THE KINGDOM 》 49

1.7K 161 4
                                    

Satu akademi gempar dengan kehadiran Frost yang dikhabarkan bercuti kerana hal keluarga, padahal dia telah ditangkap. Terima kasih kepada Doktor Abiel yang telah melupuskan ingatan semua pelajar dan menggantikan memori palsu agar keadaan tidak menjadi serabut dan rumit. Pelajar perempuan menyambut kepulangan Frost dengan gembira. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada kumpulan pelajar mengerumuninya.

Di dewan makan pada tengah hari, suasana sibuk seperti biasa. Para pelajar borak dan melakukan aktiviti harian mereka. Meja bufet dipenuhi deretan makanan, sementara para elf sibuk di belakang kaunter menguruskan penyediaan makanan.

Piala berisi jus anggur diteguk habis oleh Frost saat memandang lelaki di depannya. "Kau orang tak ingat langsung?" tanya Frost kepada tiga rakannya.

"Ingat pasal kau berangkat pergi sebab hal kerabat diraja kau," jawab Noah.

Frost tersenyum, hairan dan kagum dengan hasil kerja orang yang menghapuskan segala memori dari kepala pelajar di akademi ini. Dia tertanya-tanya siapakah yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini.

"Kalau macam tu, kau orang ingat tak tentang malam kita bawa dua pelajar perempuan masuk ke dalam bilik umum sebab mereka tidur di jalan?" soal Frost kepada Goo pula.

Goo mengangkat kepala dari tunduk makan dan memandang Frost yang duduk bertentangan dengannya. "Mestilah ingat. Kenapa kau asyik tanya ingat atau tak? Kau fikir kita orang ni dah nyanyuk ke?" selorohnya dengan nada tidak percaya.

Frost menarik senyuman lega. Nampaknya bukan semua memori telah dihapuskan. Kebanyakannya hanya melibatkan sesetengah perkara, iaitu kejadian yang menimpa Casia dan Daniel. Semuanya telah dihapuskan. "Tanya je," ujarnya dengan senyuman janggal.

Noah dan Han kembali berbual selepas itu, sementara Goo menyambung makannya.

Sementara itu, Frost mengerling ke sekeliling kafetaria dengan leher dipanjangkan. Dia mahu mencari orang yang telah melarikan diri darinya sejak seminggu berada di sini. Sehingga sekarang, dia masih tidak dapat mendengar jawapan untuk soalannya. Naik gila dibuatnya! Mana Diane menyorok ni!

Ketika dia memandang, tiba-tiba matanya terarah kepada dua orang yang melangkah masuk ke dalam kafetaria, berjalan seiringan. Mulanya dia ingin memalingkan kepala, tetapi apabila wajah mereka jelas di matanya, dia memandang lama pada orang yang berjalan bersebelahan lelaki berkaca mata.

Frost mengerutkan kening melihatnya. Dia merasa jengkel tiba-tiba. Memang patut pun dia memukul kepala lelaki itu sampai berdarah hari itu. Siapa suruh masuk campur? Dasar pelik!

Han yang duduk di sisi Frost menyiku perlahan. "Wei...siapa nama lelaki sebelah Diane tu?" tanya dia sambil menjuih bibir ke arah Diane yang sedang berjalan mendekati meja bufet bersama lelaki berkaca mata.

Han memalingkan kepala ke arah Frost dengan kening terangkat. "Mana?" soalnya sambil cuba memandang ke arah yang dimaksudkan oleh Frost.

"Itu... dekat sana tu," tunjuk Frost.

Han pun memandang. Selepas melihat, dia kembali tunduk mencucuk makanan dengan garfu lalu menyuap ke dalam mulut. Setelah itu, barulah dia menjawab, "Kaiser Storm, budak baru," jawabnya sambil mengunyah hotdog.

Frost kemudian bangun dari tempat duduknya. Nampaknya lelaki itu perlu berundur! Sebab dia adalah orang pertama yang mengenali Diane terlebih dahulu. Kakinya diatur menuju ke arah lelaki itu yang sedang memegang dulang.

18. The KingdomWhere stories live. Discover now