Malamnya, Diane mengajak Kaiser curi-curi keluar dari akademi untuk lepak di diner memandangkan dia tidak mahu bertembung dengan Frost mahupun Casia di dewan makan.Kaiser yang tiada halangan atau rancangan tidak membantah. Dia dengan rela yang terpaksa ikutkan permintaan itu.
Setibanya di diner, Kaiser dan Diane memesan makanan selepas mengambil tempat di sebelah dinding kaca kedai makan itu, saling menghadap antara satu sama lain seperti pasangan kekasih yang sedang dating menikmati makan malam. Bezanya, tiada lilin, tetapi ada lampu kecil di tengah meja.
Piala berisi air kosong diletakkan di atas meja sebaik mendengar kata-kata itu.
"Apa? Kau hapuskan memori Frost tentang kau dari ingatan dia tetapi tak dapat hapuskan perasaan dia terhadap kau? Sebab itu dia kejar kau?" ulang Kaiser dengan nada tidak percaya. Apa lah! Kalau hapuskan ingatan tu, hapuskanlah betul-betul. Ini tidak, hapus ingatan tetapi perasaan masih ada. Apa Diane ni?
Diane mengangguk kepala dengan malas sewaktu tunduk memandang pinggan yang masih penuh terisi dengan makanan lewat malam.
"Tapi kenapa? Ke sebab kejadian Luisa serang kita berdua dan culik untuk hapuskan kau malam itu? Atau kau tidak sukakan Frost?" soal Kaiser lagi kerana tidak puas hati.
Diane menjungkit bahu, tiada mood. Dia mengangkat mata lalu memandang Kaiser dengan renungan redup. Otaknya kosong, tiada fikiran. Hatinya pula lali seperti tidak berfungsi.
"Tak tahu... aku cuma nak semua masalah ini selesai. Aku tak nak ada kaitan dengan sesiapa di sini lagi. Aku dah tak nak sesiapa tahu tentang aku atau kewujudan aku di sini. Sebabnya... sesiapa saja yang ada di sisi aku, akhirnya terpaksa tinggalkan aku atau berpisah dengan aku..." ujarnya.
Kaiser melentokkan kepala sedikit sambil bersandar dengan tangan disilangkan ke dada. Dia memandang lama wajah Diane yang tidak bersemangat itu. Dia ikut simpati. Apa yang Diane katakan adalah kenyataannya. Dia sendiri tidak pasti berapa lama dia boleh berada di sisi Diane.
1 tahun? 5 tahun? 10 tahun?
Ajal dan maut ini tak siapa boleh agak bila, di mana, hari apa, sebab apa... no one knows!
Jadi, dia tidak boleh berjanji pada Diane untuk berada di sisinya. Sebab itu, dia melayan Diane acuh tak acuh. Tidak mahu memberi harapan terlalu tinggi kepada Diane walaupun hatinya menjerit mahukan Diane.
"Kau dah putus asa ke?" soal Kaiser tidak lama selepas itu.
Diane tidak bersuara, dia tundukkan mata ke bawah buat seketika. Renungan sugul terarah pada garfu yang dikuis-kuis ke kentang lecek di pinggannya.
Lama Kaiser perhatikan Diane. Tetapi gadis itu tidak berkata apa-apa lagi. Sehinggalah beberapa saat kemudian.
"Jomlah... kita pergi dari sini. Sekarang..." sambil berkata, Diane mengangkat kepala dan memandang Kaiser.
Kaiser melepaskan helaian nafas pendek, bahu jatuh hilang semangat selepas mendengar itu. Bukan dia tidak suka atau gembira, malah inilah yang dia ingin dengar dari Diane selama ini. Dia tidak mahu memaksa, tetapi tidak sangka pula apabila Diane dengan rela mahu pergi dari sini, hatinya terasa berat. Dia tahu Diane pasti akan bersedih selepas pergi dari sini.
"Kau serius ke ni?" tanya Kaiser dengan nada perlahan.
Diane memandang tidak berkedip ke arah Kaiser lalu mengangguk kepala.
"Tapi mereka semua belum berkumpul sepenuhnya dekat koloni kita..." ujar Kaiser lagi.
"Tak perlu tunggu... kita sepatutnya menyambut mereka datang ke situ..." balas Diane sebelum tersenyum nipis.
Kaiser memberi renungan dalam ke arah Diane. Lalu mengangguk kepala. "Ya sudah. Kalau itu yang kau minta, aku ikutkan," balasnya sebelum kembali menyambung makan.
Diane kemudiannya melemparkan pandangan ke luar kaca yang menjadi dinding kedai makan di sebelahnya. Dia melihat orang lalu-lalang di depan laluan pejalan kaki sambil menopang dagu di meja dengan tangan kirinya.
Kaiser yang sedang mengunyah memandang wajah itu, cuba membaca fikiran Diane. Namun tiada apa-apa yang dia dapat. Di fikiran gadis itu tiada apa-apa kerana Diane tidak memikirkan apa-apa walau satu pun perkara.
"Kau dah berputus asa nampaknya, Diane," ujar Kaiser sewaktu tunduk memandang hidangannya, lalu menyuap seketul brokoli kecil ke dalam mulut.
Diane yang mendengar memalingkan kepala semula sebelum menjatuhkan tangan ke meja sambil menjungkit kening tinggi.
"Apa kau cakap tadi? Aku tak dengar..." katanya perlahan.
"Kau... fikiran kau tu kosong. Nampaknya kau dah betul-betul berserah. Apa nak jadi, jadilah. Itu yang kau tengah rasa sekarang," kata Kaiser.
Tersenyum nipis, Diane selepas mendengar. Perlahan-lahan dia sudah terbiasa dengan kenyataan bahawa Kaiser boleh membaca fikirannya. Pada mulanya, memanglah marah dan jengkel. Lama-lama selepas itu, dia rasa selesa. Sebab akhirnya ada juga yang memahami dia tanpa perlu menunggu dia beritahu.
"Aku tak boleh cakap apa-apa lagi kalau macam tu... sebab kau sendiri boleh tahu apa yang aku fikirkan..." katanya.
Kaiser menjungkit bahu, membuat muka bangga sebaik mendengarnya. "Well... biasa," ujarnya.
Diane ketawa kecil sambil geleng kepala melihatnya. Pantang sungguh dipuji. "Ada-ada je lah."
Kaiser melepaskan helaian nafas panjang sewaktu meletakkan garfunya ke pinggan sebelum memandang Diane dengan wajah serius.
"Kalau kau nak pergi dari sini, aku akan bawa kau esok. Lepas semua benda selesai. Kau pun kena kemas barang. Bila masa sampai, kita gerak," pesannya.
Diane yang mendengar mengangguk kepala patuh. "Okay," balasnya selepas itu.
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...