THE KINGDOM 》 61

1.7K 154 5
                                    


Diane berjalan menyusuri laluan koridor sebelum menuruni tangga. Setelah keluar dari bangunan itu, dia kemudiannya menuju ke arah rumah hijau. Melangkah masuk ke dalam tempat itu, Diane menjatuhkan beg sandang ke lantai berumput dengan malas.

Dia tidak ada tenaga langsung sekarang. Tidurnya tidak lena seperti biasa, dan makannya pula tidak selera seperti kebiasaannya. Tenaga dalam badannya pula belum sembuh sepenuhnya selepas menyembuhkan Kaiser. Namun, mujur Luisa tidak apa-apa. Kaiser hanya menghilangkan Luisa ke satu tempat jauh dari mereka pada hari itu. Dia ingatkan Kaiser akan menghapuskan perempuan kepala ular itu, jadi dia tidak risau sangat.

Perlahan-lahan, Diane melutut di atas rumput yang ada di situ lalu terbaring terlentang di tengah bulatan yang dikelilingi pasu bunga dan tumbuhan hijau. Tangannya dibawa ke atas perut, kakinya dirapatkan, dan matanya dipejam.

Setelah itu, dia menarik dan menghela nafas beberapa kali untuk mendapatkan ketenangan buat seketika.

Pada masa ini, imej-imej segala kejadian yang berlaku selama ini mula bermain dalam fikiran Diane. Tidak satu pun yang muncul. Setelah selesai satu, timbul satu lagi. Baru saja dia mahu bernafas, masalah menghimpit semula.

Sedih betul hidup ini!

Air mata pun turun dari tepi matanya pada masa yang sama, satu kucupan hinggap di dahinya.

Terkejut dengan kucupan itu, Diane membuka mata dan memandang ke atas. Sebaik melihat sepasang mata di atasnya, nafasnya tersekat di kerongkong.

Frost yang bersila di atas kepala Diane itu tunduk sambil tersenyum padanya. "Hai..." sapanya sambil mengesat air mata dari tepi mata Diane.

Diane menutup mulut dengan lengannya kerana terkejut melihat Frost di situ. Matanya yang berada di bawah dagu lelaki itu terkebil-kebil. "Frost... Bila awak ada dekat sini?" tanya dia dengan nafas tertahan. Terperanjat dia dibuatnya.

Frost mengangkat kepalanya sedikit agar dapat melihat Diane. "Sejak kau terbaring tadi," jawabnya.

Kening Diane berkerut tidak faham. "Tapi macam mana?" tanya dia lagi.

"Muncul secara tiba-tiba, apa lagi..." Frost ketawa kecil. "Macam mana lagi... takkanlah terbang pula," selorohnya.

"Memanglah, tapi macam mana awak tahu saya ada dekat sini? Itu maksud soalan saya." Hairan dia; badan dia ini ada alat penjejak apa sehingga Frost boleh tahu di mana keberadaannya. Mana ada pergi, pasti lelaki ini ada di situ.

Frost tersenyum. Buat seketika, dia menatap wajah Diane tanpa berkata apa-apa. Sambil itu, ibu jarinya mengusap tepi tulang pipi kanan Diane dengan kasih. Mungkin ini masanya Diane tahu bagaimana dia boleh tahu keberadaan Diane sepanjang masa. "Sebab aku boleh dengar," jawabnya tidak lama kemudian.

Diane terdiam. Dia yang berbaring itu kaku menatap mata Frost. Pergh! Aura Frost ini! Buat dia rasa berbahang betul! Berderau darahnya dari leher ke telinga, lalu muka, kemudian naik ke kepala. Lain macam sungguh! Ini yang dia takut bila dekat dengan Frost. Merasai suhu hangat yang disebabkan rumah hijau, ditambah lagi dengan kehangatan tangan ini, memang semakin panas dia rasakan.

"Apa ni sentuh-sentuh... boleh tak kalau bercakap, cakap saja tanpa tangan semua ikut gerak? Berapa kali saya nak beritahu," sungutnya sambil menolak tangan Frost dari pipinya dengan kening berkerut kerimasan.

"Nak buat macam mana, dah aku tak boleh kawal diri setiap kali ada dekat dengan kau..." jawab Frost dengan senyuman boyish.

Diane kemudian bangun dari berbaring. Dia duduk bersila menghadap Frost. "Apa awak nak dari saya ni? Kan saya dah beritahu, jauhkan diri dari saya. Awak tak boleh faham?" katanya sambil menyikat rambut menggunakan jarinya.

Frost merangkak mendekati Diane dan duduk bersila dekat dengannya. "Kalau aku tak nak jauhkan diri dari kau, apa kau nak buat?" tanya dia sambil memandang muka Diane dengan senyuman di bibir.

Diane berdengus perlahan, lalu memandang ke sekeliling. Dia tidak berani bertentang mata dengan Frost. Dia masih takut pada lelaki ini. "Saya bencikan awak. Saya rasa awak tak dengar agaknya..." Dia berharap Frost cepat pergi. Tak mahu dia duduk lama-lama di situ!

Frost mengangkat tangan, membuang ranting kecil yang berada di rambut Diane dengan bersahaja. "Dengar, orang tua pernah berkata, kalau benci, jangan benci sangat, sebab nanti boleh jadi sayang," balasnya. "Dan itu yang berlaku dekat aku sekarang. Aku bencikan kau sampai perasaan benci aku itu dah bertukar jadi sayang. Nah, nanti kau akan tahu bila terjadi dekat kau."

Berasa tergamam dengan kata-kata itu, Diane palingkan kepala semula menghadap muka Frost. Keningnya berkerut tidak terima. Iya-iya saja. Ingat dia akan terkena? Malas nak melayan, Diane bergerak hendak bangun.

Namun, Frost menarik tangan Diane, membuatkan gadis itu terduduk semula.

"Apa ni!" getus Diane selepas dia duduk semula. Dia memandang Frost dengan muka tidak puas hati.

"Maafkan aku, Diane..." ucap Frost. "Berikan aku peluang sekali lagi," mintanya dengan wajah berharap.

Diane memejam mata seketika sebelum melepaskan keluhan panjang. Dia menolak tangan itu jauh darinya sebelum kembali berdiri. Dia tunduk memandang Frost dengan kening mencerun sedih.

"Saya tak boleh, Frost. Walaupun saya mahu, saya tak boleh," luah Diane sambil menggeleng kepala perlahan.

Bahu Frost jatuh, hilang semangat, lalu melepaskan cengkamannya dari jari-jari Diane.

Diane pun berjalan ke arah pintu keluar, tunduk mengambil beg sandang yang ada di atas rumput sebelum menjauh dari pandangan Frost.

Frost memandang kosong ke arah pintu rumah hijau itu sebelum menguak rambut ke belakang dengan hela nafas mengalah. Ini namanya, kalau terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan binasa badan.

18. The KingdomWhere stories live. Discover now