Bab 73

1 0 0
                                    

       Ustaz Zaini menggelengkan kepalanya dan Janah berkali-kali mengucap selepas mendengar cerita Sarimah. Ustaz Zaini tidak pernah terfikir perkara seperti itu masih wujud lagi. Mengapa tanpa berfikir panjang, tanpa mahu memikir resikonya manusia sanggup  mengambil jalan mudah untuk mendapatkan pertolongan.
Orang yang berurusan dengan sihir akan menerima padah yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di dalam neraka. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir) yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu, tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di Akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. [al-Baqarah 2:102][37].
Maksud ayat-ayat yang dilafazkan oleh Ustaz Zaini membuatkan Sarimah terpaku mendengarnya. Mengapa perkara itu harus berlaku dalam keluarganya. Penemuan beberapa barang pelik milik suaminya menjadi punca pertelingkahan Sarimah dan suaminya beberapa minggu yang lalu sehinggakan Sarimah mengambil keputusan untuk menziarahi Ustaz Zaini.
“Dia benar-benar marah pada saya bang, kak. Berrmacam-macam alasannya bila saya ajak dia solat berjemaah begitu juga apabila saja ajak pergi haji atau umrah sedangkan kami dah lebih daripada mampu untuk ke sana” cerita Sarimah lagi kepada pasangan suami isteri yang duduk di hadapannya.
“Kamu memang benar-benar pasti yang benda tu jadi amalan Kadri atau mungkin dia simpan benda tu untuk suka-suka?” soal Ustaz Zaini lagi. Sarimah menggelengkan kepala.
“Hati saya kuat mengatakan dia amalkan benda tu sebab banyak sangat benda pelik yang dia buat selamanya. Dia hampir sama umur dengan abang, abang mampukah angkat benda seberat 50 kilo dengan sebelah tangan?” soal Sarimah ketika menjawab soalan Ustaz Zaini. Lelaki tersebut menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.
“Abang fikir nak tinggal lama sikit dekat sini  sebab abang cadang kita siasat dulu” cadang Ustaz Zaini bagi mencari jawapan kepada persoalan yang sedang mereka fikirkan.
“Baguslah kalau abang fikir macam tu. Hah! Sari nak tanya, kereta siapa yang abang guna tu. Abang dan kakak beli kereta baru ke?” memang pasangan suami isteri tersebut pernah memiliki sebuah kereta Proton Wira terpakai sebelum ini tetapi kerana selalu sangat rosak kereta tersebut telah dijual dan diganti dengan membeli sebuah motosikal.
“Kereta Angel, dia yang jemput kami dekat stesen bas pagi tadi dan lepas tu Angel pinjamkan kereta tu pada kami” cerita Sarimah mewakili suaminya.
“Oh kereta Angel. Beruntung abang dan kakak dapat anak angkat macam Angel tu.  Cantik, lemah lembut, kaya pulak tu. Kalau Joe dapat isteri macam tu tentu seronok saya kak, bang. Tapi entah bila Joe akan beri saya menantu” sambung Sarimah selepas mendengar cerita Sarimah. Ustaz Zaini dan Janah berbalas pandangan kemudian tersenyum apabila mendengar jawapan Sarimah.
“Angel tu bukan sekadar anak angkat kami saja tapi anak susuan Kak Janah kamu. Tu sebabnya kami rasa sayang sangat dekat budak Angel tu lebih-lebih lagi Angel akan bagi kami cucu tak lama lagi” sambung Ustaz Zaini pula sambil menguntum senyum.
“Oh ya, lupa pulak saya yang Angel sudah kahwin dan sudah mengandung pun. Sepadan sungguh Angel tu dengan suaminya. Saya ingatkan Joe tu dah habis kacak orangnya rupanya suami Si Angel tu banyak lagi kacaknya” Ustaz Zaini dan Janah sama-sama tergelak apabila mendengar ayat yang diucapkan oleh Sarimah.
“Yalah Sari, mata kita tua ni pun terbeliak bila tengok suami Si Angel tu nikan pulak orang muda. Tapi syukurlah Angel dapat suami yang bukan saja kacak tapi sayang sangat dekat dia” sambung Janah selepas itu.
“Tu yang saya tengok Angel tu manja sangat dibuatnya. sampai makan pun suami yang suapkan” sambung Sarimah pula sambil tergelak kecil.
“Orang muda zaman sekarang mana sama macam zaman kita dulu, tapi yalah cuma suami Angel tu memang lain sikit dari yang lain” ujar Ustaz Zaini memberi pendapatnya. Fikirannya kembali mengingatkan peristiwa yang disaksinya pada malam itu.
“Memanglah lain bang sebab kacak sangat, macam anak raja dari kayangan, berseri-seri tak jemu mata memandang” tambah Janah pula sebelum tergelak kecil apabila cuba bergurau kembali dengan suaminya.
Kedengaran bunyi enjin kereta Kadri yang baru pulang dari kerja membuatkan perbualan di ruang tamu terputus. Kadri terpacak berdiri di sisi keretanya sambil memerhati sebuah kereta yang parkir di tempat parkir kereta yang dikhaskan untuk Johan. Pasti bukan kereta Johan kerana ada sepasang kasut lelaki dan sepasang salipar wanita di hadapan pintu masuk rumahnya. Maknanya ada pelawat yang mengunjungi rumah mereka  pada hari itu..
“Assalammualaikum bang, kak” sapa Kadri apabila melihat tetamu yang sedang duduk berbual dengan isterinya di ruang tamu. Pasangan suami isteri tersebut tersenyum ketika menyahut salam yang diucapkan oleh Kadri. Saling bersalaman Kadri turut bertanyakan khabar berita Ustaz Zaini dan isterinya.
“Saya ingat kereta siapa tadi, Abang Zai beli kereta baru ya?” soal Kadri sejurus itu.
“Eh taklah, mana abangni mampu. Ada orang yang pinjamkan pada kami” balas Ustaz  Zaini sambil tersenyum kepad isterinya. Sarimah hanya mendiamkan diri sejak suaminya muncul. Hubungan mereka memang kurang mesra sejak beberapa minggu yang lalu dan sejak pertengkaran dua hari yang lepas Sarimah lebih suka mendiamkan diri dan hanya akan menjawab sepatah dua jika suaminya bertanya sesuatu.
“Mereka tidur sini?” soal Kadri pada isterinya ketika abang dan kakak iparnya sudah masuk ke dalam bilik untuk menunaikan solat asar.
“Yalah, ini baru pertama kali saya berpeluang  ajak mereka tidur rumah kita. Bukannya selalu mereka boleh datang ke sini” balas Sarimah menjawab soalan suaminya.
“Awak jugak yang jemput mereka datangkan?” soal Kadri lagi. Memang Kadri merasa kurang selesa apabila abang iparnya yang merupakan seorang ustaz yang warak itu berkunjung ke rumahnya apalagi kalau tiba-tiba mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Kadri tidak mahu abang iparnya mencurigai sesuatu terhadap dirinya. Rahsia saka yang dimiliki sememangnya cuba dirahsiakan dari sesiapa pun termasuk isterinya.
“Eh abang ni, salahkah saya jemput abang saya tidur dekat rumah kita atau abang sebenarnya takut dengan Abang Zai” soal Sarimah pula.
“Takut, saya takut kenapa?  Saya cuma bertanya” balas Kadri sambil memandang isterinya. Sarimah kemudian diam  apabila melihat perubahan wajah Kadri yang menjerling tajam kepadanya. Mungkin Kadri tidak senang hati melihat kemunculan Ustaz Zaini dalam rumah tersebut yang selama ini tidak pernah sekalipun menginap di rumah mereka apabila berkunjung ke Kuching. Pasangan suami isteri tersebut lebih suka menginap di rumah saudara jauh atau sahabat handal yang dikenali atau akan balik hari ke kampung.
“Lama ke mereka dekat sini?” soal Kadri selepas lama melihat isterinya mendiamkan diri.
“Entahlah, saya tak pastilah pulak. Nantilah saya tanya mereka. Tak sedap pulak rasanya tetamu yang baru sampai kita tanya pulak bila nak balik. Kecil hati pulak Abang  Zai dan Kak Janah tu” ujar Sarimah sebelum melangkah sendirian meninggalkan suaminya di dalam bilik. Hari sudah makin menjenguk ke senja dan makan malam sudah semestinya harus disiapkan mengikut waktunya memandangkan kini ada tetamu yang sedang menginap di rumah mereka.
Sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi kadri telah menghilangkan diri dari rumah dan menurut Sarimah, suaminya telah kembali semula ke tempat kerja kerana ada urusan yang perlu disiapkan.
“Jarang pulak dia balik semula ke tempat kerja kalau sudah balik ke rumah, entah kenapa hari ini ada pulak kerja yang dia nak buat. Mungkin alasan dia saja sebab takut bila abang ada dekat sini” beritahu Sarimah bila bercerita tentang suaminya.
“Tak berani pulak saya prasangka buruk. Kita tunggu dan lihat saja perkembangannya nanti” ujar Ustaz Zaini selepas Sarimah memberitahu tentang suaminya.
“Joe selalu ke balik sini?” soal Janah bila teringatkan anak lelaki tunggal adik iparnya itu.
“Kalau ada cuti atau free panjang baliklah dia, walaupun tempat kerjanya tak jauh tapi dia orang kena juga tinggal dekat hostel doktor supaya dapat datang  cepat ke tempat kerja” sahut Sarimah menceritakan pula tentang Johan.
“Walaupun cuma sorang tapi sekurang-kurang kamu ada jugak anak, dapat pulak anak yang bijak dan lawa macam si Joe tu. Kita orang ni cuma menumpang kasih Angel ajelah nampaknya. Hah! Kami nak beritahu  kamu ni esok kami berdua nak ke bandar sebab Angel nak bejumpa kami dekat sebuah restoran.  Kalau kamu senang ikutlah kita sekali” ajak Janah apabila teringat masej yang diterimanya dari Angel sekejap tadi.
“Bolehlah jugak, saya pun bukannya ada buat apa dekat rumah ni” balas Sarimah sambil tersenyum. Kesunyian duduk sendirian di rumah setiap hari membuatkan Sarimah berminat untuk mengikut pasangan tersebut untuk berjumpa Angel. Kalau ada Angel bererti ada suaminya lelaki kacak yang memukau pandangan sesiapa saja. Sarimah ingin menghubungi anaknya, Kalau ada kesempatan untuk Johan keluar, mereka boleh berjumpa di restoran tempat di mana Janah akan berjumpa Angel.
Angel tersenyum memandang suaminya selepas membaca balasan masej yang dihantarnya.
“Dimaz ada cadangan tak restoran mana yang sesuai? Angel jemput dady sekali tau sebab selepas Angel cerita pasal abah dan ummi, dady berminat sangat nak jumpa mereka” beritahu Angel ketika duduk rapat di sebelah suaminya.
“Kita ambil restoran hotel, selesa untuk makan sambil berbual” balas Indra selepas memikirkan lokasi yang sesuai untuk pertemuan Angel dengan keluarga angkatnya.
“Dimaz ikut sekali tak?” soal Angel apabila memikirkan masalah suaminya. Dia dan Indra terpaksa mencipta  alasan sewaktu makanan tiba di meja.
“Saya tak boleh biarkan sayang sendirian. Mereka ada di mana-mana dan sentiasa menunggu peluang untuk mendekati sayang" beritahu Indra sambil tangannya membetulkan rambut isterinya yang menutupi dahi.
“Alasannya nanti?” soal Angel lagi.
“Alasannya emm.. tahulah saya merekanya tapi saya akan datang kemudian. Isqan akan hantar sayang sampai ke meja” Angel hanya menganggukkan kepala apabila mendengar jawapan suaminya.
“Dimaz” tiba-tiba Angel memanggil suaminya. Indra mengangkat keningnya membalas pandangan Angel.
“Anak kita kuat sangat bergerak” ujar Angel sambil menyentuh perutnya. Indra lantas tersenyum kemudian menyentuh perut isterinya.
“Anak mama pasti tak sabar nak keluar tengok papa dan mama, sabar ya sayang. Bila cukup tempohnya sayang keluarlah” ujar Angel lagi sambil mengusap perlahan-lahan perutnya yang sudah membesar.
“Sayang nak beri nama apa anak kita”soal Indra sambil memandang isterinya. Angel lantas tersenyum kemudian berbisik ke telinga suaminya. Indra membalas pandangan isterinya kemudian ikut tersenyum bersama. Angel sudah mengetahui jantina bayi dalam kandungannya sejak dua bulan yang lalu dan beberapa persediaan sudah pun di beli oleh pasangan tersebut untuk menyambut kelahiran zuriat pertama mereka.
Cuaca yang kerap hujan membuatkan muka bumi agak  sejuk sejak beberapa hari yang lalu membuatkan Angel rasa sering mengantuk dan kadang-kadang tanpa disedari Angel tertidur dengan begitu mudah. Ketika kandungan sudah genap enam bulan tubuh Angel juga kelihatan bertambah berisi dan mungkin faktor kerana selera makannya juga turut bertambah. Indra juga semakin mudah merasakan pergerakan bayi yang berada dalam kandungan Angel dan semalam semasa Zhafry membuat pemeriksaaan ke atas Angel dan bayinya, kedua-dua mereka berasa dalam keadaan yang sihat.
Hampir setiap hari suasana dalam Loka Valley seperti sedang berhadapan dengan gangguan sesuatu. Jeritan suara penghuni rimba  yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Isqan dan Banu sentiasa meninjau setiap masa di semua penjuru sempadan Loka Valley. Apa saja kemungkinan akan berlaku kalau mereka alpa dan tidak berwaspada setiap masa.
“Sayang, saya hanya dapat menyembunyikan sayang dari pandangan makhluk yang lain begitu juga Loka Valley tetapi tidak kepada Ratih Hasna. Segala jampi mentera yang biyung dan bibi gunakan akan dapat ditembusi oleh Ratih Hasna. Semua penawar dan perungkai untuk jampi mentera biyung dan bibi dapat dia perolehi daripada Raja Gantari” Angel faham apa yang hendak disampaikan oleh suaminya. Suatu masa Ratih Hasna akan berjaya membawa bala tentera untuk menembusi pagar Loka Valley dan pada ketika itu Indra terpaksa berdepan dengan jumlah yang ramai untuk mempertahankannya.
“Saya akan berjuang di samping awak demi anak kita” sahut Angel sambil menatap wajah suaminya.
“Saya bukan takut pada Ratih Hasna dan bala tenteranya tapi saya risau sekiranya Yaman juga telah mendengar cerita tentang awak dan anak kita. Kemunculan Yaman adalah suatu malapetaka ke atas semua manusia di bumi ini. Mungkin segala yang ada kaitan dengan kita akan dimusnahkan seperti apa yang berlaku pada Loka Wangsa suatu masa dulu” Angel juga mula gementar apabila mendengar cerita yang diberitahu oleh suaminya.
“Dimaz mungkin pernah tengok Yaman, bagaimana rupa dia?” soal Angel ingin mengetahui lebih lanjut tentang syaitan yang bernama Yaman.
“Biyung tidak membenarkan saya melihat rupa Yaman kerana masa kejadian tersebut berlaku saya baru berusia tujuh tahun. Terlalu muda untuk saya melihat kejahatan dan keburukan. Menurut biyung, Yaman tidak memiliki satupun kebaikan sama ada rupa ataupun perbuatannya. Semua makhluk syaitan yang bertarap rendah dan berada di kelas bawahan akan tunduk dan tidak dibenar melihat wajahnya” cerita Indra lagi kepada isterinya.
“Sekuat mana makhluk itu dia tidak akan mampu mengalahkan kuasa tuhan. Ayat-ayat tuhan boleh membantu melindungi kita dan anak kita dan saya tahu siapa yang boleh tolong kita”. Ujar Angel menyambung cerita suaminya. Indra menatap isteri seperti cuba memikirkan siapa yang isterinya maksudkan.
“Siapa yang sayang maksudkan?” soalnya untuk segera ingin tahu jawapannya. Angel tersenyum sebelum bersuara.
“Dia juga adalah takdir saya. Dimaz serahkan saya kepadanya untuk selamatkan saya seterusnya jadi selain dimaz, dialah salah seorang manusia yang pernah berjasa menyelamatkan saya sejak saya lahir ke dunia ini” beritahu Angel tentang orang yang dimaksudkan.
“Maksud sayang?” soal Indra sambil menatap wajah isterinya Angel menganggukkan kepalanya.

DirgantaraWhere stories live. Discover now