil memperkenalkan Indra kepada Johan. Kedua lelaki itu saling berpandangan sebelum Indra menghulurkan tangannya dan disambut oleh Johan tanpa senyuman kemudian segera berpaling semula memandang Angel. Kurang selesa dengan pertemuan itu dan layanan Johan, Indra terus membuka pintu keretanya untuk Angel dan segera bergerak ke tempat pemandu sebelum memecut kereta meninggalkan tempat tersebut.
Indra diam di sepanjang perjalanan mereka kembali ke Loka Holding. Tidak banyak kereta yang parkir di sekitar bangunan pejabat Loka Holding kerana waktu kerja sudah berakhir setengah jam yang lalu.
"Saya ikut awak naik" beritahu Angel bila Indra sudah memarkirkan kereta di hadapan lobi. Indra hanya mengangguk kemudian memberi peluang Angel menyaingi langkahnya. Sampai sahaja di pejabat Angel terus membuntuti Indra masuk ke bilik Dato' Haikal untuk mendapatkan fail yang diperlukannya.
"Indra, kenapa awak diam dan lain macam je sejak tadi?" akhirnya Angel tidak mampu untuk terus membiarkan Indra terus membisu. Sebelum Indra melangkah keluar dari ruang pejabat Dato' Haikal Angel segera menarik lengan lelaki tersebut.. Ketika mata mereka saling bertatapan, akhirnya Indra bersuara.
"Lelaki tadi tu sukakan awak dan dia nampak marah kerana saya bersama awak" Angel tersenyum mendengar Indra kemudian menggelengkan kepalanya. Perkembangan yang baik, kata orang cemburu tandanya sayang dan ini menunjukkan lelaki itu memang menyayanginya.
"Jadi kenapa awak harus begini. Lelaki tu sukakan saya dan bukannya saya sukakan dia. Dalam hati saya cuma ada awak, sekarang dan selamanya" balas Angel sambil terus menatap wajah Indra.
"Saya terlalu sayangkan awak Ratna. Walaupun tempoh pertemuan dan hubungan kita masih baru tapi saya rasa awak sudah lama bersama saya dan terlalu lama saya tunggu kemunculan awak untuk saya berikan perasaan cinta saya ini. Awak nyawa saya, gadis yang akan menjadi cinta pertama dan terakhir saya. Saya tak boleh hidup kalau awak tinggalkan saya" jawapan Indra membuatkan Angel tersenyum lantas tangan lelaki tersebut diraih kemudian digenggamnya erat.
"Indra, jangan fikirkan perkara itu lagi. Tiada siapa yang mencintai seseorang seperti saya mencintai awak" luah Angel ketika terus membalas renungan lelaki di hadapannya. Indra tersenyum sewaktu mendengarnya lantas menarik rapat tubuh Angel ke dalam pelukannya dan mereka bersatu dengan ikatan kasih yang mendalam untuk beberapa ketika sebelum meleraikannya.
"Saya tidak tahu kenapa saya terlalu cemburukan awak. Saya tidak boleh mengawalnya walaupun saya sedar awak tidak bersalah dan tidak ada hubungan apa-apa dengan mereka. Saya takut kelak perasaan cemburu saya memakan diri saya sendiri" Angel memahami apa maksud ungkapan Indra dan membuat kesimpulan mungkin kerana lelaki itu pertama kali menyayangi seorang perempuan.
"Saya harus yakin dan percaya dengan diri sendiri. Percayalah, saya bukan jenis yang mudah untuk digoda dan tidak berminat untuk menggoda sesiapa" Indra tersenyum mendengar ungkapan Angel yang agak lucu bunyinya.
"Jadi sekarang siapa goda siapa?" soal Indra pula.
"Tak ada siapa goda siapa, kita saling jatuh cinta" Indra tersenyum kemudian menganggukkan kepalanya mendengar jawapan Angel.
"Angel, kenapa saya rasa kita pernah berjumpa sebelum ni. Saya rasa macam pernah nampak mata awak" soal Indra lagi selepas lama merenung sepasang mata milik gadis di hadapannya. Dia bagaikan hanyut dalam khayalan yang seakan membawanya pergi ke suatu detik pertemuan yang pernah berlaku di antara mereka. Mimpi atau kenyataan, Indra tidak pasti tentangnya. Mimpi beerti ketika tidur namun Indra tidak pernah aktiviti itu berlaku lagi dalam kamus hidupnya sejak sekian lama.
"Dalam mimpi mungkin" soal Angel pula cuba menyamakan dirinya yang sering berjumpa makhluk-makhluk pelik dalam mimpinya. Indra menggelengkan kepalanya.

DirgantaraWhere stories live. Discover now