THE KINGDOM 》90

1.6K 135 0
                                    


10 tahun kemudian...

Jauh dari kawasan lapang, pergunungan yang biasanya bersalji dan tidak berpenghuni kelihatan harmoni dengan suasana hutan yang menghijau, tumbuh-tumbuhan menjalar mekar menghiasi setiap tanah yang ada. Di sebalik gunung itu terdapat penempatan sebuah puak yang hidup aman dan harmoni tanpa peperangan. Berbanding dengan tempat lain, kawasan itu adalah paling selamat dan selesa untuk dihuni. Malah, penduduk dari puak berlainan turun berpindah ke situ.

Semua mata terarah pada wanita yang berjalan sambil memegang pasu berisi pokok bunga ros. Melihat orang itu, senyuman pasti akan terukir di bibir tanpa sengaja.

"Selamat petang, Diane," sapa penjual buah apabila wanita yang memakai dress labuh warna biru gelap dan bersanggul tinggi itu mel经过nya.

Anak rambut yang menutupi matanya diselak ke belakang telinga. "Selamat petang," balas Diane sewaktu dia memandang ke arah penjual buah itu.

"Hai..." sapa seorang kanak-kanak dengan kalungan bunga kecil di tangan. "Ini untuk Master," ujar kanak-kanak perempuan itu kepada Diane.

Diane yang melihat terus berlutut di depan kanak-kanak itu lalu tunduk membiarkan kalungan bunga itu di atas kepalanya.

"Terima kasih," ucap Diane dengan senyuman di bibir.

"Ahaha... sama-sama. Terima kasih juga kepada Master kerana membenarkan saya dan keluarga saya menetap di sini," kanak-kanak perempuan itu kemudiannya mengucup pipi Diane sebelum berlari dari situ.

Dengan senyuman di bibir, dia bangun dari situ memerhati langkah kanak-kanak tersebut. Pejam celik, sudah bertahun rupanya. Dan sampai sekarang dia masih teringat akan semua yang terjadi.

Diane kemudiannya melangkah keluar dari kawasan penempatan itu, berjalan mendaki bukit untuk berada di puncak tempat dia bertapak sewaktu kali pertama tiba di sini.

Tempat yang telah menjadi pusat teras puak cahayanya.

Setelah bersusah payah mendaki batu-bata di situ, akhirnya dia tiba di hadapan sebuah pokok besar yang dikelilingi tumbuhan renek berwarna-warni. Diane kemudiannya duduk bersimpuh di atas tanah, meletakkan pasu berisi pokok ros itu ke tepi. Dahan kayu diambil untuk dijadikan sebagai alat mengorek tanah.

Setelah selesai menggali, pokok ros itu dikeluarkan dari pasu dan diletakkan ke dalam lubang yang dibuatnya tadi. Hampir inilah kegiatannya setiap hari, menanam pelbagai jenis pokok bunga sehingga penuh tempat itu dengan bunga-bungaan pelbagai jenis. Saja nak luangkan masa yang ada.

Dan dia harap sangat, tempat ini akan tetap segar tak kira masa. Sentiasa hidup dan berseri dengan tumbuhan yang dia tanam di sini.

"Bonda!" panggil suara kecil itu dengan riang.

Diane tersentak, lantas mengangkat kepala. Memandang anak kecil yang berlari ke arahnya dengan kaki kecil itu. Bersama senyuman, dia perhatikan anak lelakinya datang menghampirinya. "Ya, kamu datang seorang diri saja?" tanya dia.

Anak kecil itu melompat masuk ke dalam pelukan Diane sebelum merangkul sekeliling leher dengan erat. "Nanny Gina yang temankan," beritahunya sewaktu melepaskan pelukan itu lalu duduk di sebelah bondanya. "Bonda tanam bunga lagi? Untuk ayahanda ke?" soalnya lagi sambil tunduk mengusik kelopak bunga yang ada di situ dengan minat.

"Ya... kamu suka?" tanya Diane sambil mengusap kepala berambut hitam berkilat milik putera sulungnya.

"Suka... ayahanda mesti suka bila semua ini nanti."

Diane yang mendengar tersenyum nipis. "Ya, ayahanda kamu pasti sukakannya."

"Tuanku," panggil Nanny Gina tidak lama selepas itu sambil membawa sebuah bakul besar di kedua-dua tangan.

"Macam mana kamu tahu saya ada di sini?" tanya Diane semasa melirik ke arah bakul rotan besar yang dibawa oleh pengasuhnya.

Sebaik dia dekat dengan Diane, Nanny Gina dengan perlahan-lahan meletakkan bakul rotan itu di depan Diane. "Ke mana lagi kalau bukan tempat kegemaran tuanku suami isteri suka berada..." selorohnya sambil bersimpuh.

"Ada-ada saja kamu ini..." geleng Diane semasa menjengah kepala melihat ke dalam bakul rotan di depannya lalu tersenyum lebar. Mungkin hidup ini tidaklah seteruk mana.

18. The KingdomWhere stories live. Discover now