Bab 13. Kenapa Panggil Saya 'Ratna'?

2 0 0
                                    

Indralah orang pertama yang akan ditemui sebaik sahaja memulakan tugasnya di Loka Holding selepas dua hari dipaksa oleh Zhafry untuk berehat di rumah. Angel tidak pernah menceritakan pada sesiapa termasuk Zhafry kerana Angel yakin tiada siapa yang akan mempercayai ceritanya. Persoalannya kini, adakah Angelbsendiri akan memperoleh jawapan sedangkan sejak dua hari yang lalu Angel tidak henti-henti cuba membuat pelbagai teori dan andaian tentang apa yang telah dilaluinya. Di akhir kesimpulan Angel teramat-amat ingin mengetahui jawapan sebenarnya. Angel akhirnya nekad memberanikan diri masuk ke bilik Indra untuk bertemu dan bertanya sendiri kepada lelaki tersebut.
Angel benar-benar kecewa apabila jawapan yang Indra berikan tidak memuaskan hatinya namun Angel dapat merasakan Indra cuba menyembunyikan sesuatu daripadanya.
"Memang awak, awak yang telah selamatkan saya. Saya tidak bermimpi dan mata saya belum buta lagi" Angel terus menekan kebenarannya supaya Indra mahu mengakuinya.
"Awak silap Ratna, awak berimiginasi masa tu sebab tu orang lain awak nampak macam saya" Angel menggeleng-gelengkan kepalanya apabila Indra cuba menafikannya.
"Tak, memang awak. Awak jangan cuba menafikan. Saya lihat memang wajah awak dan orang tu memang awak" tegas Angel lagi sambil matanya merenung tepat lelaki yang sedang duduk di hadapannya. Renungan mata bundar yang indah itu nampak lagi dan Indra terpana.
"Indra, Awak dengar tak apa saya cakap ni" hairan melihat Indra membeku dan membisu. Indra kembali sedar apabila Angel menayangkan tangan ke wajahnya.
"Mungkin ada bahagian kepala awak yang terhantuk kuat membuatkan awak fikir yang bukan-bukan macam orang yang tak siuman" Angel mengetapkan bibirnya, perasaannya mula marah apabila mendengar menuduhnya tidak siuman.
"Baiklah! Kalau awak tak mengaku saya akan cari jalan untuk buktikan bahawa saya masih siuman dan betul" beritahu Angel kemudian berpaling dengan niat untuk keluar dari bilik lelaki tersebut.
"Ratna! bukan saya, percayalah" nama panggilan yang agak asing di telinganya. Indra satu-satunya orang yang memanggilnya dengan nama terakhir itu.
"Memang awak, kenapa susah sangat awak nak mengaku?" soal Angel ketika dia berpaling semula memandang Indra.
"Sebab bukan saya" balasnya lagi. Angel menggelengkan kepalanya sekali lagi.
"Pelik, Kenapa awak tak cedera langsung" tanya Angel lagi sebelum ia terus melangkah keluar tanpa menoleh lagi.

Sejak hari itu Angel tidak banyak bercakap malah apabila Indra cuba menegurnya Angel cuma membisu. Kebisuan dan kedinginan Angel telah memberi kesan kepadanya. Indra mula panasaran dengan sikap tidak layan Angel kepadanya. Pada mulanya Indra cuba tidak ambil paduli dan cuba untuk turut berdiam diri serta berlagak biasa sahaja namun Indra gagal untuk mengawal perasaannya apabila melihat Angel berbual mesra dengan pekerja-pekerja lelaki Loka Holding.
Perasaannya semakin kacau dan naik gila apabila mendengar persetujuan Angel menerima undangan Zack ke majlis barbeque yang akan diadakan di tepi pantai Kampung Santubong. Majlis tersebut dianjurkan pada waktu malam dan Angel harus memandu hampir satu jam untuk sampai ke lokasi tersebut menambahkan lagi kerisauan dan cemburunya.
"Ratna, awak masih marahkan saya?" soal Indra sewaktu lelaki itu tiba-tiba merempuh masuk ke dalam biliknya.
"Ketuk sebelum masuk" beritahu Angel apabila Indra sudah tercegat di hadapannya.
"Maaf" balasnya sambil mengangkat kedua belah tangannya seperti penjahat yang sedang diacukan pistol.
"Ratna, awak nak pergi juga ke pantai tu ke malam esok" soalnya lagi sambil memandang Angel dengan renungan yang tajam.
"Apa masalahnya?, itu hak saya dan awak tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan peribadi saya" balas Angel dengan tegas. Indra kelihatan seperti tersentak apabila mendengar jawapan Angel.
"Saya tahu, saya cuma bertanya" sambung Indra lagi dengan nada perlahan dan mengalah. Indra sedar mereka memang tiada sebarang hubungan dan dia tidak punya kuasa untuk masuk campur atau menghalang keputusan gadis tersebut.
"Saya pun pernah bertanya tapi saya tidak pernah mendapat jawapannya" sahut Angel ketika matanya membalas renungan lelaki di hadapannya sebelum melemparkan sebuah senyuman sinis pada lelaki tersebut. Indra kedengaran menarik nafasnya kemudian melepaskannya perlahan. Segala tindakan lelaki itu kedengaran jelas di telinga Angel waktu itu.
"Ok, saya minta diri" ujar Indra dengan nada kecewa dan mengambil keputusan untuk beredar.
"Ya, saya akan pergi. Nekad, kenapa awak tanya?" Indra mematikan langkahnya apabila terdengar suara Angel berkata sesuatu.
"Tidak adilkan kalau saya saja yang harus mengalah" sambung Angel lagi sewaktu Indra berpaling dan kembali mendekati mejanya.
"Ok, saya akan bagi kemenangan pada awak tapi tolong jangan tanya saya lagi soalan itu sebab saya memang tiada jawapannya" balas Indra dengan nada merayu sambil menatap tepat ke wajah Angel. Mata mereka bersatu dan setiap kali mereka begitu Indra dapat rasa sesuatu yang hadir dalam hatinya. Angel mengetapkan bibir dan diam ketika membalas renungan Indra. Sesuatu sedang difikirkannya selepas mendengar jawapan Indra tadi.
"Awak boleh suruh dan minta apa saja dari saya asalkan bukan jawapan soalan itu" sambung Indra lagi selepas beberapa saat mereka saling membisu dan berpandangan.
Peluang terbuka luas dan dengan pantas Angel kemudian tersenyum.
"Janji dan awak tak akan memungkirinya?" tanya Angel untuk kepastian. Indra menganggukkan kepalanya.
"Baiklah. Memandang awak dah berjanji, perkara pertama yang perlu awak buat ialah saya nak awak temankan saya lunch hari ni" Angel mengangkatkan kening menunggu reaksi Indra selepas mendengar permintaan pertamanya. Selepas beberapa saat kelihatan Indra menganggukkan kepalanya sebelum berlalu keluar dari bilik tersebut dan perlakuan Indra itu membuatkan Angel tersenyum puas.
'Aku akan dapat juga jawapannya nanti' bisik Angel dalam hatinya.
Memikirkan tentang janji Indra akan menemaninya makan tengah hari Angel menolak dengan baik ajakan Zaleha dan Sue untuk keluar makan tengah hari bersama. Angel bersyukur apabila Indra menepati janjinya. Sewaktu melangkah memasuki pintu utama restoran hampir semua beberapa pasang mata yang berada dalam restoran tersebut memandang ke arah mereka. Memikirkan tentang reputasi lelaki tersebut perlu juga dijaga, Angel mengambil keputusan mengajak Indra duduk di suatu sudut yang agak terlindung daripada pandangan umum. Indra mungkin telah menjatuhkan air muka sendiri kerana terpaksa menemaninya makan tengah hari di restoran yang mungkin bukan standard lelaki tersebut walaupun tidak kedengaran bantahan daripadanya apabila restoran tersebut menjadi pilihan Angel.
"Awak tak kisahkan saya pilih restoran ini" Indra menggelengkan kepalanya sambil menyandarkan tubuhnya pada kerusi plastik yang didudukinya.
"Tapi saya tahu awak malu temankan saya masuk ke sini" beritahu Angel selepas melihat reaksi lelaki tersebut. Sewaktu mereka membuat pesanan, Indra hanya memesan minuman dan buah namun Angel tidak ambil kisah kerana yang pentingnya lelaki itu sudahpun menunaikan janjinya.
"Saya tak cakap tapi terserah kalau itu tanggapan awak" sahutnya bersahaja dan mata terus merenung wajah Angel sejak mereka duduk di restoran itu.
"Tapi tanggapan saya betulkan?" soal Angel pula.
"Tak, berbeza dari semua yang awak fikirkan" balas Indra ketika matanya terus merenung wajah Angel.
"Maksud awak?" soal Angel pula ketika membalas renungan Indra. Sejak mereka tiba dan duduk di meja tersebut Indra tidak pernah memandang ke arah lain selain wajah Angel. Sehingga terlintas difikiran Angel, tidak adakah panorama lain yang boleh menarik perhatian lelaki tersebut selain yang ada di wajahnya.
"Kalau awak nak tahu saya sebenarnya terlalu seronok menemani awak hari ini dan kalau boleh saya ingin selalu temankan awak" balasnya sambil tersenyum memandang Angel. Angel rasa pelik pula mendengar jawapan Indra. Apa maksud kata-kata lelaki tersebut.
"Ya ke?. Saya harap awak jujur dengan jawapan awak tu sebab saya tak rasa macam tu dan pelik sangat bunyinya" sambung Angel pula sambil mengangkat keningnya ketika membalas renungan Indra. Lelaki itu terus tersenyum selepas mendengar jawapan Angel.
"Betulkan? Awak tak payah nak tipu saya walaupun saya belum ada banyak pengalaman hidup" ujar Angel lagi dan kedengaran agak lirih dalam nada suaranya.
"Kenapa awak fikir begitu?" soalnya Indra pula yang pelik melihat reaksi cepat terasa gadis di hadapannya.
"Sebab selain nenek, datuk dan dady, saya tak pernah keluar makan atau ke mana pun dengan terutama lelaki, sama ada lelaki yang seusia atau yang lebih usianya daripada saya. Saya tak pernah terfikir dan berminat hendak berkawan dengan sesiapa. Saya tak pernah berminat menerima undangan sesiapa apalagi untuk mengundang sesiapa untuk keluar dengan saya dan awaklah orang pertama yang saya ajak temankan saya makan hari ini. Pelik bunyinyakan sebab saya pula yang ajak awak. Mungkin sebab saya ingin nak ..." Angel tidak menghabiskan kata-katanya apabila bimbang matlamat dan misi untuk mendapat jawapan daripada lelaki tersebut mungkin gagal.
"Maksudnya awak tak ada ramai kawan?" Indra pula menyoal Angel selepas itu.
"Bukan tak ramai tapi tak ada langsung" balas Angel kemudian mendongak melihat pelayan yang menghantar minuman ke meja mereka. Indra tidak terus bersuara selepas mendengarnya tetapi kelihatan lelaki itu seperti sedang berfikir.
"Awak mesti fikir saya bercakap bohong. Saya tak kisah asalkan awak jangan fikir saya ni tidak siuman. Saya bukan tak siuman cuma saya ni banyak lainnya daripada manusia lain. Sebab tu saya rasa saya tak boleh rapat atau berkawan dengan orang lain. Saya takut menyusahkan orang dan takut orang tak boleh terima saya" sambung Angel lagi apabila melihat Indra hanya mendiamkan diri.
"Memang pelik kalau macam tu tapi ayat awak tadi tak habis. Awak ingin apa Angel?" soal Indra sambil mengangkat keningnya memandang gadis yang duduk di hadapannya.
Rupa-rupanya Indra masih boleh ingat ayat yang dituturkan Angel sebelumnya. Angel tidak terus menjawab tetapi tersenyum sahaja memandang Indra.
"Sebelum saya jawab saya nak tanya awak dulu. Awak fikir saya ni macam mana?, tak siumankan?" soal Angel pula dan Indra pantas menggelengkan kepalanya.
"Ratna! Saya tidak sembunyikan apa-apa dari awak?" balas Indra sejurus itu.
Angel tidak segera menyambung perbualan kerana makanan yang dipesannya sudah tiba di meja.
"Betul awak tak nak makan. Kalau awak tak nak makan banyak kita boleh kongsi makanan ni sebab saya pun belum tentu boleh habiskan nasi yang banyak ni" perlawa Angel apabila melihatkan makanan di hadapan Indra hanya beberapa hiris tembikai susu.
"Tak! awak makanlah sebab saya memang tak boleh makan sebarangan atau makanan yang berat sangat kerana saya ada masalah perut" Angel menganggukkan kepalanya setelah mendengar alasan yang dijelaskan oleh Indra kepadanya dan tidak menambah lagi soalan tentang perkara tersebut kerana ada hal lain yang lebih penting untuk diketahuinya daripada lelaki tersebut.
"Kenapa awak tak cedera langsung?" Indra tersenyum kerana Angel akhirnya mengajukan soalan yang sememangnya sudah Indra ramalkan pasti akan gadis tersebut timbulkan semula.
"Itu yang awak ingin nak tahukan. Saya sudah agak awak memang tidak berputus asa dan tidak akan menepati janji. Saya tidak cedera sebab saya tak berada di situ" balas Indra sambil jemarinya menyentuh dan membelai gelas minuman yang ada di hadapannya. Angel hanya memesan air kosong dan Angel sedikit terliur melihat minuman jus tembikai yang dipesan oleh lelaki tersebut.
Sambil mata memerhati minuman kepunyaan Indra, telinganya kecewa lagi mendengar jawapan dari mulut Indra..
"Kenapa awak ambil keputusan untuk pergi juga" giliran Indra pula menyoalnya.
"Maksud awak undangan Zack tu?" Indra mengangguk apabila Angel menyoalnya kembali.
"Macam mana awak tahu, ada sesiapa beritahu awak?" Indra menggelengkan kepala menafikan tekaan Angel.
"Saya dengar awak beritahu Zaleha pagi tadi" jawapan yang membuatkan Angel merenung muka Indra dengan dahi berkerut. Dia memberitahu Zaleha semasa mereka membeli nasi lemak daripada Kak Siti yang berniaga di hadapan bangunan Loka Holding. Angel yakin tiada orang lain yang mendengar lebih-lebih Indra yang sahih masih berada dalam pejabatnya ketika itu.
"Saya tiba-tiba rasa berminat nak pergi, kenapa awak tanya?" soal Angel pula.
"Awak memang pasti akan pergi?" soal Indra lagi untuk menekan keputusan sebenar Angel. Angel menganggukkan kepalanya sebelum menyatakan jawapannya.
"Saya rasa tak salah sebab Zaleha dan Sue pun akan pergi jugak" ujarnya selepas mengunyah dan menelan makanan yang ada di dalam mulutnya.
"Mereka tinggal berdekatan dan akan pergi dengan sebuah kereta. Awak tak takut ke keluar dan memandu seorang diri waktu malam. Tempat tu agak jauh?" perkara itu yang patut Angel fikirkan sebelum mengambil keputusan untuk pergi.
"Takutlah juga tapi nak buat macam mana. Saya kena biasakan diri. Saya bukannya ada kawan yang boleh saya ajak" balas Angel selamba dan memang itulah hakikat dan resiko yang harus dilaluinya hidup tanpa kawan atau teman.
"Apa kata awak tukar fikiran, tak payah pergi" Indra kemudian memberi cadangan untuk cuba menghalang dan harap Angel menyetujuinya.
"Kenapa pulak? Saya pun sebenar boring tinggal sorang-sorang di rumah" balas Angelapabila hairan mendengar Indra melarangnya pergi.
"Saya risaukan keselamatan awak. Awak pergi seorang diri dan tentu lewat malam baru awak balik" beritahu Indra dan kalau gadis itu setuju lapanglah dadanya.
"Saya sudah janji nak datang. Awak risau pulak pasal saya ni kenapa?" semakin pelik mendengar lelaki itu seperti bersungguh-sungguh menghalangnya daripada pergi.
"Sebab awakkan salah seorang pemegang saham Loka Holding" balas Indra memberi sebabnya.
"Oh kerana tu ke? Saya ingat pasal apa tadi" sedikit kecewa di hatinya selepas mendengar jawapan lelaki itu. Kalau risaukan dirinya sebagai seorang kawan tentu hatinya bahagia sebab ada orang yang ambil berat kepadanya namun sebabnya cuma kerana Loka Holding.
"Kalau saya mati kena bunuh atau kemalangan misalnya, besar keuntungannya pada awak dan dato'. Tak perlu fikir pasal bahagian pekongsian Syed Hatta dalam syarikat tu sebab sudah tak ada pewaris lagi. Sekarang pun awak tak usah risau sangat sebab Loka Holding bukan penting sangat pun pada saya. Kalau awak nak jual pada orang lain bahagian datuk saya dekat situ pun saya tak kisah. Kalau awak nak ambil semuanya lagi elok sebab modalnya dulupun semuanya dari ayah awak jugak. Just datuk saya cuma rakan kongsi idea dan tenaga saja. Sebenarnya pada dasarnya saya sememangnya tak ada langsung hak di situ" Angel meluahkan apa yang sebenarnya-benarnya ada di hatinya. Biarlah Indra tahu keberadaannya di Loka Holding bukan atas kehendaknya dan dia bukannya tergila-gila sangat dengan warisan Syed Hatta yang ada di situ. Kalau ada pilihan lain sudah lama dia memilih dan pergi ke destinasi yang lebih sesuai dengan jiwanya. Ke mana saja asalkan kebahagianya ada di situ.
Indra menggelengkan kepalanya apabila mendengar jawapan Angel. Dia tidak dapat menyelami apakah sebenarnya yang ada di hati gadis itu. Angelmemang lain daripada yang lain. Angel penuh dengan kesederhanaan dan hidup dalam alamnya sendiri. Ketika manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan Angel dengan mudah boleh melepaskan apa yang seharusnya dia miliki begitu saja.
"Awak tahu tak berapa nilai yang awak ada dalam Loka Holding" soal Indra cuba mengenal lebih dalam jiwa gadis itu. Angel menggelengkan kepalanya ketika terus menikmati makanannya.
"Saya tak minat nak ambil tahu sebab tu bukan hak saya. Saya berada di Loka Holding kerana amanah datuk dan macam saya jadi kata tadi tu bukan hak saya. Cukuplah kalau ada gaji yang syarikat bayar untuk saya menyara hidup" Indra tidak mahu lagi bersoal jawab tentang Loka Holding kerana pasti jawapan gadis itu tetap sama.
"Kalau awak tak boleh ubah, saya akan teman awak pergi malam nanti. Saya akan jemput awak selepas maghrib" mata dan mulut Angel membutang apabila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh lelaki di hadapannya. Hairan! Kenapa dengan dia ni? Buang tabiatkah apa?. Sanggup berkorban untuk apa pulak?. Tapi kalau betul Indra nak pergi bagus jugak. Tak perlulah dia memandu sendirian malam itu nanti. Angel juga tidak perlu memujuk Zhafry untuk mengizinkannya pergi memandangkan ada seseorang yang akan pergi bersamanya. Tanpa Indra, Angel sudah bercadang untuk pergi tanpa pengetahuan Zhafry kerana kalau meminta izin pun Angel sudah boleh meramalkan apa jawapannya nanti.
"Saya tak nak awak menyusahkan diri. Maksud saya, buang masa awak sebab saya ni bukan sesiapa pun pada awak" soal Angel sambil matanya memandang tepat ke wajah Indra. Kelihatan Indra menggelengkan kepalanya.
"Saya tak tahu kenapa tapi saya tak mahu biarkan awak pergi sendirian" sahutnya dengan wajah yang benar-benar bermaksud dengan apa yang diucapkan. Wajah Angel berubah selepas mendengar jawapan Indra kerana ketidakpuasan yang bermukim di hatinya.
"Tapi ingat, awak jangan menyalahkan saya pulak. Bukan saya yang ajak tapi awak sendiri yang tawarkan nak temankan saya pergi, terpulanglah. Kalau awak ubah fikiran selepas ini saya tak kisah dan kalau awak tidak datang selepas pukul tujuh setengah maknanya saya perlu pandu sendiri kerana awak tak jadi pergi" Indra mengangkat kening selepas mendengar jawapan Angel kepadanya. Tegas, jujur dan merisaukan. Angel memang pelik!
"Saya bukan orang yang suka mungkir janji. Apa awak tak sukakan saya?" soal Indra yang sedari tadi agak pelik mendengar percakapan dan bahasa yang gadis itu gunakan.
"Ya, saya pernah bencikan awak dulu. Awak pun tahu sendiri kenapa? Tapi tak lagi selepas awak minta maaf hari tu. Sekarang saya cuma terkilan dekat awak sebab awak tidak mahu bercakap benar pada saya walaupun perkara itu benar dan saya sudah soal awak berulangkali. Awak terlalu berahsia atau mungkin sebab awak tidak percaya bahawa saya boleh menyimpan rahsia awak" balas Angel demi menceritakan apa yang dirasanya terhadap Indra.
"Ratna, seandainya benar mungkin awak akan elakkan diri daripada saya" sambung Indra kemudian menundukkan wajah demi melarikan pandangannya.
"Kenapa pulak saya perlu elakkan diri dari awak?" soal Angel pelik mendengar jawapan Indra.
"Kalau misalnya di sebalik rupa sekarang saya boleh bertukar pula menjadi rupa yang hodoh dan menakutkan awak" Angel tergelak kecil selepas mendengar jawapan yang Indra berikan.
"Awak akan bertukar jadi beast atau raksasa? Kenapa awak meramalkan saya macam tu" ujar Angel pula.
"Apa yang saya rasa dan mungkin itulah hakikatnya" balas Indra sejurus itu.
"Awak terlalu yakin sebelum mencuba" bantah Angel lagi.
"Bagaimana pula kalau saya ni jahat dan boleh membunuh" soalnya pula sambil kembali memandang wajah Angel dengan mata yang bersinar.
"Dari mata awak saya tahu awak bukan begitu. Awak tidak jahat dan awak bukan pembunuh. Kalau awak bukan orang yang baik tentu awak biarkan saya mati saja hari tu" ujar Angel lagi demi mematahkan hujah Indra.
"Kenapa awak fikir macam tu" ujar Indra sambil menatap tepat ke wajah gadis di hadapannya.
"Sebab mata adalah jendela hati" Indra terpegun mendengar jawapan Angel.
"Awak memang pandai memerangkap saya Ratna" balas Indra kemudian.
"Terpulanglah apa yang awak fikirkan tapi saya memang mencari jawapannya daripada awak" sambung Angel sejurus itu. Indra tidak menyambung ayat Angel dan hanya mendiamkan diri.
"Oh ya, awak kenapa panggil saya Ratna?"
"Kenapa? Tak boleh atau awak tak suka. Tukkan juga nama awak" Angel menggelengkan kepalanya.
"Rasa asing sikit sebab semua orang panggil saya Angel. Menurut dady, nama tu atok yang mahukan jadi dady terpaksa letak di hujung nama yang telah dia buat supaya atok tak berkecil hati" Indra mengangguk selepas mendengar penjelasan Angel.
"Saya lebih suka awak dipanggil awak Ratna, lebih manis dan kemelayuan" Angel terpana dan kemudian tersenyum mendengar pendapat lelaki tentang nama itu.
"Saya nak pesan minuman macam tu" celah Angel apabila suasana di meja mereka sepi seketika.
"Tak perlu, awak ambil minuman ni sebab saya memang pesan untuk awak" Angel mengangkat kening apabila mendengar jawapan Indra. Kenapa nak perlu fikir banyak sebab dia memang terliur dari tadi melihat minuman itu dan rezeki jangan ditolak.
"Thanks, awak macam tahu kegemaran saya. Saya memang suka jus buah-buahan" ujar Angel sewaktu mencapai gelas di hadapan Indra dan Indra tersenyum memerhati Angel menyedut minuman tersebut dengan begitu berselera.
"Ratna, boleh saya tanya sesuatu?" soal Indra kemudian.
"Saya boleh mendengar soalan tapi tak janji untuk jawapannya" balas Angel selepas menyedut air minumannya.
"Di mana awak dapat cincin tu" sambil matanya memandang cincin di jari manis Angel. Angel turut melihat jari tangannya yang tersarung cincin yang Indra maksudkan.
"Hadiah dari seseorang, kenapa?" mendengar soalan Angel, Indra tidak bertanya lagi walaupun masih ada sesuatu terbuku di hatinya.

DirgantaraWhere stories live. Discover now