Bab 39. Kemunculan Ratih Hasna

0 0 0
                                    

         Angel tergelak kecil apabila Dato’Haikal mengucapkan selamat kembali ke Loka Holding kepadanya. Angel seharusnya berterimakasih kepada lelaki yang memegang  jawatan Direktor 4Loka Holding tersebut. Dato’ Haikal memang seorang yang berfikiran jauh sesuai dengan kematangan  usianya. Tidak mahu terburu-buru dalam membuat  sesuatu keputusan.
“Walau apapun  alasan, saya memang tidak akan menerima perletakan jawatan awak kerana awak adalah satu-satunya pewaris Syed Hatta. Salah satu pesanan ayah saya dan sudah termaktub dalam dokumen perjanjian penubuhan Loka Holding 45 tahun yang lalu” ujar Dato’ Haikal ketika menjelaskan sebab sebenarnya mengapa lelaki itu menghalang perletakan jawatan Angel dalam Loka Holding dan menasihat gadis itu bercuti untuk sementara waktu.
“Angel, saya macam tak percaya bila nampak awak dalam majlis malam tu.  Betul-betul ke awak sudah sembuh?” soal Zaleha ketika menegur Angel  pagi itu.
“Ya, saya dah sihat, tak da sakit-sakit lagi malah saya rasa lebih sihat dan bertenaga berbanding dulu” Zaleha dan Sue sama-sama tersenyum selepas mendengar jawapan Angel. Dari penglihatan Sue dan Zaleha, gadis cantik itu semakin berseri-seri. Sewaktu muncul pagi tadi Angel  datang bersama Indra dan hubungan pasangan tersebut nampak begitu mesra sekali.
“Angel , awak dan CEO kita tu bagaimana?” soal Zaleha kemudian.
“Its ok, macam yang kau orang nampak, kenapa?” soal Angel  pula.
“Masa awak tak ada dulu Tuan Indra kembali semula ke bentuk asalnya. Nak tengok mukanya pun kita orang tak berani. Tapi lain sikit, nampak macam sakit dan penasaran” Angel  tergelak kecil mendengar jawapan Zaleha. Gadis itu memang pandai menyampaikan cerita. Ayat dan gaya boleh menarik perhatian orang yang mendengarnya.
“Memanglah dia sakit, sakit angau dekat Angel ” celah Sue pula kemudian disambut oleh gelak kedua-dua gadis tersebut. Angel  hanya tersenyum dan menggelengkan kepala melihat Sue dan Zaleha berlalu keluar meninggalkan biliknya.  Kalau dilayan memang Angel  tidak dapat meneruskan kerjanya. Angel teringatkan Zhafry dan Isha Wristi, kini pasangan tersebut sedang menikmati percutian bulan madu mereka. Seminggu bercuti di Tokyo sebelum menghabiskan seminggu lagi di Bali. Zhafry sedang berbahagia dengan isterinya dan gilirannya bersama Indra mungkin akan muncul tidak lama lagi. Angel lantas tersenyum sendiri apabila membayangkan suasana bulan madu yang akan dikecapinya bersama Indra nanti.
Sudah seminggu Angel  tinggal bersama Indra dan Isti Samira. Indra jelas begitu gembira dengan keberadaan Angel  di samping setiap hari. Indra belajar untuk memahami rutin kehidupan Angel  setiap hari. Angel  cuma makan nasi pada waktu rehat tengah hari dan pada sebelah petang dan malam Angel  lebih suka makan makanan sampingan seperti biskut, dan makanan segera. Indra sudah melengkapkan dapur di rumahnya dengan pelbagai makanan dan minuman kesukaan Angel  untuk keperluan Angel mengalas perut pada waktu malam atau bila-bila masa Angel memerlukannya.
Isti Samira juga tidak lagi keseorangan semenjak Angel  menumpang tinggal di rumah mereka. Wanita itu hanya keseorangan pada waktu Indra dan Angel  ke pejabat. Waktu-waktu sengangnya dihabiskan di taman flora miliknya. Sejak berkenalan dengan Iskandar, lelaki yang dengan ramah menyapanya malam persandingan dan resepsi Isha Wristi dan suaminya, lelaki itu sering menghubunginya dan pernah beberapa kali mempelawanya keluar makan malam bersama. Namun sejak seminggu mengenali lelaki itu Isti Samira belum lagi memberi jawapan atau persetujuan menerima undangan Iskandar. Biarlah lelaki itu membuktikan dulu kesungguhannya sebelum Isti Samira membuat keputusannya. Isti Samira dan Isha Wristi memang telah membuat pilihan dalam hidup mereka. Demi kasihnya pada putera kesayangannya Indra Karma, dunia manusia adalah kehidupan abadi mereka kini.     
Cahaya mentari yang memancar terang dari ufuk timur merupakan keperluan asas tumbuhan-tumbuhan di Loka Valley untuk membuat makanannya.  Kerajinan dan penjagaan  rapi Isti Samira dan keluarga menjadikan suasana Loka Valley seumpama taman yang pernah wujud di tempat tinggal asal mereka. Kehidupannya yang dipenuhi flora dan fauna kini sudah mengenali dan menyayanginya menjadi tarikan yang mengembirakan Angel  untuk tinggal di situ. Itu yang Isti Samira baca di hati gadis itu. Gadis itu sukakan ketenangan dan keindahan alam semulajadi, cepat mesra dan bersifat penyayang. Kehadiran gadis itu dalam Loka Valley seperti baja yang menyuburkan seluruh hidupan yang ada di situ.
Pandangan Isti Samira tertumpu pada seekor angsa putih yang sedang terbang kemudian hinggap di atas dahan sebatang pokok. Ketika Isti Samira ingin mendekatinya angsa putih itu terbang semula dan destinasinya kali ini adalah kawasan kolam air tenang berdekatan kawasan air terjun. Nyanyian merdu mula menyusup masuk ke telinga Isti Samira. Nyanyian suara merdu suara angsa putih yang sedang bermandi manda di situ dan dari harumannya membuatkan Isti Samira tersenyum.
Ratih Hasna tersenyum melihat wanita itu datang menghampirinya. Ratih Hasna menang tahu taman dunia yang indah itu kepunyaan wanita itu. Ratih Hasna segera terbang ke tepi kemudian menukarkan wujudnya menjadi seorang gadis remaja yang cantik.
“Ratih, nampaknya sekarang kamu sudah menjadi seorang gadis yang cantik” tegur Isti Samira ketika mendekati Ratih Hasna anak kepada abang sulungnya Hasti Brama. Apakah yang membawakan Ratih Hasna tiba-tiba muncul di dunia manusia.
“Bibi Isti lama sudah tidak kembali ke sana, kenapa?”soal Ratih Hasna sambil memandang wanita yang menghampirinya.
“Sekarang inilah dunia bibi berdua dan kami tidak akan kembali ke dunia kita lagi” wajah Ratih Hasna berubah sedih setelah mendengar jawapan Isti Samira.
Ketika kembali semula ke dunia manusia sewaktu tempoh Indra akan dibangunkan semula Isti Samira dan Isha Wristi memang tidak pernah lagi kembali ke tempat asal mereka setelah Raja Gantari tidak menerima cucu keturunan manusia.
“Kamu kenapa tiba-tiba datang ke sini. Tanpa sebab jangan kamu berbuat seperti kami berdua” Ratih Hasna tersenyum mendengar kata-kata Isti Samira.
“Bibi jangan risau sebab ayahanda sudah izinkan  Ratih bertemu bibi Isti dan bibi Isha” walaupun agak pelik mendengar berita yang disampaikan oleh Ratih Hasna namun jauh di sudut hatinya begitu gembira kerana telah berjumpa salah seorang ahli keluarganya. Ratih Hasna adalah sepupu Indra namun kedua-duanya tidak pernah berjumpa semenjak Indra dilahirkan.  Kalau berjumpa mungkin kedua-duanya tidak akan mengenali satu sama lain.
“Marilah ke rumah bibi, di sana nanti kita boleh berbual lagi” Ratih Hasna tersenyum mendengar perlawaan Isti Samira dan memang itulah peluang yang ditunggu-tunggunya. Ratih Hasna ingin melihat kehidupan manusia yang dijalani oleh kedua-dua ibu saudaranya itu. Kesempatan untuk merasai pengalaman baru  semasa berada di dunia manusia tidak mungkin dilepaskan.
“Mungkin anak bibi sudah menjadi manusia dewasa sekarang?” soal Ratih Hasna sewaktu menyaingi langkah Isti Samira. Wanita itu tersenyum mendengar soalan Ratih Hasna.
“Nanti malam kamu boleh berjumpa Indra” balas Isti Samira.
“Malam? Kenapa dia tidak ada sekarang?” soal Ratih Hasna. Gadis itu tidak memahami kehidupan yang harus dijalani oleh kehidupan manusia yang dijalani oleh Isti Samira dan keluarganya.
“Di dunia manusia kami perlu ada aktiviti tetap untuk menghabiskan masa kami” jawapan Isti Samira membuatkan Ratih Hasna mengangguk perlahan, mungkin baru memahaminya.
“Bibi Isha ke mana pula” giliran Isti Samira pula tersenyum.
“Bibi Isha kamu sedang menjalani kehidupan manusia sebenarnya sejak seminggu yang lalu” Ratih Hasna menunjukkan wajah tidak mengertinya mendengar jawapan Isti Samira.
“Kehidupan sebenar?” soal Ratih Samira pula.
“Isha berkahwin seminggu yang lalu dan sekarang sedang pergi berbulan madu bersama suaminya” Jawapan Isti Samira nampaknya mengejutkan Ratih Hasna. Isha Wristi juga telah memilih jodoh di kalangan manusia seperti Isti Samira. Dua beradik telah muktamad memilih kehidupan manusia untuk meneruskan hidup mereka.
Ratih Hasna terpegun memerhati kediaman Isti Samira. Suasana untuk  kehidupan manusia memang berbeza dengan kehidupan di tempat mereka. Tingkah Ratih Hasna yang memerhati dan menyentuh hampir kesemua benda-benda yang ada di dalam rumah tersebut  membuatkan Isti Samira tersenyum.
“Semua itu keperluan manusia” beritahu Isti Samira tanpa perlu Ratih Hasna bertanya kepadanya.
“Apa ni?” soal Ratih Hasna apabila melihat kotak bijiran cornflakes, koko krunch dan dua kota susu segar di atas meja.
“Untuk sarapan pagi, Indra belikan semalam” Ratih Hasna tidak bertanya lagi selepas mendengar jawapan Isti Samira tentang keperluan manusia itu. Isti Samira lebih banyak membawa perbualan mereka untuk bertanyakan tentang khabar keluarganya. Walaupun ada rindu yang bertamu dalam hatinya kepada tempat asalnya namun Isti Samira perlu akur dengan pilihan yang telah dibuatnya.

DirgantaraWhere stories live. Discover now