Semua mata kini terarah kepada Diane dan Kaiser yang sedang berdiri di tengah-tengah kelas, menanti apa yang bakal terjadi selepas ini.
"Baik, sekarang situasinya begini. Kaiser memerlukan tenaga alih sementara untuk kelangsungan hidup setelah kuasa menta dalam badannya ini berkurangan. Terlebih dahulu, apa yang kamu perlu lakukan sebagai langkah pertama?" tanya Master Oddyn.
Diane memandang Kaiser dengan renungan tidak pastinya. Takut jika dia melakukan kesilapan, Kaiser akan menjadi mangsanya. "Kau nak berdiri tegak atau baring?" soalnya perlahan kepada Kaiser.
"Berdiri saja," jawab Kaiser dengan nada malas.
Diane menoleh ke arah Master Oddyn. "Mulakan sekarang ke?" tanyanya.
"Sudah tentu, sekiranya kamu berdua telah bersedia," jawab Master Oddyn.
Diane kembali menghadap Kaiser dengan perasaan gemuruh yang amat. Dia takut jika dia melakukan silap. "Sekarang kau baring..." Dia menepuk dada Kaiser supaya baring ke lantai.
Kaiser yang mendengar memandang tidak percaya. Tadi dia tanya nak berdiri ke baring. Dia jawab berdiri, kan? Kenapa disuruh baring pula? Baik tak payah tanya! Dasar perempuan! Kaiser menjulingkan mata dengan kejengkelan. Dengan keluhan, dia pun berbaring di atas lantai.
Sebaik lelaki itu baring dengan selesa, Diane melutut di sisi kiri Kaiser. "Mula-mula, pastikan deru nafas dia stabil atau tidak dapat dikesan," jelas Diane sambil tunduk mendekatkan telinganya ke hidung dan mulut Kaiser.
Dekat saja telinga, deru angin seperti ditiup menyapanya, membuatkan Diane tersentak geli. Dia mengangkat kepala, memegang telinganya menahan diri dari ketawa sambil memandang Kaiser dengan mata membesar. Sengaja, apa!
Mereka yang ada di sekeliling hanya memerhati dengan penuh minat, melihat tangan Diane menyentuh Kaiser.
"Selepas kamu pastikan deru nafas dia dan jika deru nafasnya tidak dapat dikesan, apa yang kamu akan lakukan?" tanya Master Oddyn.
Diane memandang Master Oddyn dengan kening terangkat tinggi. "Kalau begitu, kita periksa degupan jantung dia pula. Sebab kita nak pastikan berapa banyak tenaga yang kita perlu salurkan kepada dia sehingga deru nafasnya kembali normal. Kita kena pastikan hal ini dulu," jawabnya sambil menyelak rambut panjang hitamnya ke sebelah bahu kiri. Setelah itu, dia tunduk menekup telinga ke dada Kaiser pula.
Dup!
Dap!
Dup!
Dap!
Degupan jantung yang kencang itu membuatkan mata Diane terbuka luas. Wow! Nampaknya bukan dia seorang sahaja yang gelabah sekarang ini.
Master Oddyn memerhatikan reaksi Diane. "Bagaimana?" tanyanya.
Diane mengangkat kepala dan memandang Master Oddyn dengan sengih hendak ketawa. Serius? Ditanya? Kaiser ini orang sihat. Tak perlukan apa-apa. Tetapi disebabkan ini adalah simulasi, terpaksa la dia jawab juga. "Untuk tahap degupan jantung macam ini, saya rasa tenaga alih tidak diperlukan... tetapi udara untuk menenangkan dia..." Senyum Diane kerana berasa lucu sendiri mendengar betapa kencangnya degupan jantung Kaiser. Malu agaknya!
PAP!
Satu tamparan hinggap di peha Diane oleh Kaiser. "Apa kau cakap!"
"Auw!" Diane tunduk sambil menggosok kesan tamparan itu. "Sakit la!"
Master Oddyn geleng kepala dengan sikap tidak serius Diane. Bertuah betul pelajar dia yang seorang ini.
Sementara pelajar lain dalam kelas hanya diam memerhatikan muka Diane, sewaktu gadis itu tersenyum dan kemesraan di antara Diane dan Kaiser. Bukan cemburu, tetapi hanya terasa. Yalah, selama ini mereka bencikan Diane dan tidak peduli pun untuk berkawan dengan gadis ini. Dan bila melihat Kaiser yang sikit pun tidak kisah tentang Diane, membuatkan mereka terfikir untuk mendekati Diane juga.
"Memanglah sebab dia sihat, kalau dia tak sihat, berapa banyak yang akan kamu berikan sekiranya degupan jantungnya sangat lemah?" soal Master Oddyn dengan nada kesal.
Diane kemudiannya berjeda. "Hmm..." Tangan gadis itu berada di dada Kaiser. "Kalau ikutkan keadaan badan dan juga saiz dia, hampir separuh teras saya. Sebab nak stabilkan degupan jantung dia sampai bantuan tiba," jawabnya sambil memandang Master Oddyn.
"Kalau begitu, tunjukkan kepada rakan-rakan kamu bahawa kamu yang berpengalaman menyelamatkan orang ini boleh membunuh orang..." ujar Master Oddyn, yang membuatkan semua yang ada di situ terasa.
Diane mengangkat kening apabila mendengar kata-kata Master Oddyn. Hatinya tersentap setelah mendengar kata-kata itu. Sebab ini ke Master Oddyn pilih dia? Nak jadikan dia bahan gurauan semua orang?
"Baik..." lantas dia tersenyum dengan terpaksa. Diane tunduk memandang Kaiser.
"Kalau begitu, saya akan salurkan sedikit tenaga saya kepada Kaiser." Diane menyinsing sedikit lengan bajunya sebelum melekapkan tapak tangannya pada tempat jantung lelaki itu. Perlahan-lahan, cahaya biru muncul dari bawah tapak tangannya dan masuk ke dalam badan Kaiser.
Semua orang di situ dapat melihat jalur-jalur biru menjalar di setiap urat badan Kaiser setelah itu.
Kaiser memandang Diane saat tenaga gadis itu menjalar halus di dalam badannya. Terasa tenaga itu membuatkan tubuhnya bergetar.
Kelas itu sunyi seketika ketika mereka memandang Kaiser, nak pastikan lelaki itu tidak apa-apa.
Beberapa saat selepas itu, Diane pun alihkan tangan dari dadanya lalu memandang Kaiser dengan mata kemerahan, seolah-olah mahu menangis.
Kaiser pula bangun dari baringnya sambil memandang Diane dengan muka terkejut.
Clap!
Clap!
"Bagus... begitulah, pelajar-pelajar. Contoh yang saya mahu kamu lakukan sekiranya berlakunya situasi yang sama..." ucap Master Oddyn sambil menepuk tangan.
Kelas itu kemudiannya berakhir setengah jam kemudian dengan syarahan Master Oddyn yang ringkas.
Sebaik sahaja semua pelajar keluar, Master Oddyn turut melangkah untuk keluar. Namun, tak lama dia berjalan, lelaki itu berhenti seketika sebelum tertunduk.
Tubuhnya menggigil sedikit sebelum, dengan mengejut, lelaki itu mengangkat kepala, memandang sekeliling dengan pandangan bingung, seolah baru sedar dari sesuatu. Dia merasakan seakan ada yang tertinggal dalam dirinya.
"Apa yang baru saja berlaku?" tanya Master Oddyn yang sebenarnya baru sedar dari dipukau.
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...