Sebulan kemudian...
Di dewan makan...
Sandwich tuna bersama ham itu diambilnya sebelum ada tangan lain mencapainya terlebih dahulu. Lalu, secara serentak, mereka berdua berakhir memegang sandwich yang sama.
Terkejut dengan hal itu, Diane menoleh ke kiri dan memandang tuan punya tangan itu dengan kening terangkat tinggi, lalu cepat-cepat menarik tangannya setelah sedar siapakah orang itu.
"Maaf... awak ambillah kalau nak..." ucapan Casia sebelum dia beralih untuk mengambil sekotak pizza pula.
Diane menelan air liur dengan gemuruh lalu menggeleng kepala. "Tak apa, ambillah..." ujarnya sambil menyuakan sandwich itu kepada Casia.
Casia tunduk memandang sandwich itu buat seketika. Makanan ini adalah kegemarannya. Entah kenapa, dia sukakannya. Saat tangannya hendak mencapai sandwich tersebut, tiba-tiba namanya dipanggil dari belakang.
"Casia," panggil Sky.
Diane tersentak ketakutan. Dia menurunkan tangannya ke sisi sebelum memandang ke belakang Casia.
Setiba Sky di sisi Casia, lelaki itu merangkul bahu Casia sambil menjegil mata memberi amaran kepada Diane seakan berkata, "Jangan dekati Casia."
"Awak dah beli makanan ke?" tanya Sky dengan mesra sambil memandang ke arah Casia.
"Belum... saya baru nak beli," jawab Casia dengan senyuman saat mendongak memandang Sky.
Diane yang berdiri di depan dua orang itu menggigit gigi menahan perasaan sedih. Tak nak menangis di depan Casia. Nanti apa pula yang Casia fikir.
"Kalau macam tu, apa kata awak pergi duduk. Biar saya yang belikan untuk awak..." aju Sky sambil mengambil dulang dari tangan Casia.
Casia memandang Diane seakan teragak-agak, lalu mengangguk kepala ke arah Sky seketika kemudian. "Oh, okay. Saya tunggu awak dekat sana," balasnya. Tidak lupa, dia memberi anggukan kecil sebagai salam perpisahan kepada Diane sebelum beredar dari situ.
Sky mengawasi langkah teman wanitanya sehingga gadis itu menjauh.
Sebaik Casia menjauh, lelaki itu menjeling ke arah Diane. Lantas, lengannya dicengkam kuat dan ditarik Diane ke dalam kerumunan orang di situ.
"Kau nak apa lagi? Bukankah aku dah beritahu kau? Tak faham bahasa ke!" desis lelaki itu di depan muka Diane. "Jauhkan diri kau dari dia! Kalau tidak, aku takkan teragak-agak untuk mengasari kau!" Dia terus merenggut tangan Diane dengan kasar semasa melepaskannya.
Sambil mengusap kesan sakit pada lengannya, Diane berkerut kening tak puas hati. "Aku tak buat apa-apa pun. Kenapa kau nak berlebih sangat? Tak nampak ke kau sendiri yang buat keadaan jadi lebih rumit?" balasnya. Dia berasa jengkel dengan sikap Sky. Kalaulah lelaki ini tahu apa yang berlaku kepada Casia yang hampir membunuhnya, pasti dia tidak akan bersikap kasar padanya.
"Aku tak peduli. Apa aku tahu kau..." ditunjuk bahunya dengan jari telunjuknya. "Jangan dekati Casia, atau bercakap dengannya, atau sentuh, atau pandang dia..." Seolah-olah Sky menujah bahu Diane dengan kuat.
Diane menolak tangan itu jauh dari wajahnya dengan kasar. "Cakap tu cakap je la. Tak payah la sentuh aku!" rengusnya dengan marah.
Sky berdengus benci. "Peduli pulak aku, dasar anak pembunuh..." getusnya di depan muka Diane.
Berasa cukup dengan sikap tak guna Sky, makanan yang ada di tangannya diletakkan ke kaunter dengan kasar sebelum dia berjalan keluar dari situ. Selera makannya terus hilang. Kenapa la orang suka sangat mematikan seleranya setiap kali dia nak merasa sedikit bahagia? Tanpa sedar, air matanya mengalir di pipi kerana tidak dapat menahan diri dari berasa sedih lagi.
Diane berlari laju melintasi koridor, tidak mahu ada yang nampak dia menangis.
Gadis itu melintasi seseorang yang sedang dalam perjalanan ke dewan makan itu. Dia melirik sekejap ke arah orang itu sambil mengesat air mata dengan belakang tangan.
Kaiser berpaling saat melihat Diane berlari melintasinya. Namun, dia tidak menghalang walaupun dia nampak jelas bahawa Diane sedang menangis.
Oleh kerana ingin tahu, Kaiser kemudian menyambung langkahnya masuk ke dewan. Setibanya di dalam, dia ternampak seseorang yang mungkin menjadi penyebab kenapa Diane berlari keluar dari situ.
Sky.
Tanpa mendekati lelaki itu, Kaiser berdiri di situ, memerhatikan Sky dari jauh yang sedang mengambil piala berisi air dan sepinggan makanan lalu meletakkannya ke dalam dulang.
Saat itu, Kaiser mendekati kaunter bufet. Sambil menghampiri, dia memandang makanan dan piala minuman di dulang Sky buat seketika. Lantas, matanya bertukar warna kepada merah kehitaman tatkala dia mengenakan sihirnya.
Secara tiba-tiba, piala air yang ada di depan Sky itu serta makanan dalam pinggan itu meledak, terkena wajah dan pakaian lelaki itu. Habis kotor wajah, rambut, serta kemeja putih yang dikenakannya.
Kaiser yang melihat berpaling ke kaunter sebelum ternampak ada sandwich tertinggal di atas kaunter bersama air kotak di situ. Melihat makanan itu, wajah Diane terus muncul dalam fikirannya.
Haih... memang nasib malang apa la yang dia dapat sejak bertemu Diane ini!
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...