3 bulan yang lalu.
Angin kencang bertiup, cahaya matahari berlindung di balik awan gelap yang menutupi seluruh kawasan yang dulunya terang dan penuh dengan tumbuhan hijau. Kini, kawasan itu sudah kusam, tumbuhan layu dan dedaunan menguning. Pokok bergoyang ke kanan dan kiri dengan kuat apabila angin bertiup kencang, menerbangkan daun ke udara.
"Kaiser! Apa yang awak cuba lakukan ini? Hentikannya!" teriak Diane sekuat hati untuk menyaingi bunyi bising di sekelilingnya.
"Lepaskan saya, Diane! Kalau saya berlengah lagi, tempat ini akan musnah. Semua penduduk di sini akan mati! Teras ini perlukan kuasa untuk hidupkan tempat ini; kalau tidak, ia akan mati," kata Kaiser yang cuba menarik lengannya dari cengkaman Diane.
Sambil memeluk bayi kecil yang baru dilahirkannya, Diane menggeleng kepala merayu. "Jangan! Kalau awak lakukannya juga, awak akan turut ditelan bersama teras ini... tolonglah berhenti!" jeritnya.
Kaiser menoleh, memandang Diane yang memegang erat tangannya. Deru angin yang memekakkan telinga membuatkan dia sayup mendengar suara itu. Lalu matanya turun ke anak keduanya yang baru dilahirkan beberapa minggu yang lalu sebelum memandang semula ke wajah Diane.
Dia tidak boleh biarkan Diane berkorban lagi selepas apa yang telah Diane lakukan selama ini. Sebab itu dia nekad membuat keputusan ini. Anak-anaknya perlukan seorang ibu untuk membesar; tanpa kehadirannya di sisi, mereka boleh menjadi lebih kuat!
"Diane... dengar. Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan melindungi tempat ini? Awak... anak-anak kita!" tanya Kaiser sambil melaung untuk melawan deru angin yang bertiup di sekitar kawasan bukit itu. "Teras ini perlukan tenaga sokongan untuk stabil. Memang awak mampu stabilkannya, tapi untuk itu, awak perlu bersemadi dengan tanah ini, Diane. Saya tidak boleh biarkan hal itu berlaku!"
Diane menggeleng kepala dengan wajah yang hendak menangis. Dia menggenggam erat jari-jemari Kaiser. Tolonglah jangan tinggalkan dia. Jika Kaiser tinggalkan dia, habislah semua orang yang dia sayang akan meninggalkannya. "Lepaskan puak ini... lepaskannya... saya tidak boleh kehilangan awak, Kaiser. Cukuplah dengan apa yang sudah saya hilang selama ini... saya merayu!" nangis Diane dengan terdesak.
Kaiser merenung lama wajah Diane sebelum memeluk tubuh itu erat. "Maafkan saya, Diane. Tempat ini adalah tempat kesayangan master. Untuk itu, saya perlu pertahankannya. Dan awak mampu menjadikan tempat ini lebih baik daripada sebelumnya," ujar Kaiser dekat pada telinga Diane.
Lelaki itu kemudian menolak Diane jatuh ke tanah dan menghasilkan dinding pelindung untuk menghalang isterinya dari mendekat. Kaiser kemudian berdiri di depan pokok besar yang berada di puncak cerun itu. Dia menanggalkan sarung tangannya lalu ditekap ke tanah.
"Kaiser, jangan!" jerit Diane sambil menumbuk-numbuk dinding lutsinar yang dihasilkan oleh Kaiser. Air matanya jatuh mengalir ke pipi saat dia menangis dengan histeria.
"Jangan! Saya merayu pada awak. Jangan tinggalkan saya!" jerit Diane dengan kuat.
Cahaya terang memancar keluar dari rekahan pada tanah itu tepat di tempat tangan Kaiser berada. Rekahan-rekahan itu membentuk seakan bentuk berlian. Pada waktu itu, cahaya terang berwarna biru keputihan meledak ke seluruh kawasan itu, menyebabkan angin yang bertiup kencang serta-merta terhenti. Awan gelap yang menyelubungi tempat itu mulai berarak pergi. Sinar mentari mula menerangi tempat itu seperti sedia kala.
Diane yang menyaksikan semua itu terus melutut ke tanah. Bahunya terhenjut-henjut kerana menangis, perlahan-lahan dipegang dengan satu tangan.
"Diane..." panggil suara itu.
Diane mengangkat kepala, memandang satu susuk tubuh yang lutsinar dan boleh ditembus lihat melalui tubuh itu. Air matanya mengalir ke pipi saat melihat Kaiser yang sudah menjadi sebahagian daripada cahaya.
"Bonda, tengok ni!" suara putera sulungnya melaung di depan rimbunan bunga yang berterbangan di sekeliling badan kecil itu.
Diane yang mendengar segera tersenyum. "Kawal sikit tenaga kamu, atau kamu akan terbangkan semua yang ada di sini," pesannya sambil bersimpuh di atas rumput, mendodoi si kecil yang ada dalam pelukannya.
"Okay!"
Sambil tersenyum, Diane kemudian tunduk memandang wajah puterinya yang baru saja lena selepas kenyang disusukan. Melihat wajah kecilnya itu mengingatkannya pada Kaiser. Dia berharap sangat Kaiser ada di sisinya untuk melihat apa yang suaminya lakukan demi kelangsungan hidup semua orang di sini.
Walaupun sudah tiga bulan sejak pemergian Kaiser, kehadiran lelaki itu dapat dirasai oleh Diane setiap kali dia berada di sini. Tempat di mana Kaiser semadikan kuasa lelaki itu. Tempat di mana dia sedang duduk sekarang. Oleh itu, dia sering ke sini untuk menanam bunga, berharap dapat meluangkan masa bersama Kaiser.
Si kecil dalam pelukan tiba-tiba tersentak lalu menangis, membuatkan Diane yang sedang termenung terkejut.
Lekas-lekas, Diane mendodoi semula tubuh itu, dan sesaat kemudian, si kecil pun kembali lena.
"Denzel, mari kita balik. Adik kamu nak tidur ni," panggil Diane sambil mengangkat kepala memandang anak lelaki berusia lima tahun itu.
"Sekejap! 10 minit lagi!" balas suara itu dari jauh.
Diane yang mendengar menggeleng kepala. Haih... susah sungguh berurusan dengan anak lelakinya yang seorang ini. "Tengoklah ini, Kaiser... anak lelaki awak. Spesis macam awak," keluhnya sambil termenung memerhati Denzel berlari ke sana sini dengan seronok.
Tanpa Diane sedar, di sebelah tempat dia bersimpuh, terdapat kelibat lutsinar berbentuk badan manusia duduk di sebelahnya. Dan ia adalah teras memori kuasa Kaiser yang sentiasa berada di situ. Walaupun jasad Kaiser sudah tiada lagi, kuasanya masih berlegar-legar di atas bukit yang sama.
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasíaJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...