Braja cuba menenangkan adik iparnya yang masih lagi bersedih dengan kematian Rudira. Rudira telah tersilap langkah malam itu menyebabkannya terpaksa berdepan dengan Putera Indra Arjuna. Putera Maharaja Aditya Wangsa itu bukan tandingan mereka. Osborn dan Rudira tidak menduga kemunculan Indra Arjuna Aditya pada malam itu. Gadis itu adalah mangsa pertama mereka yang terlepas. Mulai detik itu, Osborn atau sesiapa sahaja daripada mereka harus berhati-hati semasa memburu mangsa kerana Indra Arjuna Aditya tidak akan melepaskan mereka.
Bukan sekadar untuk dendam di atas kematian Rudira tetapi selepas hampir seratus tahun bergantung hidup dengan makanan istimewa itu, inilah kali pertama mereka terhidu santapan yang begitu harum bau seolah mengalir kekuatan di dalamnya. Keharuman cecair yang mengalir dalam tubuh gadis itu boleh di hidu sehinggakan beratus-ratus batu jaraknya Osborn dan Rudira sudah lama terhidu baunya namun darah itu akan lebih memberi kekuatan jika gadis itu menyerah diri secara suka rela. Ibarat senjata memilih tuan. Gadis itu adalah manusia terpilih yang memiliki darah suci yang akan memberi kehebatan dan kekuatan yang luar biasa. Menurut ramalan pandita di alam ghaib, dalam tempoh seratus tahun mereka akan menemui seorang manusia yang akan memberi mereka santapan yang luar biasa. Santapan yang akan menambah kekuatan dan kehebatan yang luar biasa dan mereka akan hidup kekal abadi sampai bila-bila. Ini yang menyebabkan Rudira bertindak melulu dengan niat untuk menikmatinya sendirian.
Setelah mereka berjaya mengesan dan menemui pemilik santapan yang istimewa itu namun mereka gagal untuk memperolehinya. Mereka tidak menduga gadis tersebut sudah berada di tangan Putera Indra Arjuna Aditya. Untuk mendapatkan daripada Indra Arjuna Aditya bukanlah laluan mudah. Sekuat dan sehebat manapun mereka, Indra Arjuna bukanlah lawan yang mudah untuk mereka tumpaskan.
Mereka tidak pasti apakah motif utama Indra Arjuna mendekati dan bersama gadis tersebut. Mereka percaya dan yakin penjagaan dan pengawasan Permaisuri Isti Samira dan adiknya Isha Wristi, Indra Arjuna pasti masih bertahan dengan pantang larang sumpahan itu. Adakah gadis tersebut bakal menjadi pasangan Putera Indra Arjuna Aditya. Merampas gadis tersebut daripada Indra Arjuna bukan suatu tugas yang mudah. Kalau Indra Arjuna pada asalnya berturunan manusia biasa seperti mereka, maka kekuatan dan kelebihan di antara mereka tidak jauh berbeza malah makanan mereka sekarang telah menjadikan mereka lebih kuat berbanding putera Maharaja Aditya Wangsa itu. Namun sebaliknya Putera Indra Arjuna bukan sebarangan wujudnya dalam kerajaan Loka Wangsa. Putera Indra Arjuna adalah anak maharaja keturunan dua alam. Kehebatannya bukan sahaja diwarisi daripada ayahandanya Maharaja Aditya Wangsa tetapi mempunyai kelebihan dan kesaktian yang luar biasa yang diwarisi daripada sebelah ibunya.
Sejak lahir Indra Arjuna Aditya sentiasa dijaga, didik dan diawasi oleh bondanya Isti Samira yang bermaksud dewi angin dan ibu saudaranya Isha Wristi bermaksud dewi hujan. Daripada genetik ibunya mengalir kesaktian memanipulasikan unsur angin dan air serta pelbagai ilmu dari dunia ghaib. Indra Arjuna juga boleh melihat semua jenis makhluk alam ghaib serta boleh berkomunikasi dengan semua haiwan di Bumi. Kalau gadis tersebut sering bersama Indra Arjuna bererti Isti Samira dan Isha Wristi juga menjadi halangan untuk mereka mendapatkan gadis itu. Kekebalan perlindungan yang mengelilingi gadis itu sekarang terlalu sukar atau sesiapa sahaja mendekatinya dan sejak kejadian malam itu sudah pasti Indra Arjuna akan terus melindunginya.
"Tunggulah peluang ketika gadis itu sendirian tanpa Indra Arjuna. Masa itu akan muncul juga nanti" nasihat Braja kepada adik iparnya. Berdepan dengan Indra Arjuna sekarang adalah perbuatan yang sia-sia. Osborn akur dengan nasihat abang iparnya dan setiap detik peluang itu akan ditunggunya untuk melunaskan dendamnya terhadap Indra Arjuna. Mereka perlu berusaha dan mencari jalan untuk mendapatkan santapan yang amat luar biasa itu. Setelah mereka berjaya menjadikan gadis itu sebagai santapan barulah mereka akan berdepan dengan Indra Arjuna untuk melunaskan dendam terhadap kematian Rudira.Angel mengesat peluh yang memercik di dahinya. Tertidur selepas waktu Zohor berlanjutan sampai ke waktu Asar membuatkan Angel sekali lagi diganggu mimpi yang sudah lama tidak muncul dalam tidurnya. Kenapa tiba-tiba mimpi itu muncul semasa dia tidur disiang hari. Daun pintu biliknya terbuka dan Zhafry muncul menjenguknya. Mungkin lelaki itu terdengar jeritan Angel sebentar tadi. Kebetulan cuti umum Zhafry dan Angel tidak ke mana-mana hari itu.
"Mengigau lagi, dah masuk waktu asar. Tak baik tidur waktu macam ni" tegur Zhafry sambil bergerak ke tingkap bilik anaknya. Sesuatu yang bergerak di atas pokok jambu menarik perhatian Zhafry. Belum tiba musim buah kenapa binatang itu ada di situ.
"Dady tengok apa tu?" tegur Angel melihat dady nya seperti sedang khusyuk merenung sesuatu.
"Ada tupai" sahut Zhafry sambil menunjukkan binatang itu dengan mulutnya.
"Oh tupai, lupa Angel nak kenalkan pada Dady. Dia kawan Angel, kejap" Angel bergerak ke tingkap.
"Cak!" panggil Angel sambil menghulurkan tangannya. Cak terus melompat mendapatkan Angel membuatkan Zhafry terkejut terus berundur setapak ke belakang. Sesuatu yang sangat luar biasa pada Zhafry apabila Angel boleh menjinakkan seekor tupai.
"Angel, cuba cerita pada dady dari mana datangnya tupai tu. Kenapa tupai ni boleh sejinak itu dekat Angel" soal Zhafry sambil melihat Cak yang sedang bertenggek di bahu anak gadisnya.
"Cak tupai bebas dekat luar tu cuma cak suka pada Angel dan nak jadi kawan Angel. Sekarang rumah Cak pokok jambu dekat luar tu tapi malam Cak tumpang tidur bilik Angel. Dady nak tak jadi kawan Cak jugak" Zhafry menggelengkan kepalanya mendengar jawapan Angel. Satu lagi perkembangan yang begitu pelik tapi sungguh luar biasa tentang anak gadisnya itu
"Dady tak nak Angel kena penyakit haiwan nanti" tambah Zhafry sambil matanya terus melihat Cak yang berlari-lari dia atas katil Angel.
"Taklah dady, Cak bersih sebab Cak pun mandi. Tumpang mandi dalam bilik air Angel. Pakai syampu lagi tu" jawapan Angel membuatkan Zhafry mengerutkan dahi. Lelaki itu mula menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
"Oklah kalau Angel sayang tupai tu tapi tolong jaga kebersihan. Oh ya binatang tu makan apa?" soal Zhafry kemudian.
"Pizza, burger, aiskrim dan jus oren atau blackcurrant" Zhafry mengangkatkan kening lagi sambil membutangkan matanya membuatkan Angel tergelak.
"Tak dalah dady, Cak ni vageterian tapi dia boleh cari sendiri makanan dekat luar tu" Zhafry menggelengkan kepalanya sekali lagi selepas mendengar jawapan Angel. Sejak kebelakangan ini perangai pelik Angel semakin menjadi-jadi pulak. Mungkin Zhafry yang yang sebenarnya baru belajar mengenali Angel. Yang peliknya bagaimana Angel mampu menjinakkan seekor tupai liar di luar sana sehingga begitu jinak sekali seperti boleh memahami setiap butir percakapan Angel. Zhafry kemudian berlalu meninggalkan Angel dengan pelbagai persoalan yang berlegar di kepalanya.
Selepas solat Maghrib, Zhafry melangkah ke ruang tamu kemudian melabuhkan punggungnya di atas sofa. Hilang memikirkan tentang Angel siang tadi fikiran kembali mengingatkan Isha Wristi. Kenapa dia tidak boleh melupakan Isha Wristi walaupun sekejap. Jiwanya sudah kemaruk benar sejak mengenali Isha Wristi. Sekali lagi jatuh cinta dan sekali lagi Zhafry diserang penyakit yang dia sendiri tidak tahu apakah ubatnya. Kali kedua Zhafry diserang penyakit yang pernah menyerangnya dua puluh lima tahun yang lalu. Memang parah dan sebagai seorang doktor pakar Zhafry tidak tahu apakah ubat yang sesuai ditelannya waktu itu. Berdiri, duduk, berdiri dan bangun semula semuanya tidak menjadi. Sejak bertemu Isha Wristi malam itu tidurnya tak lena dan mandi tak basah itulah peribahasa yang sesuai untuk Zhafry sekarang. Zhafry mengeluh sendiri memikirkan keadaan dirinya.
Tanpa Zhafry sedari, Angel memerhati gelagat lelaki itu sejak tadi. Zhafry kelihatan seolah sedang berdepan dengan satu krisis yang besar dalam hidupnya.
"Dady, Angel tengok dady dah macam chief minister yang sedang memikirkan masalah negara" tegur Angel yang sudah tidak sabar apabila melihat keadaan Zhafry. Lelaki itu berdiri kaku mendengar teguran Angel kemudian terus melabuhkan punggungnya di atas sofa.
"Entahlah Angel, dady tak fikir apapun sebenar cuma dady tak tahu apa penyakit dady sekarang" sahut Zhafry kemudian kedengaran lelaki itu menghembuskan nafasnya dengan kuat.
"Penyakit? Dady biar betul. Doktor pakar pun tak tahu penyakit sendiri" balas Angel sambil mengerutkan dahinya. Zhafry tidak menjawab lagi tapi menoleh melihat Angel yang kelihatan sudah bersiap hendak keluar.
"Angel nak ke mana pulak ni?" Angel tersengih mendengar soalan Zhafry.
"Tunggu Indra, temankan dia jumpa klien. Dady tak keluar ke jumpa mama Isha?" soalan Angel membuatkan Zhafry seperti memikirkan sesuatu kemudian terus mencapai telefon bimbitnya. Seperti sedang menaip sesuatu dan menghantarnya beberapa saat kemudian kedengaran isyarat whatsapp masuk ke telefon Zhafry. Lelaki itu menguntum senyum selepas membukanya.
"Sah! Dady memang dah kena serang penyakit angau dekat mama Isha ni, selamat berjaya melayari bahtera cinta" ujar Angel lalu terus melangkah laju menuju ke pintu apabila terlihat cahaya lampu kereta masuk ke halaman rumah. Sang kekasih yang ditunggunya sudah pun sampai.
"Angel! Jaga diri jangan balik lewat sangat!" laungan Zhafry kedengaran.
"Yes dady" balas Angel kemudian membalas senyuman Indra yang melangkah keluar dari kereta untuk membuka pintu sebelah untuk sang kekasih hatinya.
"Saya suka kombinasi warna pakaian yang awak pakai malam ni" tegur Indra sambil tersenyum menatap blouse warna grape dan seluar jean hitam yang Angel gunakan malam itu.
"Sebab awak suka warna hitam dan purple kan?" balas Angel ketika sudah melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
"Macam mana awak tahu?" soalnya ketika memasang tali pinggang untuk gadis itu. Walaupun Angel tahu memasang benda tersebut tetapi Indra lebih suka memanjakan gadis itu untuk melakukan semuanya.
"Sebab kereta awak warna dark purple dan pakaian awak hampir kesemuanya ada warna purple dan hitam" Indra tergelak kecil mendengar jawapan Angel.
"Sebenarnya saya suka semua warna tapi kerana suatu masa dulu warna ungu adalah warna panji-panji kerajaan Loka Wangsa. Warna itu mengingatkan saya pada kenangan dan sejarah silam yang sudah beratus tahun usianya" cerita Indra tentang rahsia di sebalik warna ungu yang sebenarnya supaya Angel faham kenapa lebih banyak warna itu menjadi pilihannya.
"Indra, kita hendak ke mana ni?" soal Angel menukarkan topik perbualan mereka.
"Continental Hotel, Dato' Idrus menginap di situ" sahut Indra sambil memberitahu nama ahli perniagaan yang berminat untuk melabur dalam Loka Holding. Dengan Indra, Angel akan belajar selok- belok dunia perniagaan. Anugerah Indra bukan sahaja dalam dunia mistiknya tapi Indra cukup bijak dan berpengalaman untuk menarik pelabur di samping kecekapannya mengurus semua perniagaan yang diceburi oleh Loka Holding.
"Banyak yang saya perlu belajar dari awak" beritahu Angel menyambung bicaranya selepas beberapa minit membisu.
"Ratna, boleh tanya apa saja yang awak ingin tahu dan saya tak akan rahsia satu pun dari awak" jawapan lelaki itu membuatkan Angel tersenyum.
"Betul ni" soal Angel pula.
"Ya sayang!" balas Indra sambil tersenyum. Angel terpana mendengar jawapan Indra. Lelaki itu sudah belajar menguasai jiwanya. Ucapan sayang itu semakin mencairkan jiwa dan perasaan Angel.
"Kenapa awak diam?" soal Indra kemudian. Hairan kenapa Angel tidak bersuara lagi.
"Indra, saya sayangkan awak" jawapan Angel membuatkan Indra memberhentikan keretanya di tepi jalan. Wajah Angel ditatapnya tidak berkelip.
"Ratna, saya sayangkan awak lebih dari nyawa saya sendiri. Saya lebih rela mati kalau awak tinggalkan saya" sebaris senyuman terukir di bibir Angel selepas mendengar ucapan Indra.
"Saya takkan tinggalkan awak sampai bila-bila melainkan kalau awak bunuh saya dan buang jasad saya selepas tu" balas Angel selepas itu.
"Tak Ratnaku, saya takkan apa-apakan awak. Tolong jangan tinggalkan saya sampai bila-bila" kata-kata Indra membayangkan lelaki itu benar-benar takut untuk ditinggalkan dan seolah-olah Indra merasakan Angel akan meninggalkan suatu hari nanti.
"Ya Indra, saya janji akan setia pada awak. Saya tidak akan tinggalkan dan awak tetap pilihan saya sampai bila-bila" jawapan gadis itu menerbitkan pula sebaris senyuman di bibir Indra. Indra mengerakkan semula keretanya menuju ke destinasi yang menjadi matlamat mereka pada malam itu.
"Kenapa awak parking di sini?" Angel hairan kenapa Indra tidak parkir di tempat letak kereta hotel sedangkan kereta mewah lelaki tersebut lebih selamat di situ berbanding tempat terbuka seperti itu.
"Saya suka kereta saya dapat fresh dari pokok-pokok dekat sana" Angel tergelak mendengar jawapan Indra.
"Kereta awak perlu oksigen jugak err?" giliran Indra yang tersenyum apabila Angel mengusiknya.
"Saya tidak suka tempat yang tertutup dan bau dekat basement hotel tu saya tak suka" Angel akhir tahu kenapa Indra lebih senang parkir di kawasan yang terbuka.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasySiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...