Bersama keluhan letih, dia mendongak memandang ke atas sambil mengurut belakang tengkuknya. Lenguh dibuatnya sejak tadi kerana letih dan tertekan.Kenapa?
Ya, sejak kebelakangan ini ada saja halnya.
Tak itu, ini.
Tak ini, itu.
Tak satu masalah selesai, timbul lagi satu masalah.
Kalau masalah kecil, tak apalah jugak. Ini sampai melibatkan nyawa.
Haih.
Doktor Abiel keluar dari bilik pejabatnya lalu mendekati katil di mana Lady Jane sedang berdiri. Jururawat itu sedang menguruskan pesakit yang sudah dua hari tidak sedarkan diri setelah mengalami kecederaan parah di bahagian abdomen kerana ditikam. Dan sepanjang dua hari ini, dia tidak berehat sepenuhnya kerana perlu memantau pesakitnya yang satu ini.
Kalau bilik rawatan ini adalah rumah, ia sudah pun menjadi tempat persinggahan kedua selepas dorm pesakit sendiri. Dah kerap sangat keluar masuk bilik rawatan. Sampai dia yang menghadap pun jadi stres.
"Macam mana? Masih sama lagi ke keadaannya?" tanya Abiel sebaik sahaja berdiri di sebelah katil menghadap Lady Jane di seberang katil itu. Matanya menilik wajah pucat milik Diane dengan renungan redup.
"Ya, doktor. Masih sama. Tiada sebarang perubahan. Disebabkan tusukan itu mengenai organ dalamannya sehingga menyebabkan Diane kehilangan darah, dia menghadapi sedikit komplikasi. Saya cuba salurkan kuasa penyembuh saya, tetapi badannya menolak seakan ada kuasa lain yang sedang melindungi tubuhnya saat ini," jelas Lady Jane sambil mengemas peralatan membersihkan luka di dalam dulang peralatan.
Sekali lagi, Abiel melepaskan keluhan panjang. Dia menguak rambut panjangnya ke belakang dengan kesal. "Macam mana dengan Frost? Apa khabar dia?" soalnya sambil itu.
Lady Jane mengangkat kepala. Dia memandang Doktor Abiel dengan kening terangkat. "Hah? Siapa? Frost?" soalnya semula.
"Urm." Angguk Abiel dengan malas.
Lady Jane mengetap bibir buat seketika. Dia memandang Diane lalu berpaling kepada Doktor Abiel semula lantas berkata, "Frost telah dibawa ke Jabatan Hukuman dan Tindakan oleh Dekan dan dua orang master petang tadi lepas kes yang disebutkan. Selepas itu, saya tidak pasti lagi apa yang terjadi pada budak itu," jawabnya.
Abiel tidak berkata apa-apa lagi. Dia hanya diam memandang sayu ke Diane. Hatinya turut bersedih bila melihat tubuh kurus tidak berdaya ini asyik terlantar sepanjang masa dan dalam keadaan cedera. Memang Diane ini hidup hanya untuk dijadikan sebagai bahan untuk diseksa dan dilepaskan geram oleh semua orang? "Saya harap dia cepat sedar," ucapnya sambil mencapai jari jemari itu lalu diramas perlahan.
Lady Jane turut termenung selepas itu. Dia memandang Diane dengan kening berkerut kerana risau. Kalau Diane lama-lama tidak sedarkan diri, ia akan memberi kesan pada tenaga mental dalam tubuhnya. Untuk mengekalkan kesinambungan kuasa, Diane perlu sedar dan stabil. "Doktor rasa berapa lama agaknya dia dapat bertahan di sini?" soalnya dengan nada khayal. Anak semuda ini diberikan ujian sebesar ini, bukanlah perkara mudah untuk ditangani seorang diri.
"Entahlah... saya harap dia akan bertahan sampai bila-bila," hembus Abiel setelah itu. Selimut di badan Diane dibetulkan olehnya. Nampaknya dia perlu meredakan sedikit tekanan Diane. Hanya dengan cara ini sahaja dia dapat mengurangkan masalah yang menghimpit Diane.
"Apa yang doktor akan cuba lakukan kali ini?" duganya. Bukannya dia tidak tahu betapa eratnya ikatan Doktor Abiel terhadap Diane. Memanglah Doktor Abiel tidak tunjuk, tetapi dia tahu apa sahaja yang melibatkan Diane, pasti Doktor Abiel akan ambil peduli dan kisah. Sebab itu dia bertanya. Mana tahu, kali ini Doktor Abiel ingin melakukan sesuatu untuk Diane.
"Buat apa lagi... seperti biasa," ujar Abiel sambil menanggalkan jubah putih dari badannya.
Lady Jane mengambil jubah itu lalu digantung ke atas lengannya. Dia memerhatikan Doktor Abiel yang bersedia untuk melakukan ritual biasa setiap kali wanita ini mahu menggunakan kuasa. "Perlu ke kita hapuskan ingatan mereka tentang kejadian ini?" tanya dia.
Abiel melirik ke arah Lady Jane ketika seluruh tubuhnya mula mengeluarkan cahaya dan rambutnya berubah warna. "Saya hanya akan hapuskan apa yang perlu. Tidak seperti yang saya lakukan sebelum ini," ujarnya.
Lady Jane buat muka. Dia memandang kasihan pada Diane sambil mengerutkan kening. "Tapi bagaimana dengan Diane? Adil ke untuk dia kalau semua orang lupa tentang apa yang dia hadapi selama ini?" tanyanya lagi.
Abiel menghela nafas panjang. Kalau boleh, dia tidak mahu melakukan. Tetapi untuk memastikan semua orang yang ada dalam akademi ini tidak terlalu membenci Diane, dia terpaksa. "Saya hanya akan hapuskan kesemua memori dari kes Casia, bagaimana kematian Daniel berlaku dan apa yang Frost telah lakukan. Apa yang saya tinggalkan hanyalah apa yang patut mereka ingat," waktu itu getaran seperti gelombang mula bergema di sekitar ruangan bilik rawatan itu.
Lady Jane menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan. Jika itu keputusannya, dia terima. Tiada apa-apa lagi yang dapat dia katakan.
Setelah itu, satu ledakan cahaya merebak keluar dan dalam kawasan akademi. Cahaya itu meresap ke setiap inci dinding dan manusia yang ada di situ, termasuklah Lady Jane sendiri.
Beberapa saat kemudian, tubuh Doktor Abiel kembali kepada keadaan sediakala dan rambutnya tidak lagi bercahaya seperti tadi. Keadaan dalam ruangan tersebut menjadi senyap seketika setelah itu.
"Jane?" panggilnya perlahan apabila melihat Lady Jane diam termenung memandang Diane seperti patung. Adakah magisnya berjaya?
Lady Jane tersentak. Dia memandang Abiel dengan kening terangkat. "Ya, saya?" sambutnya.
"Macam mana? Adakah awak ingat apa-apa?" tanya Abiel dengan kening terangkat mahu menduga.
Lady Jane memandang kanan dan kirinya kehairanan. "Tentang apa, Doktor Abiel?" soalnya yang kelihatan bingung dengan soalan itu.
Abiel mengecilkan mata tidak pasti. "Apa yang telah berlaku pada Diane?" soalnya teragak-agak.
"Oh..." Lady Jane kemudiannya memandang ke Diane pula. "Dia terjatuh dari tangga, kan?" jawabnya sambil memandang muka pucat Diane.
Abiel yang mendengar melepaskan helaian nafas lega lalu mengangguk kepala. "Ya... betul tu..." tipunya. Baguslah kuasanya berjaya menghapuskan ingatan mereka.
YOU ARE READING
18. The Kingdom
FantasíaJust imagine, bertahun lama orang asyik hina dan salahkan diri dia di atas kesalahan yang ayahnya telah lakukan...maki dan persalahkan dirinya sampai sanggup nak sakiti dan bunuh dia and suddenly one day...semuanya berubah *************************...