THE KINGDOM 》05

2.9K 248 0
                                    

Selama beberapa hari ini, mereka tidak disapa dengan bunyi gemerincing loceng seperti biasa yang mereka dengar sebelum ini sejak berita mengenai kes di mana Luisa dan Diane saling bercakaran tidak lama dahulu.

Ingatkan hari mereka akan tenang selepas itu, tetapi tidak. Sebaliknya, bunyi loceng itu kedengaran lagi.

Kelincing!

Kelincing!

Beberapa kepala berpaling ke arah punca bunyi itu. Mereka cuba mencari di manakah orang tersebut. Setelah melihat dengan lebih teliti, muncul seorang gadis berambut panjang dan hitam berkilat yang berjalan merentasi koridor dari hujung sana bersama rakan baiknya.

Bunyi ini bukannya datang dari gelang atau rantai berloceng, tetapi daripada tenaga atau kuasa yang dimiliki oleh gadis tersebut. Dan bunyi ini bukan semua orang boleh dengar atau rasa. Hanya mereka yang terpilih saja dapat merasainya.

Mereka yang dapat mendengar bunyi ini digelar sebagai The Knight, iaitu kesatria yang terpilih untuk menjadi pelindung pemilik bunyi yang mereka dengar. Knight yang terpilih bakal memiliki kuasa yang tertinggi. Namun, bukan mudah untuk menjadi Knight. Ada pro dan kontranya, dan ia bukan sesuatu yang menyeronokkan.

Mereka yang berada di sini tahu kisah silam orang ini, jadi bukan mudah untuk mereka mengakui bahawa mereka adalah knight orang tersebut.

Dua orang itu kemudiannya berhenti di depan lokar masing-masing.

Rambut hitam berkilat itu perlahan-lahan bertukar warna menjadi merah apabila Diane melihat kelibat Luisa tidak jauh dari lokarnya. Perempuan itu! Sentiasa ada di mana-mana. Sungguh menyebalkan! Siram dengan posyen transfigurasi tikus, baru tahu! Biar dia menciut macam cencorot, padan muka ahli sihir mulut ular itu!

"Hi... awal-awal pagi lagi aku kena pandang dia. Sakit mata betul," keluhnya semasa membuka lokar untuk mengambil buku bagi subjek seterusnya, iaitu kelas Sihir Ilmu Hitam.

Casia menjengahkan kepala dari balik pintu lokarnya. "Siapa?" tanya dia ingin tahu sambil memandang Diane.

"Siapa lagi kalau bukan Luisa tu..." keluh Diane malas.

Casia menggerakkan kepalanya ke arah di mana Luisa berada. Melihat perempuan itu, Luisa sedang ketawa bersama rakan-rakan sedivinya. Lalu, Casia kembali memandang Diane sambil tangannya sibuk mencapai barang dalam lokar. "Sabarlah, Diane. Kau bergaduh dengan dia pun tak ada gunanya. Lagipun, Doktor Abiel kan dah pesan kau kena rehat. Kenapa beria nak masuk kelas... parut dekat leher kau pun belum hilang lagi," katanya sambil mengerling ke kesan seakan terbakar di leher Diane.

Diane menutup pintu lokar itu dengan pena, kertas, dan buku teks berada dalam pelukan lengan kirinya. Lalu, dia membuat muka 'ada aku kisah' kepada Casia.

"Parut je," balas Diane sambil berpaling dari situ, lalu bergerak mendaki tangga bersama Casia di sisinya.

"Kau tahu, Master Loui jumpa aku, dia beritahu kalau kau dah sedar, kau kena jalankan hukuman tu atau kau akan dapat penalty," beritahu Casia semasa mereka berdua mendaki tangga dengan serentak dan langkah yang seirama.

Diane tunduk memandang anak tangga terakhir yang dijejak sebelum membelok ke kanan diikuti Casia. "Hm. Yalah, aku akan buat nanti bila ada masa," jawab Diane selamba.

Casia yang mendengar memegang lengan Diane, menghalang gadis itu dari terus melangkah. Dia memandang wajah Diane dengan kening berkerut risau. "Diane..." panggilnya perlahan.

Diane menghadap Casia setelah badannya digerakkan oleh Casia dengan perlahan. "Apa?" tanya Diane dengan kening berkerut juga. Ini mesti tidak lain tidak bukan nak membebel padanya. Kalau dia ada ibu, agaknya begini rasanya bila di leteri? Rimas dan jengkel pada masa yang sama, rasa seperti diambil peduli.

Cengkaman pada lengan itu dilepaskan sebelum Casia berkata, "Kau ni... cubalah pertahankan diri sikit. Janganlah sentiasa mengalah. Nanti, kalau aku dah tak ada dekat sisi kau lagi, macam mana? Siapa yang akan jaga kau? Siapa yang akan rawat kau? Sekurang-kurangnya, kalau kau tahu nak lindungi diri kau, tak adalah aku risau," pesan Casia dengan nada perlahan dan lemah lembut.

Terkesan dengan pertanyaan itu, Diane hanya tersenyum. Ya, dia tahu. Sepanjang masa ini, dia pun ada memikirkannya juga. Tapi belum tentu hal itu akan terjadi. Jadi, dia tak naklah fikir banyak. Sebab itu dia bersahaja dan tidak kisah jika orang mengkritiknya.

Sambil tersenyum, dia merangkul bahu Casia. "Alah, kau ni risau sangatlah. Cuba relaks. Tahu la aku nak uruskan diri aku. Walaupun satu hari nanti kau tak ada, aku masih boleh survive," jawab Diane dengan ceria. Tak nak tunjukkan dia bersedih dengan kemungkinan itu.

Yalah, selain Casia, dia mana ada sesiapa dekat dunia ini.

Casia menolak tangan Diane dari bahunya. Dia buat muka kesal dan jengkel. Diane ni tak boleh serius apabila cakap tentang benda penting macam ini. "Macam mana aku tak risau. Yang kau tu suka sangat biarkan orang lain sakiti diri kau, kenapa?" sungut Casia dengan mulut muncung ke depan.

"Ahaha... kau ni. Banyak sangatlah fikir. Kau sendiri tahu kan kenapa. Tak ada hal lah," Diane merangkul lengan Casia pula. "Tak apa, aku kuat. Cuma aku tak tunjuk. Kau sendiri tahu kan..." seloroh sambil jungkit-jungkit keningnya.

"Malaslah cakap dengan kau. Langsung tak boleh nak dengar cakap kalau di pesan." Casia mencebik menyampah.

Sambil ketawa terpaksa, Diane memandang ke depan lalu berkata dengan nada ceria, "Wei, malam ni kita turun pekan nak tak?" ajak dengan nada perlahan.

"Hah? Pekan? Buat apa?" bisik Casia pula, takut kalau ada yang mendengar.

Sambil menarik senyum jahat, Diane memandang ke sisinya lalu berbisik ke telinga Casia. Tak lama selepas itu, Casia yang berwajah serius membuat muka suka. Lalu, dia mengangkat thumbs up kepada Diane. Senang kerana Casia setuju, Diane juga ikut buat thumbs up!

Mereka berdua kemudiannya berpisah arah kerana menghadiri kelas yang berlainan. Diane yang merupakan pelajar dari Puak Cahaya berlainan dengan Casia yang merupakan pelajar Puak Bulan.

18. The KingdomWhere stories live. Discover now