Angel membantu Zhafry mengemas dan menyimpan keperluan yang mereka bawa ke dalam kereta untuk perkhemahan dua hari satu malam di tapak perkhemahan Matang Wildlife yang akan bermula pagi itu. Selepas subuh tadi Angel menyediakan bekalan untuk mereka berdua, nugget dan ayam goreng dan beberpa biji telur rebus. Malam tadi Angel menemani Zhafry membeli belah keperluan mereka di sebuah pasaraya.
Lima belas minit selepas Zhafry menghidupkan enjin Toyota Harrier miliknya, Zhafry mula bergerakkan keretanya menuju ke destinasi perkhemahan mereka di Matang Wild Life yang jaraknya hampir 30 KM dari rumah Zhafry. Jalan raya yang dibina di sekitar lembah Gunung Serapi yang berbelit-belit serta berbukit-bukau menyebabkan Zhafry memandu kereta dengan kelajuan yang sederhana. Angel melontar pandangan ke luar tingkap memerhati rumah-rumah kampung di penempatan yang tidak begitu padat dengan penduduk.
Kawasan hutan gunung yang begitu luas menyebabkan pemandangan menghijau hampir di semua arah. Sarawak memang terkenal dengan muka bumi yang kaya dengan sumber alam dan lebih separuh daripada negeri tersebut masih lagi terdiri daripada hutan dara atau belantara yang masih belum diterokai. Selain Matang Wild Life, ada juga tempat lain yang menyediakan tapak perkhemahan yang sering digunakan oleh pihak-pihak tertentu seperti sekolah-sekolah atau institusi pengajian untuk mengadakan aktiviti perkhemahan. Matang Wild Life adalah salah satu kawasan yang mengekalkan ecosystem milik kerajaan negeri yang merupakan taman hidupan liar. Di situ ditempatkan beberapa spesies haiwan dan tumbuhan terancam dan hampir pupus seperti orang Utan.
"Loka Valley Garden" anak mata Angel terpaku membaca papan tanda nama satu tempat yang mereka lalui sebelum sampai ke Matang Wild Life. Terdapat satu simpang jalan laluan untuk masuk ke dalam taman tersebut. Zhafry meneruskan perjalanannya tanpa menghiraukan simpang jalan tersebut dan beberapa minit perjalanan selepas itu Angel terpandang pula papan tanda Matang Wild Life. Destinasi yang menjadi tujuan mereka.
Selepas melalui pondok jaga, kelihatan beberapa buah kereta sudah berada di tapak parkir yang disediakan untuk pengunjung tempat tersebut. Sebuah Honda CRV membunyikan honnya mengejutkan Angel yang sedang asyik memerhati sekitar kawasan parkir. Doktor Ziana sedang melemparkan senyuman kepada Angel dan Zhafry. Doktor Ziana juga baru sampai seperti mereka dan terus memarkirkan kenderaannya di tempat yang sama.
"Hai Zhaf, baru sampai jugak ke?" tegur Ziana, seorang budak lelaki keluar dari keretanya. Mungkin anak Doktor Ziana yang dibawa untuk menemaninya.
"I bawa Syafik untuk temankan I tidur malam nanti" beritahu Ziana sebaik saja Syafik muncul di sisinya.
"Kenapa tak bawa ayahnya dan anak perempuan you sekali. Kan seronok camping ramai-ramai satu keluarga" sahut Zhafry sambil tersenyum pada Ziana.
"Mia ada tuisyen Sabtu dan Ahad, tak boleh tinggal kelas sebab UPSR tak lama lagi" balas Ziana sambil tangannya membuka pintu belakang keretanya untuk mengeluarkan barang-barang keperluan mereka berdua.
Zhafry tidak berkata apa-apa lagi kerana sibuk mengeluarkan barangan masing-masing sebelum bergerak menuju ke tapak perkhemahan. Angel membantu Zhafry membawa sebahagian daripada keperluan mereka. Kemunculan Johan dan rakan-rakan doktor pelatih yang lain bagaikan rahmat kepada Zhafry, Angel dan Ziana kerana meringankan beban yang mereka bawa ke tapak perkhemahan.
"Cik Angel, mari saya tolong bawakan beg tu" tegur Johan apabila terpandang Angel mengangkat sebuah beg dan bakul yang berisi bekalan makanan untuk dibawa pergi. Pucuk dicipta ulam mendatang, Angel segera melepaskan beg di tangan dan membiarkan Johan mengambilnya.
"Panggil saya Angel, formal sangat kalau doktor panggil saya Cik Angel" balas Angel sambil matanya memandang Johan yang sedang membimbit beg di hadapannya.
"Angel pun jangan panggil saya doktor, Joe lebih selesa" balas Johan sambil tersenyum. Angel mengangguk mendengar jawapan Johan sebelum menyaingi langkah Johan menuju ke tapak perkhemahan.
"Angel ni nampaknya anak kesayangan Doktor Zhafry" Johan cuba mengharmonikan suasananya dengan gadis di sebelahnya.
"Doktor Zhafry tak ada pilihan sebab saya satu-satu anak yang dia ada. Tapi ada ke bapak yang tak sayangkan anak?" jawapan Angel yang berakhir pula dengan soalan membuatkan Johan tersenyum.
"Ada, dua jenis bapak" balas Johan selepas itu.
"Ya ke, bapak apa tu?" soal Angel pula.
"Bapak haruan dan bapak ayam" Angel tergelak kecil mendengar jawapan Johan.
"Pandai jugak awak ni bagi jawapan" Johan rasa terhibur apabila melihat Angel tergelak mendengar jawapan yang diberikannya. Peluang yang sememang ditunggu-tunggu untuk mendekati dan berbual dengan anak gadis Doktor Zhafry. Hatinya berkocak gembira apabila mendengar Angel setuju untuk bersama Doktor Zhafry menyertai program perkhemahan yang dianjurkan oleh mereka. Mungkin inilah peluangnya untuk mengenali Angelya Rydiana Ratna si cantik yang telah mengetarkan perasaannya.
Angel turut ikut serta mendengar taklimat yang disampaikan oleh Johan selaku ketua rombongan kali. Zhafry dan Ziana cuma sebagai pemerhati dan penasihat sepanjang aktiviti perkhemahan itu berlangsung. Kebanyakan aktiviti lebih kepada kemandirian tinggal di hutan dan rawatan kecemasan.
Pada mulanya Ziana mencadangkan Angel mendirikan khemah bersebelahan khemah dia dan Syafik yang berdekatan khemah empat orang doktor pelatih perempuan tetapi Angel terpaksa menolak apabila Zhafry mengarahkannya Angel untuk mendirikan khemah bersebelah khemahnya. Idea yang Angel juga setujui kerana malam nanti dia berpeluang untuk menyelinap masuk ke dalam khemah Zhafry untuk menumpang tidur. Tanpa perlu berpenat lelah Angel hanya menjadi pemerhati sewaktu Johan dan Azani memberi bantuan sukarela untuk membantunya mendirikan khemahnya di sebelah khemah Dr. Zhafry.
"Mana kunci pintu khemah saya?" gurau Angel membuatkan Johan dan Azani tergelak mendengar soalan Angel ketika gadis tersebut mendekati khemah yang sudah siap terpasang.
"Tak payah guna kunci, sebut je ayat ni ngiat enseng matek aji sama genseng" balas Johan menyahut gurauan Angel membuatkan mereka bertiga sama-sama tergelak. Zhafry dan Ziana turut memerhati dan memasang telinga turut tersenyum mendengar perbualan mereka bertiga.
Aktiviti hari pertama lebih kepada kemandirian seperti mencari makanan dan kemahiran memasak di hutan. Beberapa orang diarah mencari makanan dari sungai dan ada yang masuk ke dalam hutan untuk mencari tumbuhan yang boleh dijadikan makanan dan kayu-kayu kering sebagai bahan api untuk memasak.
Angel pula mengikut kumpulan untuk mencuba kepakaran menangkap ikan di sungai tapi tiada seekor pun berjaya di perolehinya. Bosan dengan kegagalannya Angel teringat satu perkara yang menjadi tujuan utamanya datang ke situ. Kalau berjaya kali ini Angel akan menjadikan aktiviti itu sebagai hobi masa lapangnya. Berpandukan alat GPS di tangannya Angel cuba mengesan lokasi benda yang sedang dicarinya.
Langkah demi langkah Angel mengikut arah yang ditunjukkan oleh alat GPS di tangannya. Tiada siapa yang menyedari Angel sudah meninggalkan rakan-rakannya. Angel menoleh akibat terperanjat apabila terasa ada sesuatu objek dibalingkan kepadanya. Sebiji buah jambu air bergolek di atas tanah. Angel cuba mengesan arah datang buah tersebut dan matanya kemudian terpandang makhluk yang sedang duduk bertenggek di atas dahan sebatang pokok. Makhluk tersebut mengangkat keningnya membalas pandangan Angel. Angel membuat kesimpulan bahawa mungkin makhluk itu yang melakukannya. Angel meneruskan langkahnya dan mengabaikan makhluk berekor panjang yang semestinya tidak menawan itu.
Langkah diteruskan dan Angel tidak sedar semakin kakinya melangkah semakin dia tidak lagi berada dalam kawasan Matang Wild Life tetapi kawasan taman milik persendirian yang bersempadan dengannya. Langkahnya terus diayun menyusuri sebatang anak sungai yang mengalir hening di hadapannya dan di sebelah sungai tersebut ada sebuah dataran tinggi yang luas, indah dan cantik serta dipenuhi dengan pokok-pokok bunga yang cantik seperti sebuah taman. Pemandangan yang semestinya memukau pandangannya dan hanya dengan menyeberangi sungai di hadapannya Angel akan boleh sampai ke situ. Namun setelah alat GPS di tangan sedang menunjukkan lokasi sesuatu yang sedang dikesannya membuatkan Angel terpaksa mengubah haluannya.
"Cari benda ni dulu" bisiknya dalam hati sambil bergerak mengikut pertunjuk di tangannya. Di bawah sepohon pokok yang rendang dan dibawahnya ada batu-batu yang bersusun mengelilingi batang pokok tersebut. Alat GPS di tangan Angel menunjukkan lokasinya tepat di situ. Sambil tersenyum Angel mula membelek satu persatu ke tujuh-tujuh batu tersebut dengan harapan apa yang dicarinya tersembunyi di bawah salah satu batu-batu itu. Kerja tidaklah sesukar mana dan Angel terus membelek sehingga batu yang terakhir. Di bawah batu yang ke tujuh Angel nampak pertanda ada sesuatu yang tertanam di bawahnya. Selepas mengali hampir setengah kaki dalamnya Angel berjaya menjumpai sebuah peti kecil yang diperbuat dari kayu berwarna hitam bercorak dengan ukiran bunga yang cantik. Peti kayu kecil yang begitu klasik seni ukirannya seperti barangan antik yang berusia ratusan tahun membuat Angel begitu teruja ingin melihat isi di dalamnya. Angel tidak menyangka percubaan pertamanya terus membuahkan kejayaan. Terlalu mudah barang tersebut ditemui dan seolah-olah barangan itu memang disediakan untuknya. Setelah gagal untuk menemui cara membukanya Angel segera membuat keputusan untuk beredar meninggalkan tempat tersebut.
Dalam perjalanan pulang Angel menyusuri semula tebing sungai tadi namun pemandangan indah dan berada di seberang sungai tersebut tidak lagi menarik perhatiannya. Perasaannya lebih bersemangat untuk segera kembali ke khemah untuk melihat isi di dalam peti kayu kecil di tangannya. Bunyi deruan kuat aliran air yang jatuh membuatkan langkah kakinya terhenti. Kali ini ada sesuatu yang menarik perhatian dan Angel yakin bunyi tersebut adalah punca aliran deras dalam sungai-sungai yang ada di situ. Sebelum meneruskan semula langkah Angel memasang niatnya untuk berkunjung ke situ sekali lagi.
"Angel, awak ke mana tadi?" tegur Johan sebaik sahaja mata terpandang gadis yang sedang dicarinya. Angel hilang dalam kumpulan yang disertainya hampir sejam yang lalu. Hatinya lega apabila melihat Angel berada di antara sampadan Matang Wildlife dan Loka Valley Garden. Johan segera mendekati Angel.
"Dari sana, Joe, awak dengar tak bunyi tu, macam bunyi air terjun" sahut Angel sambil bertanya sesuatu kepada Johan. Johan menganggukkan kepalanya.
"Ya, tu memang bunyi air terjun tapi bukan dalam kawasan Matang Wild Life. Ia di sebelah sana, dalam Loka Valley" beritahu Johan menunjukkan arah tempat air terjun yang dimaksudkan.
"Jom kita ke sana kejap" ajak Angel dengan wajah yang begitu ceria.
"Tak boleh Angel, Semasa saya dan Azani berjumpa sepupu saya yang menjadi pegawai dekat sini, dia minta kita orang mematuhi semua arahan yang telah ditetapkan oleh pihak Matang Willd Life. Selain tu dia juga memberi beberapa peringatan kepada kami berdua. Salah satunya, aktiviti yang kita buat jangan sesekali sampai melepasi sempadan antara Matang Wild Life dan Loka Valley tu. Loka Valley tu adalah milik persendirian dan sudah beberapa orang pekerjaan Wild Life yang jatuh sakit kerana tersilap memasuki kawasan Loka Valley semasa mereka membuat rondaan hutan" Angel kecewa mendengar jawapan Johan. Keinginannya untuk ke tempat air terjun tadi terus terbantut selepas mendengar cerita yang di sampaikan oleh Johan tentang Loka Valley.
"Mesti air terjun tu cantikkan?" soal Angel masih menunjukkan minatnya untuk mengetahui tentang air terjun Loka Valley.
"Menurut sepupu saya, air terjun dalam Loka Valley tu memang tinggi dan cantik sebab ada seorang pekerja Matang Wild Life yang pernah sampai di situ menceritakan tentangnya tapi seminggu selepas tu pekerja tu sakit dan akhirnya meninggal dunia" semakin cuak Angel mendengar cerita Johan kerana tadi dia sudah melangkah masuk ke dalam kawasan tersebut. Apakah dia juga akan menerima nasib yang sama. Perkara itu ingin diceritanya kepada Johan tapi mulut seperti terkunci untuk menyebutnya dan akhirnya Angel membatalkan niatnya dan terus melupakan tentang perkara tersebut.
"Kalau Angel nak jugak tengok air terjun Matang Wild Life ni pun ada tapi taklah cantik dan tinggi sangat, esok kita semua akan ke situ untuk aktiviti terakhir program kita orang" tanpa suara Angel hanya mengangguk mendengar perkara yang diberitahu oleh Johan.
"Angel bawa apa tu?" soal Johan lagi selepas matanya terpandang kotak kecil yang berada di tangan Angel .
"Oh! Ini kotak untuk saya menyimpan alat GPS ni" beritahu Angel lalu sambil menunjukkan Alat GPS di tangan kirinya. Johan mengerutkan dahinya selepas mendengar jawapan Angel namun Johan malas untuk mempersoalkannya lagi lalu terus membuntuti langkah Angel menyusuri tebian sungai untuk kembali ke tapak perkhemahan mereka. Sepanjang perjalanan Johan mengambil peluang untuk bercerita sesuatu kepada Angel .
"Kalau Angel nak tahu saya sebenarnya berasal dari sini. Kawasan seberang jalan raya utama bertentangan dengan Matang Wild Life ni adalah tanah milik arwah datuk saya. Apabila datuk saya meninggal dunia, Ayah dan pakcik saya menjadi pewarisnya. Masih ada rumah pusaka datuk saya dalam tu, masih elok lagi kerana setiap bulan ayah dan pakcik saya akan ke situ untuk menjenguk dan membersihkannya. Sekarang tanah tu cuma dipenuhi oleh pokok-pokok getah yang sudah tua" Angel terus mendiamkan diri di sepanjang perjalanan mendengar Johan bercerita serba sedikit tentang diri dan keluarganya walaupun Angel tidak pernah bertanya itu dan ini kepada lelaki tersebut. Nampaknya Johan lebih ramah dari apa yang Angel fikirkan sebelum ini.
"Dan Angel, kalau awak nak tahu ayah saya cukup membenci pemilik Loka Valley tu. Saya tak tahu kenapa tapi bila saya tanya dia kata pemilik Loka Valley tu adalah manusia syaitan, hantu" Angel menghentikan langkahnya mendengar cerita Johan. Lelaki itu direnung seperti ingin berkata sesuatu.
"Awak ni buat saya takutlah. Malam ni kitakan nak tidur di sini, dalam khemah jadi baik awak berhenti bercerita pasal benda tu" balas Angel lalu meneruskan semula langkahnya sebelum menoleh semula memandang Johan yang sedang tersengih memandangnya. Sebelum meneruskan langkah sesuatu yang Angel ucapkan kemudian membuatkan sengihan Johan berakhir.
"Saya akan pergi juga ke air terjun Loka Valley tu kelak, mungkin saya akan ajak teman lelaki saya" Johan terpana seketika sambil menatap wajah Angel yang nampak serius melahirkan keinginan melalui kata-kata yang diucapkannya.
"Angel! Awak serius ke?" soal Johan tapi hatinya tiba-tiba berdebar menunggu jawapan gadis itu.
"Ya!" jawab Angel pantas sebelum meninggalkan Johan jauh di belakangnya. Wajah Adam terbayang di matanya membuatkan Angel tersenyum sendiri.
"Tak boleh jadi ni" omel Johan ketika cuba mengejar langkah Angel.
Program pada sebelah malam dipenuhi dengan aktiviti mempamerkan bakat seni terpendam masing-masing. Ada yang menyanyi dan bermain gitar. Azani dan Johan pula menunjukkan bakat masing-masing dalam permainan silap matanya. Sungguh menyeronokkan apabila aktiviti pasing paksa turut diadakan pada malam tersebut. Angel terpaksa manjadi mangsa Zhafry malam itu apabila Zhafry diminta menyanyikan sebuah lagu duet. Angel tidak sangka dengan iringan muzik gitar yang dimainkan oleh Rizal salah seorang doktor pelatih, dia dapat menjadi pasangan Zhafry menyanyikan dengan baik lagu duet 'Dua Insan Bercinta' sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh M. Nasir dan Haiza.
Aktiviti malam itu berakhir pukul sebelas malam. Angel masih keberatan untuk masuk ke dalam khemah seorang diri. Zhafry masih seronok berbual dengan Johan sementara Doktor Ziana meminta diri masuk ke khemah untuk menghantar Syafik yang sudah mengantuk. Selepas berakhirnya aktiviti malam tersebut beberapa orang lelaki akan bergilir untuk berjaga malam.
Bunyi laungan anjing yang menyalak dan bunyi burung hantu membuatkan Angel melompat mendekati Zhafry membuatkan Zhafry dan Johan tergelak melihat gelagatnya. Mereka tahu apa yang menakutkan Angel waktu itu.
"Kenapa Angel?"tegur Zhafry yang masih lagi dengan sisa gelaknya.
"Dady dengar tak tu, seramlah. Angel takutlah nak tidur sorang-sorang dalam khemah tu" Zhafry tergelak kecil sambil menggosok-gosok rambut Angel.
"Tak apa nanti dady temankan Angel sampai Angel tidur, tapi lepas tu dady kena duty temankan Azani dari pukul 3 sampai pukul 5 pagi" beritahu Zhafry sebelum meletakkan cawan minuman Nescafe ke bibirnya.
"Tapi dady mesti jangan jauh dari khemah Angel tau" pesanan Angel membuatkan Zhafry tersenyum.
"Penakut rupanya anak dady ni. Apa Angel tak pernah ikut camping ke masa sekolah dulu?" soal Zhafry sambil melihat Angel dalam kesamaran cahaya unggun api.
"Ada tapi kita orang pasang khemah dalam dewan sekolah je" Zhafry tergelak besar mendengar jawapan Angel.
"Mana best camping macam tu, tak ada cabaran langsung" sambung Zhafry lagi. Ziana kemudian muncul semula untuk duduk mengelilingi unggun apabila. Telinganya sempat menangkap perbualan Zhafry dan Angel. Dalam kesamaran sepasang mata terpaku merenung gadis yang sedang berbual dengan Zhafry.
"Kenapa Zhaf? Apa yang lucunya sampai you ketawa kuat sangat macam tu " soal Ziana mencelah perbualan dua beranak tersebut.
"Angel cerita kisah dia orang berkhemah masa sekolah dulu. Buat khemah pun dalam dewan. Sebab tu sekarang takut betul nak tidur sorang diri dalam khemah tu" balas Zhafry kemudian menghabiskan sisa minuman Nescafe dalam cawan di tangannya.
"Biasalah zaman sekolah. Perkhemahan untuk budak-budak. Ada tu bukan budak yang tak mahu tapi cikgu-cikgu yang tak nak susah terutama takut kalau hari hujan. Terutama cikgu perempuan, nyamuklah, itulah, inilah. Dalam dewan kan senang, cikgu dan murid boleh tidur nyenyak sampai pagi" Angel tersenyum mendengar jawapan Ziana sementara Zhafry cuma tersenyum dan menggelengkan kepalanya.
Memandangkan Zhafry tidak berada lama di dalam khemahnya kerana perlu berkawal bersama Azani, Angel akhirnya mengambil keputusan untuk menumpang tidur di dalam khemah Zhafry.
"Dady, Angel tanya sikit boleh tak" soal Angel ketika Zhafry menemani di dalam khemah.
"Angel nak tanya apa?" soal Zhafry pula selepas mendengar soalan Angel.
"Pasal Loka Valley, dady kenal tak siapa pemiliknya" soalan Angel membuatkan Zhafry merenung wajah Angel yang kelihatan samar-samar oleh cahaya unggun api dari luar. Zhafry menggelengkan kepala.
"Entahlah, dady tak pernah ambil tahupun pasal Matang Valley tu. Kalau tak silap dady Loka Valley tu milik persendirian tapi dady tak tahu pulak nama pemiliknya. Kenapa Angel tanya tentang tu?" soal Zhafry lagi yang agak pelik apabila Angel bertanya tentang Loka Valley yang bersempadan dengan Matang Wildlife.
"Tapi dalam Loka Valley tu adalah air terjun yang cantik. Kalau kita tahu pemiliknya bolehlah kita minta kebenaran pergi ke situ" jawapan Angel membuatkan Zhafry mengangkat keningnya. Dari mana Angel mendapat tahu tentang air terjun itu menjadi satu lagi persoalan tapi memandang matanya sudah mengantuk, Zhafry hanya mengangguk menyetujui cadangan Angel. Angel tidak menceritakan pada Zhafry tentang kotak kecil yang ditemui dalam aktiviti goechaching yang berjaya petang tadi. Angel ingin membukanya sewaktu sampai di khemahnya namun tidak berjaya dan Angel kemudian terus menyimpannya ke dalam beg pakaiannya supaya tidak ternampak oleh sesiapa.Bunyi salakan suara anjing yang kedengaran sekali lagi membuatkan Angel terus memeluk tubuh Zhafry dari belakang. Zhafry tersenyum kemudian menarik rapat tangan Angel yang memeluk tubuhnya. Perangai Angel yang tidak pernah berubah sejak dari kecil. Walaupun sudah besar panjang tapi perangai keanakan, manja dan penakutnya masih tidak kurang sedikitpun. Hampir lima minit membiarkan Angel memeluknya dan akhirnya Zhafry merasakan pelukan Angel semakin longgar dan Angel sudah megubahkan kedudukan baringnya membelakangkannya. Beberapa minit selepas itu kedengaran dekuran halus yang menunjukkan Angel sudah benar-benar lena dibuai mimpi. Walaupun Zhafry tidak pernah mengetahui setakat mana teruknya Angel diganggu oleh mimpi-mimpi ngerinya selama ini namun Zhafry mendoakan agar malam itu Angel akan tidur lena hingga ke siang tanpa sebarang gangguan. Kepala Angel diusapnya perlahan dan sebuah kucupan penuh kasih sayang singgah di ubun-ubun anak gadis kesayangannya sebelum meninggalkan Angel sendirian.
"Taniah kerana anda sudah berjaya! Terimalah sebagai hadiah kejayaan anda tetapi kembalikan ke tempat asalnya sekiranya anda tidak selesa atau mendapat petanda yang tidak baik selepas menggunakannya "
Sama ada ia sebentuk cincin emas Angel tidak pasti tapi Angel yakin serangkap ayat pesanan itu pasti berkaitan dengan cincin bertatah batu berwarna merah itu dan ditujukan kepada ahli Geochaching yang berjaya menemuinya. Angel menyarungkan cincin itu ke jari manisnya, muat, cantik dan Angel menantikan satu rasa yang muncul namun tiada apa-apa atau mungkin memerlukan masa yang lebih lama. Kalau berlaku sesuatu atau ada sesuatu yang tidak kena dan tidak selesa barulah Angel akan menghubungi pemilik barang tersebut untuk mengembalikannya.
YOU ARE READING
Dirgantara
FantasySiapakah wanita dan sebuah cinta untuk lelaki ini. Adakah akan wujud wanita yang layak untuk menerima cintanya. Indra Arjuna tidak pernah mengharapkan cinta itu akan muncul dalam hidupnya, jikalau kesudahannya cuma membawa kesedihan dan malapetaka...