PINTU kedai makan diterjah kasar oleh salah seorang askar yang berbadan tegap sehingga menyebabkan pintu kayu tersebut tertanggal dari engsel. Seorang askar yang berbadan gempal dengan perut ke hadapan seperti orang mengandung melangkah masuk ke dalam kedai dengan angkuh. Kerusi yang berada berdekatan dengannya ditendang sehingga terjatuh ke atas lantai. Wajahnya ditumbuhi misai dan janggut yang panjang dibelai dengan jari. Seragam yang dipakainya dipenuhi dengan tiga gencana menandakan dia bukan askar biasa tetapi askar berpangkat tinggi.
"Apa khabar, Tuan Leftenan?" sapa Burn. Gelas yang dilap dengan kain diletakkan di atas rak dengan kemas dan tersusun mengikut saiz dan jenis.
"Aku datang ke mari bukan mahu bertegur sapa."
"Atas tujuan apa Tuan Leftenan datang ke mari?"
"Kau tidak usah berdalih dengan aku. Seluruh kawasan pekan sudah tersebar dengan khabar dua orang Necromancer membuat kekacauan di sini."
"Aku tahu tentang khabar itu. Jadi, kenapa kau datang ke sini?"
"Penduduk haram seperti kau pasti akan menyelamatkan sesiapa sahaja yang berkomplot dengan kejahatan. Geledah tempat ni!" arah Leftenan askar tersebut.
Burn masih beriak tenang. Pinggan dan sudu yang sudah dibasuh dan dilap dengan kain di susun di atas rak yang telah disediakan. Dia tidak peduli keadaan kedainya yang sudah berselerak angkara digeledah oleh askar negara itu. Ini bukan kali pertama kedainya menjadi perhatian Leftenan itu. Setiap kali berlaku sesuatu yang berkaitan dengan keamanan negara, dia merupakan orang pertama dicari Leftenan Askar itu kerana disyaki bersubahat. Namun, Leftenan Askar itu selalu gagal mengheretnya ke muka pengadilan.
"Lebih baik kau bagitahu di mana kau sembunyikan rakan kegelapan kau," ucapa Leftenan Askar.
"Sama ada seseorang itu mempunyai kelebihan atau kuasa, ia dianggap kuasa kegelapan. Tapi sebenarnya golongan seperti kau takut kerana insan istimewa ini yang berkuasa berbanding manusia biasa."
"Leftenan, kami tidak menjumpai apa-apa!" beritahu anak buahnya setelah menggeledah seluruh kedai tersebut.
"Hari ini kau terselamat. Esok belum tentu nasib berada di pihak kau. Kirim salam rindu pada budak jahanam yang kau bela. Lambat-laun, aku akan dapat kepalanya," ucap Leftenan itu sebelum berlalu pergi bersama anak-anak buahnya.
"Kamu bertiga boleh keluar," arah Burn setelah memastikan Leftenan dan askar-askar beredar dari kawasan kedainya.
"Tak guna, Perut Boroi! Kalau aku jumpa dia, dah lama perut dia yang buncit tu kempis!" marah Rese kerana dia dengar satu-persatu kata-kata Leftenan yang ditujukan kepadanya.
"Pergilah jika kau mahu meringkuk dalam penjara dan diseksa seumur hidup," balas Burn.
"Pak cik pun satu! Kenapa tak bagi sebijik kat muka Perut Boroi tu? Biar tak boleh makan!"
"Bagaimana kamu menyembunyikan diri?" tanya Burn. Kemarahan Rese tidak dipedulikannya.
"Ilusi. Kau pulak sambung," kata Aydan sambil menyuruh adik kembarnya menerangkan ilusi yang mereka guna.
"Tak boleh harap langsung kau ni! Salah satu kebolehan kami adalah membina ilusi. Apabila seseorang berada di ruang ilusi, tiada siapa yang menyedari tentang kehadiran kami biarpun berada di tempat yang sama," terang Isabelle.
"Pak cik rasa kamu tidak selamat berada di sini. Askar-askar tadi akan kembali lagi ke sini. Kamu perlu menyembunyikan diri di tempat lain," kata Burn sambil memandang ke arah Rese yang sedang duduk di atas meja.
"Apa?" soal Rese apabila terasa dirinya menjadi perhatian tiga pasang mata itu.
AYDAN dan Isabelle mengikuti langkah lelaki yang dikenali sebagai Rese. Rasa percaya dan tidak percaya berbelah bahagi tetapi tidak bagi Isabelle. Jika Burn mempercayai Rese, ini bermakna lelaki itu boleh dipercayai. Namun, abang kembarnya iaitu Aydab masih meragui kejujuran lelaki yang bernama Rese. Sejak pertama kali bertentang mata, Aydan sudah tidak menyenangi kehadiran Rese. Pelbagai andaian buruk dikatakan padanya mengenai lelaki itu.
YOU ARE READING
Book 2: Aydan the Angele [✓]
FantasyBOOK ONE: ANNABELLA VALIANT BOOK TWO: AYDAN THE ANGELE BOOK THREE: ARYAN THE FIRST PRINCE ********** Aydan de la Ralynne. He's a Prince but also a Troublemaker. Kuasa yang terkunci telah kembali.Takdirnya sebagai pengguna kuasa cahaya telah bermula...