Angel meluruskan tangannya untuk membuat senaman ringkas apabila bas sudah sampai ke destinasi yang mereka tuju. Indra dan Angel tidak segera turun bagi memberi laluan kepada penumpang lain turun terlebih dahulu. Indra memicit bahu isterinya membantu melegakan tengkuk Angel yang mungkin lengguh kerana lama tidur terduduk. Angel merasakan begitu lega selepas Indra melakukan begitu kepadanya. Sue dan Zaleha yang duduk di hadapan tersenyum ketika memandang pasangan suami isteri tersebut.
"Jom sayang!" ajak Indra apabila semua penumpang bas sudah turun dan sudah berkumpul di kawasan lapang untuk mendengar taklimat pegawai yang mengendalikan kursus kali ini. Selepas mendapatkan sebuah beg pakaian beroda di tempat penyimpanan bagasi mereka mendekati peserta kursus yang lain. Kawasan lapang itu sudah dipenuhi oleh lapan puluh orang peserta kursus yang mewakili pelbagai syarikat yang ada di seluruh negeri Sarawak. Selain bas yang ditumpangi oleh Indra dan isterinya ada sebuah lagi bas yang membawa sebahagian lagi peserta kursus dan para fasilitator dan telah sampai lebih awal dari bas ke kem tersebut.
Kelihatan beberapa pasang mata seperti terpaku melihat kehadiran pasangan tersebut dan ada yang kelihatan sedang berbisik-bisik dengan rakan di sebelah mereka sambil tersenyum. Angel dan Indra menyedari mereka menjadi tumpuan namun pasangan tersebut berlagak biasa seperti tidak menyedarinya. Kecuali pekerja Loka Holding, pekerja-pekerja dari syarikat lain sememangnya mungkin tidak mengenali pasangan tersebut.
Di antara puluhan pasang mata di situ tidak terkecuali sepasang mata yang sejak sedari tadi asyik mencuri pandang melihat kemunculan pasangan tersebut. Sewaktu berada di dalam bas mungkin Sarah tidak menyedari bahawa Indra turut mengikuti rombongan tersebut kerana lelaki tersebut duduk di bahagian belakang. Sarah kemudian menumpu perhatian kepada gadis yang berada di samping lelaki itu. Mungkin itulah gadis yang bernama Angel kekasih lelaki itu dan selepas melihatnya hati Sarah terus dicengkam rasa cemburu. Gadis tersebut kelihatan masih muda dan sememangnya memiliki banyak kelebihan dan tidak perlu lagi untuk menokok tambah bagi menyerlahkan kecantikan dan ketrampilannya. Dalam hati Sarah turut memuji rambut yang dimiliki oleh gadis tersebut yang tumbuh lebat serta berwarna agak kekuningan dengan bentuk yang bergulung cantik. 'Macam rambut anak pantung' bisik Sarah dalam hatinya. Ketinggian dan potongan tubuhnya pula sudah cukup sempurna untuk menarik perhatian lelaki. Jika dilihat dari segi fizikatlnya, pada pengamatan Sarah kemungkinan gadis tersebut berdarah campuran Inggeris.
Semua peserta menerima sebuah fail yang mengandungi semua maklumat tentang kursus tersebut. Sepuluh orang fasilitator akan mengendalikan kursus tersebut dan satu kumpulan terdiri daripada sepuluh orang peserta dan Sarah berdoa dan mengharapkan agar Indra terkena undian satu kumpulan bersamanya tapi harapannya hampa apabila lelaki tersebut tidak mengundi dan memilih untuk berada di dalam kumpulan gadis yang datang bersamanya. Sarah tidak tahu apakah alasan yang diberikan oleh Indra kepada ketua pengurus kursus tersebut sehinggakan lelaki itu diberi pengecualian dan keistimewaan. Tidak adil, rungut Sarah dalam hatinya
"Saya izinkan kalau sayang nak tidur sebilik dengan Sue dan Zaleha. Bilik mereka pun dekat sahaja dari bilik saya. Tapi barang sayang kena simpan dalam bilik saya sebab dalam bilik mereka tidak ada bilik air" Angel akhirnya memilih untuk tinggal sebilik dengan Sue dan Zaleha cuma seorang lagi peserta perempuan yang mereka tidak tahu akan masuk ke bilik itu. Seperti arahan Indra barang Angel semuanya diletakkan di bilik suaminya.
Sue dan Zaleha saling berpandangan apabila melihat gadis yang melangkah masuk ke dalam ke bilik mereka. Gadis yang dikenali dengan nama Sarah itu seperti orang sama yang pernah datang ke Loka Holding untuk berjumpa Dato' Haikal sebelum ini.
"Hai! You Cik Sarah yang pernah datang ke Loka Holding dulukan, masih ingat saya lagi tak?" tegur Zaleha sambil menghulurkan tangannya kepada Sarah. Gadis itu menyambutnya kemudian tersenyum kepada Zaleha dan Sue yang kini merupakan rakan sebiliknya sepanjang tempoh berlangsungnya kursus selama lima hari nanti.
"Tu katil awak dan yang sebelah tu sudah ada orang, kawan kami tapi sekarang tak ada dekat sini" beritahu Zaleha yang begitu ramah melayan kedatangan Sarah. Angel sudah mengingatkan Zack, Sue dan Zaleha supaya tidak menghebahkan tentang perkahwinannya sehingga pengumuman yang dibuat oleh suaminya nanti.
"Bilik mandi dekat mana?" tanya Sarah apabila melihat bilik segiempat itu hanya ada satu pintu untuk keluar dan masuk.
"Dekat luar, dua bilik kongsi satu bilik mandi" jawapan Sue disambut oleh sebuah keluhan daripada Sarah. Mungkin Sarah tidak selesa apabila terpaksa berkongsi bilik air.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasySiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...