Semua barang yang ada di dalam bilik itu diselongkar sehingga lantai bilik kelihatan bersepah dan tunggang-langgang.
Kotak buku, helaian kertas, almari pakaian, dan setiap laci yang ada ditarik keluar.
Casia tunduk memeriksa setiap barang peribadinya yang ada di situ dengan kening berkerut.
"Berhentilah... apa yang kau cuba lakukan ni, Casia!" tanya rakan sebiliknya.
"Kau diam...!"
"Tak ada lah... kalau ya pun, janganlah bersepah macam ni sekali..."
Casia tidak menghiraukan bebelan rakannya itu.
Apa yang dia tahu, dia hanya perlu mencari apa sahaja cebisan yang membuatkan dia tertanya-tanya kebelakangan ini.
Persoalan mengenai identiti Diane Elaine. Casia yakin sangat bahawa perempuan ini ada kaitan dengan dia. Tapi masalahnya sekarang, dia tak boleh ingat apa-apa mengenai Diane ini! Itu yang membuatkan dia sangat frustrasi sekarang.
Saat Casia sedang mengangkat beberapa buku keluar dari rak, sesuatu terjatuh dari celah buku itu.
Ianya sekeping kad ucapan hari lahir.
Kad itu melayang jatuh ke lantai tepat di bawah kakinya. Casia yang melihat pun tunduk mengutip kad itu.
Rakan sebilik Casia yang berasa jengkel terus berjalan keluar dari bilik itu, meninggalkan Casia seorang diri.
Dalam keadaan bercangkung, Casia menarik keluar kad itu dari sampulnya. Dia tunduk meneliti tulisan berangkai yang berada di permukaan kad. Perlahan-lahan, dia bangun dari situ lalu mengambil tempat di atas katilnya yang bersepah. Setelah itu barulah dia membaca.
"Selamat hari lahir! Dah tua dah kau rupanya. Hahaha! Aku harap tahun ini adalah tahun terbaik untuk kau sebab kau dapat hadiah terbesar kau, iaitu bercinta dengan Senior Sky kesukaan kau tu.
Tolonglah jangan jatuh sakit. Sihat selalu. Senyum selalu. Happy selalu. Walaupun kau seorang yang menyakitkan hati dan merimaskan, bagi aku, kau adalah segalanya. Sebab sejak kali pertama aku masuk sini, kau orang yang pertama sekali tegur dan ajak aku borak walaupun kau tahu siapa aku.
Aku sayang kau macam adik dan kakak aku sendiri. Jadi terimalah rantai ini sebagai penghargaan persahabatan kita selama ini."
Secara automatik, tangan Casia terus naik memegang leher di mana rantai yang selama ini dipakainya. Dia perasan, tetapi tidak pernah pula fikir dari mana dia mendapat rantai ini. Sambil menggenggam pendant rantai itu, Casia kemudiannya membaca catatan terakhir di bawah kad itu.
"Ikhlas dari sahabatmu, Diane Elaine yang Cantik."
"Diane?" sebut Casia dengan kening berkerut. Dia angkat kepala lalu termenung, pandang ke depan, bahu jatuh hilang semangat. "Apa yang berlaku? Kenapa aku tak ingat apa-apa tentang dia?" fikir Casia sendirian sebelum dia berdiri. Memegang kad itu erat lalu melenyapkan diri secara tiba-tiba ke tempat di mana Sky berada.
Sesaat kemudian, dia berdiri di satu tempat, di hadapan laman berumput akademi di mana lelaki itu sedang duduk bersila di depan rakan-rakannya. Tanpa berlengah, dia atur langkah ke arah teman lelakinya.
"Sky!" panggil Casia sebaik dia mendekati kumpulan itu.
Dengan serentak, semua yang ada di situ angkat kepala dan berpaling ke arah Casia sewaktu gadis itu berjalan laju mendekati kumpulan mereka.
Kening Sky berkerut sebaik dia menoleh, memandang pelik ke arah Casia apabila dia perasan aura sekitar badan gadis itu agak terganggu.
"Casia... ada apa ni?" dia bangun dari bersilanya lalu menghadap Casia.
Bersama kening mencerun tidak puas hati, Casia capai lengan Sky lantas menariknya untuk mengikutnya.
"Kita perlu berbincang... ada sesuatu yang saya perlu tanyakan kepada awak," kata Casia sambil itu.
"Tanyalah..." balas Sky yang kelihatan kebingungan. Dia ada buat salah ke? Dia terlupa hari istimewa Casia ke? Kenapa dia macam marah je ni?
"Bukan dekat sini..." Casia kemudian menarik Sky ke satu arah dengan langkah yang lekas.
Mahu tak mahu, Sky hanya turutkan saja tanpa bertanya mahupun berkata apa-apa. Apa lagi masalah yang dia bakal terima nanti ini...
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...