Risau melihat keadaan Hashim, Angel mencadangkan mereka singgah di Klinik Kota memandangkan jam belum lagi pukul sepuluh malam untuk memeriksa keadaan Hashim yang sudah berberapa kali memutahkan isi perutnya. Hana terpaksa beberapa kali menadah muntah suaminya ke dalam beg plastik supaya tidak mengotori kereta ayah Angel yang mereka gunakan malam itu.
Angel lega apabila melihat cuma ada dua orang pesakit yang berada di ruangan menunggu di hadapan kaunter mengambil ubat. Tanpa melalui kaunter pendaftaran Angel terus masuk ke dalam bilik pemeriksaan doktor bersama Hana dan Hashim yang mengekori dari belakangnya.
“Untie Zie tolonglah tengok abang Hashim ni, dari tadi tak berhenti muntah” beritahu Angel sebaik sahaja terpandang Dr Ziana yang kebetulan berada di dalam bilik pemeriksaan doktor.
“Angel dari mana ni, mereka ni siapa?” soal Ziana sambil memandang Hana yang sedang memapah Hashim.
“Keluarga angkat Angel, mereka baru datang dari JB petang tadi” beritahu Angel kemudian turut memandang pasangan suami isteri tersebut.
Angel kemudian mengambil keputusan untuk keluar dari bilik rawatan itu dan membiarkan Ziana membuat beberapa pemeriksaan kepada Hashim yang ditemani oleh isterinya.
Angel bersyukur kerana Shasha tidak meragam malam itu malah si comel itu masih lagi nyenyak tidur dalam keretanya begitu juga Adam yang turut tertidur di atas kerusi. Indra tidak mematikan enjin kereta supaya dua beradik itu tidak kepanasan di dalam kereta. Angel tersenyum melihat Indra yang bersandar menunggu di tempat pemandu.
“Macam keadaannya?” soal Indra sebaik sahaja melihat kemunculan Angel mendekati tingkap kereta. Indra berpaling lantas membuka pintu kereta supaya mudah untuk mereka berbual. Angel menggelengkan kepala kerana belum mengetahui lagi keputusan pemeriksaan Hashim.
“Dr. Ziana masih memeriksa keadaannya, kesihan abang Hashim entah apa penyakitnya?” balas Angel pula. Indra kemudian menarik Angel supaya dekat kepadanya.
“Abang Hashim tu bukan sakit biasa. Ada sesuatu yang mengganggunya” Angel mengerutkan dahi mendengar kata-kata Indra sambil memadang wajah lelaki tersebut.
“Bukan sakit biasa, maksudnya sakit yang luar biasa?” soal Angel pula. Indra mengangguk kemudian mendekati telinga Angel untuk membisikan sesuatu.
“Doktor tidak akan dapat mengesan penyakitnya. Ada sesuatu yang menumpang dalam tubuhnya. Benda tu mengganggu dan merosak organ dalamannya” jawapan Indra mengejutkan Angel dan Angel pasti Indra tidak berbohong kerana lelaki itu sememangnya dapat melihat benda tersebut.
“Jadi apa kita perlu buat sekarang. Kesihan abang Hashim tu” Indra memandang Angel sambil mengangkat kening sebelum bersuara.
“Tunggu tengah malam nanti, benda tu juga yang selalu ganggu Shasha selama ni” Angel berpaling kemudian menjengukkan kepalanya melihat Shasa di dalam kereta. Si comel itu masih lena begitu juga abangnya.
Seperti apa yang dikatakan oleh Indra, sebaik sahaja Angel masuk semula ke dalam klinik Hana dan suaminya melangkah keluar dari bilik rawatan diiringi oleh Ziana yang juga akan balik untuk menutup klinik malam itu.
“Macam mana Kak Hana, Untie Zie. Apa sakitnya?” soal Angel ketika memandang wajah kedua-dua wanita itu bersilih ganti.
“Tiada tanda keracunan makanan, untie cadangkan buat pemeriksaan yang lebih rapi dekat hospital nanti. Untie cuma boleh bagi ubah tahan muntah dan buang angin buat sementara waktu” jelas Ziana sambil membalas pandangan Angel. Angel mengangguk kemudian memandang Hana dan Hashim di sebelah isterinya yang nampak begitu lemah.
“Kak Hana bawalah abang Hashim masuk kereta, saya pergi kaunter dulu” beritahu Angel sebelum berlalu.
“Eh Angel tak payahlah. Untie cuma bantu saja malam ni sebab kaunter sudah pun tutup sejak tadi” beritahu Ziana menahan langkah Angel.
“Tapi tak nampak pun sesiapa yang keluar tadi” semasa berbual dengan Indra yang memarkir kereta di hadapan klinik Angel tidak nampak sesiapapun yang keluar dari pintu utama klinik tersebut.
“Mereka keluar ikut pintu belakang” beritahu Ziana sambil tersenyum memandang Angel. Angel membantu Ziana mengunci pintu klinik sebelum bergerak meninggalkan wanita tersebut. Sebelum melangkah mendekati keretanya yang parkir tidak jauh dari situ Ziana tersenyum melihat Indra yang sedang duduk di tempat pemandu. Dalam hatinya berbisik memuji keberuntungan Angel mendapat lelaki yang kacak, kaya dan baik seperti Indra. Indra memang lain dari lain. Lelaki itu jenis yang setia pada yang satu dan bukan jenis mudah terpikat pada wanita. Mungkin Angel cinta pertamanya dan keperihatian dan sikap ambil beratnya terhadap Angel jelas di mata sesiapa sahaja.
Sampai sahaja di hadapan pintu rumah Hashim nampak sedikit pulih berbeza keadaannya dalam perjalanan tadi. Hana memimpin suami hingga sampai ke salah satu bilik tidur tetamu di tingkat bawah yang disediakan untuk mereka sekeluarga. Hana segera membersihkan suaminya sebelum memberikan Hashim makan ubat dari Klinik Kota sebentar tadi. Sebelum itu Hana telah meminta tolong Angel untuk membawa keluar kedua-dua anaknya yang sedang tidur nyenyak di dalam kereta.
Indra mengangkat tubuh Adam lalu diletaknya di atas tilam di bilik tamu bersebelahan bilik kedua orang tuanya. Sementara Angel menolak kereta sorong Shasha menuju ke ruang tamu. Sementara Hana mengemas suaminya Angel akan membantu menjaga Shasha yang sedang tidur nyenyak di dalam kereta sorongnya. Beberapa minit selepas itu Indra muncul lalu melabuh punggung di sebelah Angel. Kemunculan Indra membantunya untuk menjaga Shasha sementara Angel masuk ke biliknya sebentar.
“Mana Shasha?” soal Angel selepas hampir lima minit meninggalkan si kecil itu bersama Indra. Indra duduk sendirian di ruang tamu sambil menghadap komputer ribanya.
“Ibunya sudah bawa Shasha masuk bilik” balas Indra sambil memandang Angel yang sudah mengenakan sepasang pijama tidur berwarna biru muda.
“Awak tak nak mandi, awak boleh guna bilik dan pakaian dady saya” beritahu Angel sambil tersenyum memandang Indra.
“Sekejap lagi” balas Indra lalu menarik tangan Angel supaya duduk di sampingnya.
“Senarai apa tu?” soal Angel sambil memandang komputer riba Indra.
“Senarai nama pekerja kita yang ikut program kursus tatanegara. Awak juga kena ikut sebab semua pekerja yang berkhidmat di bawah tiga tahun wajib mengikuti kursus ini” beritahu Indra sambil jarinya menekan keyboard komputernya untuk menaik turunkan nama-nama yang tersenarai di situ.
“Awak?” soal Angel sambil mengangkat keningnya memandang Indra.
“Jangan risau sayang, saya akan ikut awak sebab Loka Holding adalah penaja utama untuk kursus tu. Dato’ Haikal melantik saya sebagai pemerhati sepanjang kursus itu berlangsung” Angel lega mendengar jawapan Indra kemudian tersenyum.
“Bila, dekat mana?” soal Angel lagi.
“Tak sampai dua bulan lagi, enam minggu dari sekarang di Kem Belia Pueh Sematan” Angel tidak bertanya lagi selepas mendengarnya.
Suasana begitu sunyi apabila Angel berada di dapur sendirian dan Indra sedang membersih dirinya di dalam bilik Zhafry. Beberapa minit lagi akan menunjukkan pukul dua belas malam dan Angel merasa ada sesuatu sedang memerhatinya walaupun ketika dua tiga kali menoleh tiada apa-apa yang kelihatan. Bau busuk yang tiba-tiba dihidunya membuatkan Angel cuba untuk mengesan puncanya namun bau itu bukan berpunca dari tong sampah di belakang dapur rumahnya. Selepas beberapa minit Angel tidak lagi menghidu apa-apa lagi bau busuk namun kedengaran suara tangisan Shasha diselang seli suara Hana memujuk bayinya.
“Kenapa sayang!” tegur Indra apabila melihat Angel sedang bersandar pada daun pintu dapur. Angel tersenyum memandang Indra yang muncul dengan sepasang baju T putih tanpa kolar dan saluar track. Mungkin kerana lelaki itu lebih tinggi membuatkan seluar track Zhafry agak singkat kepadanya.
“Tadi saya tiba-tiba tercium sesuatu yang busuk tapi sekarang dah tak ada lagi” Indra berpaling memandang ke arah bilik tidur Hana sekeluarga. Suara tangisan Shasha semakin kuat apabila daun pintu bilik tamu terbuka. Hana keluar sambil menggendong Shasha yang sedang menangis dengan mata yang terpejam serta menggenggam kuat ibu jarinya.
“Kenapa Kak Hana, Shasha! Kenapa nangis ni” tegur Angel ketika mendekati Hana.
“Macam nilah setiap malam Angel, kadang-kadang tu menangis sampai ke subuh” beritahu Hana sambil cuba mendodoi-dodoikan Shasha. Hashim tidak kelihatan mahu bangun membantu Hana memujuk anak mereka.
“Mari kak saya tolong” ujar Angel mahu mengambil Shasha dari Hana. Hana segera menyerahkan bayinya kepada Angel. Angel membawa Shasha kepada Indra dan lelaki itu menyentuh kepala Shasha membuatkan Shasha segera berhenti menangis kemudian membuka matanya memandang Indra. Hana rasa begitu hairan dan pelik melihat keadaan Shasha yang tiba-tiba berhenti menangis.
“Awak suruh Kak Hana dan Shasha tidur bilik sebelah tu bersama Adam” bisik Indra perlahan ke telinga Angel. Angel mengangguk kemudian memandang Hana lalu mengajaknya masuk ke bilik Adam. Belum sempat mereka bertiga melangkah masuk ke bilik tersebut Hana terkejut melihat Hashim yang tiba-tiba bangun sudah tergecat berdiri di hadapan pintu bilik tidur.
Matanya merah dan tajam memandang Hana dan Angel dan Shasha menangis semula selepas melihat wajah Hashim.
“Abang kenapa bangun, saya tak boleh tidur sebab Shasha menangis je sejak tadi” beritahu Hana sambil memandang Shasha dalam gendongan Angel.
“Kenapa awak suruh perempuan tu bawa anak kita” Hana pelik mendengar kata-kata suaminya kemudian memandang Angel yang sedang mengendong Shasha.
“Ambil budak tu bawa sini” arah Hashim dengan nada yang tegas. Tidak seperti suara Hashim yang Hana selalu dengar sebelum ini. Kerapa suara suaminya garau dan kasar bercakap kepadanya.
“Abang kenapa ni, abang masih sakit ya?” soal Hana sewaktu mendekati suaminya.
“Saya tak sakitlah, saya suruh awak ambil budak tu bawa sini” balas Hashim dengan nada yang memarahi isterinya.
“Tapi!”
“Awak kenapa degil?” soal Hashim lalu menolak tubuh Hana sehinggakan tubuh isterinya terdorong ke arah Angel.
“Abang Hashim, saya cuma tolong Kak Hana pujuk Shasha” Angel mencelah apabila melihat wajah Hana serba salah untuk menuruti arahan suaminya.
“Kau orang lain jangan masuk campur. Beri anak aku pada dia” tangisan Shasha yang semakin menjadi-jadi dan kuat membuatkan Angel membawa Shasha menjauhi pasangan suami isteri tersubut. Hisham begitu marah apabila Angel tidak mengendahkan kata-katanya. Dengan langkah yang pantas dan seperti ingin menerkam Angel Indra segera menahan tangan Hashim. Hashim berpaling memandang Indra dengan wajah lelaki tersebut seperti bukan Hashim yang mereka kenal sebelum itu.
“Kau jangan masuk campur!” suara Hashim semakin garau sewaktu menentang mata Indra.
“Sebelum kau nak sentuh dia kau sentuh jari aku dulu” balas Indra tanpa melepaskan pegangannya walaupun Hashim nampak cuba untuk melepaskan tangan.
“Aku cuma beri kau dua pilihan, keluar dan tinggalkan semuanya atau aku bunuh kau” Hana yang terpingga-pingga mengerutkan dahinya mendengar kata-kata Indra kepada suaminya.
Indra memberi Isyarat kepada Angel supaya menarik Hana masuk ke dalam bilik.
Indra kemudian mencengkan rambut Hashim dari belakang membuatkan lelaki itu terpaksa mendongakkan kepalanya ke atas. Hashim nampak begitu marah kemudian bertindak berusaha untuk melepaskan diri daripada cengkaman kuat Indra tetapi gagal.
“Keluar atau aku bunuh kau?” tanya Indra lagi. Hashim meronta kesakitan apabila rambutnya semakin kuat di cengkam dan ditarik oleh Indra.
“Jangan bunuh aku, aku keluar!” sahut Hashim dengan suara yang tersekat-sekat.
“Aku nak kau berjanji sebelum aku lepaskan kau” Hashim kelihatan menganggukkan kepalanya.
“Tinggalkan terus keluarga tu dan jangan datang-datang lagi. Kalau kau datang lagi dan ganggu mereka aku tidak akan beri kau apa-apa pilihan lagi” Hashim mengangguk mendengar amaran Indra.
Indra meletakkan tangannya di belakang Hashim dan lelaki itu segera memutahkan sesuatu. Muntahnya pelbagai warna dan benda di dalamnya dan baunya begitu busuk dan hanyir. Hashim terkaku lemah dan longlai rebah di lantai. Indra meletakkan tangannya di atas perut Hashim kemudian menepuk di empat penjuru perut lelaki itu.
“Ratna, panggil Kak Hana!” Angel segera membuka daun pintu apabila mendengar Indra memanggil namanya. Hana terus meluru melihat suami sudah rebah di lantai.
“Kenapa Indra bunuh suami akak?” Indra tersenyum mendengar suara Hana menegurnya.
“Saya tak bunuh dia dan dia tak mati, cuma pengsan” balas Indra kemudian memandang Angel yang sedang berdiri di sebelahnya.
“Benda tu dah pergi?” tanya Angel sewaktu membalas pandangan Indra. Indra mengangguk sambil tersenyum.
“Shasha mana?” tanya Indra apabila teringatkan si kecil itu.
“Dah tidur” balas Angel sambil matanya memandang muntah Hisham di atas lantai simen rumahnya. Mujurlah tidak di atas lantai yang beralaskan karpet.
“Nanti saya tolong awak bersihkan” beritahu Indra sambil memeluk bahu Angel dan Hana pula sudah memapah tubuh Hashim yang sudah mulai sedar untuk dibawa masuk ke bilik.
“Apa benda tu?” tanya Angel sambil menutup hidung melihat benda yang berada dalam muntah Hashim.
“Abang Hashim juga terkena santau dan itu bahan yang diguna untuk membuatnya” Angel menghembuskan nafas leganya mendengar jawapan Indra. Hana keluar semula dari biliknya untuk mendapatkan Shasha di bilik sebelah. Wanita itu tersenyum memadang Indra dan Angel yang sedang membersihkan muntah suaminya.
“Biarlah Angel, Indra nanti Kak Hana bersihkan” beritahunya sebelum melangkah masuk ke bilik yang menempatkan Adam.
“Tak apa kak sedikit saje ni” balas Angel yang sedang memerhati Indra mengelap kesan muntah dengan mop dan pencuci lantai. Hana tidak bersuara lagi apabila mendengar jawapan Angel. Selesai membantu Angel membersihkan muntah Hisham, Indra membuntuti Angel naik ke tingkat atas.
“Bilik saya” bisik Angel lalu menarik Indra masuk ke biliknya. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi dan cuma tinggal beberapa jam lagi malam akan pergi dan fajar akan muncul. Angel mahu menghabiskan sisa-sisa malam yang masih ada itu bersama Indra hingga terbit fajar.
“Ratna, saat yang paling bahagia dalam hidup saya sekarang adalah bersama awak terutama ketika awak lena dalam pelukan saya walaupun sebenarnya saya terlalu seksa menahan rasa yang muncul sewaktu berduaan dengan awak begini tapi rasa sayang saya membatasi rasa nafsu yang bergelora” Angel tergelak kecil mendengar bisikan Indra kepadanya.
“Saya juga seperti awak dan saya sudah tidak mampu berjauhan dari awak lagi” balas Angel kemudian merebahkan kepalanya di atas batal lantas berpaling lalu memeluk pinggang lelaki yang ketika itu sedang duduk di kepala katil. Indra menahan nafas sambil memejamkan matanya bagi menahan rasa dewana yang menguasai dirinya sementara tangannya mengelus perlahan rambut Angel.
“Indra! Saya cintakan awak, selamat malam!” Indra tersenyum mendengar kalimah yang diucapkan oleh Angel sebelum gadis itu memejamkan matanya dan dalam beberapa minit dengkuran halus kedengaran menandakan gadis itu sudah terlena.
“Ratna, awaklah syurga saya dan tanpa awak saya tidak mungkin ada tujuan dan semangat untuk meneruskan hidup” ucapnya sewaktu memejamkan matanya dan merapatkan tubuhnya di kepala katil. Walaupun tidak cukup syarat maknanya tidur, Indra hanya seperti merehatkan tubuhnya walaupun tidak pernah merasa letih dan lesu sejak dua ratus sembilan puluh tahun yang lalu.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasySiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...