THE KINGDOM 》03

3K 278 5
                                    

Awalnya senyap sunyi di ruangan bilik rawatan yang terletak di menara sebelah kanan akademi itu. Tiba-tiba, bunyi pintu yang terbuka menggegarkan dinding ruangan tersebut, diikuti dengan suara tangisan yang kedengaran. Serta-merta, ia menyentak perhatian semua yang berada di dalam bilik rawatan itu, dari staf bertugas hingga pelajar lain yang mahu menerima rawatan.

"Mari sini, Diane!" panggil suara dengan nada sedih.

Mereka melihat seorang pelajar perempuan sedang mengejar langkah seorang guru yang menggendong seorang lagi pelajar perempuan ke arah sebuah katil dengan cepat.

Pelajar lelaki yang sedang menerima rawatan kerana melecur saling menjenguk ingin tahu. Apa yang sedang berlaku? Siapa yang cedera? Ada orang mati ke? Itu yang terlintas di fikiran mereka.

Tidak lama selepas itu, seorang jururawat bilik rawatan menghampiri Master Loui dan Casia saat lelaki itu membaringkan Diane di katil.

"Apa yang telah terjadi?" tanya Lady Jane kepada mereka berdua. Sambil itu, tangan wanita itu melekap pada dada Diane, memeriksa detak jantung dengan kuasa kinestetik. Dengan kening berkerut risau, dia berkata, "Degupan jantungnya lemah. Saya kena berikan rawatan kecemasan kepada dia..." ujarnya dengan tergesa-gesa. "Doktor Abiel! Kecemasan!" panggil Lady Jane ketika naik ke atas katil. Dia membuka kot yang berada di badan Diane dengan cepat. Khuatir jika membuang waktu lagi, anak ini mungkin tidak dapat diselamatkan!

Casia yang berdiri di tepi katil itu hanya mampu memerhati dengan linangan air mata di pipi. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa supaya Diane tidak apa-apa.

Lady Jane meletakkan kedua-dua tangan ke dada Diane sebelum menekan-nekan dada tersebut untuk membantu jantung gadis itu berdegup semula. Dia cuba memberikan bantuan kecemasan sementara menunggu.

"Ada apa ni?" muncullah Doktor Abiel yang baru keluar dari pejabat sesaat kemudian. Dia mengambil tempat di sebelah katil satu lagi sebelum tunduk memandang wajah pucat kebiruan Diane. Setelah melihat kesan jerut pada leher Diane, dia memandang Master Loui dan Casia silih ganti. "Dia kena sihir ke?" soalnya lagi.

Casia mengangguk, wajahnya yang dibasahi air mata itu memandang takut ke arah doktor. "Ya... tadi Luisa cekik Diane menggunakan kuasanya. Diane tidak melawan. Sebab itu... tolong saya, doktor... tolong selamatkan kawan saya... jangan biarkan apa-apa terjadi padanya..." rayu Casia teresak-esak. Hanya Diane saja yang dia ada sekarang ini!

Doktor Abiel mengerutkan kening setelah mendengar. "Dijerut? Luisa dari puak mana?" tanya dia semasa menanggalkan kot putih dan sarung tangan kulitnya. Kemudian, dia isyaratkan kepada Lady Jane supaya turun dari katil dengan tangan sahaja.

"Puak Api Hitam. Tadi saya cuba halang, tapi saya dilarang menggunakan kuasa terhadap rakan akademi lain, sebab itu... sebab itu Diane jadi macam ini," sedu Casia. Dia menggigit hujung jari saat berdiri di sisi Master Loui. "Saya merayu, tolong selamatkan Diane," nangisnya lagi apabila melihat wajah pucat kebiruan Diane.

Lady Jane turun dari situ dan memberikan ruang kepada Doktor Abiel untuk melakukan kerjanya.

Master Loui yang memerhati hanya tenang. Langsung tidak cemas kerana dia kenal kemahiran dan kepakaran Doktor Abiel. Tak kira apa sekalipun kes itu, wanita ini akan dapat menyelesaikannya dengan mudah!

"Api hitam?" tanya Doktor Abiel dengan nada terkejut sambil mengeluarkan cahaya seakan api biru di kedua-dua tapak tangannya. "Kenapa awak tidak bawa dia terus ke sini selepas kejadian itu? Bukannya selepas dia pengsan begini," marahnya sambil melekapkan tangannya tepat di mana jantung Diane berada.

"Sebab saya tahan dia..." jawab Master Loui dengan tenang. Tidak ada reaksi serba salah mahupun nada kesal kedengaran.

Mendengar jawapan tersebut, Doktor Abiel memalingkan kepala ke arah Master Loui lalu memandang tak percaya kepada lelaki itu seketika sebelum kembali kepada Diane. Tiada kata-kata lain yang dapat diucapkan. Memang tidak ada hati atau perasaan! Tak kesian langsung pada anak ini? Fikir sedikit!

Lady Jane memeriksa Diane semula. Dia meletakkan dua jari di nadi leher Diane dan diam seketika untuk membaca detak denyut nadi tersebut. Setelah beberapa saat berlalu, dia memandang Doktor Abiel dan berkata, "Doktor, nadinya telah kembali kepada denyutan yang normal."

Doktor Abiel mengalih tangannya sebelum mendekatkan telinga pada bibir Diane, memastikan deru nafasnya kembali normal. Setelah merasakan telinganya disapa nafas Diane, barulah dia jarakkan diri lalu berdiri tegak semula.

Sambil memandang wajah pucat Diane, Doktor Abiel berkata, "Sekarang dia dah tak apa-apa. Saya sudah pun alihkan kuasa tersebut dari badan Diane. Cuma kesan pada lehernya itu akan mengambil masa untuk sembuh." Maklumnya sambil memandang Master Loui dengan kening mencerun tidak puas hati. "Awak nak sangat dia mati ke? Awak kan seorang master, sepatutnya tahu kesan jika seseorang itu terkena kuasa api hitam... kenapa tahan dia sekalipun nak hukum? Patutnya bagi dia rawatan terlebih dahulu!"

Seperti tadi, Master Loui hanya tunduk memandang Diane tanpa menunjukkan sebarang ekspresi. Renungan matanya kosong, seolah-olah tidak ada ertinya melihat Diane.

Lantas, Casia mendapatkan Diane. Sambil menyedut hingus yang mahu turun, dia menarik kain selimut di bawah kaki Diane lalu menggerakkan selimut itu untuk menyelimutkan tubuh gadis itu hingga ke dada.

"Maafkan aku, Diane..." ucap Casia sebelum mengusap lembut kepala Diane. "Sebab mereka semua nak kau mati, mereka buat macam ini pada kau..." sebutnya ketika termenung memandang wajah itu. "Yang salahnya ayah kau... bukannya kau, Diane... tapi kenapa mereka sanggup sakiti kau sebegini. Kau tidak salah... sesiapa tolonglah hentikan semua ini," mintanya sambil tunduk menyembamkan muka ke bahu Diane.

18. The KingdomWhere stories live. Discover now