THE KINGDOM 》 38

1.8K 159 4
                                    

Pagi itu, matahari tegak memancar, angin sepoi-sepoi bertiup masuk melalui jendela.

Langsir putih yang menyapu lantai itu ditiup lembut oleh angin.

Di sebelah jendela terdapat sebuah katil di mana Diane sedang berbaring mengiring dan terlena.

Deru angin dan silau cahaya terang membuatkan lenanya terganggu. Dia terkutik sebelum mata itu perlahan-lahan terbuka.

Sebaik ia terbuka, dia memandang kosong ke kanan katilnya yang kosong itu. Dia kedipkan mata sekali, dua kali, lalu melepaskan nafas panjang. Perasaannya waktu ini ibarat nyawa baru yang kembali masuk ke dalam badannya.

"Kamu dah sedar?" tegur Lady Jane yang berdiri di tepi katil menghadapnya.

Diane hanya diam memandang Lady Jane. Tiada kata-kata yang terlintas dalam fikirannya saat ini. Badannya masih berasa lesu dan fikirannya samar-samar.

"Nampaknya kamu sudah sembuh sepenuhnya," kata Lady Jane lagi sebelum tersenyum kepada Diane.

Memang berapa lama dia terlantar di sini? Diane bangun dari baringnya. Setelah duduk bersila dengan malas, tangannya mengusap perlahan-lahan perutnya. Tempat di mana dia ditikam tidak lagi menyakitkan.

"Nampaknya perubatan bilik rawatan ini semakin baik..." seloroh Diane dengan suara bangun tidurnya sewaktu memandang Lady Jane.

Lady Jane tersenyum senang. "Mesti... lihatlah siapa jururawatnya," guraunya.

Saat itu, Doktor Abiel muncul dari sebelah kanan lorong katil-katil. Sambil berjalan, dia bercakap.

"Hei... sleepy head. Tengok siapa yang sudah bangun dari tidur panjangnya..." sapa dia dengan senang hati.

Diane yang mendengar memandang Doktor Abiel dengan kening terangkat tinggi kerana terkejut dengan kehadiran tiba-tiba wanita itu.

Lady Jane meletakkan dulang berisi ubat di almari sebelah katil sebelum beredar meninggalkan mereka berdua sendirian.

Doktor Abiel melirik ke arah Lady Jane saat wanita itu berselisih dengan dirinya. Kemudian, dia berhenti di sebelah katil itu menghadap Diane.

"Macam mana keadaan kamu? Dah rasa baik?" tanya dia dengan nada lembut. Bekas berisi ubat tadi kemudiannya disua kepada Diane.

Diane terdiam sekejap ketika memandang wajah penuh aura Doktor Abiel. Setelah sedar dari mamainya, barulah dia mengangguk.

"Berapa hari saya tak bangun?" tanya Diane semasa mengambil penutup berisi ubat itu lalu menelannya sekali gus sebelum meneguk sedikit air.

"Empat hari," jawab Abiel sambil menatap wajah lesu Diane. Comel sahaja anak ini. Dalam masa yang sama, dia berasa kasihan.

"Um. Saya okay," jawab Diane perlahan. Tiba-tiba rasa canggung pula bila ditatap begitu oleh Doktor Abiel. Dia tunduk memandang cadar yang menyelimut badannya.

Sambil tersenyum nipis, Doktor Abiel mendekati Diane. Dia tunduk dan mengangkat tangan mengusap kepala Diane. Anak ini perlu tahu apa yang dia telah lakukan.

"Diane... hanya kamu sahaja," bisiknya.

Diane mengangkat kepala. Dia menjungkit kening, tidak faham, semasa memandang muka Doktor Abiel yang begitu dekat.

"Hah?" tanyanya kebingungan. "Apa yang hanya saya?" soalnya.

"Hanya kamu sahaja yang saya tidak hapuskan ingatannya," jawab Abiel sebelum berdiri tegak dan menyeluk tangan ke dalam poket jubahnya.

Diane terdiam sekejap. Dia memandang tidak percaya ke arah Doktor Abiel. Beberapa saat tiada apa-apa yang keluar dari mulutnya. Dia bukan marah atau terkejut dengan tindakan Doktor Abiel. Sebabnya, ini bukan kali pertama Doktor Abiel melakukan hal ini untuknya. Sejak dia jejak kaki ke dalam bilik rawatan ini lagi, Doktor Abiel dan Lady Jane sering membantunya.

Bahkan, dia sudah menganggap mereka berdua seperti ibu dan kakaknya sendiri.

Dia cuma hairan.

Setahu dia, dalam akademi ini, hanya dia seorang sahaja yang mempunyai kuasa Pelupus Ingatan. Malah, mana-mana manusia dalam negara ini tiada kuasa yang sama sepertinya.

Jadi, dia tertanya-tanya, siapakah Doktor Abiel yang sebenar-benarnya? Kenapa wanita ini boleh mempunyai kuasa Pelupus Ingatan sama sepertinya?

"Terima kasih," ucap Diane sebelum tersenyum nipis.

"Sama-sama," balas Doktor Abiel dengan senyuman lebar di bibir.

Diane kemudian memalingkan kepala memandang ke luar tingkap. Cuaca cerah dan berangin. Seolah-olah tiada apa-apa yang telah berlaku, hari berlalu begitu sahaja.

Tersentak, baru dia teringat sesuatu, Diane memalingkan kepala memandang cemas ke arah Doktor Abiel. "Mana Kaiser? Master Vena tak apa-apa ke?" tanya dia yang baru teringat apa yang menimpa mereka berdua.

"Kaiser tak apa-apa. Dia keluar dari wad dua hari lepas. Master Vena dia tak cedera, hanya pengsan sahaja," jawab Doktor Abiel dengan nada memujuk.

Diane yang mendengar terus melepaskan nafas lega. "Baguslah... saya serba salah pada mereka berdua," katanya sambil tunduk memandang ke jari jemarinya.

Doktor Abiel kembali mengusap kepala Diane dengan kasih. "Kamu boleh keluar hospital awal kalau kamu nak. Kalau kamu tak nak, saya boleh buat surat untuk kamu nanti sebagai pengecualian untuk masuk ke kelas," ujar Abiel.

Diane mengangkat kepala lalu memandang ke Doktor Abiel dengan senyuman terpaksa di bibir. "Tak apa... saya boleh keluar hari ini." Dia menguak rambut hitam berkilatnya ke belakang sebelum rambut itu bertukar warna menjadi ungu violet.

"Baiklah, kalau itu yang kamu mahu," angguk Doktor Abiel.

18. The KingdomWhere stories live. Discover now