Mata dipejam rapat sebelum seluruh tenaganya ditumpukan pada teras kuasa. Sedaya upaya, dia fokus pada nama itu. Hanya orang itu dan wajah itu. Tidak lama selepas itu, seluruh badannya mula menghasilkan gelombang tenaga, dan sekeliling muka berdengung buat beberapa saat.
Lantai yang dipijaknya hilang seketika sebelum kakinya memijak satu permukaan berbulu yang lembut. Ingin tahu apa yang berlaku, dia pun membuka matanya. Perkara pertama yang dilihatnya adalah sebuah ruang tamu dengan perapian yang masih marak menyala. Kepalanya dipalingkan ke kanan dan kiri untuk melihat sekeliling.
Sepertinya dia berada di dalam sebuah rumah atau kabin. Ianya kelihatan selesa dan cozy. Bau haruman yang menyenangkan menerpa rongga derianya. Beberapa bingkai gambar tergantung di dinding, sementara beberapa biji buah mainan terbiar di atas sofa dan permaidani yang dipijaknya. Ketika dia asyik melihat sekitarnya, dia bertentang mata dengan sepasang mata biru tak lama selepas itu.
Dirinya kejang sebaik melihat seorang kanak-kanak kecil berdiri di situ dengan selimut dalam tangan.
"BONDA!!!!!" teriak budak lelaki berusia enam tahun itu tiba-tiba.
Dia yang mendengar menjadi kalut, ingin bergerak ke kanan dan kiri dengan cemas, tidak tahu ke mana harus pergi!
"Bonda, ada pencuri masuk rumah!!!" teriak budak lelaki itu lagi, masih berdiri tegak memandang lelaki berpakaian serba hitam di depannya.
Pencuri?
Hei!
Muka handsome seperti ini dipanggil pencuri?
Dia memandang tidak percaya ke arah budak kecil di depannya sambil mencekak pinggang. Baru sahaja dia ingin bersuara, seseorang muncul dari selekoh sebelah anak tangga. Mula-mulanya, dia nampak kain dress warna biru bercorak bunga putih sebelum melihat tangan yang memeluk seorang anak kecil dekat dada.
"Ada apa ni, Danzel..." suara lembut itu kedengaran.
Budak lelaki tadi berlari ke arah wanita itu dan menyorok di belakang kakinya. "Ada pencuri," tunjuk budak itu kepadanya.
Dia yang berdiri di situ hanya kaku sebaik terpandang wajah itu dengan muka terkejut.
Untuk beberapa saat Diane kejung di situ. Agak terkejut dengankemunculan Frost di situ.
"Frost? Apa yang awak buat di sini?" tanya Diane dengan kening berkerut, sambil menepuk belakang badan anak perempuannya yang baru sahaja ingin dibawa ke bilik tidur ketika mendengar suara Danzel menjerit memanggilnya.
Mata Frost bulat memandang Diane. "Saya di mana?" tanya lelaki itu, kesejukan kerana tidak memakai kasut. Semua ini disebabkan dia muncul secara tiba-tiba dari rumah.
"Awak ada di rumah saya," balas Diane, terkebil-kebil memandang Frost.
Mata Frost melirik ke arah anak kecil dalam dukungan Diane, lalu ke budak lelaki yang menyorok di belakang kakinya. "Mereka anak-anak awak?" tanya Frost.
Diane tunduk memandang kepala Denzel sekejap sebelum kembali memandang Frost. Dia masih tidak faham dan bingung dengan kehadiran Frost di sini.
"Ya... anak saya dengan Kaiser," jawabnya sambil mengangkat kepala memandang Frost.
Frost terpempan di situ. Diane sudahpun berkahwin. Itu bermakna, sia-sialah dia berada di sini. Giginya terketap kuat menahan perasaan terkilan dan sedih. "Oh... maaf. Saya tak sepatutnya ada di sini. Pasti Kaiser akan marah jika dia nampak saya di sini," katanya, tidak tenang, memandang ke kanan dan kiri mencari kelibat lelaki itu.
Diane yang melihatnya menarik senyuman nipis.
"Boleh saya tahu kenapa awak boleh ada di sini, Frost?" tanya Diane selepas itu, sambil memandang lama wajah gelabah Frost.
Serta-merta, Frost berdiri tegak mendengar soalan itu. Dia memandang Diane tanpa berkedip. Otaknya tiba-tiba menjadi kosong. Sebelum ke sini, dia begitu bersemangat untuk bertanya itu dan ini, tetapi kini, apabila di depan mata, dia buntu.
"Bonda kenal dengan pencuri ini?" tanya Denzel sambil menjengukkan kepala, tertarik dengan lelaki lampai di depannya.
Diane yang mendengar ketawa kecil.
Sementara Frost hanya buat muka. Pencuri lagi! Nampak sangat ke wajahnya seperti seorang pencuri!
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasyJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...