Pulang dari bilik rawatan, Diane mengatur langkah ke koridor di mana lokar berada. Dia ingin mendapatkan posyen yang dapat mengurangkan sakit di badannya. Disebabkan dia tidak dapat menggunakan kuasa sendiri untuk menyembuhkan sakitnya, terpaksa dia menggunakan inisiatif lain.
Memang ada perawat dalam akademi ini.
Adakah mereka akan membantu menyembuhkannya jika dia meminta?
Sudah tentu mereka tidak akan mahu.
KLAK!
Kunci lokar dipulas sebelum pintu lokar ditarik buka olehnya. Namun sebaik dia berbuat demikian, sehelai kertas melayang jatuh dari dalam lokar ke bawah kakinya.
Kepalanya segera tunduk memandang ke bawah ingin tahu. Sambil menyelak rambut ke belakang telinga, Diane mengutip kertas tersebut dan membacanya sewaktu berdiri tegak semula. Di atas kertas itu tertulis:
"Jangan libatkan sesiapa lagi dalam hidup kau, atau mereka turut akan berakhir seperti rakan kau, Casia. Ini baru permulaan. Aku takkan benarkan hidup kau tenang sampai kau mati dan lenyap! Hutang Darah Dibayar Darah!"
Kepala Diane tersentak laju memandang sekelilingnya sebaik selesai membaca isi kertas itu. Keningnya berkerut risau. Siapa pula yang memberikan surat layang kepadanya ini? Tiada kelibat orang pun yang kelihatan di situ. Lalu dia kembali memandang kertas itu dan membacanya semula beberapa kali.
Dah, apa pula masalah yang datang mencarinya sekarang ini?
Zrap!
Kertas itu direnyukkan serta merta.
Malas nak hiraukan semua ini. Biarlah. Masalah yang ada pun belum selesai. Tak perlu tambah lagi!
Diane kembali menyelongkar lokarnya untuk mencari botol posyen penyembuh. Dia menggeledah dan menggeledah. Segala benda dalam lokarnya diusik. Namun, tak kelihatan. Rasanya hari itu ada dua botol. Entah ke mana pula benda alah ini hilang!
"Cari sesuatu ke?" tegur suara itu dengan tiba-tiba hingga membuatkan Diane melompat terkejut.
Diane berpaling dan memandang ke sisi dengan mata terbutang, lalu bertemu wajah lelaki yang berdiri di depannya, tersenyum lebar. "Hak'alah, lelaki ini pun satu. Suka sangat muncul mengejut macam ini. Nasib baik dia tidak ada penyakit lemah jantung. Kalau ya, lama dah kena serangan jantung di sini."
"Frost! Terkejut saya. Ingatkan siapa tadi," ujarnya perlahan sambil menekan tangan ke dada untuk menghilangkan rasa degupan cemas. Kertas tadi disorokkan cepat-cepat ke belakang badan dengan tangan satu lagi. Diane kemudian menarik senyuman paksa di bibir.
Frost memberi renungan serba salah. "Maaf. Saya tidak ada niat untuk mengejutkan awak," ucapnya sambil memerhatikan Diane dari atas ke bawah. "Saya dengar ada kekecohan berlaku di bilik rawatan tadi. Katanya Casia menyerang awak. Awak tak apa-apa?" tanya dia setelah melihat kesan lebam di sekitar leher Diane.
Rasa tidak selesa dengan keadaan dirinya yang mungkin kelihatan serabai dek serangan Casia tadi, secara automatik Diane membawa tangannya naik untuk membetulkan rambutnya. "Ah, ya. Saya tak apa-apa. Terima kasih kerana bertanya," balasnya.
Frost mendekatkan wajahnya ke Diane sambil memegang lembut lengan atas Diane. "Awak pasti? Sebab saya lihat awak lebih dari tak apa-apa ini," katanya bernada mengambil berat. "Awak perlukan rawatan ini."
Diane memegang lehernya lalu menggeleng kepala sambil tersenyum kekok.
"Betul ini... saya tak apa-apa. Awak tak perlu risau. Saya boleh uruskannya," tolaknya kerana merasa kekok dan janggal dengan situasi ini. Mungkin gadis lain akan rasa tersentuh atau suka. Tapi tidak baginya. Dia tidak pernah menerima layanan baik daripada mana-mana lelaki. Kebanyakan lelaki yang pernah Diane jumpa bencikan dia kerana sejarah hidup keluarganya. Jadi, bila ada yang memberi layanan baik dan mengambil berat tentang dirinya, semua itu terasa pelik dan janggal.
Frost mencengkam lengan kurus Diane itu dan menariknya rapat kepadanya.
Nafas Diane tertahan kerana gesture itu. Dia mendongak memandang wajah Frost dengan mata terbutang.
"Mari ikut saya," ajak Frost sambil tunduk memandang Diane dengan senyuman yang menawan.
Diane yang melihat wajah kacak itu bersinar dengan cahaya berkerlipan, melonjak teruja sekejap setelah mendengar ajakan itu. "Nak ke mana?" tanya dia perlahan.
Tanpa berkata apa-apa, Frost melingkarkan tangan ke sekeliling pinggang Diane dan tersenyum lebar. "Awak akan tahu nanti," katanya sambil menggunakan sihir untuk memunculkan diri secara tiba-tiba.
Berdesup seperti angin, sesaat kemudian mereka bertukar destinasi, dari lantai berjubin kepada tanah berumput hijau.
Frost melepaskan pelukkannya dari pinggang Diane lalu mencengkam jari-jemari Diane dengan kemas.
Dengan mulut ternganga sedikit, Diane memandang sekelilingnya dengan kening terangkat kerana terkejut. Dia kemudian memalingkan kepala ke Frost. "Kenapa kita ada di sini?" tanya dia semasa ditarik oleh Frost ke satu arah.
Sambil menoleh ke belakang memandang Diane, Frost berkata, "Untuk rawat luka awak," katanya sebelum memandang ke depan semula.
Kepala Diane bergerak kanan dan kiri. Dia memandang dengan penuh minat pada tumbuhan dan persekitaran rumah hijau tersebut. Sekali pandang, sudah tahu tempat ini penuh dengan aura positif yang menghangatkan jiwa sesiapa yang jejak kaki ke dalamnya.
Frost kemudian mendudukkan Diane di bangku kayu di tengah-tengah ruang itu.
Pohon bunga dan tumbuhan mengelilingi rumah hijau itu membuatkan Diane berasa takjub dan kagum. Selama ini belajar di akademi ini, dia tidak pernah ke sini kerana terlalu sibuk! Diane tersengih sendiri tanpa sedar, tangannya menyentuh tumbuhan di sekelilingnya.
"Macam mana awak nak rawat saya?" tanya dia sambil memandang Frost dengan penuh minat.
Frost menyeluk tangan ke dalam poket seluar sambil membalas renungan Diane. Dia tersenyum nipis ketika melihat senyuman di bibir Diane.
"Bukan saya... tetapi mereka," katanya sambil menjuih bibir ke arah bunga-bunga di situ.
Diane mengikuti pandangannya. Melihat saja, bunga-bunga di sebelah kanannya mula bergerak-gerak. Mulanya, dia ingatkan rama-rama. Namun, bila bunga itu terapung, baru dia sedar sebenarnya ia bukan bunga terapung, kerana bunga mana ada kepala, tangan, dan mata.
Kejut Diane sejurus itu.
"Kenalkan, Pari-pari Penyembuh atau nama magisnya Pixlliot Forestthompson," sebut Frost sambil memerhati pari-pari kecil bersayap kelopak bunga itu mengelilingi Diane seperti rama-rama mengerumuni bunga. "Mereka mempunyai kuasa penyembuh yang sangat kuat. Satu sentuhan akan memulihkan semua luka awak," jelasnya.
Pari-pari itu terbang, bergesel lembut pada pipi Diane, ada juga yang bermain dengan rambutnya sebelum bergerak di sekitar lengan dan lehernya.
Diane ketawa kecil apabila kelopak bunga itu menyentuh pipinya, terus tersenyum lebar. Dia lupa sekejap mengenai masalah yang dihadapinya. Sambil pari-pari bunga itu terbang sekelilingnya, menerbangkan debunga magis, dia melirik ke arah Frost.
Frost perasan akan renungannya.
Berasa malu dengan tindakan sendiri, Diane cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke arah lain.
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...