Seperti sedang menanti sesuatu yang berbahaya meledak, mereka semua memandang orang yang perlahan-lahan membuka mata dengan perasaan gemuruh dan takut.
Pada masa yang sama, mereka turut bersiap sedia untuk mempertahankan diri jika orang ini hilang kawalan sekali lagi.
Doktor Abiel, yang berada paling dekat dengan katil, segera menghampiri Casia setelah gadis itu membuka mata dan bergerak untuk bangun. Dia membantu gadis itu untuk bersandar semula pada katil.
Casia, dalam keadaan mamai dan pening, berkerut-kerut kening sambil memegang kepala. Apa yang telah berlaku?
"Kamu tak apa-apa, Casia?" tanya Doktor Abiel dengan lembut.
Sambil berwajah tidak faham, Casia memandang mereka semua dengan pelik.
"Kenapa saya di sini?" tanya dia, merasa sakit di seluruh badan tanpa sebab yang jelas. Kepalanya yang terasa pening juga membuatkan tekaknya loya.
Sky mendekati Casia, duduk di tepi katil sebelah kanan lalu mengambil jari jemarinya.
"Sesuatunya telah berlaku. Awak sudah okay ke, Casia?" tanya Sky dengan kening yang berkerut.
Casia mengangguk kepala, tetapi masih berkerut kening dalam keadaan tidak faham. "Ya... saya tak apa-apa." Dia memandang wajah risau Sky. "Apa yang telah berlaku? Kenapa saya berada di sini? Kenapa badan saya sakit-sakit?" Dia mengangkat tangan dan melihat tangannya dengan perasaan janggal.
"Kamu tak ingat apa-apa ke, Casia?" tanya Lady Jane pula.
Mulut Casia terbuka sedikit ketika dia memandang Lady Jane dengan bingung. "Perlu ke saya ingat sesuatu? Ingat tentang apa?" tanyanya.
Wajah Doktor Abiel menjadi tegang. Dia memandang wajah pucat Casia dengan kening yang berkerut serius. "Apa perkara terakhir yang kamu ingat?" tanya Doktor Abiel.
Casia memandang Sky dengan bibir yang sedikit dimuncungkan, lalu kembali memandang Lady Jane dan Doktor Abiel dengan kening yang berkerut. Sedar-sedar dia dikelilingi ramai orang dan disapa dengan rasa sakit di seluruh badan. Siapa tidak bingung!
"Kelas terakhir saya, kelas membuat minyak wangi," jawabnya setelah berfikir seketika.
"Macam mana dengan Diane? Kamu ingat mengenai dia?" tanya Master Vena, yang sejak tadi hanya mendengar. Dia ingin tahu mengapa Casia beria-ia untuk mencederakan Diane dan mahu membunuh rakan baik gadis ini. Banyak soalan sebenarnya, tetapi dia berdiam diri.
Kening Casia berkerut. "Siapa? Diane? Siapa dia?" tanya Casia yang tidak tahu apa yang telah berlaku. "Saya tak kenal sesiapa bernama Diane," luahnya dengan jujur.
Mereka yang berada di situ terkejut dan menahan nafas. Masing-masing menunjukkan reaksi tersendiri.
Sky, mendengar jawapan itu, melepaskan nafas lega dan mendakap tubuh Casia dengan erat.
Doktor Abiel berkerut kening, keliru.
Lady Jane menekup mulut, tidak percaya.
Master Vena kelihatan bingung.
"Syukurlah awak tak apa-apa, Casia. Kalau awak tak ingat pun, tak mengapa. Ianya bukan masalah besar," luah Sky dengan lembut.
Lady Jane berpaling ke arah Doktor Abiel, memandangnya dengan kening berkerut risau.
"Dia telah menghapuskan ingatan Casia," bisik Doktor Abiel kepada Master Vena.
Master Vena tersentak. Dia berpaling kepada Doktor Abiel dengan kening terangkat. "Siapa? Diane? Dia telah melupakan ingatan Casia tentang dirinya?" ulangnya dengan suara separuh berbisik.
Doktor Abiel mengangguk, memerhatikan Casia dengan kening berkerut. "Nampaknya begitu, kerana itulah Casia pengsan selepas Diane menyentuhnya."
"Mungkin Diane tahu itu satu-satunya cara untuk membantu Casia," tambah Lady Jane.
Master Vena membuat muka tidak faham lalu berdiri menghadap Doktor Abiel dan Lady Jane. "Tapi apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa Casia mahu membunuh Diane? Dan kenapa orang mengatakan Diane yang cuba mencederakan Casia, sedangkan Casia sendiri yang mencederakan Diane?" tanya dia dengan penuh kehairanan.
Tiada jawapan untuk soalan itu. Doktor Abiel memandang ke arah Casia yang sedang disuap makan oleh Sky.
Dalam hal ini, hanya Casia yang mempunyai jawapan. Namun, semua itu sudah tiada makna kerana Casia telah melupakan segala yang berlaku sebelum ini.
Sesuatu memberitahu Doktor Abiel bahawa semua ini telah dirancang oleh seseorang. Seseorang yang ingin menyusahkan hidup Diane di sini.
Tapi siapa?
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...