Kasut kulit hitam tinggi itu melangkah laju semasa seseorang di belakang berlari mendapatkannya.
Sambil berjalan cepat, dia menanggalkan mantel yang berada di badannya dengan kasar. Panas hatinya sekarang ini! Rasa macam nak meledak pun ada.
Tak lama selepas itu, dia tiba di taman bunga akademi. Setibanya di sebuah bangku, Sky mencampak mantelnya ke situ sebelum berdiri dengan tangan mencekak pinggang, menghadap taman di depannya.
Nafasnya naik turun dengan deras kerana perasaan amarah yang bergelojak dalam dadanya ketika itu. Sedaya upaya dia menahan dirinya dari naik angin.
"Sky!" panggil Casia dari belakang.
Sky terpejam matanya sebaik mendengar namanya dipanggil.
"Awak!" panggil Casia lagi setelah berdiri di depan Sky dalam keadaan tercungap-cungap kerana berlari sejak tadi.
Dengan marah, Sky membuka matanya dan memandang mencerun ke arah teman wanitanya.
"Apa?!" marahnya.
Casia terus tersentak dek suara lantang itu.
"Kalau awak lebih pentingkan Diane daripada hubungan kita, baik kita putus!" luah Sky dengan berang. "Saya dah beritahu awal-awal lagi, kan! Diane itu cuma masalah. Masalah yang membuatkan awak dalam bahaya!"
Casia menggeleng kepala sambil mencebik, ingin menangis. Tangan Sky dipegangnya. "Tapi semua itu bukan salah Diane, dia tidak meminta semua ini terjadi. Tolonglah, jangan macam ini... saya sayangkan awak lebih segalanya. Tapi Diane rakan baik saya. Kejadian itu tiada kaitan dengan saya. Mereka tidak menyasarkan saya, tetapi Diane.... dan Diane selamatkan saya." pujuknya dengan bersungguh.
Diane tidak salah! Dia tidak salah!
Lepas kejadian yang berlaku petang semalam, Sky betul-betul naik angin. Memandangkan Casia turut terlibat, Sky terus naik angin ingin menyerang Diane tetapi Casia berjaya menghalangnya. Mereka berdua bergaduh besar. Sehingga hari ini, Casia cuba memujuk Sky sebaik saja Sky menyatakan keinginannya untuk memutuskan hubungan mereka.
"Kalau awak sayangkan saya, sekarang pilih. Saya atau Diane," ujar Sky sambil memandang serius ke arah Casia. Dia berharap kekasihnya ini mendengar kata-katanya.
Casia memandang Sky dengan kening berkerut. Dia tidak boleh pilih. Dia sayangkan kedua-duanya. Tambahan lagi, dia tidak sanggup menyakiti Diane. Diane sudah tiada sesiapa di dunia ini. Jika dia tinggalkan Diane, sama saja seperti membiarkan Diane terjun ke jurang dan mati sendirian.
"Awak tolong jangan buat saya macam ini.... jangan buat saya pilih. Tolonglah." rayu Casia dengan terdesak. "Izinkan saya bersama Diane... kekal bersama dengan saya..."
Sky memandang kecewa. Dia menggeleng kepala, tidak menerima apa yang dikatakan Casia sambil menarik tangannya dari cengkaman Casia. Nafasnya naik turun menahan diri dari mengamuk.
"Tidak.... Casia. Saya tidak boleh. Saya tidak boleh terus risaukan awak... sakit hati sepanjang masa macam ini... awak pilih saya atau Diane. Titik," beritahu Sky.
Casia melutut di depan Sky. Dengan kepala tunduk memandang ke bawah, dia merayu. "Sky... tolonglah, jangan macam ini. Saya tidak boleh pilih." rayunya dengan linangan air mata di pipi.
Mata Sky berkaca, sakit hati melihat Casia yang sentiasa menangis sejak bersama Diane. Sekali pun tidak pernah Casia tidak menangis.
Apa sahaja yang melibatkan Diane, pasti Casia akan bersusah hati. Itulah sebabnya Sky membantah persahabatan mereka berdua.
Berasa mengalah tatkala melihat Casia begitu, Sky ikut melutut di sebelahnya. Dia mendekati Casia. Dagu itu dipegang sebelum mengangkat wajah Casia memandangnya. "Casia..." panggil Sky dengan perlahan. "Saya cintakan awak. Jika boleh, saya tidak ingin apa-apa berlaku terhadap awak. Sebab itu saya minta pada awak supaya putuskan hubungan dengan Diane. Dia hanya membawa bahaya kepada awak...." pujuknya lagi.
Tersedu sedan kerana sedih, Casia membalas, "Kalau saya putuskan hubungan dengan Diane, bagaimana dengan dia nanti? Siapa yang akan berada di sisinya? Bagaimana kalau terjadi sesuatu pada Diane dan nyawanya dalam bahaya? Siapa yang akan menjaganya... Sky, tolong jangan tinggalkan saya. Saya sayangkan awak. Tapi saya sayangkan Diane juga..." luahnya dengan jujur.
Sky menarik Casia ke dalam pelukan sejurus itu, sebak melihat teman wanitanya menangis sedih begini. Bukan niatnya untuk menyusahkan hati Casia. Tetapi dia perlu bercakap mengenai hal ini.
"Sememangnya itu takdir dia sebagai anak kepada pembunuh. Dalam dunia ini tidak pernah ada yang adil. Jika dia ingin hidup, dia perlu mempertahankan dirinya sendiri. Dan awak tidak boleh buat apa-apa mengenainya, Casia..." ujar Sky dengan nada perlahan.
Casia tersedu sedan menangis dalam pelukan itu. Dia mencengkam kuat blazer Sky.
"Sky... tolonglah, jangan tinggalkan saya..." rayu Casia lagi.
Sky mengangguk kepala sebelum menyandarkan pipinya di atas kepala Casia. "Ya, saya tidak akan paksa awak putuskan hubungan... jadi berhentilah menangis," pujuknya dengan lembut.
Sebab yang akan memutuskan hubungan ini bukannya Casia, tetapi Diane sendiri. Dan untuk itu, Sky nekad untuk melakukannya sendiri.
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...